Archive for November, 2011|Monthly archive page

Utamakan Aqidah Shahihah

Aqidah yang benar adalah teras dan tunjang kehidupan beragama. Tanpa ‘aqidah yang benar, apalah nilainya segala perbuatan dan amalan sholeh di sisi Allah SWT, semuanya akan jadi haba-an mantsura (debu-debu yang berterbangan tanpa sebarang nilai). Malangnya timbul di Malaysia ini sebagaimana juga di lain-lain tempat dalam ini dunia, golongan yang meminggirkan persoalan ‘aqidah dan mengutamakan yang lebih rendah daripadanya. Atas nama ukhuwwah, mereka pinggirkan perbezaan ‘aqidah, atas nama persatuan dan kesatuan, lalu perkara pokok, perkara ‘aqidah dipinggirkan bahkan dipandang sepi. Atas nama perpaduan, maka ‘aqidah dikesampingkan. Bukanlah kita nak kata ukhuwwah tidak penting, persatuan dan kesatuan tidak penting, dan dan dan sebagainya, tapi cuma nak kata bahawa apa-apa pun ‘aqidah benar hendaklah diutamakan.
Inilah yang berlaku dalam umat Islam apabila mereka sanggup memejam mata atas kesesatan Syiah, semata-mata kerana hendakkan persatuan dan perpaduan atau atas nama menjaga ukhuwwah. Berapa ramai ulama kita yang tulus ikhlas yang sentiasa berlapang dada dan bersangka baik telah tertipu dengan mainan puak sesat bergelar Syiah, terutama sekali yang mendakwa diri mereka pengikut Imam – Imam Ahlul Bait yang mulia. Syiah mahu kita untuk menerima mereka sedangkan dalam masa yang sama mereka terus menerus menolak dan menyesatkan kita. Bahkan bukan sahaja kita yang dhaif ini disesatkannya, hatta para sahabat semulia Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq RA pun tidak lepas daripada cacian mereka. Jika pun sekarang mereka mencanangkan bahawa ulama kontemporari mereka melarang mencaci sahabat, tapi sejauh mana keikhlasan dan kesungguhan mereka untuk mematuhi fatwa tersebut, atau fatwa itu hanyalah taqiyyah puak tersebut yang memang terkenal mengamalkan taqiyyah untuk mengelabui mata orang.

Satu ketika terpapar kat YouTube, “Hujjatul Islam” mereka mendakwa bahawa dalam Syiah tiada ajaran menyiksa diri sewaktu menyambut Asyura, tetapi jika itu benar maka kenapa ianya masih dilakukan oleh ramai puak Syiah di Iran, India, Pakistan dan sebagainya??? Kamu biar betul !!!! Adakah “Hujjatul Islam” tersebut sengaja menyembunyikan fakta ini untuk mengelirukan masyarakat kita. Kat Mesia ni pun katanya depa dah mula meratap main pegang-pegang kepala, main pukui-pukui kepala, la ni baru pakai tangan, sikit masa lagi mau depa guna pisau atau belantan gamaknya. La ni kepala depa sendiri depa tepuk, kalau dibiarkan mau kepala kita pulak depa luku…..

Oleh itu marilah kita perkukuhkan benteng Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kepada puak Syiah, kembalikan kepada ajaran yang sebenar, Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang memuliakan para ahli bait dan juga para sahabat Junjungan Nabi SAW.

bahrushofa.blogspot.com

Parlimen: Fahaman Wahabi Tak Sesuai Diamalkan Di Malaysia : Jamil Khir

sumber dipetik dari Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama)– Kerajaan berpendirian bahawa fahaman Muhammad Abdul Wahab (Wahabi) tidak sesat namun ia tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan memandang berat terhadap kekeliruan dan perselisihan faham yang timbul berhubung isu ini tetapi setakat ini ia masih terkawal.

“Kumpulan yang menyokong pegangan Muhammad Abdul Wahab ini tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun apa yang mesti diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang bersangkut dengan masalah furu’iyyah (cabang) yang cuba dibangkitkan mereka,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini Rabu.

Mohd Nor ingin tahu sejauh manakah fahaman Wahabi meresap dalam kalangan masyarakat.

Jamil Khir berkata keputusan itu berdasarkan hasil beberapa perbincangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998).

