Archive for the ‘Kenyataan Media’ Category

KENYATAAN AKHBAR PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA ( MUAFAKAT ) BERKAITAN KENYATAAN MAJLIS PERUNDINGAN AGAMA BUKAN ISLAM (MCCBCHST)

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) telah menyatakan pendirian mereka berkaitan isu Kalimah Allah yang di petik oleh beberapa portal berita baru-baru ini.

Mereka iaitu Majlis MCCBCHST  mempertikaikan perkara-perkara seperti berikut:

a. Larangan menggunakan kalimah Allah oleh penganut-penganut agama bukan Islam dianggap sebagai bertentangan dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

b. Mereka beranggapan larangan tersebut menyekat kebebasan mengamal agama dikalangan orang bukan Islam, yang menurut  mereka, mereka hendak menggunakan Kalimah Allah itu di dalam menyampaikan mesej agama mereka kepada penganut-penganut agama yang sama sahaja.

c. Mempertikai pandangan yang diberi oleh Majlis Agama Islam Selangor ( MAIS ) dan kenyataan Pengerusi Sekretariat Mendaulatkan Islam ( SMI ) yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim yang berkaitan dengan dan secara jelas merujuk kepada peruntukan Perlembagaan sedia  ada serta Enakmen Negeri dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan yang tidak membenarkan Kalimah Allah digunakan oleh penganut  agama bukan Islam.

d. Mempertikaikan kredibiliti MAIS sebagai badan pembuat dasar mengenai Islam di Selangor dan juga kredibiliti bekas Ketua Hakim Negara yang tidak syak lagi merupakan pakar  dalam hal yang berkaitan dengan perundangan Negara dan Negeri.

Jelas daripada apa yang dikemukakan oleh Majlis MCCBCHST tersebut,  ternyata mereka dengan sengaja mahu melanggar  peraturan dan dengan sengaja  memanipulasikan isu ini dengan mengemukakan fakta yang salah  mengenai perundangan yang ada. Mereka juga dengan sengaja   menyembunyikan kebenaran daripada orang ramai kerana tidak menerangkan dengan jelas beberapa fakta seperti  adanya Enakmen Agama Bukan Islam ( Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam ) 1988 yang secara jelas menyenaraikan perkataan-perkataan termasuk Kalimah Allah yang tidak boleh digunakan oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Perlu disebutkan bahawa belum pernah timbul sebarang desakan oleh mana-mana penganut agama bukan Islam mahu menggunakan Kalimah Allah dalam kitab-kitab dan ritual keagamaan mereka. Malangnya, akhir-akhir ini, isu Kalimah Allah ditimbulkan secara  terancang yang dilihat sebagai bermotifkan politik murahan. Majlis MCCBCHST elok mengelakkan diri dari terjebak  dalam  percaturan politik destruktif ini. Sebagai golongan beragama yang mahukan keamanan, mereka sepatutnya  menasihatkan  pemimpin-pemimpin dan organisasi politik supaya berhenti dari bermain api  yang tidak berfaedah ini.

Sebagai warganegara Malaysia, Majlis MCCBCHST patut memikirkan kesan yang mungkin timbul  dari desakan mereka yang bertentangan dengan Perlembagaan itu. Kemarahan Umat Islam mungkin tidak dapat dibendung lagi melihatkan kepada respons masyarakat Islam melalui laporan-laporan polis, ceramah-ceramah umum, tunjuk perasaan dan majlis-majlis penerangan. Jika hal yang tidak diingini berlaku, maka MCCBCHST harus dipersalahkan.

Sehubungan dengan itu, MUAFAKAT meminta NGO-NGO Islam memikirkan semula keanggotaan mereka dalam Jawatan Kuasa Mempromosi  Keharmonian Di antara Agama di bawah JPNIN kerana badan-badan bukan Islam itu ternyata tidak jujur  dan tidak bersungguh-sungguh untuk mewujudkan keharmonian  kerana tidak menghormati asas dialog dan menggunakan Jawatan Kuasa ini, sebagai jalan belakang menjalankan fungsi dan objektif IFC, apabila mereka secara konsisten mempertikaikan kedudukan Agama Islam dan kedudukan serta peraturan agama sedia ada.

