Archive for July, 2013|Monthly archive page
Percanggahan Syiah – ajaran Islam, Bahagian Kedua
SEPANJANG sejarah Islam, bermula dari zaman Saidina Ali RA lagi, firqah atau golongan Syiah yang menolak Mushaf Uthman dan mengkafirkan Sahabat dan Ummahatul Mukminin, telah dihukum kafir. Imam Abi Muzaffar al-Isfarayni dalam Tabsir fi d- Din-nya telah memberi fatwa, bahawa orang yang solat di belakang penganut Syiah yang iktikad mereka seperti ini, wajib mengulangi solatnya. Khomeini ialah antara orang yang mengkafirkan Sahabat!
Untuk makluman, semua ulama dunia Islam dari Maghribi, Turki, hingga Indonesia, menolak Syiah. Mereka termasuklah Said Hawwa, Syed Abu Hasan Ali an-Nadvi, Syed Muhammad al-Maliki, Yusuf Qaradhawi, Habib Umar dan seluruh ulama Hadramawt, ulama Lucknow dan seluruh ulama benua kecil India, ulama al-Azhar dan banyak lagi.
SYIAH DI MALAYSIA
Perkembangan Syiah di Malaysia amat membimbangkan. Ini adalah kerana mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh, rangkaian antarabangsa serta mendapat sokongan dan pembelaan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tempatan.
Dari segi kewangan, mereka berjaya membina pelbagai jenis perniagaan dengan rangkaian yang banyak dan besar. Mereka mempunyai perniagaan strategik dengan memiliki restoran dan menjadi pengeluar serta pengedar barangan makanan dan minuman serta produk kesihatan. Jenis perniagaan ini berkaitan dengan orang ramai secara langsung. Ini adalah mekanisme yang baik untuk menyebarluaskan dakyah mereka.
Dalam suatu perhimpunan Bersih, mereka pernah mengagihkan air mineral keluaran mereka secara percuma kepada para demonstran. Mereka juga mempunyai rangkaian pendidikan dan tadika yang banyak serta pusat-pusat penyebaran ajaran mereka dengan pelbagai nama di pelbagai tempat.
Mengenai rangkaian antarabangsa pula, mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Syiah di Iran. Syiah Iran membantu mereka membina rangkaian perniagaan dan membekalkan literatur serta pendakyah di sini. Dari segi politik pula mereka mempunyai hubungan erat dengan sebuah parti politik Syiah terbesar di Lebanon yang radikal.
Sementara itu dalam negara ini pula, mereka mendapat sokongan, pembelaan dan perlindungan daripada beberapa NGO Islam serta parti politik.
Ini ditambah pula dengan kedatangan mulah-mulah Syiah bertali arus dijemput menghadiri wacana-wacana dan perjumpaan-perjumpaan sulit dengan kumpulan mereka, selain daripada kebanjiran pelajar-pelajar Syiah di pusat-pusat pengajian tinggi.
Perlu kita fahami, Syiah seperti juga gerakan Zionis-Kristian, berusaha menguasai parti politik dan NGO Islam yang berpengaruh. Mereka pandai menyusun strategi dengan menjadikan aktivis ini sebagai anak catur mereka dalam rangka menguasai organisasi tersebut.
Strategi ini agak menjadi, walaupun belum berjaya sepenuhnya. Pada suatu ketika, mereka berjaya menguasai sebuah persatuan ulama di Malaysia. Dan kini mereka berjaya meletakkan orang mereka dalam sebuah parti politik sehingga memegang jawatan penting.
Kepada pengagum dan pengusung Syiah dan Khomeini di Malaysia, mereka perlu tahu sikap sebenar beliau kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Khomeini telah mengkhianati Mufti Ahmad Zadeh, rakan seperjuangannya semasa menjatuhkan Shah Iran dahulu. Selepas berjaya menjatuhkannya, Shah telah dipenjara oleh Khomeini. Beliau jatuh sakit di dalam penjara tanpa rawatan secukupnya.
Apabila kesihatan beliau semakin teruk, beliau dipindah dari penjara besi ke penjara rumah pula dan tidak dibenarkan berubat ke luar negara. Kenapa? Kerana Mufti Zadeh seorang Sunni! Banyak juga imam masjid dan pendakwah Islam Sunni terpaksa lari ke Pakistan semasa pemerintahan Khomeini.
PENUTUP
Ajaran Syiah benar-benar meruntuhkan ajaran Islam kerana mereka menghalalkan yang haram seperti nikah mutaah, solat jamak sepanjang masa dan paling parah ialah menolak Quran Mushaf Uthman dan Hadis Nabi yang menjadi sumber dalam hukum-hakam Islam. Apa akan terjadi? Islam jenis ini bukan agama Islam lagi!
