Archive for August, 2012|Monthly archive page
Kenyataan Media MUAFAKAT Bersama PEMBELA
KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA BERSAMA
PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)
29 Ogos 2012 bersamaan 11 Syawal 1433
- PEMBELA mengulangi penegasan bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam yang diwakilinya tidak berminat dengan persaingan mendapatkan sokongan melalui politik kepartian. PEMBELA juga tidak terpengaruh dengan sebarang sikap dan tindakan partisan para pemimpin Negara, sama ada di pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang yang ghairah memperjuangkan dasar dan manifesto masing-masing, khususnya di dalam mengemudi kehangatan bahang Pilihanraya Umum ke-13.
- Tetapi, PEMBELA tidak akan berdiam diri mahupun berkompromi apabila persoalan kedaulatan Islam disentuh dan dijadikan modal percakaran di kalangan parti-parti politik.
- Umat Islam menjadi semakin gusar, khususnya apabila saban hari menyaksikan kebiadaban para pemimpin politik yang secara terang-terangan menghina Islam bukan sahaja disebabkan kejahilan mereka, tetapi provokasi yang disengajakan untuk mendapat publisiti murahan dan meraih keuntungan politik yang bersifat sementara.
- PEMBELA bertegas bahawa sikap dan tindakan sebegini adalah sangat tidak bertanggungjawab, kerana melanggar keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Negara melalui Perkara 3 (1). Kenyataan-kenyataan yang biadab sebegini harus segera dihentikan dan ditarik semula.
- Kedua-dua Yang Berhormat Karpal Singh a/l Ram Singh, selaku Pengerusi DAP dan Yang Berhormat Donald Lim Siang Chai, selaku Pengerusi MCA Negeri Selangor merangkap Timbalan Menteri Kewangan I, serta lain-lain pemimpin politik di setiap lapisan, wajib menghentikan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengenai Islam di Negara ini.
- YB Karpal Singh bersungguh-sungguh memperjuangkan konsep Negara sekular dan ini menggambarkan kejahilan beliau yang melampau tentang peranan Islam yang telah membina masyarakat Islam yang baik di Negara ini hatta sejak sebelum Perlembagaan Persekutuan hadir di dalam sejarah penubuhan Negara. Prinsip-prinsip ideal dan sumbangan Islam dalam membina individu Muslim yang baik telah menyumbang kearah pembinaan masyarakat Malaysia yang mantap, sejahtera dan harmoni. Mengapa YB Karpal Singh beria-ia memperjuangkan konsep Negara sekular, yang jelas rapuh, bermasalah dan telah terbukti menghancurkan tamadun lain di dunia, khususnya Negara-negara barat?
- Kenyataan YB Donald Lim yang ingin menghalang sebuah Negara Islam pula bersifat pramatang, menghasut serta mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab di dalam menjaga sensitiviti terhadap umat Islam yang menjalankan kehidupan beragama mengikut lunas dan ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Khususnya bagi seseorang yang berstatus menteri kabinet Kerajaan Persekutuan, kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan beliau tentang kedudukan Islam sebagai agama Negara, hakikat perlindungan terhadap agama-agama lain dan sumpah Yang DiPertuan Agong bagi memelihara dan mempertahankan kemuliaan Islam yang jelas termaktub pada perkara 37(1), Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
- Adalah sangat malang bahawa YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, mahupun mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka membiarkan pemikiran dipengaruhi unsur-unsur stereotaip dan label media-massa musuh-musuh Islam di dalam membuat kenyataan-kenyataan mengenai Islam, yang jelas tidak berwibawa dan berprasangka jahat terhadap Islam. Malah, ramai di kalangan pemimpin Muslim sendiri tidak membantu menjernihkan kekeliruan ini, tetapi sebaliknya menambah-kusut kecelaruan mereka disebabkan sikap prasangka buruk, hasad dengki dan taasub kepartian mahupun individu, lantas membuat kenyataan-kenyataan yang mengesahkan kejahilan mereka tentang kedudukan Islam di Malaysia.