Ismail Mina Ahmad

Presiden MUAFAKAT

Kuala Lumpur

7 Februari 2013.

Ismail Mina: Dakwaan Gudwara Malaysia tidak benar

dari Antarapos

Dakwaan Gudwara Malaysia tidak benar – Ismail Mina

SHAH ALAM: Dakwaan pengharaman penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, disifatkan Ismail Mina Ahmad sebagai satu kenyataan palsu dan bermotifkan politik murahan.

Sebaliknya menurut Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat) itu, kenyataan tersebut yang dikeluarkan Persatuan Gurdwara Malaysia (MGC) sebenarnya yang telah melanggar peruntukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini.

Berpendapat Presiden MGC, Jagir Singh sebagai tidak memahami asas Perlembagaan, Ismail menegaskan bahawa di dalamnya dengan jelas menyatakan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di mana segala urusan yang berkaitan dengan agama tersebut adalah hak mutlak penganut-penganutnya sahaja.

“Kenyataan Persatuan Gurdwara agama Sikh itu adalah satu kenyataan palsu. Mereka tiada memahami asas Perlembagaan kerana jelas Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia ini.

“Perlembagaan Malaysia jelas menerangkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan yang mempunyai implikasi yang cukup jelas bahawa semua urusan yang berkaitan dengan ajaran Islam adalah hak mutlak penganut Islam semata-mata,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Kenyataan Jagir kepada portal berita The Malaysian Insider itu jelas Ismail bukan sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan, tetapi juga bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang turut mengiktiraf kedudukan Islam serta peranan Raja-raja Melayu dalam segala urusan yang berkaitan dengannya.

“Dan demikian juga ia mempunyai implikasi kepada kerajaan negeri-negeri yang mana semua undang-undang tubuh kerajaan negeri meletakkan Islam sebagai agama negeri yang berkenaan dan Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak dalam segala urusan yang berkaitan dengan ajaran dan agama dan umat Islam.

“Oleh yang demikian, pandangan Raja-raja Melayu sudah tentu melalui penasihat agama baginda masing-masing, adalah sesuatu yang berkaitan menurut Perlembagaan Negeri dan juga menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat negara ini yang bukan beragama Islam supaya tidak terpengaruh dengan cubaan pihak luar yang mahu merosakkan keharmonian masyarakat pelbagai agama yang telah lama wujud di negara ini.

“Saya ingin mengingatkan kepada orang-orang bukan Islam yang menjadi warganegara Malaysia, memahami benar-benar Perlembagaan Malaysia supaya mereka jangan terikut-ikut dengan rentak ‘tangan-tangan’ di luar daripada Malaysia yang mahu mewujudkan huru-hara dan ketidakstabilan masyarakat Malaysia yang selama ini cukup harmoni,” gesa beliau.

Mengulas lanjut, Ismail mempertikaikan tujuan Jagir mengeluarkan kenyataan tersebut sedangkan pemimpin utama agama Sikh yang berpusat di Amritsar di Wilayah Punjab, India tidak pernah mengutarakan perkara sedemikian.

Untuk itu, beliau tidak menolak kemungkinan isu tersebut sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan kekeliruan dikalangan penganut agama Islam di negara ini.

“Kenyataan Persatuan Gurdwara itu mempunyai tujuan politik murahan kerana selama ini tidak pernah terjadi di Amritsar, iaitu pusat agama Sikh, yang meminta supaya kerajaan India mewajarkan penggunaan atau kalimah Allah di dalam kitab-kitab mereka seperti Kitab ‘Guru Granth Sahib’.

“Kenapa mereka mahu meminta penggunaan perkataan Allah sedangkan majlis agama mereka di Amritsar tidak berbuat demikian?

“Ini adalah satu konspirasi jahat mereka untuk mengelirukan orang Islam dalam isu kalimah yang cukup mulia bagi umat Islam,” tegasnya.

