Archive for the ‘kalimah Allah’ Tag

TOLAK PEMIMPIN TAK HORMATI RAKAN

 

Wawancara wartawan Utusan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dengan Presiden Pertubuhan Muafakat Malaysia (Muafakat), ISMAIL MINA (gambar di atas) yang menjelaskan lebih lanjut tentang agenda Ketua Pembangkang dan pakatan rakyat dan masa depan Islam dan Melayu jika mereka tersilap memilih calon pada pilihan raya kali ini.

UTUSAN: Sebagai orang yang terlibat bersama ABIM di peringkat awal dan akrab dengan Anwar sekian lama, apa pandangan saudara dengan sikap partisan ABIM terhadap politik Anwar Ibrahim.

ISMAIL: Saya memang salah seorang pengasas ABIM bersama kawan-kawan yang lain seperti Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Zakaria Hashim, Datuk Kamarudin Mohd Noor dan beberapa lagi. ABIM sebagai sebuah organisasi, sejak tertubuhnya lagi berpegang kepada prinsip non partisan. Tetapi, ketika Anwar menyertai UMNO dan berada dalam kerajaan, ABIM mengambil keputusan menyokong beliau.

Kemudian, apabila dia disingkirkan daripada UMNO dan menubuh parti sendiri, ABIM mengambil pendirian bersama dengan beliau dan mendokong falsafah dan konsep politik Anwar sehingga ada semacam deklarasi bahawa warga besar ABIM wajib bersama Anwar.

Dalam sistem demokrasi seperti Malaysia ini, memang kita perlu ada kesedaran politik, tetapi apa yang dikesalkan ialah ABIM sebagai sebuah organisasi masyarakat dan dakwah, tidak wajar menyebelahi mana-mana parti politik kerana anggota ABIM mungkin mempunyai pelbagai fahaman politik atau dari sisi lain, tidak semuanya mendokong Anwar.

Kalau secara individu tidak mengapa nak sokong siapa pun, parti apa pun, tetapi dengan memaksa dan mengheret ABIM sebagai sebuah organisasi, mesti menyokong Anwar, itu yang tidak betul dan dibangkang keras oleh ramai pengasas ABIM, beberapa pemimpin negeri dan juga ahli biasa.

Kalau ada yang nak masuk parti politik dan sokong Anwar tak mengapa dengan syarat mereka mesti tinggalkan jawatan dalam ABIM dan jangan ganggu perjalanan ABIM melalui kuku besi yang tak nampak. Biarkan ABIM diurus oleh orang yang benar-benar mendokong dasar non partisan dan berdakwah secara bebas tanpa terikat kepada seseorang individu.

Anwar sedar bahawa dia sangat-sangat memerlukan kumpulan Islam, maka dengan naif politik dalam kalangan pimpinan dan Majlis Syura ABIM yang dikuasai 100 peratus oleh orang Anwar, maka mereka mudah membuat manipulasi.

Sebab itu Majlis Syura ABIM tidak memanggil Datuk Dr. Sidek Baba hadir bermesyuarat. Dr. Yusri juga tidak dimasukkan sebagai ahli Syura, walhal bekas Presiden ABIM secara automatik menjadi ahli majlis syura. Juga pengasas ABIM yang sudah tidak aktif dalam politik dan senior-senior ABIM yang banyak memberi sumbangan fikiran, tenaga dan kewangan, tidak dijemput menjadi ahli syura seperti Datuk Zakaria Hashim, Amin Hashim dan ramai lagi. Kenapa?

Kerana mereka itu semua sudah mufaraqah dengan Anwar. Atau syura takut kalah hujah dalam mesyuarat dan agenda menyokong Anwar terhalang.

Sebagai rakan karib Anwar sejak di Universiti Malaya, Yayasan Anda dan dalam ABIM, apa yang tidak kena pada Anwar hingga saudara mengambil sikap meninggalkannya?

Asas penubuhan ABIM ialah memperjuangkan Islam Sunnah Waljamaah. Dalam usrah-usrah, tamrin atau program membina jati diri atau sahsiah, program kepimpinan dan wacana-wacana pemikiran dan keilmuan, semuanya adalah dalam skima pemikiran dan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah.

