Archive for the ‘Pondok Lubuk Tapah’ Tag

‘Bukan mujaddid’

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Pengasas fahaman Wahabi, Muhammad Abdul Wahhab (meninggal dunia 1787) bukannya seorang mujaddid kerana sistem keilmuannya tidak berada dalam acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta kaedah ilmunya tidak mengikut kaedah fahaman sunni.

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr. Uthman El Muhammady berkata, selain itu ilmu yang ada padanya juga tidak sampai sehingga ke peringkat mampu melakukan ijtihad dan keadaan itu menyebabkan Muhammad bukan dikategorikan sebagai mujaddid.

Paling besar dalam sejarah beliau berkata ialah tindakan Muhammad bekerjasama dengan British dan Perancis hingga membawa kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniah kerana menganggap kerajaan itu kononnya mengamalkan bidaah.

”Walaupun ini bukan satu-satunya faktor kemusnahan kerajaan tersebut tetapi ia tetap merupakan salah satu sebab yang membawa kepada kejatuhan itu.

“Tidak ada mazhab fiqh dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengizinkan ulul-amri (pemerintah) disanggah sebegitu rupa dan ini berbeza dengan fahaman Wahabi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Penelitian kembali tentang kedudukan Muhammad Abdul Wahhab sebagai mujaddid‘ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pembentangan kertas kerja itu sempena Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 1: Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyyun anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).

Sehubungan itu Uthman berkata, sukar untuk meletakkan Muhammad berwajah mujaddid kerana amalannya yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, ia ditambahkan lagi dengan tabiat fahaman Wahabi yang sama seperti Kahawarij zaman klasik dan sering berperang dengan golongan tidak bersetuju dengan mereka.

“Mereka senang menghalalkan darah dan harta orang lain sebagaimana yang jelas dalam sejarah serta ajaran mereka.

“Jelas dalam skop sistem ilmu Ahli Sunnah Wal Jamaah ajaran Muhammad Abdul Wahhab pada beberapa perkara asasi iaitu akidah, syariat dan akhlak serta rohani adalah amat bertentangan sama sekali,” katanya.

Uthman di dalam pembentangan kertas kerjanya turut mendedahkan bagaimana bapa Muhammad iaitu Abdul Wahhab Sulaiman al-Najdi serta adiknya Sulaiman yang tidak redha dengan dakwah pengasas fahaman Wahabi itu.

“Adiknya Sulaiman marahkan Muhammad kerana pengasas fahaman Wahabi itu terlalu berpandukan kepada fahaman ibn.Taimiyyah dan ibn. Qayyim tanpa memandang pendapat ulama terdahulu dan kemudian.

“Ini terkandung di dalam kitab karangan Syeikh Muhammad Abdullah al-Hanbali iaitu seorang mufti di Mekah (meninggal dunia 1295 hijrah),” katanya lagi.

Mengenai ulama yang boleh digelar mujaddid, Uthman telah menyenaraikannya mengikut tempoh tertentu antaranya; Umar Abdul Aziz (salah seorang Khalifah Bani Umaiyyah); Imam Syafie; Imam Abu Hassan al-Asyari; Al-Baqillani; Imam Abu Hamid al-Ghazali dan Imam al-Nawawi.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMADdan SHOLINA OSMAN (pengarang@utusan.com.my)

http://utusan.com.my/

Wacana: Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyyun

Alhamdulillah, Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah I yang bertemakan Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyyun telah selesai diadakan hari ini Ahad 24 Januari 2010 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lupur.

Wacana tersebut telah dihadiri oleh hampir 600 peserta yang berdaftar dan ada juga yang hadir dengan tidak mendaftar. Para perserta datang dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Program diisi dengan tiga pembentangan kertas-kerja seperti berikut:

  • Menilai Secara ’Ilmiyah Mengenai Peranan ‘Abdul Wahhab Sebagai Mujaddid-Muslih.
  • Wacana Religio-Intelektual Najdiyyun: Pro Dan Kontra Terhadap Peranannya Pada Tamaddun Ummah.
  • Pemikiran Aliran Najdiyyun Dalam Menghadapi Pemikiran Pasca-Modernisme: Satu Pengamatan

Ketiga-tiga kertas tersebut  dibentang oleh dua tokoh yang banyak menulis dalam dada akhbar iaitu Ustaz  (Dr) Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, ISTAC, KL dan Profesor Madya Dr. Asmadi Muhammad Na‘im, dari Kolej Perniagaan, UUM, Sintok.

Suasana wacana berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan atau apa-apa peristiwa yang tidak diingini berlaku dengan para peserta tekun dan bersungguh mendengar hujah-hujah yang bernas dihidangkan kepada mereka. Suasana ini jauh sekali dari sangkaan dangkal yang dibuat oleh beberapa pihak yang tidak menyenangi penganjuran program seperti ini dengan mereka membuat laporan polis seminggu sebelum ini.

Program yang bermula dengan sesi pendaftaran pada jam 8:00 pagi diakhiri dengan sesi soal jawab yang ditamatkan sebelum jam 5:00 dengan para peserta diberi peluang sebebasnya untuk menyuarakan pandangan dan soal mereka.

Urusetia Wacana turut mengambil kesempatan dengan mengumumkan kutipan dana bantuan untuk Pondok Lubuk Tapah di Pasir Mas Kelantan yang terbakar pada awal pagi Jumaat lalu. Kutipan sebanyak lebih RM3,500 berjaya dikumpul untuk disalurkan kepada pengurusan pondok dengan kadar yang segera.

MUAFAKAT ingin mengucapkan berbanyak terima kasih ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah sama-sama menganjurkan program ini serta kerjasama yang diberikan oleh agensi-agensi lain serta pihak pengurusan Masjid Wilayah yang membenarkan penggunaan premis mereka walaupun perubahan tempat telah terpaksa diadakan dalam masa yang amat suntuk. Kami juga ingin mengucapkan jawatankuasa wacana yang diketuai oleh Pengarah Program Ustaz Haji Ismail Mina bin Ahmad dan seluruh sukarelawan yang bertungkus-lumus mengadakan pelbagai persiapan untuk menjayakan wacana ini.