Kaedah mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Justeru untuk membendung penularan virus Syiah dalam kalangan masyarakat Ahli Sunnah wal Jamaah di negara kita, umat Islam perlu mendalami dan memperkemaskan serta memperkasakan akidah dan syariat mereka. Mereka perlu mempelajari kitab-kitab muktabar dalam subjek Usuluddin-Aqidah-Tauhid dan juga Hukum hakam Fiqah. Ilmu-ilmu ini akan dapat menjadi neraca dan kayu pengukur dalam menyuluh kebatilan ajaran Syiah itu.
Selain daripada menekuni dan memantapkan ilmu-ilmu dalam wacana Ahli Sunnah wal Jamaah, usaha-usaha pencegahan melalui undang-undang dan peraturan serta tindakan bersepadu perlu disegerakan.
Pihak berkuasa agama negeri dengan kerjasama pasukan polis perlu melipatgandakan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka. Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri perlu mengawasi kedutaan Iran supaya mereka tidak menyebarkan buku-buku Syiah kepada masyarakat Islam. Sementara pihak Imigresen pula perlu menghalang pendakyah-pendakyah Syiah daripada memasuki negara ini. Kementerian Pendidikan pula patut mengurangkan pengambilan pelajar dari negara Syiah atau dari kalangan penganut Syiah.
Perkara ini bukan luar biasa, kerana kita pernah melakukan polisi ini ketika Perang Dingin dahulu yang mana pelajar dari negara-negara Komunis dikenakan tapisan dan sekatan. Selain itu, kerajaan juga perlu menghalang pelajar kita daripada belajar di pusat-pusat pengajian Syiah. Ini juga pernah dilakukan oleh kerajaan semasa ancaman Komunis satu ketika dahulu. Bahkan kerajaan perlu mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri atau yang setara dengannya. Ini semua adalah mekanisme yang bertujuan untuk memelihara kesucian ajaran Islam.
Selain itu, untuk membantu mencegah penularan virus Syiah di Malaysia, organisasi-organisasi Islam, baik NGO atau pun politik, patut mengisytiharkan secara terbuka, yang organisasi mereka menolak ajaran Syiah daripada berkembang di Malaysia sama seperti mereka menolak fahaman Komunisme.
Mereka juga perlu memastikan yang fahaman Syiah ini tidak ada dalam organisasi mereka. Jika didapati ahli-ahlinya beramal atau cenderung kepada fahaman Syiah, perlu dicegah segera dengan mengajar mereka fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar berdasarkan teks-teks muktabar. Sekiranya mereka masih berdegil tidak mahu kembali kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, tindakan memecat adalah pilihan paling baik. Pas patut mendahuluinya dalam perkara ini.
Kita perlu bertegas dan tidak perlu melayan dengan desakan dan asakan puak yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan. Dari satu perspektif, dalam Islam tidak ada kebebasan mutlak. Diri kita pun bukan milik kita. Perjalanan hidup kita pun ditentukan oleh Allah SWT seperti cara-cara beramal dan bermuamalah. Kita tidak boleh bersolat atau berpuasa dan lain-lain ibadat dengan cara dan kaedah ciptaan kita sendiri.
Dari satu perspektif lain, pada paras individu, kita memang ada kebebasan, tetapi kebebasan mesti dalam lingkungan dan batas-batas syariat. Seseorang bebas berzikir bersendirian semahu-mahunya, berinfaq sebanyak-banyaknya dan membaca al-Quran berkali-kali khatam, tetapi mereka perlu ingat, bahawa mereka tidak boleh menjerit membaca al-Quran dengan kuat di tengah malam buta semasa orang lain sedang tidur, kerana kebebasan individu tidak boleh mengatasi kebebasan masyarakat.
Maka dalam konteks perkembangan ajaran Syiah di Malaysia ini, soal hak kebebasan beragama tidak timbul, kerana mereka menggunakan jenama Islam untuk merosakkan Islam sama seperti ajaran Qadiyani, Khawarij, Muktazilah, Mujassimah, Karramiyah, Nabi Melayu, Ayah Pin, pluralis agama dan lain-lain.
Agama Islam ini adalah hak Allah SWT dan manusia hanya menjadi pemegang amanah-Nya sahaja. Justeru, pemerintah dan setiap individu Muslim wajib melaksanakan amanah ini dengan memelihara kesucian ajaran Allah SWT dan menyekat aktiviti yang boleh merosakkannya seperti kita menjaga al-Quran daripada diubah atau dihina oleh seseorang.