Ia juga turut dibincangkan dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ke-14 tahun 2000 dan kali ke-20 pada tahun 2002 serta kali ke-23 pada 2003, katanya.

Beliau berkata kesemua keputusan itu adalah untuk menyekat penularan isu atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan dan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.

Kepada soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) tentang aspek ancaman yang boleh dilihat dari gerakan Wahabi, Jamil Khir berkata situasi yang berlaku hari ini adalah khilaf yang diperbesarkan sehingga menimbulkan sensitiviti umat.

“Keadaan ini sekali gus menimbulkan pandangan berbeza kepada kelompok masyarakat. Justeru, demi menjaga kesejahteraan rakyat, kerajaan memberi pendekatan bahawa Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan akidah dalam konteks negara Malaysia dan Mazhab Syafie menjadi pegangan,” katanya.

— BERNAMA

Laporan Wacana Siyasah Syar’iyyah Dalam Akhbar Utusan

sumber: Utusan Malaysia

Kukuhkan kuasa umat Islam

Sebahagian peserta seminar Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah 3 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

KEKELIRUAN masyarakat terhadap sistem dan tafsiran politik negara mengakibatkan berlakunya perselisihan pendapat. Jika tidak bijak ditangani, ia boleh membawa kepada kepincangan yang kritikal.

Dalam konteks politik menurut syariah Islam (siasah syariah), politik tidak hanya melibatkan aktiviti atau usaha mendapatkan kuasa, tetapi lebih penting ia untuk menguruskan kuasa tersebut dalam menegakkan suruhan berdakwah dengan menghayati ajaran Islam.

Siasah syariah merupakan istilah yang berkaitan ilmu mengenai urusan kenegaraan. Sahibul al-Bahr al-Ra’iq menterjemahkan siasah syariah sebagai sebarang langkah oleh pemerintah untuk kepentingan rakyat yang dirasakan baik walaupun tidak berdasarkan nas atau dalil khusus tertentu.

Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik kepada umat manusia untuk menyampaikan risalah-Nya melalui al-Quran. Ia bagi mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam segala aspek termasuk hal kemasyarakatan dan kenegaraan mengikut syariat Allah.

Siasah syariah adalah paksi kepada kejayaan pemerintahan Rasulullah SAW. Baginda pernah mengadakan rundingan bersama pelbagai puak yang berpengaruh daripada kaum Quraisy serta mengikat perjanjian dengan kabilah Arab untuk menyebarkan agama Islam di kelompok atau negara masing-masing.

Bagaimanapun, tidak semua usaha Nabi berjaya kerana baginda tidak bersetuju dengan perundingan yang dimeterai, seperti rundingan baginda bersama Bani Syaiban. Ini kerana mereka memberi syarat untuk mengambil pemerintahan Rasulullah jika dakwah Islam berkesan.

Ini menunjukkan dasar keterbukaan Rasulullah SAW yang melaksanakan kaedah siasah syariah untuk mempertahankan negara walaupun tidak berjaya menyebarkan ajaran Islam.

Oleh itu, Malaysia sebagai negara yang memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan perlu mencontohi dan mengutamakan kaedah siasah syariah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Inilah yang ditekankan oleh Dipertua Yayasan Sofa, Dr. Yusri Mohamad dalam kertas kerjanyaSiasah Syariah Sebagai Instrumen Memelihara Keutuhan dan Kestabilan Negara pada seminar Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah 3 di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor baru-baru ini.

Seminar bertemakan Siasah Syariah Dalam Konteks Religio Politik Semasa Malaysia’ itu dihadiri kira-kira 100 peserta terdiri daripada pelajar UIAM, orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Antara pembentang kertas kerja ialah Presiden Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad; Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama UIAM, Prof. Madya Datuk Dr. Yusoff Mohammad; Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman dan Felo Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin; Exco agama kerajaan Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Razali Shahabudin dan Presiden Wacana, Ismail Mina Ahmad.

Yusri berkata, siasah syariah sangat penting diamalkan kerana ia mampu menawarkan fahaman politik Islam yang dapat mengurangkan pertentangan dan kebencian antara parti politik Islam dan ahlinya.

Jelasnya, siasah syariah boleh menjadi asas tambahan kepada polisi dan dasar mempertahankan aliran Ahli Sunnah wal-Jamaah (ASWJ) sebagai satu-satunya aliran yang didokong oleh umat Islam di Malaysia.