Resolusi Seminar Dakwah Nasional 2012

  1. Menyedari kemasukan ajaran yang bercanggah dengan ‘Aqidah Islam terutamanya ajaran Syi’ah dan fahaman liberalisme dan pluralisme agama telah menular ke dalam Umat Islam Malaysia maka:
    1. Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pergerakan kumpulan ini di bawah seliaan JAKIM.
    2. Mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa Agama di semua peringkat agar mengambil tindakan tegas menyekat ajaran dan fahaman tersebut.
    3. Pengamal Syi’ah, liberalisme dan pluralisme dan pembawa ajaran dan fahaman ini perlu dipanggil untuk diberi kaunseling dan nasihat supaya mereka menghormati kedaulatan Islam serta patuh kepada undang-undang dan enakmen agama sedia ada.
  2. Menjunjung  Islam sebagai Agama Persekutuan maka:
    1. Seminar Dakwah Nasional 2012 hari ini meminta semua warganegara Malaysia menghormatinya dan tidak memberi komen-komen dan saranan-saranan yang boleh mencetuskan kekeliruan, kegelisahan dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat yang boleh membawa kepada ketidakstabilan negara.
    2. Seminar Dakwah Nasional 2012 ini juga meminta pihak berkuasa Negara dalam semua sektor benar-benar memperkasakan Islam sebagai Agama Persekutuan dengan memperkemas dan melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan prinsip Islam.
    3. Untuk tujuan di atas, kerajaan wajar mewujudkan suatu Suruhanjaya Khas untuk memperkasa dan memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan dan memberi syor-syor dan nasihat ke arah hasrat tersebut.
  3. Menyedari dakwah Islamiah adalah sebagai tonggak kekuatan ummah maka seminar:
    1. Menyeru pihak berkuasa bersama dengan NGO-NGO dakwah mewujudkan dakwah bersepadu kepada segenap rakyat Malaysia.
    2. Untuk tujuan itu, perlu diwujudkan satu sekretariat dakwah di bawah seliaan JAKIM membuat kurikulum sepadu supaya kecelaruan masyarakat terhindar:
      • Diseragamkan semua pengajaran di masjid-masjid berdasarkan teks-teks yang telah dipersetujui mengikut faham epistemologi Ahli Sunnah wal Jama’ah.
      • Diadakan pemantauan terhadap pengajian-pengajian yang diadakan di masjid-masjid dan lain-lain pusat pengajian.
      • Dikaji dan dipinda semula bersesuaian dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jama’ah
    3. Mewujudkan Majlis Ulamak Kebangsaan bagi mengumpul semua ulamak yang dihormati dan amanah untuk menyatukan ummah.
  4. Bagi mengerakkan Dakwah Islamiyyah dengan tersusun dan berencana, hendaklah;
    • Diwujudkan segera satu pusat kajian strategik Islam untuk melakukan segala kajian dan perancangan untuk melaksanakan pengarahan kerja yang strategik dengan perancangan jangka panjang.
    • Memperkasakan agensi-agensi Dakwah dengan keprofessionalan dan pengurusan yang efektif dan efisien beserta koordinasi yang mantap di antara NGO-NGO Islam dan agensi-agensi ini.
    • Diberi peruntukan yang sewajarkannya oleh kerajaan sesuai dengan Islam sebagai Agama Negara.

*************

Untuk Maklumat Seminar Dakwah Nasional – klik

Untuk Senarai Pembentangan Kertas Kerja – klik

Buku Baru Akan Dilancarkan Sempena SDN2012

Dua buku baru terbitan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) akan dilancarkan sempena Seminar Dakwah Nasional pada 8-9 Oktober 2012.

Buku-buku tersebut adalah:

1. Falsafah Agama John Hick: Pengamatan Dari Kacamata Ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah karya Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

2. Pluralisme Agama Di Alam Melayu – Satu Ancaman Kepada Kesejahteraan Umat karya Datuk Ustaz Nakhaie Ahmad

Kedua-dua buku ini akan disempurnakan pelancarannya oleh YAB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia sempena Majlis Pelancaran Seminar Dakwah Nasional 2012 pada 8hb Oktober 2012 (Isnin) jam 3:00 petang di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur.

***************************

Maklumat Seminar Dakwah Negara 2012: sila klik di sini

Cara Mudah Untuk Daftar SDN2012: sila klik di sini

Tujuan Penganjuran Seminar Dakwah Nasional 2012: sila klik di sini

Kenyataan Media MUAFAKAT Bersama PEMBELA

KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA BERSAMA

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)