Justeru, Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) sebuah organisasi dakwah Islam, mengambil inisiatif menganjurkan satu program khusus membincangkan mengenai kesesatan ajaran Syiah dalam Seminar Mendepani Virus Syiah. Seminar sehari ini, akan berlangsung pada 6 Oktober akan datang, bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur. Insya-Allah.
PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130730/re_05/Pendirian-ulama-Islam-tentang-Syiah
© Utusan Melayu (M) Bhd
Percanggahan Syiah – ajaran Islam
Oleh Ismail Mina Ahmad
DEWASA ini, isu aktiviti penyebaran ajaran Syiah di negara kita, kembali hangat diperkatakan. Pelbagai pihak daripada kalangan pihak berkuasa agama Islam, kementerian-kementerian yang menjaga urusan keselamatan dan agama serta penganut Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, telah memberi respons. Tidak terkecuali turut memberi respons ialah penganut Syiah sendiri serta para simpatisan mereka, termasuk daripada kalangan golongan Liberalis dan puak yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan hak asasi manusia (HAM).
Isu ajaran dan golongan Syiah bukan baharu dalam kalangan umat Islam. Sejak hari pertama wujudnya golongan Syiah ini, seluruh umat Islam yang dipimpin oleh ulama dan pemerintah, telah bangun menentang mereka.
Para ulama Islam telah mengarang ribuan kitab menjawab dan menolak fahaman sesat dan salah ini, sementara pemerintah pula membuat peraturan dan memberi hukuman kepada mereka selaras dengan tuntutan Maqasid Syara iaitu memelihara agama Islam daripada dicemari dan diubah serta dirosakkan daripada ajarannya yang sebenar dan asal, seperti yang di bawa oleh Nabi SAW.
Kemasukan fahaman Syiah ke Malaysia adalah melalui perancangan rapi. Selepas Revolusi Khomeini menumbangkan Shah Iran, dia menubuhkan kerajaan Syiah. Bukan kerajaan Islam. Ini adalah kerana Perlembagaan negara Iran, meletakkan mazhab Jafari sebagai mazhab rasmi negara itu. Tidak seperti yang dilaungkan mereka iaitu: Tidak Barat, tidak Timur tetapi Islam dan Wehdah Islamiyyah. Islam mereka ialah Syiah bukan selainnya.
Berikutan dari itu, Kerajaan Iran menjemput pemimpin-pemimpin politik dan badan-badan dakwah Islam seluruh dunia ke Iran, termasuk Malaysia. Ada organisasi Islam yang terpengaruh dan membawa balik fahaman Syiah ke dalam organisasi mereka seperti dari Malaysia. Ada yang tidak.
Setelah terpengaruh dengan dakyah Syiah, organisasi ini menghantar pula anak-anak yang amat muda ke Iran untuk mempelajari Islam- Islam versi Syiah. Di samping itu, pelbagai buku akidah dan agama Syiah, membanjiri masuk melalui badan-badan politik dan NGO-NGO ini.
Berikutnya, berduyun-duyun ulama Syiah datang atas jemputan organisasi-organisasi ini, memberi ceramah dan membentang kertas kerja dalam wacana-wacana anjuran mereka. Untuk mengukuhkan lagi penyebaran fahaman Syiah, Syiah Iran telah melabur wang yang banyak, menubuhkan institut-institut untuk menerbitkan tulisan-tulisan dan buku-buku serta membiayai kegiatan terjemahan buku-buku agama Syiah.
Antara buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah al-Hukumah al-Islamiyyah, karangan Khumayni yang bercanggah dengan akidah Islam itu. Ia diterjemah oleh seorang pemimpin NGO dakwah Islam!
Seorang Muslim yang serius, sekiranya meneliti literatur berkaitan dengan doktrin dan konsep Usuluddin dan Tauhid serta Syariat Islam, pasti dia akan bertemu ajaran Syiah amat bercanggah bahkan bertentangan sama sekali daripada ajaran agama Islam seperti yang dibawa oleh Nabi SAW, baik dalam perkara yang bersifat Usul mahu pun yang bersifat Furu.
Ini berdasarkan kepada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad dan Ibn Madjah, yang menerangkan mengenai golongan yang berjaya atau firqah al-najiyah. Baginda ditanya oleh Sahabat mengenai golongan yang berjaya. Baginda menjawab: Ahli al-Sunnah wal Jamaah. Tanya Sahabat: dan apakah al-Sunnah wal Jamaah? Baginda menjawab: apa yang saya dan Sahabat-sahabat saya berada ( berpegang dan beramal padanya) pada hari ini. Jelas dari Hadis ini, golongan yang berjaya hanyalah golongan yang Iktikad dan Syariat mereka adalah Ahli Sunnah wal Jamaah bukan selainnya.
