Nasharuddin Mat Isa: Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia

Klik untuk maklumat Seminar

Kertas kerja Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

untuk versi cetak dalam format pdf: Klik di sini

*************

Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia[1]

Prolog

 

Firmanu’Llahu Ta‘ala fi Kitabihi’l-Karim:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ (٥٥)

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman, di antara kamu dan mengerjakan amal-amal salih bahawa Dia sesungguhnya akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa; dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka, agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka  sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan-Ku; dan barangsiapa yang engkar sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nur, Ayat 55)

Dalam mengupas tajuk di atas saya akan menghuraikan asas-asas dan dasar Dakwah Islamiyyah terlebih dahulu supaya kita memahami pengertian dan konsepnya secara ringkas dan dalam Bahagian II, barulah kita beralih kepada isu kaitan dakwah Islamiyyah dengan kemelut politik semasa di negara kita.

 

I

Muqaddimah Dakwah Islamiyyah

Para fuqaha’  telah mentakrifkan kalimat Islam (daripada kata dasar aslama dan salima) sebagai membawa pengertian “tunduk” dan “sejahtera”. Kalimat Islam pula amat berkait rapat dengan Din yang bermaksud “agama” dan “tatacara kehidupan”. Jika dikaitkan kedua-duanya dalam bentuk “Islam Sebagai Din” atau ad-Dinu’l Islam, maka lengkaplah takrif ringkas bahawa “Agama Islam adalah tatacara kehidupan yang sejahtera”.[2]

Islam menuntut ummatnya melaksanakan ‘ubudiyyah yang mutlak terhadap Allah SWT sebagai Khaliq di mana manusia dan segala ciptaan-Nya adalah makhluq semata-mata.[3] Melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya adalah suatu pendurhakaan dan akan dihukum di dunia dan dihisab pada Hari Akhirat, manakala melaksanakan suruhan-Nya amat dituntut dan diimbali dengan ganjaran Rahmat dan Barakah-Nya.[4]Berdasarkan tasawwur Islam yang sedemikianlah, maka ‘amal Islami merupakan suatu aspek Islam yang amat penting sehingga dapat menentukan sama ada seseornag itu menurut ajaran Islam atau sebaliknya.

Pengertian ‘Amal Islami

 

Bertolak daripada konsep Islam sebagai ad-Din itu, maka dapat difahamkan bahawa ‘amal Islami bermaksud “semua bentuk ‘amal (kerja) yang dilakukan oleh seseorang Muslim  dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan menurut cara pelaksanaan yang masyru‘ berdasarkan hukum Allah SWT”.[5] Kedua-dua komponen takrif ini, iaitu niat dan cara mesti berlaku serentak dalam sesuatu ‘amal yang dilakukan itu dan jika salah satunya tidak wujud, maka ‘amal itu tidak dapat ditakrifkan sebagai suatu ‘amal Islami. Sebagai contoh, mencuri di sebuah bank dengan tujuan untuk menderma kepada Rumah Kebajikan atau Rumah  Kanak-kanak Cacat tentunya tidak dapat diterima sebagai suatu ‘amal Islami kerana Islam tertegak di atas prinsip  Fiqh yang disepakati ulamak Sunni yang amat jelas, yakni al-Ghayah La Tubarrir al-Wasilah bermaksud “Tujuan tidak menghalalkan cara.” Dalam konteks teori sosiologi dan politik moden, falsafah dan prinsip Niccolo Machiavelli bahawa “The end justifies the means” sama sekali tidak boleh diterimapakai, tidak syar‘iyy  dan haram mutlak sifatnya.

Dakwah Islamiyyah: Suatu Tuntutan Fardiyy dan Jama‘iyy

 

Dakwah Islamiyyah yang berakar-umbikan maksud dasarnya sebagai “menyeru kepada kebaikan yang disuruh oleh Allah SWT dan menjauhi larangan Allah SWT” adalah merupakan kemuncak daripada ‘amal Islami yang mempunyai dua bentuk tuntutan: tuntutan fardiyy (individu) dan juga jama‘iyy (kolektif). Ini adalah kerana tugas menegakkan Islam dan melaksanakan tuntutannya adalah tugas setiap umat Islam. Sama ada tugas tersebut dibebankan kepada individu ataupun kepada sekumpulan ummat ia tetap sesuatu yang fardu (wajib). Sebagai contoh, menunaikan ibadah solat adalah fardu ‘ayn dan ‘amal Islam yang amat penting bagi setiap muslim untuk dilaksanakan, namun bekerja untuk menyeru ummat Islam supaya sentiasa mendirikan solat (iaitu tugas berdakwah) adalah juga fardu (wajib)[6]sebagaimana yang termaktub dalam kaedah fiqhiyyah, iaitu                                                        yang bermaksud “sesuatu itu menjadi wajib apabila yang wajib itu tidak dapat disempurnakan kecuali dengan adanya sesuatu perkara tersebut.

