Archive for March, 2012|Monthly archive page

Kenyataan Media: Mempertahan Hak Penganjuran Seminar Jabatan Pelajaran Johor dan Jabatan Mufti Johor

KENYATAAN MEDIA MUAFAKAT

 

7 Jamadil Awal 1433 – 29 Mac 2012

 

MEMPERTAHANKAN HAK PENGANJURAN SEMINAR Jabatan Pelajaran Johor dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor bertajuk ‘Pemantapan Aqidah, Bahaya Liberalisme dan Pluralisme Serta Ancaman Kristianisasi Terhadap Umat Islam. Apa Peranan Guru? ‘

 

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) menolak kenyataan pihak-pihak tidak bertanggungjawab serta berkepentingan sempit politik kepartaian yang mempersoalkan hak penganjuran seminar Jabatan Pelajaran Johor dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor bertajuk ‘Pemantapan Aqidah, Bahaya Liberalisme dan pluralism serta Ancaman Kristianisasi terhadap Umat Islam’.

 

Tindakan melabelkan program kelimuwan sebegini sebagai “usaha jijik politik untuk menggunakan agama bagi menakut-nakutkan rakyat” (lihat Kenyataan Ketua Pakatan Rakyat 28 Mac 2012) sebenarnya adalah kenyataan yang sangat anti aqidah, menghina Islam serta pengkhianatan kepada usaha-usaha menyemarakkan kegiatan wacana Islam menerusi kegiatan ilmiah. MUAFAKAT ingin menegaskan sikap bahawa istiqamah dalam hal-hal berkaitan kepentingan Islam. MUAFAKAT tidak ada kompromi dengan kenyataan anti ilmu sebegini kerana sengaja diadakan untuk mendapat publisiti murahan musuh Islam dan memprovokasi keutuhan perjuangan menegakkan aqidah Islam.

 

Adalah jelas bahawa kehadiran peserta dalam seminar tersebut adalah dikhususkan untuk guru-guru agama Islam di sekolah-sekolah Menengah dan Rendah di dalam Daerah Johor Bahru. Berdasarkan maklumat umum yang diketahui, penyertaan di dalam seminar sebegini adalah atas jemputan khusus sahaja dan memfokus pada isu yang berada dalam ruang lingkup yang mencakupi urusan intra-agama umat Islam, khususnya dalam memberikan pendedahan serta penaakulan tentang cabaran-cabaran terhadap usaha mempertahankan aqidah umat Islam.


 

 

MUAFAKAT menegaskan bahawa tren untuk mempersoalkan usaha-usaha memantapkan akidah umat Islam akhir-akhir ini merupakan suatu penzahiran sikap kebebalan dan kejahilan terhadap ruanglingkup keistimewaan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. MUAFAKAT dan pelbagai pihak, terutama daripada kalangan institusi Islam, tokoh-tokoh sejarawan, para ulama serta petrtubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan telah acapkali menerangkan tentang maksud dan serta implikasi kedudukan istimewa Islam sebagai Agama Negara. Usaha-usaha seperti penganjuran seminar ini adalah hak yang dijamin di dalam Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa yang diberikan oleh Artikel 11(4) itu juga adalah antara peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang sebenarnya meletakkan Islam pada tempat yang sewajarnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama negara. Ini kedudukan yang juga tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak.

MUAFAKAT berpandangan sekiranya maksud Artikel 11(4) itu dilihat bertujuan untuk melindungi keharmonian masyarakat berbilang kaum yang identitinya bertunjang daripada agama, apakah hasrat dan matlamatnya dapat tercapai sekiranya ia tidak dikuatkuasakan serta hak-hak di bawahnya tidak dapat dinikmati umat Islam dan masyarakat Malaysia secara umum? Adalah malang jika peruntukan undang-undang yang sedia ada tidak dimanfaatkan dan digunakan sedangkan terdapat keperluan untuk demikian. Justeru, penganjuran seminar sebegini berada di dalam ruanglingkup yang dibenarkan dan tidak seharusnya dimomokkan sebagai usaha untuk mewujudkan ketidakstabilan dan ketidakharmonian di kalangan masyarakat awam. Sebaliknya, dengan berlakunya usaha-usaha pemantapan aqidah di kalangan guru dan pelajar Islam, maka usaha untuk memperbaiki amalan beragama yang membawa pada kebaikan umum di kalangan seluruh masyarakat berbialng agama dan kaum di Malaysia akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Hal ini bertepatan dengan fungsi melindungi keharmonian beragama, sesuai dengan peruntukan dan semangat Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

MUAFAKAT juga menegaskan bahawa tidak wujud keperluan campurtangan oleh Jawatankuasa Antara Agama berhubung bantahan terhadap penganjuran seminar ini, memandangkan isu-isu intra-agama; urusan-urusan di dalam hal ehwal Islam perlu diselesaikan oleh mereka yang berkeahlian di kalangan umat Islam serta menurut lunas-lunas agama serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.

