Archive for January, 2011|Monthly archive page

Usrah Februari 2011 Ditangguh ke 15hb Feb

Usrah untuk bulan Februari 2011, yang asalnya dijadualkan pada 1hb ditangguh ke 15hb Februari 2011.

Tempat usrah kekal di kediaman Sdr. Dato Rameli Musa dengan tajuk Kepimpinan Islam.

Makluman lanjut akan disusuli.

Muafakat Bantah Kenyataan Dato Chua Berhubung Keengganan Salam Calon PAS Di Tenang

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) menyokong gesaan Persatuan Peguam Islam Malaysia dan Persatuan Ulama Malaysia supaya Dato Chua Soi Lek menyatakan kesalnya dengan kenyataan yang di keluarnya pada hari Khamis lalu yang memperkecilkan dan menjadikan modal politik murahan isu orang Islam yang tidak mahu bersalam antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Untuk pengetahuan Dato Chua dan kuncu-kuncunya, larangan ke atas orang Islam lelaki atau perempuan bukan mahram bersalaman antara satu sama lain adalah larangan yang jelas daripada al-Quran, dan oleh itu disepakati oleh semua Mazhab, dan bukan perkara ‘personal’ seperti yang didakwa oleh Dato Chua Soi Lek berhubung dengan kes video lucahnya seperti yang dinyatakannya di dalam wawancaranya di dalam Mingguan Malaysia pada  Ahad 23 Januari 2011.

Kami perhatikan perkara memainkan isu yang sensitif ini juga ditimbulkan oleh tokoh-tokoh lain dari semasa ke semasa.

Kami menyeru Dato Chua Soi Lek dan kuncu-kuncunya supaya berkempen cara matang, dan  mencari isu yang benar-benar ‘substantial’ dan bukan mencari isu remeh, dan apa lagi mencari isu yang menyentuh sensitiviti Agama Islam. Kami ingin bertanya, tidakkah Dr Chua Soi Lek dan kuncu-kuncunya faham dan menghayati seruan Perdana Menteri supaya semua kaum menghayati semangat muhibbah (goodwill) dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif, seperti diucapkannya semasa perayaan Krismas baru-baru ini [The New Straits Times 25 Disember 2010]

Kami dengan ini menyeru Dr Chua Soi Lek dan kuncu-kuncunya supaya berhenti memainkan isu sensitif seperti ini, walaupun di masa Pilihanraya kecil atau Pilihanraya umum, atau di mana-mana majlis sekalipun. Kami juga menyeru pihak Kerajaan, khasnya pihak Polis (PDRM) dan SPR supaya menyiasat Dr Chua Soi Lek dan kuncu-kuncunya yang sering memainkan isu sensitif di masa pilihanraya ini, kerana sekiranya isu seperti ini tidak dihentikan, ia boleh membakar semangat rakyat, dan boleh mencetuskan kejadian yang tidak diingini di Negara ini.

Sekian

Dato Ahmad Ismail

Timbalan Presiden

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

24 Januari 2011

Pluralisme Agama: Ancaman Terhadap Kemurnian Al-Quran

Salah satu kertas yang dibentangkan di Wacana Isu-isu Semasa Aqidah: Pluralisme Agama yang telah diadakan di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam, 15hb Januari 2011 [baca laporannya di sini]

PLURALISME AGAMA: ANCAMAN TERHADAP KEMURNIAN AL-QURAN

 

Oleh:

Dr. Ahmad Bazli Shafie*

PENDAHULUAN

Pluralisme agama (religious pluralism) adalah istilah yang mengundang reaksi yang pelbagai. Pluralisme sebagai suatu gagasan yang menganjurkan toleransi agama sebagai prasyarat untuk mewajarkan pengamalan agama secara yang harmoni mungkin suatu yang boleh diterima, tetapi pluralisme agama sebagai suatu faham dan gerakan yang menyamaratakan keabsahan semua agama atau meletakkan kebenaran agama-agama sebagai kebenaran yang relatif adalah ditolak bukan sahaja oleh ulama, tetapi juga ditentang oleh cendiakawan agama-agama lain.[1] Sekiranya ulama mengharamkan faham pluralisme agama berasaskan nas-nas al-Quran, demikian juga pendokong-pendokong gerakan pluralisme agama ini yang berhujah berasaskan al-Quran. Persoalannya bagaimanakah golongan pluralis ini mencapai kesimpulan-kesimpulan dari ayat-ayat al-Quran yang mendokong faham pluralisme ini? Atau apakah metodologi mereka dalam mengeluarkan sesuatu hukum (istinbat) yang dirujuk dari sumber yang sama, iaitu al-Quran, tetapi nyata berbeza dengan ketetapan hukum para fuqaha’? Kertas ini akan cuba menjelaskan ancaman gerakan pluralisme agama melalui penghuraian metodologi hermeneutik (hermeneutics) yang telah cuba meruntuhkan (deconstruct) metodologi sumber hukum Islam dan mengakibatkan kecelaruan akidah dan syari’at Islam.

AL-QURAN DAN PLURALISME AGAMA

Al-Quran adalah sumber ilmu yang tertinggi dalam Islam. Sesuatu perkara yang berkaitan akidah, Ibadah, muamalah dan akhlaq ditentukan statusnya samaada haq atau batil, benar atau salah, terpuji atau tercela berasaskan nas-nas al-Quran. Kemunculan gerakan Pluralisme agama telah menafikan kebenaran dengan meruntuhkan tembok pemisah di antara yang haq dan yang batil, yang benar dan yang salah, yang terpuji dan yang tercela melalui penyamarataan keabsahan segala sesuatu.

“…yang selayaknya menjadi pegangan adalah bahwa kita tidak dapat mengetahui kebenaran absolute. Kita dapat mengetahui kebenaran hanya sejauh itu abash bagi kita. Artinya, kebenaran yang selama ini kita pahami tak lain adalah kebenaran sepihak…Islam tak lain adalah satu jalan kebenaran di antara jalan-jalan kebenaran yang lain…artinya jalan menuju kebenaran tidak selamanya dan musti harus melalui jalan agama, tapi juga bias memakai medium yang lain. Kerana sifatnya yang demikian maka Islam kemudian berdiri sejajar dengan praktik budaya yang ada. Tidak ada perbedaan yang signifikan kecuali hanya situalistik simbolik. Sedangkan esensinya sama, yakni menuju kebenaran transendental”[2]

Pegangan ini nyata bertentangan dengan prinsip pertama akidah Islam bahawa hakikat segala sesuatu itu thabit adanya, dan pengetahuan mengenai status kebenaran atau kebatilannya itu dapat dicapai oleh manusia.[3] Justeru kerana Islam telah meletakkan dalam akidahnya bahawa ilmu memang boleh dicapai dengan yakin, maka sesuatu amalan yang telah diyakini kebenarannya itu tetap akan dilakukan walaupun menghadapi kesusahan bahkan kematian.[4]

Kenisbian kebenaran sebagai asas penerimaan pluralisme agama ini, menurut golongan pluralis, adalah berasaskan al-Quran. [5]

…al-Quran merupakan fondasi otentik pluralisme. Al-Quran telah mengakui perbedaan bahasa dan warna kulit, kemajemukan suku-bangsa, mengakui perbedaan kapasitas dan intelektualitas manusia, serta mengajak berlomba dalam kebajikan dan membiarkan sinagog-sinagog, gereja-gereja, masjid-masjid, dan tempat-tempat ibadah lainnya tetap berdiri kokoh. Bahkan, al-Quran mengakui kebebesan berkeyakinan (untuk beriman atau tidak), serta masuk dan keluar dari agama tertentu. Al-Quran juga sudah menjelaskan bahwa nabi dan manusia manapun tidak mesti ampuh memberi petunjuk pada manusia lain, atau menyatakan sesat dan kufur kepada manusia lain.[6]

Golongan Pluralis agama menyenaraikan sekurang-kurangnya empat tema utama yang termaktub dalam al-Quran tentang pluralisme agama:

Pertama: Surah al-Baqarah 2: 256 bahawa, “Tiada paksaan dalam beragama” secara jelas “mengajarkan bahawa dalam memilih agama, manusia diberi kebebasan untuk mempertimbangkannya sendiri”[7]