 

Tuntutan Dakwah Islamiyyah: Fardiyy

 

               Tujuan utama pelaksanaan ‘amal Islami bagi setiap individu adalah untuk memperolehi mardhati’Llah.Untuk mencapai tahap keberkatan ini, setiap ‘amal mestilah ‘amal yang salih. Dalam tulisannya yang penuh bermakna dan jauh pemerhatiannya tentang bagaimana cara hendak membina dan mengislahkan ummat Islam, al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna, telah menggariskan 10 ciri peribadi individu Muslim yang perlu dihidupkan, iaitu Muslim yang mempunyai: ‘Aqidah yang sejahtera, ibadah yang sah, akhlak yang sempurna, ilmu yang meluas, sihat tubuh badan, mampu bekerja dan bertindak, sentiasa berjihad melawan nafsu, memiliki jadual waktu hidupnya, sentiasa menjaga masa dan bermanfaat kepada orang lain.[7]

Amat jelaslah kepada kita bahawa ‘amal Islami menuntut supaya kita melaksanakan setiap asas Rukun Islam dan Rukun Iman sehingga ke peringkat Ihsan[8]sebagaimana yang jelas disebutkan dalam sebuah hadith sahih Rasulu’lah SAW bahawa ‘amal-‘amal yang kita lakukan, jika kita lakukan tanpa dapat “melihat” Allah SWT,…. fa innahu yarak maka kita dituntut percaya bahawa Allah melihat perbuatan kita!

Oleh sebab itulah, berusaha untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam adalah wajib sebagai syarat untuk beramal kerana ilmu dan ‘amal adalah “kembar serupa” yang tidak terpisah dan tidak dapat dipisahkan sama sekali. Kecetekan ilmu tentang Islam akan mengaburkan visi seseorang Muslim untuk menapis dan menyaring pelbagai maklumat palsu daripada pelbagai makumat palsu lagi tidak sahih.

  

Tuntutan Dakwah Islamiyyah: Jama‘iyy

 

Dalam konteks bekerja untuk melaksanakan tuntutan Islam secara kolektif, maka skop ‘amal Islami dalam bentuk dakwah Islamiyyah menjadi semakin luas dan menyeluruh. Dari ibadah khusus seperti sembahyang, puasa dan memnunaikan haji yang menjadi kewajiban fardiyyah setiap individu Muslim, maka individu Muslim tadi dituntut untuk bersama-sama ummat Islam yang lain memastikan bahawa Hakimiyyah li’Llah (Perundangan Allah) tertegak sepenuhnya di atas muka bumi ini.[9] Sesungguhnya tugas ini juga terangkum dalam kewajiban yang mesti dilaksanakan oleh ummat Islam dan merupakan sebahagian daripada tuntutan ‘amal Islami.[10]

Dari sinilah bermulanya tuntutan berdakwah terhadap ummat Islam[11] dan sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh baginda Rasul SAW, dakwah yang paling efektif lagi dituntut adalah secara berjama’ah[12] walaupun dalam keadaan tertentu, dakwah dilakukan secara fardiyyah. Dalam konteks sesebuah Jama’ah Islam yang berfungsi untuk melaksanakan islah (pembaikan) dan tajdid (perubahan menyeluruh) maka ‘amal Islami atau dakwah Islamiyyah dalam bentuk ‘Amal Jama‘iyy dapat dilaksanakan berdasarkan dua pembahagian utama, iaitu:

(i)     Maratib al-‘amal (Tahap – tahap ‘amal)

(ii)   Marahil al- ‘amal (Peringkat-peringkat ‘amal)[13]

Maratib al-‘Amal dan Marahil al- ‘Amal

Dalam rangka untuk melaksanakan Islam di muka bumi ini, tujuh tahap ‘amal yang mesti diwujudkan yang menjadi kewajiban individu untuk Jama’ah Islam:[14]