Rupa-rupanya semua wacana Sunni dalam semua program ABIM itu, semacam mencurah air di daun keladi semata-mata, tidak ada kesan dalam akal, kefahaman dan hati. Ini dibuktikan apabila Revolusi Syiah Khomeini berjaya, ABIM di bawah pimpinan Anwar, menjadi ejen penyebaran doktrin dan akidah Syiah di Malaysia. Buku Khomeini diterjemahkan pada hal buku tersebut amat bercanggah dengan akidah Sunnah Waljamaah.

Pada masa itu saya sudah bangkang mereka. Alhamdulillah, ABIM sekarang tidak menerima Syiah lagi. Walaupun ABIM menolak fahaman Syiah, tetapi mereka tetap tidak dapat memisahkan diri daripada Anwar.

Saya mengikuti pemikiran Anwar. Saya menelaah Asian Renaisance tulisannya dan di situ saya mula terhidu faham liberalisme agamanya. Dalam perjumpaan di rumah Profesor Osman Bakar, dia mengaku bahawa di situ sudah ada bunga-bunga fahaman liberalisme dan pluralisme agamanya. Alhamdulillah dia mengaku. Masa membaca buku itu, saya masih belum tolak dia lagi.

Saya benar-benar menolak beliau apabila kami meneliti tulisan yang beliau ucapkan di London School of Economics, Universiti London. Beliau nyatakan bahawa seseorang Islam tidak boleh mengatakan yang agama lain itu salah dan katanya semua orang yang beragama akan selamat ertinya selamat daripada masuk neraka. Pegangan ini bercanggah dengan akidah Islam. Boleh membawa kepada murtad. Maka kami mengambil keputusan, mengadakan wacana ilmiah dan majlis penerangan di seluruh negara bagi menerangkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang dibawa oleh Anwar adalah bercanggah dengan Islam dan wajib umat Islam menolaknya.

Apabila saudara meragui Anwar tentang isu liberalisme dan pluralisme agama, berlaku pertemuan di rumah Profesor Osman Bakar yang Anwar turut hadir dan menyatakan sesuatu mengenai isu itu. Apa yang dikatakan oleh Anwar dan apa yang berlaku selepas itu?

Apabila kami meneliti ucapan beliau, kami mengadakan wacana mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Ekoran daripada wacana kami itu, beliau meminta untuk bertemu dengan kami. Saya amat bersetuju dengan harapan semoga beliau menarik balik fahaman tersebut. Dalam pertemuan pada malam itu, dia mengaku yang dia menulis perkara tersebut. Dia kata, ‘longgar’ sikit. Saya menjawab, ‘tak sedikit’. Dia bersetuju nak edit tulisan tersebut bersama Profesor Osman dan saya. Tetapi dia tidak menepati janjinya untuk mengedit. Malah selepas perjumpaan tersebut, beliau mengungkit perkara tersebut dengan memperleceh kami dalam ceramah politik beliau.

Di depan orang ramai yang tak faham isu itu bolehlah dia temberang tetapi dalam perjumpaan pada malam tersebut seperti kata pepatah Melayu – dia seperti, tikus di depan kucing! Hingga kini dia tak edit tulisan tersebut. Dan yang menggelikan hati ialah selepas perjumpaan itu Anwar telah mengeluarkan tulisannya itu dari blog beliau, tetapi tak lama kemudian dimasukkan balik dan selepas itu dibuang semula. Dia tetap yakin dengan akidah pluralisme agamanya itu hingga sekarang. Malah untuk mendapat simpati masyarakat Islam dan untuk mempertahankan akidah palsunya itu, dia mengaitkan pula beberapa ulama Islam ke dalam kelompok batilnya itu.

Kalimah Allah berkait rapat dengan isu akidah – tauhid. Bila Anwar mengambil pendirian kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu dan Majlis Syura Pas mengambil pendirian sebaliknya, apa pendapat saudara mengenainya?

Memang benar, kalimah Allah adalah berkait rapat dengan akidah dan tauhid. Salah konsep mengenai kalimah ini, akan menyebabkan seseorang itu menjadi kontra tauhid ertinya menjadi syirik. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW datang mengajar tauhid yang benar dan membetulkan fahaman dan konsepsi salah mengenai Allah kepada golongan Yahudi, Nasrani-Kristian dan Musyrikin.