MUAFAKAT menyeru semua NGO dan aktivis dakwah Islam bersama dengan Jabatan Pelajaran Johor dan Jabatan Mufti Johor meneruskan usaha mempertahankan aqidah umat Islam menerusi penganjuran wacana keilmuan ini.

Ismail Mina Ahmad

Presiden

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Usrah Bulanan – April 2012

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 3 April 2012 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tempat: Kediaman Sdr. Dato’ Haji Rameli Musa

Alamat kediaman:  No. 20 Jalan Kenyalang 11/15H, d’Villa Equestrian Kota Damansara. Depan masjid baru Kota Damansara, sebelah Royal Selangor Polo Club. Masuk melalui pondok pengawal.

Untuk panduan arah: Hubungi Karim 019-3199788

Tajuk: Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin

Pembentang: Ustaz D Nakhaie Haji Ahmad

 

Agenda tersirat pihak liberal agama

Dipetik dari Mingguan Malaysia:

Mukaddimah

KEBELAKANGAN ini suara mereka yang mahukan pemahaman mengenai Islam diubah semula semakin lantang kedengaran.

Gerakan ini yang dilihat sebagai usaha golongan Islam liberal yang mahukan lebih banyak kebebasan dalam bersuara dan berfikir selain mentafsir sendiri al-Quran mengikut kehendak sendiri.

Lebih menakutkan, mereka juga membenarkan pluralisme agama atas alasan bahawa semua agama adalah sama.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), ISMAIL MINA AHMAD begitu tegas dalam hal ini yang mana, ujarnya jika tidak dikawal ia akhirnya mampu merosakkan ummah keseluruhannya.

Beliau yang juga bekas sahabat karib Anwar semasa menuntut di Universiti Malaya, ABIM dan kemudian di Yayasan Anda berkata, golongan ini bercakap ikut suka dalam memberi interpretasi tentang Islam

“Mereka bukan sahaja mahu menyebar fahaman Islam liberal tetapi mempunyai agenda politik. Ini adalah sesuatu yang bahaya dan ini jugalah prinsip berfikir Anwar bersama orang-orangnya,” kata Ismail ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid baru-baru ini.

MINGGUAN: Bagaimana Ustaz melihat ancaman liberalisme dan pluralisme agama pada masa sekarang?

ISMAIL: Makna liberalisme itu sendiri kita boleh faham yang mana ia bererti bebas berfikir dan berbuat apa sahaja asal tidak mengganggu kebebasan orang lain. Oleh itu ada seseorang yang berpegang kepada ini akan bebas bercakap mengenai apa sahaja mengenai agama mengikut cita rasa mereka. Namun apakah benar ia tidak mengganggu orang lain kerana hakikatnya ia mengganggu orang Islam yang masih berpegang teguh kepada ajaran sebenar. Prinsip bagi mereka yang berpegang kepada pluralisme agama ada dua iaitu pertama berpegang kepada sapere aude. Ia bermaksud berani menggunakan akal dan kefahaman sendiri dalam hal ehwal agama tanpa bantuan orang lain. Ini yang dikatakan oleh seorang ahli falsafah Jerman, Emmanuel Kant dan ia diikuti oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau pernah mengatakan bahawa, “lebih dua dekad lalu saya cuba hayati semangat sapere aude“. Berdasarkan prinsip sapere aude inilah beliau bercakap ikut suka dalam memberi interpretasi tentang Islam.

Dalam sebuah buku, Apa itu Pencerahan yang ditulis oleh Kant dan diterjemah serta diterbit Institut Kajian Dasar (IKD), yang mana Khalid Jaafar yang juga arkitek liberalisme dan pluralisme agama negara ini, dalam kata pengantarnya pernah menyatakan, “ia membebaskan tenaga fikiran manusia melalui penggunaan akal sebagai alat menyoal siasat sistem politik dan amalan beragama. Ini adalah sesuatu yang bahaya dan ini jugalah prinsip berfikir Anwar bersama orang-orangnya.

Prinsip kedua seperti yang dinyatakan oleh Nurcholish Madjid, yang juga bapa liberal dan pluralisme di Indonesia bahkan Nusantara, mereka berpegang bahawa al-Quran itu sendiri adalah liberal. Nurcholish inilah yang dijadikan mentor oleh IKD kerana mereka ini tidak mempunyai idea dan kekuatan intelek. Mereka bebas memberi interpretasi mengenai kandungan al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim bersama Profesor Osman Bakar. Padahal bukan semua boleh memberi interpretasi dan mentafsirkan tentang kandungan al-Quran.

Apa sebenarnya agenda Islam liberal di negara ini?