29 Ogos 2012 bersamaan 11 Syawal 1433

  1. PEMBELA mengulangi penegasan bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam yang diwakilinya tidak berminat dengan persaingan mendapatkan sokongan melalui politik kepartian. PEMBELA juga tidak terpengaruh dengan sebarang sikap dan tindakan partisan para pemimpin Negara, sama ada di pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang yang ghairah memperjuangkan dasar dan manifesto masing-masing, khususnya di dalam mengemudi kehangatan bahang Pilihanraya Umum ke-13.
  1. Tetapi, PEMBELA tidak akan berdiam diri mahupun berkompromi apabila persoalan kedaulatan Islam disentuh dan dijadikan modal percakaran di kalangan parti-parti politik.
  1. Umat Islam menjadi semakin gusar, khususnya apabila saban hari menyaksikan kebiadaban para pemimpin politik yang secara terang-terangan menghina Islam bukan sahaja disebabkan kejahilan mereka, tetapi provokasi yang disengajakan untuk mendapat publisiti murahan dan meraih keuntungan politik yang bersifat sementara.
  1. PEMBELA bertegas bahawa sikap dan tindakan sebegini adalah sangat tidak bertanggungjawab, kerana melanggar keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Negara melalui Perkara 3 (1). Kenyataan-kenyataan yang biadab sebegini harus segera dihentikan dan ditarik semula.
  1. Kedua-dua Yang Berhormat Karpal Singh a/l Ram Singh, selaku Pengerusi DAP dan Yang Berhormat Donald Lim Siang Chai, selaku Pengerusi MCA Negeri Selangor merangkap Timbalan Menteri Kewangan I, serta lain-lain pemimpin politik di setiap lapisan, wajib menghentikan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengenai Islam di Negara ini.
  1. YB Karpal Singh bersungguh-sungguh memperjuangkan konsep Negara sekular dan ini menggambarkan kejahilan beliau yang melampau tentang peranan Islam yang telah membina masyarakat Islam yang baik di Negara ini hatta sejak sebelum Perlembagaan Persekutuan hadir di dalam sejarah penubuhan Negara. Prinsip-prinsip ideal dan sumbangan Islam dalam membina individu Muslim yang baik telah menyumbang kearah pembinaan masyarakat Malaysia yang mantap, sejahtera dan harmoni. Mengapa YB Karpal Singh beria-ia memperjuangkan konsep Negara sekular, yang jelas rapuh, bermasalah dan telah terbukti menghancurkan tamadun lain di dunia, khususnya Negara-negara barat?
  1. Kenyataan YB Donald Lim yang ingin menghalang sebuah Negara Islam pula bersifat pramatang, menghasut serta mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab di dalam menjaga sensitiviti terhadap umat Islam yang menjalankan kehidupan beragama mengikut lunas dan ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Khususnya bagi seseorang yang berstatus menteri kabinet Kerajaan Persekutuan, kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan beliau tentang kedudukan Islam sebagai agama Negara, hakikat perlindungan terhadap agama-agama lain dan sumpah Yang DiPertuan Agong bagi memelihara dan mempertahankan kemuliaan Islam yang jelas termaktub pada perkara 37(1), Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
  1. Adalah sangat malang bahawa YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, mahupun mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka membiarkan pemikiran dipengaruhi unsur-unsur stereotaip dan label media-massa musuh-musuh Islam di dalam membuat kenyataan-kenyataan mengenai Islam, yang jelas tidak berwibawa dan berprasangka jahat terhadap Islam. Malah, ramai di kalangan pemimpin Muslim sendiri tidak membantu menjernihkan kekeliruan ini, tetapi sebaliknya menambah-kusut kecelaruan mereka disebabkan sikap prasangka buruk, hasad dengki dan taasub kepartian mahupun individu, lantas membuat kenyataan-kenyataan yang mengesahkan kejahilan mereka tentang kedudukan Islam di Malaysia.
  1. PEMBELA menegaskan kepada para pemimpin politik khususnya, bahawa sebarang pendekatan yang boleh memprejudis kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara boleh menghakis prinsip “Kesetiaan kepada Raja Negara” dan prinsip “Keluhuran Perlembagaan” yang menghilangkan kelayakan untuk menyertai proses pemerintahan Negara.