AKIDAH DAN SYARIAT SYIAH
Tulisan ini akan menerangkan beberapa pokok ajaran Syiah yang menyalahi ajaran kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Antaranya ialah:
1. Al-Quran
Agama Syiah menolak al-Quran Mushaf Uthman sebagai Mushaf al-Quran yang lengkap lagi autentik. Mereka mempunyai mushaf sendiri yang bernama Mushaf Fatimah. Bagi orang Islam, al-Quran yang ada di tangan kita hari ini, adalah disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi SAW, tetapi bagi Syiah seperti yang terdapat di dalam Usul al-Kafi iaitu sebuah koleksi Hadis menurut epistemologi mereka, al-Quran mereka itu, adalah disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Sayidah Fatimah binti Rasul SAW, sebab itulah dinamakan Mushaf Fatimah.
Mushaf inilah yang diterima sebagai paling benar lagi autentik. Menurut mereka, Mushaf Uthman hanya mengandungi sekitar satu pertiga sahaja dari mushaf yang lengkap. Dua pertiga lagi berada di dalam Mushaf Fatimah. Khumayni dalam Wasiyat-nya menyebut dengan terang mengenai Mushaf Fatimah ini dan berkata mereka mendapat penghormatan dengannya.
Beliau menyeru supaya Imam Mahdi mereka, iaitu Muhammad bin Hasan al-Askari segera keluar dari lubang penyembunyiannya di Iraq dan membawa keluar bersamanya Quran Mashaf Fatimah ini. Tetapi untuk menjaga maslahah di depan orang Islam, mereka beramal dengan doktrin taqiyyah yakni berpura-pura menerima al-Quran yang ada di tangan kita.
Cuba kita bayangkan, jika ada penganut agama Buddha atau Hindu membuat dakwaan yang al-Quran Mushaf Uthman tidak autentik, apa akan terjadi?
Sementara itu, dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran pula, tafsiran mereka berlainan dengan kita, terutama ayat yang di dalamnya ada perkataan imam. Mereka memaknakannya sebagai Sayyidina ‘Ali r.a, seperti dalam Surah al-Sajdah: 24; wajaaln minhum aimmatan yahdna biamrin lamm obar. Dan perkataan nr dalam Surah al-Taghabun:8, famin bill hi wa raslihi wan-nrillaz anzaln, diertikan oleh mereka sebagai imam-imam mereka.
2. Al-Hadis
Dalam epistemologi Ahli Sunnah wal Jamaah, Hadis ialah merangkumi perkataan, perbuatan dan ehwal Rasulullah SAW. Kemudiannya, Hadis-hadis ini disampaikan oleh generasi Sahabat kepada generasi berikutnya secara mantap dan tidak putus sanadnya sehinggalah disusun menjadi koleksi dalam sebuah buku oleh para perawi kemudian seperti perawi yang Enam, Ahmad, Imam Malik, Ibn Sunniy, as-Syafii dan lain-lain.
Akan tetapi bagi Syiah, Hadis dalam epistemologi mereka ialah sesuatu yang diucapkan oleh para Imam mereka sahaja dan sanadnya tidak sampai kepada Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam ajaran mereka, para imam mereka itu menerima ilmu terus daripada Nabi SAW, walau pun semasa ketiadaan Baginda SAW, dan lagi pun, dalam ajaran mereka, Imam-imam mereka adalah maksum yakni bebas daripada kesalahan.
Dalam epistemologi Sunni, konsep seperti ini tidak boleh dinamakan sebagai Hadis atau kalau mahu juga hendak dikatakan Hadis, ia tergolong sebagai Hadis munkar atau pun Hadis palsu.
Syiah menolak dan tidak menerima Hadis Nabi yang disampaikan oleh para Sahabat dan Ummahatul Mukminin r.a, kerana menurut akidah mereka, semua Sahabat Nabi SAW telah murtad setelah wafatnya Nabi SAW, kecuali beberapa orang sahaja.
3. Mengkafirkan Sahabat Radiyallahu ‘Anhum
Dalam agama Syiah, terdapat satu konsep dan doktrin bernama al-baraah atau tabarra. Doktrin ini bermaksud, mengutuk, mencaci bahkan memutus hubungan kasih sayang dengan semua Sahabat. Mereka ini buta sejarah. Bukankah Saidina Ali sendiri mengahwinkan anaknya dengan Saidina Umar r.a?