- PEMBELA menegaskan kepada para pemimpin politik khususnya, bahawa sebarang pendekatan yang boleh memprejudis kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara boleh menghakis prinsip “Kesetiaan kepada Raja Negara” dan prinsip “Keluhuran Perlembagaan” yang menghilangkan kelayakan untuk menyertai proses pemerintahan Negara.
Justeru dalam menangani masalah yang timbul dari sikap sebegini, PEMBELA dengan ini:
- Bersepakat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk membuat aduan polis terhadap kedua-dua YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, serta mendesak pihak berkuasa melakukan penyiasatan kenyataan-kenyataan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 dan peruntukan undang-undang yang relevan, serta mengambil tindakan-tindakan yang perlu mengikut saluran sedia wujud;
- Menyeru agar semua pertubuhan-pertubuhan Islam di Negara ini menyertai PEMBELA dan rakan-rakan pertubuhan Islam lain di dalam menzahirkan kegusaran dan bantahan terhadap sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin politik Muslim dan non-Muslim, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, yang membuat kenyataan-kenyataan jahat dan tidak adil mengenai Islam di Malaysia;
- Memohon persefahaman dan kerjasama utuh dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dalam usaha melaksanakan hasil percambahan fikiran strategik dari masa ke semasa, demi mengurangkan pergeseran di kalangan umat Islam dan mendepani salah faham tanggapan terhadap kedudukan Islam di Negara ini di kalangan Muslim dan non-Muslim;
- Menyeru umat Islam terus mengekalkan iktibar dan didikan bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu, di dalam bermunajat kepada Allah SWT supaya diberikan taufiq dan hidayahNya untuk mengukuhkan kesatuan hati dan menghadapi mehnah kecelaruan pemikiran di kalangan masyarakat yang menyebabkan Islam terus-menerus diserang dan diganggu-gugat anasir-anasir daripada kalangan non-Muslim dan Muslim sendiri.
PEMBELA ingin menegaskan bahawa seruan dan tindakan kami hendaklah dilihat sebagai usaha mengekalkan keharmonian beragama di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan menyanggah kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab para pemimpin politik, PEMBELA sebenarnya mengembalikan citra dan keizzahan jati diri Islam sebagai agama Negara, yang telah dimomokkan dan diganggu-gugat persaingan politik partisan yang tidak bertanggungjawab.
Sambutan dan iktibar ulang tahun kemerdekaan ke 55 tanahair ini tidak akan bermakna sekiranya kekuatan Islam yang diibaratkan Mahkamah Tinggi sebagai “pohon jati”, dan tidak dipersoalkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan, tetapi diremehkan dan diberikan kedudukan yang tidak adil di sisi Perlembagaan Persekutuan yang disanjung seluruh warganegara Malaysia.
A. Karim Omar
Setiausaha Agung MUAFAKAT
Dan
Hj. Aminuddin Yahya
Pengerusi PEMBELA
Pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawah PEMBELA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukuwwah Ummah (PROMUSLIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Persatuan Ulama Malaysia -Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI)
Sekretariat PEMBELA
d/a Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
25 Jalan Bandar 3
Taman Melawati
53100 Kuala Lumpur
Tujuan Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012
TEMA:
Dakwah Islamiyyah Sebagai Kekuatan Ummah
TUJUAN
Malaysia pernah menjadi wilayah Dakwah Islamiyyah terpenting di ‘Alam Melayu pada kurun 14 Masehi. Hasil dari kesungguhan dan keikhlasan para pendakwah yang datang mencurah-curah dari Asia Barat dan Benua Kecil India itu, wujudlah komuniti Islam yang terasnya berbangsa Melayu di sini. Komuniti Islam Melayu ini berkembang pesat dan lebih pesat dan mantap lagi, apabila Pemerintah pada masa itu, memeluk Agama Islam Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah dan menjadi penaung dan mesra kepada kegiatan keIslaman bahkan melebarkan lagi jaringan dakwah.