Malah, ia juga mendokong undang-undang dan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba membawa aliran selain ASWJ.

“Siasah syariah juga sangat penting dalam mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana perbezaan politik bukan sehingga perselisihan akidah. Oleh itu, politik merupakan medan perpaduan umat bukan perpecahan,” katanya.

Menurut Yusri, cabaran untuk merealisasikan siasah syariah adalah menangani usaha sesetengah pihak yang sering mengelirukan kaedah sebenar siasah syariah kerana sentimen yang terlalu kuat dalam menyokong atau menentang seseorang tokoh.

Sementara itu, Ismail Mina berkata, seminar itu bertujuan membincang dan mencari penyelesaian berhubung isu politik di negara ini.

Katanya, kecenderungan membahaskan isu tersebut didorong oleh dua faktor utama iaitu kerana terdesak dan faktor fundamental.

“Faktor yang pertama adalah terdesak kerana fenomena politik yang dicetuskan oleh kumpulan yang ingin mendominasi kuasa politik semata-mata, manakala faktor fundamental kerana kita mahu memelihara keutuhan agama Islam serta maruah umat Islam melalui instrumen kuasa politik umat,” katanya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Nakhaie berkata, jika siasah syariah dapat difahami dan diamalkan dengan betul maka ia sangat berpotensi menjadi landasan mengukuhkan keutuhan dan kestabilan negara.

Bagaimanapun, jika ia tidak diamalkan ia akan mengakibatkan kepincangan politik yang akan memberi kesan mendalam kepada kehidupan dalam pelbagai bidang.

“Contohnya, akan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam dan pergaduhan sering terjadi di antara sesama parti politik. Pelbagai pertubuhan diinstitusikan sebagai gerakan yang mewujudkan golongan pemerintah dan pembangkang bahkan pemberontak.

“Kesannya, nyawa rakyat menjadi taruhan dan kezaliman semakin berleluasa seperti yang berlaku di negara timur tengah yang mengakibatkan ribuan manusia terkorban kerana pergolakan dalaman yang berlaku,” katanya.

Justeru, pemimpin perlu mengamalkan kaedah siasah syariah sebagaimana yang dilaksanakan para khalifah suatu masa dahulu sehingga berjaya menggerakkan kepimpinan bersama dakwah Islamiah dengan kekuatan tentera dengan lebih meluas ke seluruh dunia.

Nakhaie membentangkan kertas kerja bertajuk Siasah Syariah dan Kepentingannya Dalam Menguruskan Kepentingan Muslimin‘.

Bagi merealisasikan agenda tersebut, Dr. Yusoff pula berkata, orang Melayu perlu bersatu walaupun terpaksa mengorbankan parti bagi memperjuangkan martabat Islam dan Melayu.

“Pemimpin perlu bersedia bersama rakyat, tidak menunjuk-nunjuk kemewahan, mentadbir negara dengan berpaksikan agama Islam dan sifat mahmudah serta mengurangkan perebutan kuasa tetapi bersama-sama mengukuhkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk Siasah Syariah Sebagai Mekanisme Pengukuhan Kuasa Politik Ummah Islam Malaysia.

*************

Lain-lain laporan:

Kukuhkan Kuasa Umat Islam

sumber: Utusan Malaysia

SEBAHAGIAN peserta Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah III yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Sabtu lalu.

 

APA akan terjadi kepada kuasa politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Apakah orang Islam akan terus menjadi tunjang utama kepimpinan negara atau kita hanya sekadar menjadi pak turut kepada pihak lain?

Persoalan itu wujud kerana kekuatan politik yang ada di dalam genggaman orang Melayu kini semakin longgar, perpecahan dan perbezaan ideologi politik serta ditambah pula dengan keghairahan untuk merebut kuasa telah menyebabkan orang Melayu berpecah belah.

Kita tidak boleh duduk semeja hatta untuk membincangkan kepentingan umat Islam itu sendiri.

Justeru penganjuran Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah III yang bertemakan Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia pada Sabtu lalu di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tepat pada masanya.

Wacana anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihadiri oleh ramai pemimpin yang mewakili beberapa organisasi Islam.

Walaupun mungkin akan ada pihak yang memandang serong wacana berkenaan seperti mana mereka melihat Perhimpun Sejuta Umat (Himpun) namun Pengarah Wacana, Ismail Mina Ahmad mempunyai alasan tersendiri.