Menurut mereka semua Sahabat menjadi murtad dan kafir selepas wafat Nabi SAW, kecuali beberapa orang sahaja seperti Ali, Miqdad, Abu Dzar, Salman dan beberapa yang lain. Mereka juga beriman dan percaya yang para Sahabat bersepakat menyembunyikan wahyu dan mengkhianati wasiat Rasulullah SAW dalam hal imamah dan pelantikan Saidina Ali r.a sebagai khalifah.
Dan mereka menuduh Sahabat tidak amanah kerana mengurangkan ayat al-Quran sebanyak dua pertiga daripada wahyu asal, yang demikian hilanglah ayat-ayat yang berkaitan dengan imamah ‘Ali ra. Justeru, semua Sahabat itu dalam Iktiqad Syiah telah menjadi kafir. La hawla wala quwata illa billah.
Dalam kaitan dengan doktrin tabarra ini, mereka senantiasa berdoa mengutuk Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Radiyallahu ‘Anhuma yang disifatkan mereka sebagai dua berhala Quraisy.
Khumayni telah mengkafirkan Saidina Umar al-Khattab r.a dan mengatakan Saidina Abu Bakar r.a pula, seorang manusia yang jahil agama.
Berdasarkan kepada Hadis di awal tulisan ini, bahawa golongan yang berjaya daripada neraka ialah orang yang mengikuti ajaran Rasul dan Sahabat Baginda. Bagaimana seseorang atau sesuatu golongan boleh berjaya dan selamat daripada api neraka, sedangkan mereka enggan mengikut perjalanan Sahabat tersebut bahkan mengkafirkan mereka.
4. Ummahatul Mukminin
Seperti para Sahabat, Syiah juga langsung tidak menghormati Ummahatul Mukminin pada hal mereka itu semua adalah isteri-isteri Baginda yang tercinta. Syiah melemparkan pelbagai fitnah, tuduhan palsu, jijik dan jahat kepada Ummahatul Mukminin Saidatuna Aishah r.ah, bahkan dalam iktiqad rajah mereka, beliau r.ah akan dihukum oleh para Imam Syiah menjelang kiamat kerana berkhianat dan menganiayai puak Syiah seperti dalam kes Peperangan Jamal. Atas dasar ini juga Syiah bukan daripada golongan Islam.
5. Rajah
Syiah beriktikad bahawa para Imam mereka akan hidup semula di akhir zaman untuk menghukum para Sahabat dan Isteri Nabi SAW yang mereka tuduh bersekongkol merampas hak Saidina Ali sebagai khalifah. Termasuk yang akan dihukum dalam akidah mereka ialah Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Muawiyah, Aishah r.a dan lain-lain. Demikian khurafat mereka.
6.Konsep Imamah
Dalam akidah Syiah, Imamah atau Walayah atau kepimpinan sudah ditentukan oleh Allah SWT. Khumayni berkata dalam buku beliau, al-Hukumah al-Islamiyyah, muka surat 18, bahawa Nabi perlu menentukan seorang pengganti Baginda dan Baginda telah pun berbuat demikian, yakni melantik Ali r.a. Jika Baginda tidak berbuat demikian, bermakna Baginda tidak menyampaikan Risalahnya ( ms 19 ). Oleh sebab itu, Imamah ini termasuk ke dalam Rukun Iman Syiah. Sesiapa yang tidak percaya kepada doktrin dan konsep Imamah ini, menurut Syiah, ia bukanlah seorang Islam dan layak dihumban ke dalam neraka.
Dalam buku al-Hukumah al-Islamiyyah itu lagi, pada muka surat 52, beliau menyifatkan Imam-Imam mereka mempunyai kedudukan yang amat tinggi di sisi Allah SWT, sehingga tidak tercapai oleh para Malaikat muqarrabin dan juga Nabi-Nabi yang diutus. Dalam membincangkan hal kepimpinan selepas Rasulullah SAW pula, dia langsung tidak menyentuh kepimpinan tiga khalifah awal iaitu Abu Bakar, Umar dan Uthman radiyallahu anhum dan terus melompat kepada Sayyidina Ali r.a. Ini adalah kerana dalam akidah Syiah, mereka tidak mengiktiraf kepimpinan tiga khalifah sebelum Ali ra bahkan disifatkan tiga khalifah yang mulia itu, adalah perampas hak khalifah Ali r.a.
Mereka juga beriktikad bahawa semua Imam mereka adalah maksum. Khumayni berkata, bahawa Imam-Imam mereka tidak bersifat lupa dan lalai (ms 91) bahkan ajaran mereka itu, sama seperti ajaran al-Quran yakni wajib dipatuhi hingga Hari Qiamat (ms 113).