Ahli-ahli dari komuniti Islam Melayu ini kemudiannya merantau keluar negeri terutamanya di Asia Barat dan Benua Kecil India dalam jihad mencari dan memperdalamkan lagi ‘Ilmu-‘Ilmu Islam. Apabila kembali ke Tanah Air, mereka menjadi Pendakwah Islam Tulin, kerana mereka bergerak dalam bidang keilmuan dan keintelektualan – ‘ilmu dan faham ‘ilmu yang betul adalah asas pembinaan manusia dan tamaddun. Mereka membuka Pusat Pendidikan, mengarang karya asli dalam Bahasa Melayu, menterjemah dan menyadur kitab-kitab besar dari literatur Islam dalam pelbagai subjek. Semua kegiatan keilmuan dan keintelektualan mereka, adalah dalam world view, ontologi, epistemologi dan aksiologi Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah.
Kesan dari kegiatan keilmuan dan keintelektualan Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah ini dan dengan barakah dan keikhlasan serta kepandaian para Muballigh itu mengurus ‘ilmu serta kemahiran mereka mendidik masyarakat – tiada apa-apa kepentingan Duniawi – maka masyarakat Islam Melayu dapat menikmati keharmonian dan kesejahteraan dalam beragama dan bermasyarakat, malah bernegara. Tidak ada kegoncangan sosial dan tidak ada kegoncangan dalam pegangan keagamaan. Masyarakat Sejahtera. Inilah era Kegemilangan Dakwah!
Namun, akhir-akhir ini, masyarakat Islam Malaysia seperti kehilangan arah. Para pendakwah yang sepatutnya menjadi pemandu dan penyuluh, juga telah kehilangan arah dan tidak berfungsi dengan baik.
Dalam hubungan ini, kita di Malaysia, wacana Dakwah Islamiyyah mesti berlandaskan dalam dua perspektif. Pertama, perspektif kekuasaan dan kedua, perspektif wacana keilmuan dan keintelektualan.
Dari pespektif kekuasaan, Wacana Dakwah Islamiyyah dari sejarahnya, menunjukkan bahawa, usaha dakwah adalah bertujuan untuk meluaskan kekuasaan Islam dan mengekal serta memantapkannya, sebab itu kita lihat dalam Sirah Nabawiyyah dan sejarah perjalanan Ummah Islamiyyah, terdapat kegiatan pembukaan wilayah-wilayah baru Islam. Maka dengan Rahmat Allah S.w.T. dan dengan kebijaksanaan orang-orang terdahulu, kita di Malaysia, dapat meletakkan Agama Islam sebagai Agama bagi Persekutuan di dalam Perlembagaan kita. Ini suatu nikmat yang besar kepada kita. Maka, oleh kerana kita sekarang berada dalam era pemerintah yang bersifat terbuka dan mesra dakwah, kita perlu gerakkan usaha dakwah berlipat ganda, lebih tersusun dengan jaringan yang efektif dan menjadi rakan Umara’ dalam membina semula tamaddun Malaysia seperti dahulu itu. Dakwah Islamiyyah bukan bermaksud untuk memecah belah dan permusuhan sesama Islam dan bahkan bukan untuk menjahanamkan Negara Ummat Islam seperti Malaysia ini. Kestabilan sosio-religio-politik mesti dipelihara dalam usaha Dakwah kita ini.
Dari perspektif dan dimensi keilmuan dan keintelektualan pula, serangan pemikiran dan falsafah Liberalisme dan Pluralisme Agama, benar-benar menjadi ancaman kepada keharmonian dan kestabilan kehidupan keagamaan dan kemasyarakatan di Negara kita ini. Para Pendakwah, wajar peka dalam isu penularan fahaman dan pemikiran Liberalisme-Pluralisme Agama ini ke dalam masyarakat kita. Ketika kita masyarakat Islam bergelut menolak fahaman ini, ada di kalangan orang Islam dan parti politik, yang mewajarkannya dan yang menjadi lebih malang lagi, ada parti politik yang menisbahkan mereka sebagai parti politik yang mahu memperjuangkan Islam, bersekongkol malah membuat bai‘ah-tahalluf dengan golongan ini. Para Pendakwah perlu pandai membaca sejarah perjalanan religio-politik Ummat Islam.