Menurut beliau, kecenderungan mewacanakan Siyasah Syar’iyyah secara aktif diadakan atas dua faktor: Pertama, faktor terdesak yang tercetus oleh sekumpulan orang yang mahu menguasai kekuasaan politik semata-mata kerana politik kekuasaan.

Sementara kumpulan kedua pula, berteraskan faktor fundamental yang mahu memelihara maruah umat Islam melalui instrumen kekuatan dan kuasa politik umat. Kedua-dua kelompok melihat betapa pentingnya kuasa politik umat.

Berdasarkan kepada hujah berkenaan jelaslah dalam pilihan raya umum akan datang, umat Islam akan berhadapan dengan dua kelompok yang mahu merebut kekuasaan politik.

Satu kelompok dilihat bersedia mempertaruhkan segala-galanya demi mendapat kuasa manakala satu lagi kelompok harus bertarung mempertahankan kuasa yang dimiliki bagi memastikan umat Islam dan orang Melayu tidak mudah diperkotak-katikkan atau menjadi pak turut kepada mana-mana pihak.

Kita boleh saksikan dari semasa ke semasa, kesabaran umat Islam sentiasa sahaja diduga dan dicabar malah lebih malang sudah ada keberanian luar biasa di kalangan sesetengah pemimpin Islam sendiri menyokong apa yang diperjuangkan oleh bukan Islam.

Sebab itulah Ismail Mina secara tegas menyebut soal memelihara agama, termasuklah mengurus dan menjaga segala kepentingan dan kebaikan syariah dengan optimum yang menyangkut kedudukan ajaran dan umat Islam.

Justeru Ismail Mina merumuskan bahawa memperkukuhkan kuasa politik umat Islam merupakan salah satu instrumen terpenting pada masa ini.

Namun begitu usaha untuk memperkukuhkan kuasa politik tersebut tidak akan mendatangkan apa-apa hasil jika kita sebagai umat Islam terus berpecah-belah dan lebih mementingkan usaha untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

Kesudahannya umat Islam akan menjadi lemah dan ini akan memberikan kesempatan kepada golongan tertentu untuk menunjukkan taring yang selama ini mereka simpan sekian lama.

Sebab itulah dalam kertas kerja bertajuk ‘Siyasah Syar’iyyah dan kepentingannya dalam mengurus kepentingan Muslimin di Malaysia, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad mengulas kepentingan umat Islam memperkukuhkan perpaduan sesama mereka.

Menurut beliau, perpaduan di kalangan umat Islam dan persaudaraan di kalangan mereka merupakan halangan terbesar kepada kemusnahan dan kehancuran mereka.

‘‘Ia menjadi benteng kepada kekalahan mereka, oleh itu jika mereka ingin mengelak bencana besar dan azab pedih menimpa mereka, maka kekalkan persaudaraan dan perpaduan di kalangan mereka. Politik perpecahan adalah politik yang membawa kehancuran dan kekalahan umat Islam,’’ kata beliau.

Tetapi persoalannya sejauh manakah umat Islam yang terlibat dalam politik memahami bahaya yang sedang menanti mereka? Seruan untuk mereka bersatu padu dan tidak berpecah belah serta bahaya yang menanti sudah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Namun malangnya majoriti antara kita masih lagi mengamalkan pekakkan telinga, butakan mata dan menutup hati untuk menerima kebenaran berkenaan.

Ada antara kita masih berhujah dengan hujah politik masing-masing, apabila ada usaha hendak dilakukan bagi menyatukan umat Islam tanpa mengira fahaman politik ia seolah-olah ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan.

Malahan ada pula yang berfikiran dangkal apabila menyatakan bahawa seruan perpaduan Islam itu dilontarkan kerana kononnya satu lagi puak Islam itu sudah lemah pengaruh politiknya.

Malang sekali apabila percaturan dan perhitungan politik mengatasi segala-galanya, biar pun umat Islam secara keseluruhan amat memahami bahaya yang menanti mereka.

Dalam soal ini Mohd. Nakhaie berhujah, tindakan politik yang membelakangkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah atau yang memanipulasikan ajaran al-Quran dan al-sunnah untuk kepentingan politik diri, puak atau kaum, menjadi punca utama berlaku krisis di kalangan umat Islam .