7. Ismah
Konsep imamah berkaitan rapat dengan doktrin ismah. ‘Ismah bermaksud semua imam mereka adalah manusia maksum yakni tidak melakukan dosa, baik dosa besar mahu pun dosa kecil, bahkan dalam segala perlakuan mereka, imam-imam mereka itu tidak tersalah dan tersilap sedikit pun. Sebab itu imam-imam mereka boleh membuat hukum, yakni boleh menghalal dan mengharamkan sesuatu hukum Syara. Ini bercanggah daengan ‘Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa yang maksum hanya Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sahaja.
8.Ghaybah dan Menunggu Imam Mahdi
Syiah percaya bahawa Imam mereka yang kedua belas iaitu Muhammad bin Hasan al-‘Askari telah ghaib. Dalam akidah Syiah, ia dianggap sebagai ghaybat al-sughra atau kehilangan kecil. Dia ini membawa bersamanya Mushaf Fatimah. Semasa ghaybat al-sughra ini – dalam khurafat mereka – pemimpin semasa Syiah masih boleh berhubung dengannya, bertanya pelbagai masalah dan jawapannya itu akan disebarkan kepada pengikut-pengikut mereka.
Beliau yang dikatakan ghaib kira-kira seribu tahun dahulu itu, masih hidup hingga sekarang dan akan datang semula ke dunia ini di akhir zaman, membawa bersamanya Mushaf Fatimah itu, untuk menyelamatkan dunia ini. Masa antara ghaybat al-sughra dengan kemunculan semula Imam Mahdi mereka itu, disebut sebagai ghaybat al-Kubra atau kehilangan besar. Sebab itu dalam wasiatnya, Khumayni berkata adalah suatu penghormatan kepada mereka kerana mereka mempunyai Mahdi jenis ini dan dia berdoa supaya Mahdi itu segera keluar dari lubang persembunyiannya. Semasa ketiadaan imam, maka yang ada ialah naib imam. Khumayni adalah salah seorang naib imam.
9. Taqiyyah dan Kitman
Taqiyyah dan Kitman dalam akidah Syiah bermakna menyembunyikan kepercayaan dan amalan sebenar mereka sekiranya mereka bersama-sama dengan masyarakat Islam. Ini bermakna mereka juga sedar bahawa ajaran dan amalan mereka itu adalah salah. Menurut ulama mereka, amalan taqiyyah dan kitman merupakan amalan nenek moyang mereka yang terdahulu dan pelakunya mendapat pahala. Atas dasar ini mereka dapat hidup hingga sekarang. Dalam menyebarkan dakyah mereka di Malaysia, mereka bertaqiyyah, menggunakan slogan cintakan Ahli Bayt, pada hal Ahli Bayt dalam konsepsi mereka, hanya beberapa orang sahaja, berbeza dengan konsep kita Ahli Sunnah wal Jamaah.
Perlu difahami, amalan taqiyyah ini dibuat jika mereka berada dalam keadaan tersepit dan dalam jumlah sedikit atau untuk mencapai sesuatu tujuan keagamaan mereka seperti keadaan awal mereka di Malaysia pada tahun-tahun 1980-an dahulu. Tetapi amalan ini akan ditinggalkan apabila mereka merasa keadaan mereka sudah selesa seperti sekarang ini. Sebab itu kita dengar puak Syiah Malaysia sudah berani mengisytiharkan mereka sebagai penganut Syiah. Ini semua sebagai dakyah dan untuk menakut-nakutkan masyarakat Sunni dan supaya kerajaan menunaikan tuntutan mereka. Tetapi dalam dakyah mereka dalam kalangan orang Sunni, amalan taqiyyah ini masih berlaku. Tujuannya ialah untuk mengumpan orang Sunni.
10. Ahl Bayt
Dalam kitab-kitab Tauhid kita, memang kita diwajibkan mencintai Ahli Bayt. Ahli Bayt yang sebenar ialah ahli kelurga Nabi SAW yang memiliki dan hidup di dalam Akidah dan Syariat yang benar seperti yang diajarkan oleh Baginda. Namun terdapat juga keturunan Ahl Bayt yang telah terkeluar dari ajaran Baginda SAW seperti menganut fahaman Marxisme, sekularisme, Liberalisme, Pluralisme agama dan Syiah. Mereka sudah tidak dapat dikategorikan sebagai Ahli Bayt lagi.