Kedua:      Surah al-Baqarah 2: 62 bahawa, “Orang-orang beriman (orang-orang Muslim), Yahudi, Kristen, dan Shabi’in yang percaya kepada Allah dan hari kiamat, serta melakukan amal kebajikan akan beroleh ganjaran dari Tuhan mereka. Tidak ada yang harus mereka khawatirkan, dan mereka tidak akan berduka” secara jelas menganjurkan, “masing-masing agama ditantang untuk berlomba-lomba menciptakan kebaikan dalam bentuknya yang nyata”.[8]

Ketiga:      Surah al-Shura: 13 bahawa, “Dia (Allah) telah mensyariatkan bagi kamu agama sebagaimana yang diwasiatkan-Nya kepada Nuh, dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa, dan Isa, yaitu tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya” menegaskan “bahwa salah satu pokok keimanan Islam adalah kepercayaan bahwa iman kepada sekalian nabi dan rasul itu mempunyai makna teologis yang mendalam dan menjadi prinsip pluralisme Islam” atau ”kesatuan kenabian”.[9]

Keempat: Surah al-Nisa’: 131 bahawa, “Dan kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya kami telah memerintahkan orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu, dan (juga) kepada kamu untuk bertaqwa kepada Allah” merujuk kepada “kesatuan pesan ketuhanan”.[10]

Kesimpulan-kesimpulan ini dicapai melalui kaedah hermeneutik. Hermeneutik dianggap oleh golongan pluralis agama sebagai metodologi yang sesuai (releven) dengan kehendak semasa berbanding kaedah tafsir dan ta’wil. Prof. Dr. Fazlur Rahman (1919-1988)[11], Hasan Hanafi,[12] Mohammed Arkoun[13] dan Nasr Hamid Abu Zaid[14] adalah tokoh-tokoh utama yang mempelopori kaedah ini dalam memahami al-Qur’an.[15] Hermeneutik merupakan suatu metodologi dalam memahami teks yang muncul berdasarkan latar belakang teks-teks penting dalam kepercayaan masyarakat Yunani dan juga teks-teks Bible Kristian dan Yahudi yang diragui kesahihan dan kewibawaannya samaada dari segi periwayatan mahupun kandungan. Secara umumnya, matlamat hermeneutik, terutama dalam tradisi kajian Bible, adalah untuk mencari nilai kebenaran sesuatu teks, dan seterusnya memahami pergertian asal sesuatu teks sebaik atau lebih baik daripada pengarangnya sendiri.[16] Usaha memahami atau menghurai kehendak sesuatu teks itu pula melibat hubungan tiga pihak (triadic relation), iaitu teks itu sendiri, pengarang dan pembaca. Justeru, hermeneutik dalam konteks penggunaannya terhadap al-Quran akan mempertanyakan soalan-soalan berikut: Apakah nilai kebenaran al-Quran? Apa itu wahyu ? Bagaimana Rasulullah menerima wahyu ? Apakah Bahasa Arab (bahasa manusia) yang terbatas itu mampu mengukapkan kehendak Allah? Apakah al-Quran yang dibaca ini sepertimana yang diterima oleh Rasulullah ? Apakah dalam proses penulisan dan pengumpulan al-Quran itu tidak berlakunya kesilapan? Apakah kita mampu memahami al-Quran secara objektif ? Persoalan-persoalan ini membawa kepada langkah-langkah berikut:

Pertama: mempersoalkan kesucian Al-Qur’an.

Wahyu ditakrifkan sebagai inspirasi (idea-word inspiration), maka Al-Qur’an dalam ertikata yang lain adalah “entirely the words of God (kalam Allah), in ordinary sense, also entirely the word of Muhammad”.[17] Bahkan, menurut Nasr Hamid Abu Zayd, wahyu adalah berbeza daripada al-Qur’an. Wahyu adalah pada tahap samawi, manakala al-Quran itu kefahaman Rasulullah yang tidak menyamai hakikat wahyu yang sebenar.[18] Michael Cook mengulas pendapat Abu Zayd ini:

If the text was a message sent to the Arabs of the seven century, then of necessity it was formulated in a manner which took for granted historically specific aspect of their language and culture. The Koran thus took shape in human setting. It was a’cultural product’- a phrase Abu Zayd used several times, and which was highlighted by the Court of Cassation when it determined him to an unbeliever.[19]