Justeru dalam menangani masalah yang timbul dari sikap sebegini, PEMBELA dengan ini:

  1. Bersepakat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk membuat aduan polis terhadap kedua-dua YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, serta mendesak pihak berkuasa melakukan penyiasatan kenyataan-kenyataan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 dan peruntukan undang-undang yang relevan, serta mengambil tindakan-tindakan yang perlu mengikut saluran sedia wujud;
  2. Menyeru agar semua pertubuhan-pertubuhan Islam di Negara ini menyertai PEMBELA dan rakan-rakan pertubuhan Islam lain di dalam menzahirkan kegusaran dan bantahan terhadap sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin politik Muslim dan non-Muslim, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, yang membuat kenyataan-kenyataan jahat dan tidak adil mengenai Islam di Malaysia;
  3. Memohon persefahaman dan kerjasama utuh dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dalam usaha melaksanakan hasil percambahan fikiran strategik dari masa ke semasa, demi mengurangkan pergeseran di kalangan umat Islam dan mendepani salah faham tanggapan terhadap kedudukan Islam di Negara ini di kalangan Muslim dan non-Muslim;
  4. Menyeru umat Islam terus mengekalkan iktibar dan didikan bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu, di dalam bermunajat kepada Allah SWT supaya diberikan taufiq dan hidayahNya untuk mengukuhkan kesatuan hati dan menghadapi mehnah kecelaruan pemikiran di kalangan masyarakat yang menyebabkan Islam terus-menerus diserang dan diganggu-gugat anasir-anasir daripada kalangan non-Muslim dan Muslim sendiri.

PEMBELA ingin menegaskan bahawa seruan dan tindakan kami hendaklah dilihat sebagai usaha mengekalkan keharmonian beragama di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan menyanggah kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab para pemimpin politik, PEMBELA sebenarnya mengembalikan citra dan keizzahan jati diri Islam sebagai agama Negara, yang telah dimomokkan dan diganggu-gugat persaingan politik partisan yang tidak bertanggungjawab.

Sambutan dan iktibar ulang tahun kemerdekaan ke 55 tanahair ini tidak akan bermakna sekiranya kekuatan Islam yang diibaratkan Mahkamah Tinggi sebagai “pohon jati”, dan tidak dipersoalkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan, tetapi diremehkan dan diberikan kedudukan yang tidak adil di sisi Perlembagaan Persekutuan yang disanjung seluruh warganegara Malaysia.

A. Karim Omar

Setiausaha Agung MUAFAKAT

Dan

Hj. Aminuddin Yahya

Pengerusi PEMBELA

Pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawah PEMBELA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukuwwah Ummah (PROMUSLIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Persatuan Ulama Malaysia -Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI)

Sekretariat PEMBELA

d/a Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

25 Jalan Bandar 3

Taman Melawati

53100 Kuala Lumpur

Wacana Ancaman Pasca Modernisme DITANGGUH

Atas sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa menangguhkan Wacana Ancaman Pasca Modernisme dan Kekeliruan Perenialisme yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini (30hb Jun 2012). Tarikh baru wacana ini akan kami umumkan kemudian.

Kami memohon maaf jika ada sebarang kesulitan kerana penangguhan ini.

Harap Maklum

 

Laporan Polis Bantah Kedatangan dan Program Irshad Manji

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) membantah dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya kepada semua pihak yang berusaha membantu  dan membawa Irshad Manji ke Malaysia untuk siri program berkaitan LGBT

MUAFAKAT menolak percubaan kelompok Liberal, Plural dan Sekular yang ghairah menjadi hamba kepada  kelompok luar negara yang  ingin mengheret masyarakat negara Malaysia meniru gaya budaya hidup songsang lagi menjijikkan ini.

Terkini, menurut twitternya  @IrshadManji, program yang asalnya dirancang untuk diadakan di UIA itu kini diubah ke Monash University, kampus Sunway pada hari Jumaat,  18 Mei 2012.  Usaha dan agenda sedemikian mempunyai niat tersirat untuk menggerakkan kempen dan advokasi yang berterusan bagi merubah nilai dan landasan masyarakat Malaysia yang berteraskan akhlak  murni dan panduan agama.

Kempen ini ternyata bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, Kanun Kesiksaan dan Jenayah Syariah (bagi muslim) kerana ia  menyeru orang ramai untuk menjalani kehidupan seks songsang luar tabi’i yang juga merupakan suatu jenayah.

MUAFAKAT menggesa pihak Polis   menyiasat   ke atas semua pihak yang terlibat sebagai penganjur program ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kami mengambil prihatian serius terhadap usaha kelompok ini yang mahu mengetengahkan  LGBT sebagai hak asasi manusia di negara ini. Ini akan pasti mewujudkan kontroversi yang serius dan berpanjangan  kerana gaya hidup seks songsang ini ditolak di negara ini dan mana-mana negara yang mengutamakan kehidupan bertamadun.

