Archive for September, 2013|Monthly archive page

Usrah Bulanan – Oktober 2013

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh:
1 Oktober 2013 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama
 
Tajuk:
Gerakan Islam
 
Pembentang:
Ust Sahri
 
Tempat:
Kediaman Timbalan Presiden MUAFAKAT
Haji Mohd Amin Hashim
No. 27 Jalan AU 5C/5, Lembah Keramat, 54200 Kuala Lumpur
 
 

Panduan peta (Klik pada imej untuk paparan lebih besar):

 Bulatan merah adalah rumah Timbalan Presiden.

Malaysia perlu undang-undang

Seminar Mendepani Virus Syi'ah

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Malaysia memerlukan undang-undang berbentuk pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat bagi menangani isu-isu berkaitan Syiah.

Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam), Dr. Zamihan Md. Zain berkata, ISA pada era pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digunakan untuk menahan pendokong-pendokong Syiah tegar dan tindakan itu berjaya menyekat ajaran Syiah daripada terus berkembang.

Menurut beliau, perkara tersebut berdasarkan pengalamannya sendiri sebagai pegawai yang menguruskan tahanan-tahanan ISA ketika itu.

“Sebab itu kita mencadangkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 berperanan sebagai pencegahan ideologi ekstremis. Secara peribadi saya menyokong ISA kerana mampu menjadi undang-undang pencegahan paling berkesan terutama dalam menangani kes-kes seperti ini (Syiah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Modus Operandi Gerakan Syiah dan Ancamannya Kepada Kestabilan Negara dalam Seminar Mendepani Virus Syiah di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini hari ini.

Seminar itu dianjurkan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Islam (Muafakat) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Mufti Terengganu serta Jabatan Mufti Sabah.

Zamihan berkata, dengan adanya undang-undang berbentuk pencegahan pihak berkuasa mempunyai kuasa mendepani sebarang isu termasuk penyebaran fahaman Syiah di peringkat awal.

Menyentuh perkara sama, beliau turut meminta pihak berkuasa agama negeri-negeri memperhebat operasi menggempur markas-markas Syiah tanpa berasa gentar.

Beliau berkata, sejak Syiah diwartakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1984 dan 1997, usaha-usaha penguatkuasaan tidak banyak dilakukan.

“Setakat ini, sebanyak 10 negeri mengharamkan Syiah dan tiga negeri lagi dalam proses pewartaan dan kini agensi penguatkuasaan agama perlu menjalankan peranan mereka dengan lebih agresif,” katanya.

Menurut beliau, Syiah merupakan isu akidah dan semua pihak perlu bersama-sama menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan lebih berkesan serta tidak berkompromi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130909/dn_01/Malaysia-perlu-undang-undang#ixzz2eMPIuyav
© Utusan Melayu (M) Bhd

Syiah agama baharu ciptaan Yahudi

Seminar Mendepani Virus Syi'ah

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Fahaman Syiah disifatkan sebagai agama sesat baharu yang diasaskan Yahudi untuk merosak dan menghapuskan umat Islam.

Ketua Unit Kajian Syiah, Ikatan Muslimin Malaysia (IMM), Mohamad Ismail berkata, perkara itu dapat dilihat berdasarkan doktrin Syiah yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan pegangan Islam sebenar.

Menurut beliau, perbezaan paling ketara iaitu pengikut Syiah meletakkan sebanyak imam 12 sebagai maksum iaitu terpelihara daripada dosa kecil serta besar.

Malah, pengikut ajaran Syiah juga percaya sesiapa yang mengingkari salah seorang daripada imam tersebut adalah kafir dan akan kekal dalam neraka.

“Nikah mutaah pula mendapat kedudukan tinggi dan mulia dalam ajaran Syiah sedangkan perbuatan itu adalah pelacuran yang menggunakan nama agama serta bersifat nafsu semata-mata yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Sejarah, Konsep dan Doktrin Syiah dalam Seminar Mendepani Virus Syiah di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, ajaran Syiah meletakkan kepercayaan al-Quran hari ini merupakan naskah yang sudah diubah suai para sahabat Nabi Muhammad SAW dan mendakwa kitab sebenar akan muncul bersama Imam Mahdi pada akhir zaman.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, amat sukar mengenal pasti pengikut-pengikut Syiah memandangkan mereka mengamalkan ‘taqiyah’ iaitu menyembunyikan akidah dengan berselindung dan bermuka-muka.

Jelasnya, taqiyah merupakan asas agama atau rukun dalam ajaran Syiah yang mana pengikut Syiah yang tidak bertaqiyah dianggap sama seperti meninggalkan solat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130909/dn_04/Syiah-agama-baharu-ciptaan-Yahudi#ixzz2eMONdMUk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Fahaman Syiah karut – Bekas pengikut

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Seorang bekas pengikut Syiah mengambil keputusan meninggalkan fahaman itu selepas mendapati ajaran tersebut karut dan boleh memecah-belahkan masyarakat.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Syed Ibrahim, 52, berasal dari Bangkok, Thailand berkata, dia mula menyedari terdapat beberapa amalan Syiah amat mengelirukan selepas enam tahun menganut fahaman tersebut.

Antara amalan yang disifatkan sebagai karut katanya, ialah ‘taqiyah’ atau berpura-pura, solat tiga kali sehari dan perkahwinan mutaah.

“Selepas beberapa ketika saya mengikut fahaman Syiah, saya mula terfikir adakah Syiah ini satu fahaman yang benar. Saya kemudian merujuk dengan beberapa ustaz dan mengambil keputusan untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar,” katanya ketika berkongsi pengalaman dengan para peserta Seminar Mendepani Virus Syiah di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini hari ini.