Kedua: Meragui kewibawaan Mushaf Uthmani

Mushaf al-Qur’an Rasm Uthmani yang beredar dalam kalangan umat Islam bagi mereka adalah tidak berwibawa atau tidak authentik kerana penulisan dan pentadwinan Mushaf Uthmani adalah langkah yang bersifat politik.  Di samping itu, Mushaf ini juga telah mengharungi proses penyempurnaan, bahkan dalam proses tersebut tiada kesepakatan dan keseragaman dalam penyalinan teks-teks al-Qur’an. [20] Oleh itu, teks al-Quran perlu kepada semakan secara kritikal, i.e “al-Qur’an Edisi Kritis”.[21]

“Bacaan ibil (unta, 88:17) dalam konteks 88: 17-20. sangat tidak koheren dengan ungkapan al-sama’ (langit), al-jibal (gunung-2) dan al-ardl (bumi). Dalam bacaan Ibn mas’ud, Aisyah, Ubay, kerangka grafis yang sama dibaca dengan mendobel lam, yakni ibill (awan). Bacaan pra-utsmani ini, jelas lebih koheren dan memberikan makna yang lebih logis ketimbang bacaan mutawatir ibil…”.[22]

Ketiga : Memahami al-Qur’an secara konstektual

Ajaran Islam dibezakan secara yang jelas antara Islam normatif dan Islam historis (normative Islam and historical Islam).[23] Dasar-dasar kerangka pemikiran Islam, kemunculan dan perkembangan aliran-aliran teologi, falsafah, tasauf dan mazhab-mazhab fiqh adalah hasil dari proses evolusi sejarah yang merupakan reaksi dan sintesis ajaran-ajaran al-Qu’ran terhadap keperluan dan perkembangan zaman. Oleh itu. Islam historis, iaitu Islam yang diterjemahkan oleh umat Islam sepanjang sejarah itu tidak sepenuhnya sesuai untuk diterapkan pada zaman moden. Sehubungan dengan itu, beliau menggesa dilakukan rombakan dan seterusnya merangka struktur baru pemikiran Islam yang sistematik (reconstruction) melalui pentafsiran kembali al-Qur’an secara kontektual. Pemahaman al-Qur’an berasaskan kaedah ini, tegas Fazlur Rahman, adalah pelaksanaan ijtihad secara yang sistematik dan menyeluruh dalam menanggani permasalahan semasa umat Islam.

Ijtihad means the effort to understand the meaning of a relevant text or precedent in the past, containing a rule, and to alter that rule by extending or restricting or otherwise modifying it in such a manner that a new situations can be subsumed under it by a new solution.[24]

Model utama yang diikuti oleh golongan pluralis ini adalah berasaskan pendekatan “Double Movement” yang telah digarap oleh Fazlur Rahman. Pendekatan ini melibatkan pemahaman situasi masa kini kemudiannya kembali kepada zaman turunnya al-Qur’an seterusnya kembali semula ke masa kini.

Langkah pertama melibatkan dua langkah utama;

(i) memahami makna sesuatu ayat dengan mengkaji situasi sejarah atau permasalahan khusus yang menjadi sebab turunnya sesuatu ayat,

(ii) seterusnya difahami tujuan umum daripada ketetapan hukum secara khusus melalui pengamatan terhadap latarbelakang sosial dan sejarah turunnya ayat serta rationes legis (ilat hukum) yang sesetengahnya dinyatakan oleh al-Qur’an.  Proses ini harus mengambil perhatian terhadap dasar-dasar ajaran al-Qur’an secara keseluruhannya supaya setiap makna yang difahami dan objektif yang dirangka akan selari antara satu dengan yang lain.[25]

Langkah pertama ini melibatkan kajian serta kefahaman konteks turunya ayat-ayat al-Qur’an pada tahap mikro iaitu sebab dari turunnya ayat secara khusus dan tahap makro iaitu memahami situati zaman turunnya al-Qur’an samada masyarakat Mekah dan Madinah secara khusus dan masyarakat dunia secara umum. Di sinilah pentingnya asbab al-nuzul dan nasikh wa manshukh. Bahkan kedua-duanya amat penting dalam menentukan dasar-dasar umum yang menyatukan keseluruhan makna ayat-ayat al-Qur’an.[26]