Aliran pemikiran Liberal, Plural dan Sekular  yang menjadi kerangka pemikiran kumpulan LGBT ini akan membentuk masyarakat yang merungkai kehidupan beragama dan menjadikan agama hanya sebagai budaya ritual di peringkat peribadi semata-mata.

Justeru, perbincangan yang mengarahkan kepada menjadikan amalan hidup LGBT sebagai gaya hidup di Malaysia semestinya dilarang dan ditentang.

Hj Mohd Amin Hashim

Timbalan Presiden

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

17hb Mei 2012

Edisi Kedua PLURALISME AGAMA: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah – Akan Terbit

Memandangkan sambutan yang amat baik terhadap buku pertama keluaran MUAFAKAT PLURALISME AGAMA: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, kami akan menerbitkan edisi kedua dengan beberapa pembetulan.

Cetakan pertama berjumlah 5,000 naskah telah pun 95% habis dijual.

Sila hubungi kami untuk maklumat lanjut atau telefon: 012-650-6404 – Sdr. Nasrul untuk pesanan.

Kenyataan Media: Mempertahan Hak Penganjuran Seminar Jabatan Pelajaran Johor dan Jabatan Mufti Johor

KENYATAAN MEDIA MUAFAKAT

 

7 Jamadil Awal 1433 – 29 Mac 2012

 

MEMPERTAHANKAN HAK PENGANJURAN SEMINAR Jabatan Pelajaran Johor dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor bertajuk ‘Pemantapan Aqidah, Bahaya Liberalisme dan Pluralisme Serta Ancaman Kristianisasi Terhadap Umat Islam. Apa Peranan Guru? ‘

 

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) menolak kenyataan pihak-pihak tidak bertanggungjawab serta berkepentingan sempit politik kepartaian yang mempersoalkan hak penganjuran seminar Jabatan Pelajaran Johor dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor bertajuk ‘Pemantapan Aqidah, Bahaya Liberalisme dan pluralism serta Ancaman Kristianisasi terhadap Umat Islam’.

 

Tindakan melabelkan program kelimuwan sebegini sebagai “usaha jijik politik untuk menggunakan agama bagi menakut-nakutkan rakyat” (lihat Kenyataan Ketua Pakatan Rakyat 28 Mac 2012) sebenarnya adalah kenyataan yang sangat anti aqidah, menghina Islam serta pengkhianatan kepada usaha-usaha menyemarakkan kegiatan wacana Islam menerusi kegiatan ilmiah. MUAFAKAT ingin menegaskan sikap bahawa istiqamah dalam hal-hal berkaitan kepentingan Islam. MUAFAKAT tidak ada kompromi dengan kenyataan anti ilmu sebegini kerana sengaja diadakan untuk mendapat publisiti murahan musuh Islam dan memprovokasi keutuhan perjuangan menegakkan aqidah Islam.

 

Adalah jelas bahawa kehadiran peserta dalam seminar tersebut adalah dikhususkan untuk guru-guru agama Islam di sekolah-sekolah Menengah dan Rendah di dalam Daerah Johor Bahru. Berdasarkan maklumat umum yang diketahui, penyertaan di dalam seminar sebegini adalah atas jemputan khusus sahaja dan memfokus pada isu yang berada dalam ruang lingkup yang mencakupi urusan intra-agama umat Islam, khususnya dalam memberikan pendedahan serta penaakulan tentang cabaran-cabaran terhadap usaha mempertahankan aqidah umat Islam.


 

 

MUAFAKAT menegaskan bahawa tren untuk mempersoalkan usaha-usaha memantapkan akidah umat Islam akhir-akhir ini merupakan suatu penzahiran sikap kebebalan dan kejahilan terhadap ruanglingkup keistimewaan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. MUAFAKAT dan pelbagai pihak, terutama daripada kalangan institusi Islam, tokoh-tokoh sejarawan, para ulama serta petrtubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan telah acapkali menerangkan tentang maksud dan serta implikasi kedudukan istimewa Islam sebagai Agama Negara. Usaha-usaha seperti penganjuran seminar ini adalah hak yang dijamin di dalam Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa yang diberikan oleh Artikel 11(4) itu juga adalah antara peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang sebenarnya meletakkan Islam pada tempat yang sewajarnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama negara. Ini kedudukan yang juga tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak.