ISMAIL: Jika mengikut ideologi Islam liberal Indonesia, Lutfi Shaukani antaranya yang berkata agenda liberal Islam adalah agenda politik. Mereka bukan sahaja setakat mahu menyebar fahaman Islam liberal tetapi mempunyai agenda politik. Menurut fahaman mereka untuk membentuk sistem pemerintahan ia adalah fahaman dan bikinan manusia. Apa yang dilakukan itu adalah pilihan manusia dan bukan telah ditetapkan oleh Tuhan dan syariat. Padahal dalam Islam sudah lengkap segalanya termasuk sistem politik. Namun bagi mereka sistem politik mereka adalah mengikut akal dan hawa nafsu semata-mata selain perlu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana autoriti. Agenda kedua mereka adalah untuk mewujudkan teologi pluralisme.

Seterusnya mereka ini konon-kononnya mahu membebaskan wanita dengan memberi hak sepenuhnya sehingga boleh menceraikan suami dan sebagainya. Semua sistem ini mahu dirombak mereka. Seterusnya adalah untuk memberi promosi dan memperjuangkan supaya wujudnya kebebasan berpendapat sepenuhnya atau sebebas-bebasnya. Inilah antara agenda utama mereka yang ternyata sudah jauh terpesong. Mereka kalau boleh mengatakan al-Quran itu adalah ciptaan manusia seperti yang dipegang oleh penulis seperti Salman Rushdie. Orang seperti dia ini telah ditetapkan dalam Islam supaya dihukum bunuh. Tapi ada pula seorang tokoh politik di negara ini yang begitu menyanjung penulis ini bahawa bahasa dan penulisannya begitu hebat sekali dan saya mendengar kata-katanya ini di YouTube. Orang seperti ini bukan sahaja kita tidak boleh berkawan malah nak tengok pun tak boleh.

Ada berapa kelompok Islam liberal ini kalau ustaz boleh dedahkan?

ISMAIL: Terdapat tiga jenis liberal kalau saya boleh huraikan walaupun mungkin terdapat lebih daripada itu. Pertamanya liberal akidah dan golongan ini adalah paling parah. Mereka ini sudah terpesong dan akhirnya akan memegang kepada pluralisme agama. Maknanya agama apa pun boleh duduk dalam satu entiti. Padahal Islam hanya satu dan tidak ada yang lain. Oleh itu bagi mereka yang memegang kepada pluralisme agama, mereka percaya bahawa semua agama adalah sama. Ini adalah sesuatu yang bahaya kerana mereka tidak berpegang kepada tauhid. Padahal konsepsi tauhid Islam adalah terlalu jauh berbeza dengan erti tauhid bukan Islam. Sebab itu Anwar dan orang-orangnya di IKD menyatakan bahawa nama Allah itu boleh dikongsi bersama dengan bukan Islam sedang nama Allah itu adalah sesuatu yang sangat eksklusif. Ini jelas bahawa Allah adalah tidak beranak dan diperanakkan yang berbeza dengan fahaman agama Kristian dan Yahudi. Satu fahaman liberal akidah ini adalah salvation atau keselamatan.

Dalam ucapan Anwar di London School of Economics (LSE) beliau mengatakan ada keselamatan di luar Islam dan ini bermakna semua penganut agama boleh masuk Islam. Malah seorang pensyarah Seyyed Hossein Nasr yang turut dijadikan idola oleh seorang pensyarah di negara ini pernah menyatakan bahawa adalah tidak adil Tuhan jika orang bukan Islam juga turut masuk neraka. Pernah dalam satu persidangan di Phuket beberapa tahun lepas, salah seorang anak murid Seyyed Hossein Nasr berkata orang Hindu yang rajin pergi ke kuilnya akan masuk ke Syurga seperti orang Islam. Golongan ini berpegang bahawa semua orang tidak mengira agama akan masuk syurga dan ini adalah sangat bercanggah dengan Islam seperti dalam Hadis Nabi SAW: “Hanya satu kumpulan yang berjaya masuk syurga iaitu kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah”. Kalau tidak apa guna Nabi SAW mengajak orang Yahudi dan Nasrani masuk Islam dan menjalankan dakwah sehingga ada sahabat Nabi SAW terbunuh oleh orang Musyrik.

Bagaimana dengan kelompok kedua dan seterusnya?

ISMAIL: Kelompok seterusnya adalah liberal syariat seperti membenarkan kahwin campur. Ini yang cuba diketengahkan oleh puak-puak ini padahal ia adalah jelas dilarang oleh Islam dan ini akhirnya merosakkan pendirian umat Islam itu sendiri. Malah buku-buku seperti ini diterbitkan oleh IKD yang jelas mempunyai kaitan dengan Anwar. Menariknya buku-buku mengenai fahaman ini turut diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Kemudian bagi yang percaya kepada fahaman liberal syariat ini mereka boleh dan dibenarkan membuat maksiat sewenang-wenangnya. Sebab itu terdapat pihak yang begitu beria-ia mempertahankan golongan LGBT dan tidak membenarkan sesiapa menahan kehendak mereka. Padahal perkara ini sangat jelas dalam Islam dan pihak pemerintah perlu tegas dalam perkara ini. Sebab itu mereka berpegang kepada liberal syariat dan mereka menentang sebarang penahanan polisi sosial.