Setelah dasar-dasar, nilai dan objektif umum dapat disimpulkan dari ayat-ayat khusus, langkah kedua adalah mengaplikasikan dasar–dasar umum itu menurut konteks sosiologi sesuatu zaman secara khusus. Dengan kata lain, dasar-dasar umum itu harus disesuaikan pula dengan konteks sosial dan sejarah masa kini. Langkah ini menuntut kajian secara yang teliti tentang situasi masa kini dan menganalisis kepelbagaiannya untuk membolehkan penilaian dan perubahan dilakukan menurut keperluan dan situasi masa, dan seterusnya menentukan keutamaan dalam melaksanakan nilai-nilai al-Qur’an secara yang segar.[27]

Sebagai contoh di dalam al-Qur’an dinyatakan bahawa ketiadaan dua orang saksi lelaki hendaklah diganti dengan seorang saksi lelaki dan dua orang saksi wanita.[28] Dalam erti kata yang lain, persaksian seorang lelaki bersamaan persaksian dua orang wanita. Dalam menghuraikan masalah ini, beliau menyatakan bahawa ratio legis atau yang menjadi matlamat di sebalik ketetapan al-Qur’an ini adalah bukti atau persaksian yang betul. Oleh kerana dalam masyarakat Arab Jahiliyyah kedudukan dan juga penglibatan wanita itu terbatas, maka disyaratkan dua wanita bersamaan seorang lelaki. Walau bagaimanapun, dalam kontek masa kini persaksian seorang wanita adalah sama dengan persaksian seorang lelaki kerana status dan penglibatan wanita di dalam masyarakat telah diterima secara meluas.[29]

PENUTUP

Metodologi yang digunakan dalam memahami sesuatu teks itu berkait rapat dengan keadaan (nature) teks itu sendiri. Hermeneutik sebagai suatu metodologi dalam memahami sesuatu teks muncul berdasarkan latar belakang teks-teks penting dalam kepercayaan masyarakat Yunani dan juga teks-teks Bible bagi orang Kristian dan Yahudi. Oleh kerana kewibawaan teks-teks ini dipertikaikan, samaada dari segi kesahihan periwayatan mahupun kandunganya, maka ruang untuk para pentafsir itu terbuka terlalu luas untuk mengkritik teks itu sendiri (Homeric criticism: Biblical Criticism) atau memberikan penghuraian secara yang subjektif.

Berbeza dengan al-Qur’an yang jelas berwibawa dari segi periwayatan dan kandungannya, maka kaedah tafsir dan ta’wil itu adalah kaedah yang sentiasa utuh dan sah. Al-Qur’an adalah pancaran bagi ilmu yang benar, maka bahasa yang digunakan sebagai aliran kepada ilmu ini juga adalah terpelihara dari sebarang kecurangan (‘iwaj), iaitulah penyelewengan dari landasan yang lurus (qayyim) atau makna yang betul yang menyampaikan kepada kebenaran secara terus tanpa sebarang penyimpangan dan putar belit. Jelas dengan itu terdapat jaminan tentang ketepatan (scientific precision) dari sudut maknanya, terutamanya pada makna-makna yang menyampaikan kebenaran yang mutlak dan objektif (absolute and objective truth). Kelebihan yang terdapat pada bahasa Arab itulah yang membolehkan munculnya tafsir sebagai satu sains yang terawal di kalangan ilmuwan Islam. Tafsir adalah suatu kaedah penghuraian ayat-ayat kepada makna-maknanya yang muktamad. Manakala bagi ayat-ayat yang kabur, ta’wil (allegorical interpretation) adalah kaedah untuk mengesan, membongkar dan menyingkap makna-makna yang tersembunyi pada ayat-ayat tersebut berdasarkan tafsiran ayat-ayat yang telah jelas maknanya. Dalam erti kata yang lain, ta’wil adalah suatu kaedah yang mendalami sesuatu tafsiran (an intensive form of tafsir). Proses pentafsiran perlu berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith yang diperkuatkan dengan ilmu tentang lingkungan semantik yang mengawal struktur konseptual perbendaharaan kata al-Qur’an yang memancarkan pandangan Islam tentang realiti (haqiqah) dan kebenaran (haq). Tafsir dengan itu adalah suatu metod yang saintifik berdasarkan ilmu tentang lingkungan semantik yang terbina kukuh sepertimana yang terkandung dalam Bahasa Arab dan seperti yang disusun dan digunakan  di dalam al-Qur’an dan tergambar dalam al-Hadith dan al-Sunnah. Hermeneutik bukanlah suatu kaedah yang sesuai untuk al-Quran dan tidak boleh mengganti kaedah tafsir dan ta’wil.