  1. Membina individu Muslim
  2. Membina rumahtangga Muslim
  3. Membina masyarakat Islam
  4. Membebaskan negara daripada pemerintahan bukan Islam
  5. Membaiki kerajaan dan membina Daulah Islam
  6. Menyatukan ummah dan membina Khilafah
  7. Menjadi Ustaz yang memimpin dunia

Aspek selanjutnya dalam berdakwah kita ialah bagaimanakah sesuatu Jama‘ah Islam itu dapat menyusun organisasinya (tanzim) secara teratur[15] dan kemas ke arah mencapai matlamat yang telah digariskannya.  Kita juga dapati kelemahan dan kegagalan kebanyakan Jama‘ah Islam di dunia pada masa kini adalah berpunca daripada kelemahan aspek pengurusan organisasi atau tanzimJama’ah  Berjaya-tidaknya sesuatu Jama’ah Islam amat bergantung kepada bagaimana Pimpinan (Qiyadah) dan pengikutnya (Jundiyyah) mengendalikan penyusunan organisasi Jama’ah itu. 

II

Aplikasi Dakwah dalam Konteks Politik Semasa

Bolehkah prinsip-prinsip dakwah Islamiyyah itu diaplikasikan dalam konteks pentadbiran negara semasa?Sebagai orang Islam, sudah pasti jawabannya boleh kerana Islam adalah agama syumul dan universal.Oleh sebab sifatnya sedemikian syumul dan universal, sudah pasti ianya amat bersesuaian untuk manusia dan kemanusiaan sejagat sehingga akhir zaman.Itulah Janji yang Allah SWT selaku Maha Pencipta nyatakan dalam Kitab yang ditanzilkan-Nya kepada para Rasul, bermula dari Nabi Adam AS sehinggalah kepada Nabi Muhammad, Rasulu’Llah SAW sebagai Penutup Segala Rasul dan Nabi.

Kita melihat dalam konteks ilmu kemasyarakatan moden, akhlak dan adab mengendalikan Jama’ah dapat dikaitkan sebagai ilmu pengurusan saintifik moden, iaitu proses merancang (planning),  menyusun (organize),  memimpin (lead) dan mengawal (control) sesuatu organisasi ke arah mencapai matlamat (objective) yang telah digariskan.[16]Sehubungan dengan itu, pengurusan Jama’ah Islam pula bermaksud “menguruskan Jama’ah Islam ke arah menyempurnakan segala tuntutan Islam seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an dan Sunnah Rasulu’Llah SAW.”

Oleh sebab module pengurusan Islam adalah al-Qur’an dan Hadith dan model pelaksanaannya ialah diri Rasulu’Llah SAW itu sendiri maka ummat Islam pada masa kini bergantung kepada para ‘ulama’ mu’tabar selaku pewaris para nabi untuk mentafsirkan segala mesej pengurusan yang telah ditinggalkan oleh Rasulu’Llah SAW menerusi amalan peribadi baginda SAW.

Dalam hal ini al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna telah mengingatkan kepada seluruh anggota Al-Ikhwan apabila beliau berkata:

“Saya tidak bimbangkan keadaan kamu dan ancaman musuh-musuh Islam, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah diri kamu sendiri.Saya tidak takutkan ancaman orang orang Inggeris terhadap kamu, atau orang Amerika atau Rusia atau lainnya. Yang saya takutkan ialah kamu melakukan dua perkara:-

 

(a)         Kamu mengenepikan Allah, lalu Allah mengenepikan kamu;                 

(b)         Kamu berpecah belah sesama sendiri, maka kamu tidak akan berguna lagi.[17]

Amatlah penting bagi kita yang berada di atas jalan dakwah ini, memelihara keaslian dakwah, memelihara martabat Islam yang dibawa dan memelihara kesucian Islam yang kita bawa ini  agar tidak menjadi bahan ketawa dan fitnah orang lain.  Para ‘ulama’ harakiyy telah menggariskan beberapa bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh para du’at dan mujahid dakwah itu sendiri, di antara lainnya termasuklah:

(i)           Menyeleweng dari landasan asal dan kefahaman tentang Islam dan Jama’ah;

(ii)         Tidak mengutamakan aspek tarbiyyah;

(iii)        Mendedahkan Jama’ah kepada orang luar;

(iv)        Mengenepikan Syura dan nasihat;

(v)         Mengutamakan kulit bukan isinya – banyak bertengkar tetapi sedikit kerja;

(vi)        Berjalan mengikut kaki tanpa panduan yang sahih;