Seterusnya adalah liberal dari segi akhlak. Mereka ini melihat soal akhlak adalah soal individu. Kerajaan tidak boleh campur tangan dalam soal akhlak individu dan oleh kerana itu seorang ahli politik negara ini mengatakan jika seseorang mahu melakukan maksiat di rumah mereka itu adalah terpulang kepada individu. Jika kita tidak menghalang perlakuan ini berlaku maka masyarakat kita adalah terdiri daripada masyarakat binatanglah. Padahal binatang pun telah ditetapkan peraturan oleh tuannya. Sebab itu kita lihat golongan ini tidak ada segan silu membuat maksiat terang-terangan. Sebab itu jika kita membiarkan golongan Islam liberal ini berleluasa struktur Islam itu runtuh sama ada dari segi akidah, syariat dan akhlak.

Mungkin ada hujah atau pandangan kukuh bagaimana untuk menolak sama sekali fahaman sebegini?

ISMAIL: Bagi golongan ini mereka berpandangan bahawa Islam itu adalah inklusif dan memasukkan semua agama. Kita perlu tolak fahaman bahawa Islam itu inklusif walaupun Anwar kata wujud pluralisme agama. Pihak ini sering menggunakan hujah tasauf untuk membenarkan liberalisme dan pluralisme agama maka saya mahu mengemukakan hujah mengenai kedangkalan mereka melalui pemahaman tasauf. Dalam perbincangan usuluddin dan akidah, para ahli usuluddin berpandangan bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar. Dalam kitab Usuluddinyang dikarang oleh Ibnu Khohir al Baghdadi, mengatakan terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: Jika sekiranya Nabi Musa AS itu hidup, tidak beliau akan meneruskan syariatnya melainkan beliau mengikut syariat saya (Nabi Muhammad SAW). Ini jelas menunjukkan bagaimana eksklusifnya Islam.

Hujah kedua, bagi mereka yang berpegang kepada Islam liberal ini, mereka selalu mengeluarkan hujah tasauf tinggi. Ibnu Arabi yang juga seorang guru besar dalam bidang tasauf ada menyatakan bahawa, sekiranya rasul-rasul hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW, pastinya mereka akan mengikut baginda. Hujah ketiga adalah seperti yang dinyatakan dalam kitab Dur Al Nafis yang dikarang oleh Muhammad Nafis Al Banjari, pertama; Dan berpeganglah engkau kepada syariat Muhammadiah, kedua; Jangan melampaui syariat Muhammadiah. Jadi adalah wajib untuk melaksanakan syariat Nabi Muhammad jika tidak maka kita akan jadi kafir. Hujah keempat seperti yang dinyatakan oleh Abdul Karim Al Gili dalam bukunya Al Insannul Kamil, beliau menyatakan bahawa agama baginda Rasulullah SAW adalah sebaik-baik agama daripada semua agama. Sesiapa yang menganut agama agama selain agama yang dibawa baginda SAW adalah sesat dan akan diazab dengan dahsyat di neraka. Ini jelas menunjukkan tidak ada pluralisme agama. Yang ada hanyalah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Hujah terakhir dalam kitab Mausuah al Ijma karangan Saadie Abu Jayb jilid pertama muka surat 96, beliau ada menjelaskan tidak ada agama melainkan Islam. Telah diijmakkan bahawa sesungguhnya Islam adalah Ad-Din yang mana difardukan oleh Allah ke atas manusia dan jin.

Maka adalah jelas bahawa pluralisme agama adalah fahaman yang sama sekali perlu ditolak?

ISMAIL: Islam menolak pluralisme agama, akan tetapi Islam tidak menolak pluraliti agama dan menerima hakikat kewujudan berbagai agama, bangsa, puak, budaya, bahasa dan sebagainya di bumi Allah ini. Islam mengiktiraf hak-hak mereka, yakni hak orang bukan Islam untuk hidup dan beramal dengan ajaran dan kepercayaan keagamaan mereka. Hal ini jelas dalam sejarah negara Islam Madinah al-Munawwarah dengan Sahifah Madinah yang terkenal itu, yang mana orang yang berlainan agama dari agama Islam, diberi perlindungan dan kebebasan yang optimum dalam kegiatan keagamaan mereka. Pengusung pluralisme agama menuduh penentang tidak memahami secara benar gagasan atau konsep pluralisme agama mereka. Pada hakikatnya, merekalah yang naif, tidak memahami dan tidak dapat membezakan antara pluraliti dengan pluralisme dan salah dalam memahami kewujudan pelbagai agama dan bangsa di Madinah al-Munawwarah itu.