MUAFAKAT berpandangan sekiranya maksud Artikel 11(4) itu dilihat bertujuan untuk melindungi keharmonian masyarakat berbilang kaum yang identitinya bertunjang daripada agama, apakah hasrat dan matlamatnya dapat tercapai sekiranya ia tidak dikuatkuasakan serta hak-hak di bawahnya tidak dapat dinikmati umat Islam dan masyarakat Malaysia secara umum? Adalah malang jika peruntukan undang-undang yang sedia ada tidak dimanfaatkan dan digunakan sedangkan terdapat keperluan untuk demikian. Justeru, penganjuran seminar sebegini berada di dalam ruanglingkup yang dibenarkan dan tidak seharusnya dimomokkan sebagai usaha untuk mewujudkan ketidakstabilan dan ketidakharmonian di kalangan masyarakat awam. Sebaliknya, dengan berlakunya usaha-usaha pemantapan aqidah di kalangan guru dan pelajar Islam, maka usaha untuk memperbaiki amalan beragama yang membawa pada kebaikan umum di kalangan seluruh masyarakat berbialng agama dan kaum di Malaysia akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Hal ini bertepatan dengan fungsi melindungi keharmonian beragama, sesuai dengan peruntukan dan semangat Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

MUAFAKAT juga menegaskan bahawa tidak wujud keperluan campurtangan oleh Jawatankuasa Antara Agama berhubung bantahan terhadap penganjuran seminar ini, memandangkan isu-isu intra-agama; urusan-urusan di dalam hal ehwal Islam perlu diselesaikan oleh mereka yang berkeahlian di kalangan umat Islam serta menurut lunas-lunas agama serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.

MUAFAKAT menyeru semua NGO dan aktivis dakwah Islam bersama dengan Jabatan Pelajaran Johor dan Jabatan Mufti Johor meneruskan usaha mempertahankan aqidah umat Islam menerusi penganjuran wacana keilmuan ini.

Ismail Mina Ahmad

Presiden

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Tiga NGO bidas kenyataan Abdul Hadi

KUALA LUMPUR 18 Mac – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan kenyataan beliau semalam yang membenarkan orang Islam bekerjasama dengan Yahudi bukan berfahaman Zionis.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmadberkata, adalah tidak wajar untuk seorang ulama mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana tanpa disedari ia telah memberi implikasi negatif dan prejudis terhadap masyarakat Malaysia.

”Abdul Hadi memang cuba menyelamatkan maruah dan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terjejas teruk akibat menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel.

”Tidakkah beliau terfikir bahawa perkataan ‘Yahudi’ itu telah menggambarkan hegemoni Zionis dan Zionis itu membawa maksud negatif dalam benak fikiran masyarakat dunia hari ini?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian Abdul Hadi yang menyatakan sokongan terhadap mana-mana pihak termasuk umat Islam dalam mengadakan kerjasama serta hubungan dengan Yahudi yang tidak berpegang kepada ideologi Zionis.

Ismail Mina berkata, meskipun Abdul Hadi cuba menyamakan konsep kerjasama antara bangsa Yahudi dengan masyarakat Islam di zaman Nabi Muhammad SAW, ia tetap tidak boleh diterima kerana situasi politik ketika itu terlalu berbeza dengan suasana hari ini.

Sementara itu Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Aminuddin Yahaya pula berkata, Abdul Hadi tidak perlu menyatakan pandangan sedemikian kerana sememangnya hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan Yahudi telah terbentuk sejak azali kecuali hubungan diplomatik.

Justeru kata beliau, kenyataan tersebut adalah semata-mata propaganda parti yang sebenarnya bertujuan membantu memperkukuhkan kenyataan Anwar demi menarik semula kepercayaan rakyat terhadap Ketua Pembangkang itu.

”Semestinya Abdul Hadi perlu membuat kenyataan menyokong Anwar, tetapi beliau tidak membuat secara langsung. Tetapi rakyat hari ini sudah bijak, sudah tentu kita tahu sokongannya itu adalah kesinambungan daripada kenyataan Anwar,” katanya.

Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun pula menyifatkan Abdul Hadi sebagai pemimpin masyarakat Islam yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga perasaan masyarakat negara khususnya orang Islam.

”Abdul Hadi boleh cakap apa sahaja sehingga lupa perjuangan agama dan bangsa asalkan terus popular.

”Tetapi beliau terlupa bahawa kenyataannya itu boleh membawa padah bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga kepada penyokong Pas dan rakyat negara ini,” katanya.

dipetik dari Utusan Malaysia