* Makalah dibentangkan pada 15hb Januari 2011, Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu. Penulis, yang kini bertugas sebagai pengarah Institut al-Quran Terengganu, adalah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Terengganu.

[1] Sanggahan terhadap pluralisme agama (transcendant unity of religion) telah dimuat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam mukadimah tulisan beliau, Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of Worldview of Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 1995). Pada tahun 2005, Majlis Ugama Indonesia (MUI) telah mengeluarkan fatwa bahawa faham Pluralisme Agama adalah haram. Bahkan faham ini juga ditolak oleh ilmuwan dari agama-agama lain. Lihat Adian Husaini, Pluralisme Agama Musuh Agama-Agama: Pandangan Katolik, Protestan, Hindu dan Islam Terhadap Paham Pluralisme Agama (Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia, 2010)

[2] Lihat M Khairul Muqtafa, Nilai-Nilai Pluralisme dalam Islam(Jakarta: Fatayat NU & Ford Foundation, 2005), 58-59. Sepertimana dipetik oleh Adian Husaini, Hegemoni Kristen-Barat Dalam Studi Islam Di Perguruan Tinggi (Jakarta: Gema Insani, 2006), 210.

[3] Penjelasan tentang epistemologi Islam sila rujuk aqa’id al-nasafi. Lihat Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of Aqa’id of al-Nasafi (Kuala Lumpur: Unversiti Malaya, 1988)

[4] Lihat Wan Mohd Nor Wan Daud, “Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu: Satu Cerminan Ketamadunan”, Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu (Kota Bharu: DBP, 2004), 7.

[5] Lihat tulisan seperti Abd. Moqsith Ghazali, Argumen Pluralisme Agama: Membangun Toleransi Berbasis Al-Qur’an (Jakarta, Kata Kita, 2009)

[6] Muhamad Ali, “Tantangan Pluralisme dan Kebebasan Beragama” http://islamlib.com/

[7] Moh. Shofan, “Menuju Pluralisme Global”, http://islamlib.com

[8] Ibid.

[9] Ibid.

[10] Ibid.

[11] Lihat karya-karya beliau, antara lain, Islam and Modernity: Transformation of an Intellectual Tradition (Chicago: The University of Chicago Press, 1982); Major Themes of The Qurān (Chicago: Bibliotheca Islamica, 1980 ); “Islamic Modernism: Its Scope, Method and Alternatives”, International Journal of Middle Eastern Studies, Vol.1, No. 4 (1970), 317-333; “Interpreting the Qur’ān”; “Towards a Reformulation of the Methodology of Islamic Law: Sheikh Yamani on Public Interest”, New York University Journal of International Law and Politics, Vol. 12. No. 2 (1979), 219-224; “Some Key Ethical Concepts of the Qur’ān”, The Journal of Religious Ethics, Vol. 11, No. 2 (1983); “The Concept of hadd in Islamic Law” Islamic Studies, vol. 4, No. 3(1965), 237-251.dan “Ribā and Interest”, Islamic Studies, vol 3, No. 1(1964), 1-43.

[12] Lihat karya beliau Les Methodes d’exégese: Essai sur la science de Fondements de la Comprehension. ‘Ilm Usul al-Fiqh (Cairo: Conseil Seperieur des Arts, des Lettres et des Sciences Sociales, 1965); Al-Turāth wa al-Tajdid: Mawqifunā min al-Turāth al-Qadim (Beirut: Dār al-Tanwir, 1981).

[13] Lihat karya-karya beliau, antara lain, La Pensée Arabe (Paris: Presses Universitaires de France, 1979); Mohammed Arkoun et Louis Gardet, L’Islam: Hier –Demain (Paris: Editions Buchet/Chastel, 1978).