Penentang pluralisme agama dari awal-awal, sudah menerima hakikat kewujudan pelbagai agama di dunia ini, hatta sejak zaman Nabi SAW lagi. Golongan Pluralis ini telah jatuh ke dalam gaung kesesatan yang dalam apabila mendakwa dan berpendirian bahawa pelbagai agama yang wujud di zaman Nabi SAW itulah pluralisme agama. Kalau semua agama itu sama, tidak perlu lagi Nabi SAW dan sahabat-sahabat berdakwah dan berjihad, mengajak orang bukan Islam menganut Islam bahkan memerangi orang murtad. Demikian juga dalam masyarakat yang berbagai bangsa, agama dan budaya yang bersifat kosmopolitan di zaman Damsyik dan Baghdad, tidak terdapat catatan yang ulama menyamakan agama Islam dengan agama lain. Kosmopolitan bukan baru bagi masyarakat Islam. Maka diversiti dan pluraliti agama serta kosmopolitan bangsa dan budaya dalam negara Islam itu tidak menukar akidah dan syariat mereka.

Kongres Masa Depan Islam – 25 Mac 2012

Tiga NGO bidas kenyataan Abdul Hadi

KUALA LUMPUR 18 Mac – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan kenyataan beliau semalam yang membenarkan orang Islam bekerjasama dengan Yahudi bukan berfahaman Zionis.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmadberkata, adalah tidak wajar untuk seorang ulama mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana tanpa disedari ia telah memberi implikasi negatif dan prejudis terhadap masyarakat Malaysia.

”Abdul Hadi memang cuba menyelamatkan maruah dan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terjejas teruk akibat menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel.

”Tidakkah beliau terfikir bahawa perkataan ‘Yahudi’ itu telah menggambarkan hegemoni Zionis dan Zionis itu membawa maksud negatif dalam benak fikiran masyarakat dunia hari ini?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian Abdul Hadi yang menyatakan sokongan terhadap mana-mana pihak termasuk umat Islam dalam mengadakan kerjasama serta hubungan dengan Yahudi yang tidak berpegang kepada ideologi Zionis.

Ismail Mina berkata, meskipun Abdul Hadi cuba menyamakan konsep kerjasama antara bangsa Yahudi dengan masyarakat Islam di zaman Nabi Muhammad SAW, ia tetap tidak boleh diterima kerana situasi politik ketika itu terlalu berbeza dengan suasana hari ini.

Sementara itu Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Aminuddin Yahaya pula berkata, Abdul Hadi tidak perlu menyatakan pandangan sedemikian kerana sememangnya hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan Yahudi telah terbentuk sejak azali kecuali hubungan diplomatik.

Justeru kata beliau, kenyataan tersebut adalah semata-mata propaganda parti yang sebenarnya bertujuan membantu memperkukuhkan kenyataan Anwar demi menarik semula kepercayaan rakyat terhadap Ketua Pembangkang itu.

”Semestinya Abdul Hadi perlu membuat kenyataan menyokong Anwar, tetapi beliau tidak membuat secara langsung. Tetapi rakyat hari ini sudah bijak, sudah tentu kita tahu sokongannya itu adalah kesinambungan daripada kenyataan Anwar,” katanya.

Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun pula menyifatkan Abdul Hadi sebagai pemimpin masyarakat Islam yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga perasaan masyarakat negara khususnya orang Islam.

”Abdul Hadi boleh cakap apa sahaja sehingga lupa perjuangan agama dan bangsa asalkan terus popular.

”Tetapi beliau terlupa bahawa kenyataannya itu boleh membawa padah bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga kepada penyokong Pas dan rakyat negara ini,” katanya.

dipetik dari Utusan Malaysia

Al-Fatihah – Sdr. Haji Awwaluddin Juffery

MUAFAKAT mengucapkan takziah kepada keluarga ahli kami, Sdr. Haji Awwaluddin b Juffery yang meninggal dunia pada 17hb Mac 2012 di Kulim Kedah.

Arwah yang menyertai Kayuhan Gaza di Kulim tiba di tempat tamat kayuhan pada jam 10 pagi tiba-tiba muntah dan jatuh selepas turun dari van yang dinaiki.

Sahabat-sahabt yang bersama beliau membawa masuk ke dalam surau berdekatan surau dan menghembuskan nafas akhirnya di situ.

Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk pengesahan kematian dan dimandikan dan solat sebelum dibawa pulang ke Kempas, Johor pada jam 5:30 petang.

Jenazah selamat tiba di Johor jam 1.30 pagi dan dikebumikan keesokkannya jam 2.00 petang.

Allahyarham Awwaluddin adalah salah seorang aktivis yang cergas dengan pelbagai persatuan. Arwah adalah di antara ahli yang sentiasa hadir untuk Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) MUAFAKAT walaupun terpaksa datang dari Johor dengan menaiki pengangkutan awam.

Arwah yang juga dilantik sebagai Pemeriksa Kira-kira MUAFAKAT kali terakhir bersama kami dalam MAT ke 7, dua minggu lalu, sentiasa banyak mengutarakan pelbagai cadangan dan buah fikiran.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah. Ameen.

Kongres Masa Depan Islam (KMDI)

KONGRES MASA DEPAN ISLAM (KMDI)

“Kesatuan Menjamin Masa Depan Ummah”

anjuran bersama:

25 Mac 2012 (Ahad)

Hotel De Palma, Shah Alam, Selangor

8:00 pagi – 5:00 petang

Para Pembentangan Kertas Kerja:

  • Ustaz Ismail Mina (Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia – MUAFAKAT)
  • Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman (Presiden Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA)
  • Dr. Firdaus Hanapiah (Naib Presiden Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukhuwah Ummah – PRO-MUSLIM)

Forum : Kesatuan Menjamin Masa Depan Ummah

Tayangan video khas

Pendaftaran adalah PERCUMA

[Tempat TERHAD]

Sila daftar segera, hubungi:

Sdr. Nasrul: 012-650-6404

Sdr. Wan Burhan: 016-395-6497

Perlantikan Ahli JPP Baru Untuk Tahun 2012-2015

Mesyuarat Agung Tahunan MUAFAKAT kali ke 7 berlangsung di pejabat MUAFAKAT di Taman Melawati pada 3hb Mac 2012 dipengerusikan oleh Dato Dr. Nik Mohd Zain Nik Yusof

Dalam ucapan dasar Pemangku Presiden, Dato Haji Ahmad Ismail mengingatkan para ahli dan kepada semua pendakwah agar kita tidak taksub kepada individu dan sesuatu organisasi sehingga tidak mengguna pertimbangan ilmu apabila menghadapi sesuatu masalah atau isu.

Pemangku Presiden turut menyatakan hasratnya  untuk tidak memegang apa-apa jawatan dalam pimpinan MUAFAKAT. Beliau kemudian dilantik sebagai sebagai Pengerusi Tetap untuk tahun 2012-2015. Timbalan Pengerusi Tetap adalah Sdr.Dato’ Zakaria Hashim.

Selepas pembentang dan meluluskan minit Mesyuarat Agung tahun lepas, laporan tahunan 2011 dan penyata kewangan 2011 mesyuarat kemudian melantik barisan baru Jawatankuasa Pimpinan Pusat (JPP) untuk tempoh 2012-2015.

Barisan pimpinan baru adalah seperti berikut:

Presiden: Sdr. Haji Ismail Mina Ahmad

Timbalan Presiden: Sdr. Haji Mohd Amin Hashim

Naib Presiden: Sdr. Dr. Wan Adli Wan Wan Ramli

Setiausaha Agung: Sdr. A. Karim Omar

Penolong Setiausaha Agung: Sdr. Ahmad Shaiful Alwi

Bendahari: Sdr. Dato Dr. Nik Mohd Zain Mohd Yusof

Barisan lapan (8) orang lagi ahli JPP yang dilantik akan diumumkan dalam masa terdekat.

MUAFAKAT Membantah Resolusi UNHRC Berkenaan LGBT dan Hak Kebebasan Beragama

 MUAFAKAT bersama dengan PEMBELA dan gabungan NGO-NGO yang menyokong kenyataan media berikut:

 

KENYATAAN AKHBAR PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)

1 HARIBULAN MAC 2012 BERSAMAAN 8 RABIUL AKHIR 1433

MEMBANTAH GERAKAN UNTUK MENERIMA DAN MENYEBARLUASKAN KANDUNGAN RESOLUSI 17 JUN 2011, PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BERKENAAN ORIENTASI SEKSUAL & IDENTITI GENDER DAN HAK KEBEBASAN BERAGAMA

 

Pada 17 Jun 2011, Majlis Hak Asasi Manusia (HAM) Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu telah meluluskan suatu resolusi berkenaan apa yang didakwa sebagai pencabulan hak asasi manusia berdasarkan orientasi seksual dan identiti gender. Walaupun mendapat sokongan yang kecil (hanya 23 negara yang menyokong), resolusi ini telah diluluskan dan bakal menzahirkan akibat yang sangat besar terhadap kelangsungan tamadun manusia dan kehidupan beragama. Resolusi ini terhasil dari tafsiran yang dangkal dan dimanipulasi mengenai fitrah seksual manusia, norma-norma kehidupan beradab serta menafikan peranan dan pengaruh agama di dalam kesejahteraan manusia. Resolusi tersebut meletakkan golongan LGBT di tempat yang salah, dengan memberikan pengiktirafan yang mengelirukan kepada mereka tanpa menyelesaikan permasalahan sebenar mengikut lunas agama dan nilai-nilai sebenar kemanusiaan.

 

PEMBELA mengikuti dengan prihatin beberapa perkembangan yang berlaku susulan tindakan meluluskan resolusi tersebut, termasuk meneliti aktiviti-aktiviti serta tindaklaku NGO-NGO Hak Asasi Manusia (HAM) tempatan yang bertopengkan perjuangan anti-diskriminasi untuk menyemarakkan kandungan resolusi tersebut. Ini termasuklah penganjuran siri-siri program seperti Seksualiti Merdeka yang kononnya memperjuangkan mereka yang ditindas sebagai minoriti oleh kerana mengamalkan orientasi seksual di luar tabie.

 

PEMBELA sebagai gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam yang insaf dan bertanggungjawab terhadap kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, menegaskan bahawa latarbelakang yang membentuk Perlembagaan Persekutuan adalah didasarkan pada sistem nilai yang mempunyai kerangka jelas, berwibawa serta telah disepakati umum di sepanjang sejarah pembinaan Negara. Islam sebagai Agama Negara (the religion of the Federation) merupakan INTIPATI UTAMA yang mewarnakan sistem nilai tersebut, di samping aspek asas-asas sejarah dan kebudayaan masyarakat yang telah disepakati sekian lama. Justeru sebarang usaha untuk mengenegahkan nilai-nilai yang menyalahi fitrah kemanusiaan sepertimana yang cuba dibawa menerusi Resolusi PBB tersebut hendaklah ditentang sehabis-habisnya bagi mengelakkan kekeliruan serta gangguan terhadap kemaslahatan masyarakat secara umum.

 

PEMBELA merakamkan rasa kekhuatiran yang sangat mendalam berkenaan penyertaan Malaysia di dalam Persidangan Sesi Ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang akan berlangsung mulai 5 Mac 2012 di Geneva, Switzerland. Melihat pada respons serta tindaklaku mereka yang memperjuangkan hak-hak LGBT, proses ini bakal dijadikan landasan bagi NGO-NGO HAM tempatan mengambil kesempatan untuk terus mengelirukan masyarakat menerusi tekanan yang dikenakan terhadap Kerajaan Malaysia untuk tunduk mengikut apa yang kononnya dikatakan sebagai “international standards and laws” untuk membenarkan nilai dan amalan orientasi seksual dan identiti gender yang songsang dan bertentangan dengan semangat dan aspirasi Perlembagaan Persekutuan disebarluaskan di kalangan masyarakat umum.

 

PEMBELA mendesak pihak Kerajaan Malaysia agar meneruskan bantahan terhadap usaha-usaha yang melatari hasrat untuk melaksanakan Resolusi PBB tersebut. PEMBELA juga mendesak masyarakat Malaysia agar menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya bukan sahaja terhadap Resolusi PBB tersebut, tetapi juga terhadap sebarang usaha untuk mengenengahkan orientasi songsang LGBT ini sebagai suatu cara hidup masyarakat Malaysia.

 

PEMBELA komited dalam meneruskan kempen kesedaran untuk menyemarakkan kefahaman masyarakat terhadap bahaya kesan resolusi PBB ini terhadap masyarakat serta melibatkan NGO-NGO Islam di dalam proses membantah pelaksanaan resolusi tersebut di pelbagai peringkat.

 

PEMBELA juga mendesak Kerajaan Malaysia agar lebih serius dalam menegaskan kedudukan kebebasan beragama yang dinikmati oleh semua pihak di Negara ini. Hak kebebasan beragama yang dinikmati oleh  penganut-penganut agama-agama bukan Islam mengatasi hak kebebasan yang diberikan oleh negara-negara lain di dunia termasuk negara-negara maju yang kononnya mengagungkan hak kebebasan beragama. Malaysia adalah satu-satunya negara yang meraikan hari perayaan agama-agama lain sebagai cuti umum. Malaysia juga adalah satu-satunya negara yang bertoleransi hingga ke tahap tempat-tempat ibadat agama lain dari agama Negara lebih besar dan lebih tinggi berbanding masjid. Malah tempat-tempat sembahan yang didirikan secara menyalahi undang-undang juga dihormati dan tidak dirobohkan sesuka hati tanpa mematuhi prosedur.

 

PEMBELA menuntut supaya kumpulan-kumpulan yang sengaja mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat untuk menjatuhkan imej hak asasi Negara di mata dunia ditangani secara berkesan termasuk mengambil tindakan undang-undang secara serius sekiranya mereka bergantung kepada pembiayaan pihak luar demi mencemarkan nama baik dan kedaulatan Negara.

 

PEMBELA juga menuntut supaya semua pihak untuk menghormati kedaulatan sistem perundangan Negara yang telah memutuskan bahawa hak kebebasan beragama di negara ini TIDAK TERMASUK HAK UNTUK MURTAD bagi seseorang yang beragama Islam.

 

PEMBELA juga menuntut supaya semua penganut agama lain untuk menginsafi bahawa kedaulatan Agama Islam sebagai Agama Negara mesti dihormati secara jujur dan sebarang usaha untuk mencemar dan menghina Agama Islam sebagai Agama Negara mesti dihentikan bagi menjamin kelansungan kehidupan harmoni rakyat Negara ini.