Yahudi percaya Allah memiliki anak bernama Uzair, Nasrani percaya Isa anak Tuhan di samping yang percaya Allah ada anak perempuan dan sebagainya. Sesuatu yang Anwar keliru ialah dalam hujah-hujahnya di depan orang bukan Islam, katanya perkataan Allah sudah ada sejak sebelum kedatangan Nabi SAW lagi, sebab itu ayahanda Baginda bernama Abd Allah atau Abdullah. Anwar keliru kerana dua fakta. Pertama kalimah Allah dalam tradisi Ibrahimiyah, Musa dan Isa dan Khalid bin Sinan adalah menepati konsepsi tauhid yang benar. Tetapi konsepsi ini telah mengalami proses dekonstruksi epistemologi sehingga Baginda Muhammad SAW datang membetulkannya.

Ya, memang benar orang Musyrikin pun percaya kepada wujudnya Allah tetapi seperti yang dinyatakan oleh Allah sendiri di dalam al-Quran, bahawa mereka menggunakan berhala dan patung-patung sebagai alat atau objek atau perantara untuk mendekatkan diri kepada Allah sebab itu di dalam al-Quran, Allah menyatakan kepada kita bahawa jika golongan Musyrikin itu ditanya siapa yang menjadikan semesta Alam ini, pasti mereka akan menjawab Allah. Akan tetapi, konsepsi Allah yang mereka faham itu bertentangan dengan konsepsi Allah seperti di dalam Surah al-Ikhlas dan seperti yang diajar oleh Nabi SAW.

Kedua, Anwar terlalu naif dalam isu kalimah Allah ini apabila ia menjadi juara memperjuangkannya supaya kalimah tersebut boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Dia terlalu amat naif kerana golongan gereja mahu menggunakan perkataan yang biasa dengan budaya dan masyarakat tempatan untuk tujuan memurtadkan orang Islam.

Di Bangladesh, gerakan Evangelican ini tidak menggunakan perkataan Allah di dalam Bible menggantikan God tetapi menggunakan perkataan Iswar, kerana perkataan ini biasa dipakai dalam masyarakat Hindu di Bangladesh bagi merujuk kepada Tuhan Kristian.

Kami mendapat kritikan apabila kami terus menerus menerangkan bahawa kalimah Allah hanya semata-mata boleh digunakan oleh orang Islam sahaja. Di Selangor, program menjelajah untuk menerangkan isu ini, telah diperintah oleh pihak berkuasa negeri supaya dihentikan. Sementara Pas pula, walaupun telah difatwakan oleh Majlis Syura Ulama mereka tetapi aktivis mereka tetap berkeras berkata, kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Yang penting juga ialah Anwar langsung tidak menghormati fatwa rakan tahalufnya itu yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan Pas pula tidak berani mengambil apa-apa langkah mencegah Anwar daripada terus memperjuangkan isu tersebut. Sepatutnya Pas bertegas meminta Anwar berhenti daripada bercakap isu ini kerana bercanggah dengan fatwa mereka.

BERSAMBUNG…Perangkap Pluralisme Agama

Artikel Penuh:

http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130422/re_01/Tolak-pemimpin-tak-hormati-rakan#ixzz2RFqggPCn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements

Guna Kalimah Allah, Agenda Murtad Umat Islam

sumber: Utusan Malaysia

Kalimah Allah: NGO Bantah dan Minta Cari Formula Melalui Dialog

disiarkan Harian Metro http://www.hmetro.com.my/articles/Cari-formula-melalui-dialog/Article/:

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan beberapa persatuan bukan kerajaan (NGO) Islam meminta kerajaan segera mengadakan dialog antara pemimpin Islam dan Kristian bagi mencari formula menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah’ oleh Herald-The Chatolic Weekly di dalam majalah keluaran mereka.

Timbalan Presidennya, Datuk Ahmad Ismail, berkata mereka mengambil pendirian yang bersepadu bagi menzahirkan kegelisahan berikutan perkembangan yang berlaku susulan keputusan itu.

“Selain Muafakat, kami juga mendapat sokongan Saba Islamic Media (Sim), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islah Malaysia (Jim) dan Institut Khalifah.

“Isu ini jika tidak ditangani segera akan menambah kemelut salah faham antara agama yang sedia wujud dirantau ini” katanya yang turut membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Katanya, umum mengetahui kalimah Allah kata nama khas yang digunakan di dalam kitab suci al-Quran sejak dulu lagi berbanding apa yang termaktub di dalam Kitab Injil.

Dalam pada itu, Pengurus Sim, Shahkirit Kakulal Govindji, berkata kita perlu melihat isu penggunaan kalimah Allah itu dalam konteks negara ini.

Beliau bimbang penggunaan Allah dalam majalah berbahasa Melayu itu akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutamanya.