Archive for the ‘Wacana Pemikiran & Peradaban Ummah’ Tag

Tujuan Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012

TEMA:

Dakwah Islamiyyah Sebagai Kekuatan Ummah

TUJUAN

Malaysia pernah menjadi wilayah Dakwah Islamiyyah terpenting di ‘Alam Melayu pada kurun 14 Masehi. Hasil dari kesungguhan dan keikhlasan para pendakwah yang datang mencurah-curah dari Asia Barat dan Benua Kecil India itu, wujudlah komuniti Islam yang terasnya berbangsa Melayu di sini. Komuniti Islam Melayu ini berkembang pesat dan lebih pesat dan mantap lagi, apabila Pemerintah pada masa itu, memeluk Agama Islam Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah dan menjadi penaung dan mesra kepada kegiatan keIslaman bahkan melebarkan lagi jaringan dakwah.

Ahli-ahli dari komuniti Islam Melayu ini kemudiannya merantau keluar negeri terutamanya di Asia Barat dan Benua Kecil India dalam jihad mencari dan memperdalamkan lagi ‘Ilmu-‘Ilmu Islam. Apabila kembali ke Tanah Air, mereka menjadi Pendakwah Islam Tulin, kerana mereka bergerak dalam bidang keilmuan dan keintelektualan – ‘ilmu dan faham ‘ilmu yang betul adalah asas pembinaan manusia dan tamaddun. Mereka membuka Pusat Pendidikan, mengarang karya asli dalam Bahasa Melayu, menterjemah dan menyadur kitab-kitab besar dari literatur Islam dalam pelbagai subjek. Semua kegiatan keilmuan dan keintelektualan mereka, adalah dalam world view, ontologi, epistemologi dan aksiologi Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah.

Kesan dari kegiatan keilmuan dan keintelektualan Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah ini dan dengan barakah dan keikhlasan serta kepandaian para Muballigh itu mengurus ‘ilmu serta kemahiran mereka mendidik masyarakat – tiada apa-apa kepentingan Duniawi – maka masyarakat Islam Melayu dapat menikmati keharmonian dan kesejahteraan dalam beragama dan bermasyarakat, malah bernegara. Tidak ada kegoncangan sosial dan tidak ada kegoncangan dalam pegangan keagamaan. Masyarakat Sejahtera. Inilah era Kegemilangan Dakwah!

Namun, akhir-akhir ini, masyarakat Islam Malaysia seperti kehilangan arah. Para pendakwah yang sepatutnya menjadi pemandu dan penyuluh, juga telah kehilangan arah dan tidak berfungsi dengan baik.

Dalam hubungan ini, kita di Malaysia, wacana Dakwah Islamiyyah mesti berlandaskan dalam dua perspektif. Pertama, perspektif kekuasaan dan kedua, perspektif wacana keilmuan dan keintelektualan.

Dari pespektif kekuasaan, Wacana Dakwah Islamiyyah dari sejarahnya, menunjukkan bahawa, usaha dakwah adalah bertujuan untuk meluaskan kekuasaan Islam dan mengekal serta memantapkannya, sebab itu kita lihat dalam Sirah Nabawiyyah dan sejarah perjalanan Ummah Islamiyyah, terdapat kegiatan pembukaan wilayah-wilayah baru Islam. Maka dengan Rahmat Allah S.w.T. dan dengan kebijaksanaan orang-orang terdahulu, kita di Malaysia, dapat meletakkan Agama Islam sebagai Agama bagi Persekutuan di dalam Perlembagaan kita. Ini suatu nikmat yang besar kepada kita. Maka, oleh kerana kita sekarang berada dalam era pemerintah yang bersifat terbuka dan mesra dakwah, kita perlu gerakkan usaha dakwah berlipat ganda, lebih tersusun dengan jaringan yang efektif dan menjadi rakan Umara’ dalam membina semula tamaddun Malaysia seperti dahulu itu. Dakwah Islamiyyah bukan bermaksud untuk memecah belah dan permusuhan sesama Islam dan bahkan bukan untuk menjahanamkan Negara Ummat Islam seperti Malaysia ini. Kestabilan sosio-religio-politik mesti dipelihara dalam usaha Dakwah kita ini.

Dari perspektif dan dimensi keilmuan dan keintelektualan pula, serangan pemikiran dan falsafah Liberalisme dan Pluralisme Agama, benar-benar menjadi ancaman kepada keharmonian dan kestabilan kehidupan keagamaan dan kemasyarakatan di Negara kita ini. Para Pendakwah, wajar peka dalam isu penularan fahaman dan pemikiran Liberalisme-Pluralisme Agama ini ke dalam masyarakat kita.  Ketika kita masyarakat Islam bergelut menolak fahaman ini, ada di kalangan orang Islam dan parti politik, yang mewajarkannya dan yang menjadi lebih malang lagi, ada parti politik yang menisbahkan mereka sebagai parti politik yang mahu memperjuangkan Islam, bersekongkol malah membuat bai‘ah-tahalluf dengan golongan ini.  Para Pendakwah perlu pandai membaca sejarah perjalanan religio-politik Ummat Islam.

Sejarah telah membuktikan kepada kita, apabila pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama berada di koridor kuasa seperti di tangan Maharaja Akbar di India pada kurun 17 Masehi dahulu, ajaran Agama Islam menjadi benar-benar hancur, bukan kerana peperangan fizikal sesama sendiri, tetapi hancur oleh kerana fahaman agama Akbar itu yang berfahaman semua agama sama benar, dalam makna Agama Islam bukan Agama yang paling benar. Justeru, dalam konteks kita di Malaysia, para Pendakwah mesti menggunakan apa sahaja cara untuk menyekat, supaya kekuasaan tidak jatuh ke tangan penguasa seperti Maharaja Akbar itu. Jika golongan Liberalisme dan Pluralisme ini berkuasa, kita hampir pasti, tindakan sulong mereka yang paling utama yang akan berlaku ialah mereka akan merubah Perlembagaan, yang kini Islam sebagai Agama Persekutuan, seperti tindakan Maharaja Akbar dahulu, yang menukar Perlembagaan Empayar Moghul yang berteraskan kepada Syari‘at Islam Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah kepada agama baru yang bernama Dīn Ilāhi atau Pluralisme Agama.

Maka, dalam Wacana dua hari ini, kita akan berbincang mencari kesepakatan resepi dan kaedah, sebagai penawar yang mujarab, untuk menyekat gejala-gejala subversif, negatif, militansi dan fahaman dekonstruktif yang bercanggah dengan konsep Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah dalam usaha Dakwah kita itu. Ini adalah landasan yang betul dalam usaha kita mengembalikan Malaysia, sebagai koridor wacana keilmuan dan keintelektualan serta menjadi Pusat Dakwah Islamiyyah yang dihormati, seperti yang pernah kita nikmati dahulu.

PESERTA

Jangkaan seramai 1,000 orang peserta akan hadir untuk seminar ini yang dijemput dari kalangan:

  • Pegawai Kerajaan dari Kementerian, Jabatan Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri
  • Pegawai Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan pejabat-pejabat Mufti
  • Pegawai dan pengurus agensi swasta dan syarikat GLC
  • Pemimpin politik
  • Pemimpin Kesatuan sekerja dalam Kerajaan dan luar
  • Warga Pendidik – Majlis Guru Besar-Pengetua
  • Persatuan Guru-guru agama dan akademik
  • Pemimpin Belia
  • Pemimpin Mahasiswa
  • Persatuan akademik dan non akademik IPTA dan IPTS
  • Pemimpin Masyarakat Masjid, Surau, persatuan penduduk
  • Persatuan pakaian seragam
  • Warga pemelihara keamanan

MASA

Program ini akan mengambil masa selama dua hari.

Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012

Wacana Pemikiran & Peradaban Ummah ke 4

Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012

Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah

Anjuran:

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

 

TARIKH:

8 – 9 Oktober 2012

Bersamaan

22 – 23 Zulkaedah 1433H

Isnin dan Selasa

TEMPAT:

Dewan Merdeka

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

Kuala Lumpur

Tajuk-tajuk kertas-kerja:

  • Dakwah Sebagai Teras Induk Perjuangan menegakkan Islam
  • Dakwah Islamiyyah Sebagai Madrasah Pengukuhan Aqidah
  • Dakwah Islamiyyah Dalam Membendung Serangan Pasca-Modenisme
  • Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Hegemoni Barat
  • Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Gerakan Pemurtadan Di Malaysia
  • Dakwah Islamiyyah Sebagai Medium Integrasi Nasional
  • Dakwah Islamiyyah Sebagai Instrumen Membina Tamadun
  • Dakwah Islamiyyah Sebagai Mekanisme Utama Ke Arah Membina Masyarakat Diberkati Allah
  • Penulisan Kreatif Dan Peranannya Yang Penting Dalam Dakwah Islamiyyah
  • Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT – SILA HUBUNGI URUS SETIA SEMINAR:

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

No. 25, Jalan Bandar 3, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur

Tel: +603 4107-1025

Fax: +603 4106-1026

 emel: muafakat_malaysia@yahoo.com

Blog: http://muafakatmalaysia.com

Wacana Ancaman Pasca Modernisme dan Kekeliruan Perenialisme

Wacana Pemikiran & Peradaban Ummah 4

Tema:

“Ancaman Pasca Modernisme dan Kekeliruan Perenialisme”

Anjuran Bersama:

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Jabatan Aqidah & Pemikiran Islam – Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tarikh:

30 Jun  2012 (Sabtu)

Masa:

8.00 pagi – 1.00 petang.

Tempat:

Balai Ilmu, Tingkatan 1 Blok A,

Akademi Pengajian Islam

Universiti Malaya

Aturcara:

08:00 pagi  Pendaftaran dan sarapan

09:00 pagi  Bacaan Doa

09:10 pagi  Ucapan Aluan Presiden MUAFAKAT

09:30 pagi  Pembentangan kertas-kerja:

Ancaman Pasca Modernisme Terhadap Aqidah, Akhlak dan Kesejahteraan Negara

Ustaz Muhammad `Uthman El-Muhammady – ISTAC – UIA

Kekeliruan Perenialis Terhadap Konsep Nasakh

Dr Wan Adli Wan Ramli – Jabatan Aqidah & Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam UM

12:00 tgh   Sesi soal jawab

01:00 ptg   Makan tengahari, solat dan bersurai