[14] Lihat karya beliau Naqd  al-Khitāb al-Dini (Cairo: Sina li al-Nahr, 1992); Mafhum al-Nass: Dirasat fi ‘ulum al-Qur’ān (Beirut: Markaz al-Tahqafi al-Arabi, 1994).

[15] Ilmuwan lain yang turut mendokongi kaedah hermeneutik ini, antara lain, adalah Farid Esack, Qur’ān, Liberation and Pluralism: An Islamic Perspective of Interreligious Solidarity Against Oppression (Oxford: Oneworld, 2002); Khaled Abou El Fadl, Speaking in God’s Name: Islamic Law, Authority and Women (Oxford: Oneworld, 2001); Amina Wadud Muhsin, The Qur’ān and Woman (Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1992).

[16] “to understand the original meaning of the text and to understand the discourse just as well and even better than its creator” Schleiermacher, “The Hermeneutics: Outline of the 1819 Lectures”, The Hermeneutic Tradition: From Ast to Ricoeur, edit., G. L. Ormiston and A. D. Schrift (Albany: State University of New York Press, 1990),93.

[17] Fazlur Rahman, “Divine Revelation and The Prophet”. Hamdard Islamicus. 1, 2(1978): 66.

[18] Nasr Hamid Abu Zaid, Naqd  al-Khitāb al-Dini,93-94.

[19] Dikutip dari Adian Husaini, Hegemoni Kristen-Barat Dalam Studi Islam Di Perguruan Tinggi (Jakarta: Gema Insani, 2006), 234.

[20] Lihat  Ugi Suharto, “Upaya Meruntuhkan kewibawaan Mushaf Uthmani dari Dahulu Sehingga Kini”, Buletin Hikmah ISTAC, no. 1, Tahun 8, 2002, 16-31; Lihat juga tulisan beliau, “Isu-isu Sentral Dalam Pemikiran Islam Liberal: Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia”, Ancaman Islam Liberal. ed., Abdullah Sudin Abdul Rahman dan Johari Mat (Kota Bharu: Dian Darulnaim Sdn. Bhd, 2006), 20-22; Lihat juga petikan kata-kata Luthfie Asyaukani oleh Adian Husaini, Hegemoni Kristen-Barat,123.

[21] Lihat Taufik Adnan Amal, “Edisi Kritis al-Qur’an”, Wajah Islam Liberal di Indonesia (Jakarta: JIL,2002)

[22] Lihat dialog Dr. Ugi Suharto dengan Taufik Adnan Amal dalam Buletin al-Hikmah ISTAC, no. 1, Tahun 8, 2002, 37.

[23] Kaedah ini merupakan suatu pendekatan yang dikembangkan oleh para orientalis seperti David S. Margoliouth, Goldziher, Joseph Schact, H. R. Gibb dan N.J Coulson yang bertujuan mengkritik asas-asas ajaran Islam. Lihat karya-karya beliau seperti Islamic Methodology in History; Islam; Islam and Modernity: Transformation of an Intellectual Tradition.

[24] Idem., Islam and Modernity, 8.

[25] Ibid., 5-6.

[26] Idem., “Islam: Legacy”, 241-242.

[27] Idem., Islam and Modernity, 7.

[28] Surah al-Baqarah 2:282

[29] Rahman, “Islamic Modernism”,  329: Idem., Major Themes, 71.

Lebih 1500 Peserta Hadir Wacana Isu-isu Aqidah Di UMT

Lebih 1,500 peserta hadir Wacana Isu-isu Semasa Aqidah: Pluralisme Agama yang telah diadakan di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam, 15hb Januari 2011.

Sebahagian dari peserta yang memenuhi kedua-dua tingkat dewan

Sebahagian besar dari peserta terdiri dari mahasiswa UMT sendiri, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali, lain-lain institusi pengajian tinggi sekitar bandaraya Kuala Terengganu, para pegawai masjid, wakil-wakil NGO serta orang awam.

Majlis bermula jam 8:45 pagi dengan bacaan al Quran oleh Qari jemputan dari Institut Quran Terengganu, Tuan Haji Mohd Hafas bin Haji Ali.

Ucapan aluan telah disampaikan oleh Haji Mohd Radzi, Pengarah Pusat Islam UMT, yang mewakili Timbalan Naib Canselornya.