Ahl Bayt Rasulullah SAW, tiada kena mengena langsung dengan ajaran dan kumpulan Syiah lebih-lebih lagi Syiah Khumayni. Maulana Abu Hasan Ali an-Nadvi seorang ahli Bayt daripada keturunan Saidina al-Hasan r.a, ada menulis sebuah buku cukup baik yang menyorot kesesatan Syiah. Seorang Quraisy dari keturunan Saidina al-Hasan juga, Sayyid Muhammad al-Maliki dari Hijaz, amat kuat menentang Syiah. Demikian Ahl Bayt di Hadramawt.
11. Rukun Iman
Rukun Iman mereka antara lain ialah beriman kepada semua imam mereka yang dua belas dan beriman kepada imamah dan walayah Ali serta menolak imamah tiga khalifah sebelum ‘Ali ra. Khumayni termasuk dalam kelompok ini. Sesiapa yang engkar dalam perkara ini, dikategorikan sebagai kafir.
12. Konsep ‘Ibadah
Oleh kerana mereka menolak Hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat dan Ummahatul Mukminin, maka terdapat perbezaan besar dan dasar antara kita orang Islam dengan mereka yang Syiah, dalam semua urusan ibadah. Cara azan, solat, puasa, zakat, nikah kahwin, mengurus jenazah dsb, amat bertentangan dengan kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Mereka boleh solat jamak sepanjang waktu, kita tidak boleh, kecuali uzur syarak. Ahli Sunnah mengharamkan nikah mut’ah, mereka mengharuskannya bahkan mendapat pahala yang besar. Ringkasnya, semua ibadat mereka bercanggah dengan Islam dan Sunnah.
PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)
Utusan Malaysia Isnin 29hb Julai 1434
© Utusan Melayu (M) Bhd
Pemberitahuan Awal: Seminar Mendepani Virus Syiah
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) akan meneruskan penganjuran siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah:
Seminar Mendepani Virus Syiah
Tarikh:
6hb Oktober 2013 (Ahad)
Masa:
8:00 pagi – 5:30 petang
Tempat: Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur
Penyertaan dibuka kepada semua umat Islam Ahli Sunnah wal Jamaah
Pendaftaran adalah PERCUMA
Sila ikuti perkembangan lanjut di http://muafakatmalaysia.com/
atau hubungi kami melalui:
emel: muafakat_malaysia@yahoo.com
Tel: +603 4107-1025
Sekolah Satu Aliran Tingkat Perpaduan Nasional
KUALA LUMPUR 18 Julai – Kerajaan disyor mewujudkan hanya satu aliran persekolahan di negara ini bagi mengukuhkan perpaduan nasional ekoran pelbagai gejala negatif yang berlaku kebelakangan ini yang dilihat boleh menjejaskan keharmonian antara rakyat.
Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, sekolah pelbagai aliran ketika ini bercanggah dan tersasar jauh daripada Dasar Pendidikan Negara seperti yang termaktub dalam Laporan Razak dan Rahman Talib.
“Menerusi sekolah satu aliran ini, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai medium pembelajaran dan semua sekolah menggunakan kurikulum yang disediakan Kementerian Pendidikan.
“Menerusinya juga, semua pelajar pelbagai kaum dan agama dapat belajar bersama di bawah satu premis serta berinteraksi dengan lebih kerap dan akrab sekali gus membentuk perpaduan nasional seperti yang diharapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ismail Mina, bidang pendidikan bukan sahaja bertujuan mencapai matlamat ekonomi tetapi menjadi instrumen penting membina tamadun negara berteraskan keharmonian.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menubuhkan panel peneliti bagi mengkaji dan memberikan cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat bagi memastikan sekolah satu aliran dapat diwujudkan segera.
Kenyataan Akhbar: Sekolah Satu Aliran
KENYATAAN AKHBAR
SEKOLAH SATU ALIRAN
09 Ramadhan 1434 bersamaan 18 Julai 2013
Akhir-akhir ini, terlalu banyak gejala negatif berlaku yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian agama, bangsa dan budaya di negara kita. Salah satu dari faktor yang menyebabkan perkara tersebut berlaku ialah kerana sistem pendidikan kita yang pelbagai aliran, pelbagai bentuk dan pelbagai kurikulum. Sistem pendidikan yang pelbagai ini yang sedang berjalan di negara kita, adalah bercanggah serta tersasar jauh dari Dasar Pendidikan Negara seperti yang termaktub dalam Laporan Razak dan Rahman Talib bahkan ia tidak bersifat konstitusional. Akibat dari sistem yang pelbagai ini, maka ia tidak menjurus kepada perpaduan nasional bahkan semakin merosakkannya.