(g)              Cenderung kepada masalah furu’ dan mengenepikan dasar.[18]

Dengan memahami bahawa jalan dakwah itu amat berliku dan dipenuhi ranjau berduri, maka Junjungan Besar al-Rasul SAW telah meninggalkan dua pedoman utama kepada ummatnya, iaitu Kitabu’Llah Yang Maha Suci dan Sunnah baginda SAW sebagai tempat rujukan yang qat’iyy tanpa ragu-ragu dan jelas perbahasannya.  Selainnya adalah ijma’ dan qiyas para ‘ulama’ mu’tabar bagi menyelesaikan pelbagi persoalan semasa yang dihadapi ummah Islam.

Sesungguhnya,  antara yang Haq dan batil, ada pertentangannya yang nyata.  Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan  memikul bebanan yang berat.  Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus harapan.  Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang terus menerus dan hasilnya terserah kepada Allah di waktu yang akan ditentukan-Nya.[19]

 

Kemelut Politik Terkini dan Dakwah Islamiyyah

 

Apa kaitannya kemelut politik terkini dengan asas-asas dan prinsip dakwah Islamiyyah yang telah kita huraikan sebelum ini?

Apakah Jemaah Islam sudah tergelincir daripada landasan dakwah yang suci kerana diasak dengan gelombang politik yang semakin mencabar?

Atau, apakah mungkin Jemaah Islam sudah dipengaruhi anasir-anasir negatif dari luar, yang mengambil kaedah matlamat menghalalkan cara atas nama maslahah dan strategi?

Untuk menjawab kesemua persoalan di atas, tiada jalan lain tetapi kita perlu dan sewajiabnya kembali kepada asas-asas Islam yang suci murni.  Keberanian musuh Islam menyelusuri ke dalam siri individu dan organisasi Islam dan merosakkannya, sebahagiannya adalah kerana kesilapan ummat Islam dan pemimpin Islam itu sendiri.  Benarlah apa yang pernah disebutkan oleh asy-Syahid Dr. Abdul Qadir ‘Audah bahawa keruntuhan Islam adalah disebabkan oleh:-

(i)         kejahilan ummatnya dan

(ii)         kelesuan para ‘ulama’nya.[20]

Sebenarnya kita tiada pilihan.Ummat Islam khususnya dan ummat manusia keseluruhannya telah diberikan panduan hidup yang amat jelas dengan ajaran yang dibawa oleh para rasul. Keberanian musuh Islam menghina Islam adalah kerana, di antaranya disebabkan  ummat Islam sendiri gagal mengamalkan Islam dalam bentuknya yang suci murni.  Ummat Islam gagal menghayati Islam dan mencerminkan perwatakan Islamnya sebagaiman yang dikehendali oleh syara’  sama ada dalam mu’amalah, pentadbiran, pemerintahan, alam pekerjaan, di rumah mahupun di mana jua.  Orang Islam gagal menjadi contoh yang boleh diteladani oleh rakan seagamanya.Apatah lagi untuk menjadi contoh kepada rakan yang bukan seagamanya.Jika sedemikian, bagaimana kita mampu berdakwah mengajak bukan Islam kepada Islam?  Bukankah ummat Islam sudah diberikan petujuk yang jelas oleh Rasulu’Llah SAW?[21]

Di sini timbul pelbagai persoalan, di antaranya:-

(i)           Apakah bukan Islam berbaik dengan ummat Islam kerana amalan Agama Islam yang kita anuti dan amalkan atau kerana “marriage of convenience” dalam rangka percaturan politik singkat semata-mata untuk meraih sokongan di peti undi?

(ii)         Atau sememangnya benar bukan Islam kini insaf dan mula mengenali Islam yang maha adil dan benar-benar ingin mendokong cita-cita Islamiyyah  yang diimani oleh majoriti ummat Islam dalam konteks “merubah pemerintahan sedia ada” ke arah sebuah pemerintahan baru “bersama-sama mendokong Jemaah Islam”?

(iii)        Jika benarlah sebegitu, takdirnya dalam PRU-13 nanti, kumpulan bukan Islam memenangi suara terbanyak di Parlimen, apakah amalan Islam yang terlaksana dalam pelbagai institusi kini termasuk Mahkamah Syariah, Perbankan Islam, Majlis Agama Negeri dan sebagainya  dapat dipertahankan, malah diperbaiki dan diperhebatkan atau ianya dihapuskan secara perlahan-lahan?