Sebahagian dari peserta yang mendengar pembentangan oleh Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady

Majlis yang julung kali diadakan bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam itu di rasmikan oleh Pesuruhjayanya, Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail.

Wacana ini telah diisikan dengan pembentangan lima kertas kerja oleh lima orang pengkaji khas dalam bidang pluralisme agama seperti berikut:

  • Mencermati Doktrin Dan Ciri-ciri Fahaman Pluralisme Agama oleh Dr. Anis Malik Thoha, Pensyarah, Jabatan Usuluddin Dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  • Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama: Satu Pengamatan Ringkas oleh Ustaz (Dr) Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  • Pluralisme di Indonesia: Faham dan Amalan oleh Dr. Syamsuddin Arif, Pensyarah, Jabatan Usuluddin Dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  • Pluralisme Agama: Ancaman Terhadap Kemurnian Al Quran oleh Dr. Ahmad Bazlie bin Dato Shafei, Pengarah Institut Al-Quran Terengganu (IQT)
  • Ancaman Gerakan Pluralisme Agama Di Malaysia: Satu Tinjauan Awal oleh Ustaz Aizam bin Mas’ud, Penolong Pengarah (Cawangan Aqidah) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Abidin Kuala Terengganu, Tuan Haji Aizi Saidi bin Abdul Aziz pada jam 5.00 petang.

Usrah Bulanan – Januari 2011

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 11 Jan 2011 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Pembentang: Sdr. Prof. Dr. Mohamad Abu Bakar

Tajuk: Perjuangan Yahudi dan Kemelut Umat

Tempat: Kediaman Sdr. Isemail Basri – 41, Jalan Berlian, Tmn Berlian, 68100 Gombak, Selangor

Wacana Isu-isu Semasa Aqidah: Pluralisme Agama

Klik pada imej untuk paparan lebih besar:

Klik di bawah untuk paparan dalam bentuk pdf – Flyer Wacana Isu-isu Semasa Aqidah: Pluralisme Agama 15 Jan 2011 di Terengganu

Wacana Isu-isu Semasa Aqidah: Pluralisme Agama

Wacana Isu-isu Semasa Aqidah: Pluralisme Agama

Tema:

MEMBANTERAS GERAKAN PLURALISME AGAMA DAN PEMURTADAN UMMAH

Tarikh:

15 Jan 2011 – Sabtu

Tempat:

Dewan Besar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu

 

Anjuran bersama:

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Yayasan Taqwa (MAIWP))
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Untuk Maklumat Lanjut sila hubungi:

Sila hubungi 019-3199-788 (Karim) atau 016-395-6497 (Wan Burhan)

atau emel ke muafakat_malaysia@yahoo.com

 

Maklumat lanjut akan dikemaskini di sini – sila lungsuri blog ini dalam masa terdekat:

https://muafakatmalaysia.wordpress.com/

2010 in review

The stats helper monkeys at WordPress.com mulled over how this blog did in 2010, and here’s a high level summary of its overall blog health:

Healthy blog!

The Blog-Health-o-Meter™ reads Wow.

Crunchy numbers

Featured image

The average container ship can carry about 4,500 containers. This blog was viewed about 22,000 times in 2010. If each view were a shipping container, your blog would have filled about 5 fully loaded ships.

 

In 2010, there were 65 new posts, growing the total archive of this blog to 130 posts. There were 66 pictures uploaded, taking up a total of 24mb. That’s about a picture per week.

The busiest day of the year was January 25th with 661 views. The most popular post that day was Golongan Najdiyyun tidak mampu beri hujah mantap.

Where did they come from?

The top referring sites in 2010 were facebook.com, mail.yahoo.com, search.conduit.com, cbox.ws, and google.com.my.

Some visitors came searching, mostly for muafakat, muafakat malaysia, isu murtad di malaysia, muafakatmalaysia.wordpress.com, and kepentingan ilmu dalam era globalisasi.

Attractions in 2010

These are the posts and pages that got the most views in 2010.

1

Golongan Najdiyyun tidak mampu beri hujah mantap January 2010
2 comments

2

Konsep Pembangunan Insan Dalam Islam February 2009

3

Pimpinan Pusat January 2009
1 comment

4

Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 1 January 2010
5 comments

5

Latar Belakang January 2009
2 comments