Ekoran dari gejala negatif yang semakin serius itu, telah banyak pemikir sosial, pemikir pendidikan, aktivis masyarakat, ahli politik serta orang ramai yang prihatin, telah memberi pandangan bahkan mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia bertindak segera mengujudkan hanya satu sahaja aliran persekolahan di negara ini. Aliran ini akan menggunakan satu premis tempat belajar di mana semua pelajar dari pelbagai bangsa dan agama akan belajar bersama-sama dan dengan demikian mereka akan dapat berinteraksi dengan kerap dan akrab. Aliran ini ialah aliran kebangsaan yang menggunakan sepenuhnya Bahasa Melayu sebagai medium pembelajaran dan semua sekolah-sekolah ini wajib menggunakan kurikulum yang disedia oleh Kementerian Pendidikan. Pendidikan bukan sahaja bertujuan untuk mencapai matlamat ekonomi tetapi juga bertujuan untuk mencapai perpaduan dan keharmonian lebih-lebih lagi seperti negara Malaysia yang kosmopolitan sifatnya ini. Apa guna kemakmuran ekonomi jika negara dilanda persengketaan.
Dasar Pendidikan sesebuah negara tidak boleh dijadikan komoditi politik dengan tawar-menawar murahan sebagai harganya. Hasilnya nanti akan merugikan bahkan menghancurkan negara. Pendidikan adalah suatu mekanisme penting dan merupakan instrumen berkesan dalam membina tamadun negara berteraskan keharmonian. Sekolah satu aliran bukan perkara asing di dunia ini. Negara-negara Barat bahkan Indonesia, Thailand dan Singapura sejak lama dulu telah pun melaksanakan sekolah satu aliran sahaja.
Atas kesedaran untuk mencapai keharmonian dan perpaduan nasional di negara ini melalui sistem pendidikan satu aliran, maka Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia atau MUAFAKAT meminta kerajaan mengujudkan sistem pendidikan satu aliran sahaja di negara ini dengan secepat mungkin. Dan untuk tujuan tersebut MUAFAKAT telah menubuhkan satu panel peneliti untuk mengkaji dan membuat cadangan bagi dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.
Ismail Mina Ahmad
Presiden
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
MUAFAKAT
Kenyataan Media
KENYATAAN MEDIA
4 Julai 2013
Kami NGO Islam ingin menarik perhatin kerajaan dan juga masyarakat umum mengenai perlantikan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi baru Lembaga Tabung Haji oleh kerajaan. Kami berpendapat bahawa perlantikan beliau sebagai pengerusi Lembaga Tabung Haji, tidak menepati kriteria transformasi dan tidak bersifat transformatif seperti yang diwar-warkan oleh kerajaan selama ini. Sebuah organisasi perniagaan yang mempunyai wawasan dan tujuan yang besar lagi murni serta mempunyai kaitan rapat dengan aspirasi kerajaan, Islam serta kaum Muslimin, ia sepatutnya dipengerusikan oleh seseorang yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang berkaitan serta memiliki latar belakang pentadbiran perniagaan serta kelulusan akademik yang tinggi. Selain dari memiliki kriteria tersebut, untuk mengurus suatu entiti perniagaan besar seperti Lembaga Tabung Haji dengan imej Islam pula, pengerusinya memerlukan reputasi yang tinggi dengan integriti dan sahsiyah yang tinggi juga.
Maka, kami berpendapat Datuk Abdul Azeez tidak mampu membawa imej tersebut dan tidak sesuai menjadi pengerusi kerana Lembaga Tabung Haji terlalu besar baginya serta mempunyai kaitan dengan imej dan identiti Islam pula. Oleh yang demikian kami meminta kerajaan menilai semula keputusan perlantikan Datuk Azeez tersebut dan segera mencari calon baru yang lebih kompeten dengan memiliki integriti dan sahsiyah yang tinggi yang justeru dapat memelihara imej kerajaan yang bersih lagi Islamik serta dapat membawa Lembaga Tabung Haji kepada tujuan asal penubuhannya dan dalam masa yang sama dapat menyelesaikan pelbagai masalah kronik yang sedang dihadapi oleh Lembaga Tabung Haji ini.
Ismail Mina b. Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
Usrah Bulanan – Julai 2013
Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: 2 Julai 2013 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersamaTajuk: Isu-Isu Utama Berkenaan Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review / UPR) Malaysia Oktober 2013
Pembentang: Saudara Azril Mohd Amin Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Tempat: Kediaman Sdr. Dato’ Haji Rameli Musa Alamat kediaman: No. 20 Jalan Kenyalang 11/15H, d’Villa Equestrian Kota Damansara. Depan masjid baru Kota Damansara, sebelah Royal Selangor Polo Club. Masuk melalui pondok pengawal.