Sejarah telah membuktikan kepada kita, apabila pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama berada di koridor kuasa seperti di tangan Maharaja Akbar di India pada kurun 17 Masehi dahulu, ajaran Agama Islam menjadi benar-benar hancur, bukan kerana peperangan fizikal sesama sendiri, tetapi hancur oleh kerana fahaman agama Akbar itu yang berfahaman semua agama sama benar, dalam makna Agama Islam bukan Agama yang paling benar. Justeru, dalam konteks kita di Malaysia, para Pendakwah mesti menggunakan apa sahaja cara untuk menyekat, supaya kekuasaan tidak jatuh ke tangan penguasa seperti Maharaja Akbar itu. Jika golongan Liberalisme dan Pluralisme ini berkuasa, kita hampir pasti, tindakan sulong mereka yang paling utama yang akan berlaku ialah mereka akan merubah Perlembagaan, yang kini Islam sebagai Agama Persekutuan, seperti tindakan Maharaja Akbar dahulu, yang menukar Perlembagaan Empayar Moghul yang berteraskan kepada Syari‘at Islam Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah kepada agama baru yang bernama Dīn Ilāhi atau Pluralisme Agama.
Maka, dalam Wacana dua hari ini, kita akan berbincang mencari kesepakatan resepi dan kaedah, sebagai penawar yang mujarab, untuk menyekat gejala-gejala subversif, negatif, militansi dan fahaman dekonstruktif yang bercanggah dengan konsep Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah dalam usaha Dakwah kita itu. Ini adalah landasan yang betul dalam usaha kita mengembalikan Malaysia, sebagai koridor wacana keilmuan dan keintelektualan serta menjadi Pusat Dakwah Islamiyyah yang dihormati, seperti yang pernah kita nikmati dahulu.
PESERTA
Jangkaan seramai 1,000 orang peserta akan hadir untuk seminar ini yang dijemput dari kalangan:
- Pegawai Kerajaan dari Kementerian, Jabatan Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri
- Pegawai Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan pejabat-pejabat Mufti
- Pegawai dan pengurus agensi swasta dan syarikat GLC
- Pemimpin politik
- Pemimpin Kesatuan sekerja dalam Kerajaan dan luar
- Warga Pendidik – Majlis Guru Besar-Pengetua
- Persatuan Guru-guru agama dan akademik
- Pemimpin Belia
- Pemimpin Mahasiswa
- Persatuan akademik dan non akademik IPTA dan IPTS
- Pemimpin Masyarakat Masjid, Surau, persatuan penduduk
- Persatuan pakaian seragam
- Warga pemelihara keamanan
MASA
Program ini akan mengambil masa selama dua hari.
Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012
Wacana Pemikiran & Peradaban Ummah ke 4
Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012
Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah
Anjuran:
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
TARIKH:
8 – 9 Oktober 2012
Bersamaan
22 – 23 Zulkaedah 1433H
Isnin dan Selasa
TEMPAT:
Dewan Merdeka
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
Kuala Lumpur
Tajuk-tajuk kertas-kerja:
- Dakwah Sebagai Teras Induk Perjuangan menegakkan Islam
- Dakwah Islamiyyah Sebagai Madrasah Pengukuhan Aqidah
- Dakwah Islamiyyah Dalam Membendung Serangan Pasca-Modenisme
- Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Hegemoni Barat
- Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Gerakan Pemurtadan Di Malaysia
- Dakwah Islamiyyah Sebagai Medium Integrasi Nasional
- Dakwah Islamiyyah Sebagai Instrumen Membina Tamadun
- Dakwah Islamiyyah Sebagai Mekanisme Utama Ke Arah Membina Masyarakat Diberkati Allah
- Penulisan Kreatif Dan Peranannya Yang Penting Dalam Dakwah Islamiyyah
- Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT – SILA HUBUNGI URUS SETIA SEMINAR:
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
No. 25, Jalan Bandar 3, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur
Tel: +603 4107-1025
Fax: +603 4106-1026
emel: muafakat_malaysia@yahoo.com