Dalam pada itu Syed Ibrahim berkata, berdasarkan pengalamannya, Syiah sememangnya boleh memecah-belahkan masyarakat terutama keluarga dan itulah hakikat yang berlaku selama ini.

Sementara itu ketika bercakap kepada pemberita, beliau mengakui tentang kepetahan pendakwah- pendakwah Syiah dalam menarik minat umat Islam lain mengikuti Syiah.

“Di sini letaknya peranan ibu bapa serta para ustaz, ustazah dan semua pihak untuk sentiasa menasihat anak-anak kita daripada terpengaruh dengan fahaman songsang ini,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130909/dn_02/Fahaman-Syiah-karut—Bekas-pengikut#ixzz2eMNXX1io
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Virus’ Syiah perosak akidah- Utusan Malaysia

Haji amin

PENULARAN ajaran Syiah amat membimbangkan umat Islam di negara ini yang rata-ratanya berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ajaran yang salah, batil serta mungkar itu disifatkan sebagai ‘virus’ yang berupaya merosakkan keutuhan akidah ummah.

‘Virus’ berbahaya itu semakin mencengkam umat Islam malah sekumpulan penganut Syiah aliran Khomeini dan pengikut Setiausaha Agung Hezbullah, Hassan Nasrullah dikatakan berjaya menyelinap masuk ke dalam parti-parti politik tempatan serta memegang jawatan-jawatan penting.

Sebahagian umat Islam di Malaysia agak keliru dengan polemik yang ditimbulkan oleh gerakan penyebaran ajaran Syiah. Tanggapan kononnya polemik antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah cuma melibatkan perbezaan mazhab fiqah adalah tidak tepat.

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) mengambil inisiatif dalam menjayakan usaha membanteras ajaran Syiah di negara ini dengan menganjurkan Seminar Mendepani Virus Syiah secara percuma dan terbuka kepada umat Islam di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 8 September ini.

Timbalan Presidennya, Mohd. Amin Hashim yakin seminar yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang itu berupaya merungkai kekeliruan dan persoalan yang timbul ekoran polemik ajaran Syiah.

“Kita risau kerana selama ini umat Islam di Malaysia berpegang kepada ajaran yang benar iaitu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Namun, pegangan yang kukuh itu tiba-tiba dirosakkan oleh ajaran Syiah yang salah, batil dan mungkar.

“Polemik ajaran Syiah sebenarnya melibatkan perbezaan akidah sama seperti perbezaan antara Islam dengan agama-agama lain,” katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di Pejabat Muafakat di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau memberitahu, fakta-fakta sebenar berhubung ajaran Syiah akan diperincikan dalam seminar yang dijangka dipenuhi dengan kehadiran kira-kira 1,000 peserta.

Jelasnya, pembentang-pembentang kertas kerja terdiri daripada Presiden Persatuan Persaudaraan Dakwah Global, Datuk Nakhaie Ahmad; Ketua Unit Kajian Syiah, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohamad Ismail; Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya (UM), Hamidi Ismail dan Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam), Zamihan Mat Zin.

“Nakhaie bakal membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Akidah Khomeini Berdasarkan Karyanya – Kasyful Asrar, Al-Hukumah Al-Islamiyyah dan Wasiyat‘.

“Mohamad akan menghuraikan topik ‘Sejarah, Konsep dan Doktrin Syiah’ manakala Hamidi pula membentangkan tajuk ‘Konsep Imam dan Imamiyah Syiah dan Percanggahannya Dengan Islam’.

“Kertas kerja bertajuk ‘Modus Operandi Gerakan Syiah dan Ancamannya Kepada Kestabilan Negara‘ akan dibentangkan oleh Zamihan,” ujarnya.

Lebih menarik lagi, dua warga asing yang pernah menjadi mangsa penindasan penganut Syiah akan membuat penampilan khas sambil menceritakan pengalaman mereka pada seminar tersebut.

Kembali kepada polemik Syiah, Mohd. Amin berpandangan, penolakan terhadap ajaran itu hendaklah dibuat secara menyeluruh tanpa memberi pengecualian kepada mana-mana aliran di bawahnya.

Seperti yang ditegaskan beliau, tindakan itu selaras dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

“Sepatutnya tidak timbul lagi suara-suara sumbang mempertahankan aliran tertentu di bawah ajaran Syiah seperti Zaidiyah yang kononnya tidak sesat.

“Selain keputusan muzakarah tersebut, pandangan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah tentang kesesatan ajaran Syiah adalah jelas,” katanya.

Mohd. Amin menyebut dua sumber rujukan yang menyokong pandangan tersebut iaitu kitab Al-Farqu Baina Al-Firaq karya Al-Baghdadi dan kitab Maqallat Islamiyyin oleh Al-Asyaari.

Beliau menekankan betapa pentingnya kesedaran umat Islam tentang bahaya ajaran Syiah dipertingkatkan dan pada masa sama, akidah mereka diperkukuhkan.

“Kita suburkan usaha menyampaikan ilmu agama di masjid dan surau. Didik dan bimbinglah ummah dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar,” ujarnya.

Tidak kurang pentingnya, Mohd. Amin menyimpulkan, pihak berkuasa agama Islam mesti menguatkuasakan peruntukan undang-undang berkaitan ajaran sesat termasuk Syiah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130905/re_05/Virus-Syiah-perosak-akidah#ixzz2dz3tX711
© Utusan Melayu (M) Bhd