Apapun realitinya, kita akan terus berusaha gigih dan berdoa ke hadhrat Allah SWT untuk memenangkan Islam. Kita amat bimbang jika berlaku keadaan habis madu, sepah dibuang!  Amat dukacitalah jika kita mengambil sikap terlalu kuat mengutamakan ikatan politik daripada menjaga agama dan mempertahankan agama Islam kita sendiri!

Dalam konteks Islam di pentas antarabangsa, telah banyak episod serangan terhadap Islam berlaku mutakhir ini.Satanic Verses Salman Rushdie, buku-buku “Islam Liberal” Irshad Manji, The Clash of Civilizations oleh Prof. Samuel Huntington, Tragedi 9/11, karikatur menghina Islam dan Rasulu’Llah SAW yang bermula di Denmark dan berlarutan di Eropah dan Amerika dan kini filem Innocence of Muslims.

Bagaimana kuat reaksi ummat Islam terhadap penghinaan dan kejian ke atas Islam adalah petanda kuat atau lemahnya Islam dan amalan ummat Islam sedunia.Malah di dalam negara kita sendiri, sudah kedengaran ahli politik yang merendahkan isu penghinaan ini dengan bertanya apalah sibuknya ummat Islam bermarah-marah terhadap isu filem Innocence of Muslims ini? Malah lebih awal daripada itu, sudah ada juga kedengaran suara-suara yang amat keras menentang pelaksanaan Islam di dalam pemerintahan negara dengan alasan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Demikianlah kesnya dengan senario di negara kita.  Jika ada penghinaan ke atas Islam dan ada orang Islam yang takut untuk bangun menyuarakan bantahan atas pelbagai alasan termasuk alasan politik, maka tunggulah saat kehancuran Islam di negara kita ini.  Ini adalah janji yang diletakkan oleh Nabi SAW apabila baginda SAW berkata “Apabila diserahkan sesuatu urusan kepada yang bukan ahlinya, maka nantilah saat kehancurannya!”

Islam hanya dapat ditegakkan oleh orang Islam.Agama Islam hanya dapat dipertahankan oleh orang Mukmin itu sendirinya.Itu adalah fakta dan hakikat sebenarnya dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa kejayaan Islam tercapai oleh usaha orang-orang Islam itu sendirinya.Kewibawaan Mukmin yang memerintah dengan adil lagi saksama akan menarik minat bukan Islam berpayung di bawah naungan Islam.  Sejarah yang terakam sudah menunjukkan sedemikian, bukan sebaliknya!

Kesimpulan

Hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa dan agama adalah bukti yang jelas untuk melaksanakan Islam dan membuktikan Islam adalah suatu tatacara kehidupan yang lengkap lagi adil untuk semua.

Amalan organsiasi Islam yang berkesan pula akan membantu pimpinan mengemudi organisasi dengan cekap dan mendapat keredhaan Allah SWT.  Gabungan tenaga di antara barisan pimpinan yang bijak dan pengikut yang setia di bawah manhaj yang tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan dan bakal melahirkan Hizbu’Lah yang dinantikan. Sebarang usaha yang dilakukan di luar kaedah-kaedah tersebut harus ditolak dan tidak dapat diterima sebagai ‘amal-‘amal Islam kerana bagi kita yang mendukung Islam, “tujuan tidak menghalalkan cara”.  Hanya dengan sedemikian Rahmat Allah SWT akan bersama-sama kita dan nun jauh di sana……Janji Allah SWT menanti kita……………

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

 Wali’Llahi’l-Hamd!

 

Nasharudin Mat Isa


[1]     Kertas ini untuk dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

[2]     Untuk mendapat huraian selanjutnya dalm perspektif yang berbeza tetapi membawa maksud yang sama, sila rujuk umpamanya tulisan Dr. Abdul Karim Zaydan, Dasar-Dasar ‘Ilmu Dakwah, Jld. I (1982); Syed Muhammad al- Naquib al – Attas, Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak (1979), Abdul Hadi Awang, Aqidah Muslimin (1985) dan Muhammad ‘Uthman El – Muhammady, Peradaban Dalam Islam (1976).

[3]     Al- Qur’an, Surah al- Dhariyat: 56.  Dalam satu hadith Rasulu’Llah SAW telah bersabda: La Ta‘tin li makhluqin fi ma‘siatin al-Khaliq  yang  bermaksud: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara yang ma‘siat (derhaka) terhadap Allah”.