 

PEMBELA juga menuntut supaya semua penganut agama lain menginsafi bahawa tidak semua amalan beragama yang sedang mereka kecapi di Negara ini dapat dirasai oleh penganut seagama dengan mereka di negara asal agama mereka, sehinggakan terdapat amalan-amalan keagamaan yang diamalkan di negara ini hanya dapat diamalkan di Negara ini sahaja. Justeru, sebarang usaha untuk memburukkan rekod toleransi beragama di Negara ini adalah pengkhianatan terhadap Negara dan perlu dibenteras hingga ke akar umbi.

 

 

Aminuddin Yahya

Pengerusi

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

 

Pertubuhan-pertubuhan yang bersama menyokong bantahan ini:

 

  1. Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
  2. Haji Mohamed Jamaluddin Shamsuddin, Pengerusi, Majlis Ikatan Badan Amal Islami Wilayah Persekutuan (IKATAN)
  3. Dato’ Ahmad Haji Ismail, Pemangku Presiden, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
  4. Haji Abdul Latif Shataran Abdullah, Presiden, Persatuan Dakwah & Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia (Al-Hidayah)
  5. Mohd Hafiz Nordin, Presiden, Gabungan Bela Hak Insan (GABUNGAN)
  6. Hj. Shamsul Ma’arif bin Hj. Ismail, Yang Dipertua, Pertubuhan IKRAM Selangor
  7. Haji Ismail Mina Ahmad, Presiden, Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI)
  8. Hj. Shaari Ahmad Junid, Bendahari, Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah (JAM’IYAH)
  9. Haji Shafie Patt, Setiausaha Agung, Persatuan Darul Fitrah
  10. Azril Mohd Amin , Pemegang Amanah, Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI)
  11. Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden, Ikatan Muslimin Malaysia
  12. Kamaruzaman Mohammad, Presiden, Front Anti Murtad (FORKAD)
  13. Tan Sri Ibrahim Abu Shah, Presiden, Pertubuhan Melayu Insaf Kreatif Malaysia
  14. Haji Mansoor Ahmad, Presiden, Pertubuhan Profesional Muslim & Ukhuwah Ummah (Pro-Muslim)
  15. Hajah Sabariah Abdullah, Setiausaha Agung, Islamic Information and Services Foundation (IIS)
  16. Karim Omar, Pemegang Amanah, Khalifah Institute
  17. Mohammad Nizam Mahshar, Pengerusi, Pergerakan Penyelidikan & Pembangunan Komuniti (KOMUNITI)
  18. Nurfitri Amir Mohd, Presiden, Pertubuhan Menangani Gejala Sosial (UNGGAS)
  19. Salman Abdul Rahman, Setiausaha Agung, Pertubuhan Belia Islam Nasional, (PEMBINA)
  20. Syed Hassan bin Syed Ali, Setiausaha Agung, PERKASA
  21. Mohamad Raimi Abd Rahim, Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  22. Norman Toha, Setiausaha Agung, Pertubuhan Jalur Tiga (JATI)
  23. Datin Reny Rahayu Mohd Ishak, Presiden, Gabungan NGO Malaysia (gabungan 600 NGO)
  24. Izzat Anwari Hasni, Naib Yang DiPertua, Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API)
  25. Ustaz Rosli Osman, Naib Yang DiPertua, Persatuan Ulamak Malaysia, Pulau Pinang
  26. MS Anuar Mahmood, Presiden, Pertubuhan Kebajikan & Sosial Malaysia, (PRIHATIN)
  27. Ustaz Kamaruddin Kassim, Urusetia, LANDAS Malaysia
  28. Aziz Man, Presiden, Muafakat Warga Desa Kedah (RURAL)
  29. Kamarul Irzwan bin Busu Piah, Penolong Setiausaha Agung, Perwaris Malaysia,
  30. Mohd Hilmi Ramli, Timbalan Pengerusi, Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM)
  31. Musa Awang, Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
  32. Kapt. Dr. Shamsuddin Moner, Penyelaras, Sukarelawan Al-Falah (SAF) YADIM
  33. Dato Dr. Maamor Othman, Presiden, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
  34. Haji Naser Disa, Pemegang Amanah, Dewan Amal Islami (DAMAI)
  35. Ustaz Mohd Fitri Abdullah, Pengarah Unit Dakwah, Persatuan Perubatan Islam Darul Syifa’
  36. Dato’ Haji Hasbullah L. Isa, Setiausaha Kerja, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)
  37. Dato Dr. Haji Mat Yasir Ikhsan, Presiden, Majlis Gabungan NGO Selangor
  38. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, (PKPIM)
  39. Ustaz Shahrin bin Awaluddin, Pengarah Eksekutif, Perhimpunan Belia Muslim Sedunia (WAMY) Malaysia
  40. Cikgu Azmi Abdul Hamid, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
  41. Feriz Omar, Presiden, Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
  42. Badan Anti Liberal Islam (BADAi)
  43. Persatuan Anak Jati Melayu PulauPinang (PAJIM)
  44. Pusat Pemulihan Raudhatul Huda (RH)
  45. Forum Penyelarasan Ummah (FORUM)