[4]     Sila rujuk ayat-ayat al-Qur’an, umpamanya dalam Surah Ali ‘Imran: 31,32, 104, 110 dan 132 serta An-Nisa’: 80.

[5]     Hadith pertama  mengenai “Niat” dan hadith  keenam mengenai “Halal dan Haram” daripada himpunan hadith al-Arba’in  an-Nawawiah (Hadith 40) amat berkaitan dengan takrif ini.

[6]     Para ‘ulama’ telah menympulkan, berdasarkan nass-nass qat‘iyy yang sahih, tugas berdakwah adalah fardu ‘ayn dan melaksanakan dakwah secara berjama’ah (kolektif) adalah juga fardu ‘ayn. Sila lihat umpamanya Fathi Yakan,  Apa Ertinya Saya Mengamut Islam (1985),  Sa’id  Hawwa, Al- Islam (1980) dan Yusuf al–Qardhawi, Tuntutan Berjama’ah (1979).

[7]     Hasan al-Banna,  Majmu‘ah  Rasa’il al-Imam asy-syahid Hasan al-Banna (1985).

[8]     Sila rujuk hadith kedua, al-Arba’in an-Nawawiyyah.

[9]     Sebagaimana disebut oleh Syaikhul Islam, Ibn Taimiyyah, Pemerintahan Islam bertujuan: “Menegakkan Din dan mengatur urusan dunia” (                                                               ). Lihat juga Dr. Abdul Karim Zaydan, Dasar-Dasar Ilmu Dakwah (1980).

[10]   Lihat umpamanya ketegasan Allah SWT dalam Al-Qur’an, Surah al-Ma’idah: yang menghukum mereka yang tidak mahu melaksanakan hukuman menurut Hukuman Allah sebagai Kafirun (ayat 44), Zalimun (ayat 45) dan Fasiqun (ayat 47).

[11]   Di antara dalil wajib melaksanakan dakwah ialah al-Qu’ran, Surah Ali ‘Imran: 104 dan 110, dan Surah an-Nahl: 125.

[12]   Lihat umpamanya dalam al-Qur’an, Surah as-Saff: 4 Ali ‘Imran: 110 dan al-Ma’idah: 54-56. Di dalam satu hadith, Rasulu’Llah SAW pernah bersabda: (                                                       ) bermaksud: “Hendaklah kamu berada di dalam jama’ah; sesungguhnya jama’ah itu rahmat dan perpecahan itu ‘azab” (Riwayat Muslim).

[13]   Sila lihat huraian yang mendalam mengenai aspek ini oleh Ustaz  Sai’d Hawwa dalam  Ufuk Risalah at-Ta’alim (1981).

[14]   Lihat juga Dr. Mazin Farrukh, Prinsip-Prinsip Asas ‘Amal Islami (1989).

[15]   Penegasan Allah SWT dalam surah as-Saff: 4 perlu diteliti dengan mendalam. Dakwah perlu disusun rapi secara kolektif, dirancang, dikawal dan dipimpin secara berkesan untuk mencapai matlamat yang telah digariskan.

[16]   Huraian tradisi konsep pengurusan ini telah diberikan oleh Stoner dalam J.A.F. Stoner dan C. Wankle, Management, New Jersey: Prentice Hall, 1986.  Lihat juga Ernest Dale, Organisation: New York, American Management Association, 1967.

[17]   Diungkapkan semula oleh Dr. Yusuf al-Qardawi dalam Harakah Islamiyyah – Suatu Tuntutan, Shah Alam: KPIITM, 1981,  hal. 30-31.

[18]   Kupasan yang mendalam dan indah ini telah dihuraikan oleh al-akh mujahid ini dalam tulisannya yang amat penting, Jalan Dakwah: Di antara Keaslian dan Penyelewengan, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar, 1986.

[19]   Mustafa Masyhur, Jalan Dakwah, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 1985, hal. 5.

[20]   Abdul Qadir Audah, Islam: Di Antara Kejahilan Umat dan Kelesuan Ulamak, IIFSO, 1977.

[21]   Maksud hadith Sahih Bukhari : “Telah kutinggalkan kepada mu dia perkara, jika kau berpegang kepadanya, tidak akan tercicir selama-lamanya – Kitabu’Llah dan Sunnah Rasul-Nya.”

1 comment so far

  1. […] 10. Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia (KLIK DI SINI untuk baca) […]


Leave a comment