‘‘Naluri ingin berkuasa yang tidak diurus secara bijaksana menjadi pendorong ke arah tindakan politik yang membelakang petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang menghasilkan krisis politik berpanjangan di kalangan umat Islam sehingga melemahkannya dan berakhir dengan kekalahan di tangan musuh-musuh Islam,’’ tegas Mohd. Nakhaie.

Soalnya, apakah mereka yang terlibat memahami situasi ini? Apakah kerana keghairahan untuk menawan Putrajaya telah memungkinkan segala-galanya mahu dipertaruhkan? Apakah kerana mahu meraih undi pihak lain, maka perpaduan dan kerjasama antara Islam mahu diketepikan begitu sahaja?

Oleh itu mahu tidak mahu kepentingan siyasah syar’iyyah perlu difahami oleh semua parti politik yang dianggotai dan kuasai oleh orang Islam.

Ini kerana seperti mana kata, Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr.Yusri Mohamad, siyasah syar’iyyah menawarkan fahaman politik Islam yang sepatutnya mengurangkan pertentangan dan kebencian antara parti-parti politik beragama Islam dan ahli-ahlinya.

‘‘Ia juga sepatutnya mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana perbezaan secara asasnya bukanlah berada di tahap perselisihan akidah.

‘‘Maka fahamam siyasah syar’iyyah akan membolehkan parti-parti yang berbeza tetap bekerjasama di atas isu-isu yang disepakati bersama demi maslahah Islam, kalaupun tidak sampai ke tahap bergabung,’’ katanya.

Kini terserahkan kepada kepimpinan parti-parti Islam untuk menilai dan menentukan apa yang diusahakan melalui wacana siyasah syar’iyyah tersebut.

Apa yang pasti, penganjur dan mereka yang menyertai wacana berkenaan berniat suci dan ikhlas demi masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Siyasah Syariyyah Panduan Umat – Yusri

dipetik dari Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 12 Nov. – Prinsip Siyasah Syariyyah (politik syariah) dapat memainkan peranan penting dalam memandu umat Islam menyatakan pendirian terhadap kes-kes besar yang melibatkan tokoh-tokoh pemimpin Melayu.

Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa), Dr. Yusri Mohamad berkata, ia penting apabila kes itu mencetuskan krisis kepimpinan dan seterusnya menyebabkan perpecahan serius di kalangan umat Islam.

Prinsip itu lebih merupakan hukum berasaskan maslahah dan istihsan dalam konteks pemerintahan bagi memudahkan pemerintah sesebuah negara Islam mengemukakan dasar dan langkah-langkah yang perlu untuk kepentingan umum dalam perkara-perkara yang tidak jelas hukumnya.

“Sebahagian kes yang timbul ini melibatkan kesalahan-kesalahan moral atau jenayah yang sudah ada formula untuk menanganinya mengikut syariat Islam.

“Bagaimanapun, kadang-kadang formula ini mungkin telah dikelirukan akibat sentimen yang terlalu kuat dalam menyokong atau membenci tokoh yang terlibat,” kata Yusri.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Siyasah Syariyyah Sebagai Instrumen Memelihara Keutuhan dan Kestabilan Negara dalam Wacana Siyasah Syariyyah Dalam Konteks Religio Politik Semasa Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Wacana itu dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Turut membentangkan kertas kerja ialah Presiden Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad dan pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama UIAM, Prof. Madya Datuk Yusoff Mohamad.

Yusri seterusnya mengajak umat Islam di negara ini supaya mengkaji semula dengan lebih teliti dan objektif hukum-hakam yang ditentukan dalam Islam.

“Kes-kes yang timbul seperti qazaf, penggunaan bahan-bahan bukti tertentu seperti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan video serta isu-isu sepertinya yang sedia dihuraikan syariat dan dibantu siasah ini.

“Masalah yang berlaku sekarang ialah kerana terlalu taksub dengan seorang pemimpin, syariat ini telah ditolak ke tepi,” katanya.

Katanya, dalam hal politik, Siyasah Syariyyah boleh mengurangkan kebencian sesama parti politik Islam dan ahli-ahlinya.

“Ia juga sepatutnya mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana perbezaan politik bukan berada pada tahap perselisihan akidah.

“Kefahaman terhadap perkara ini akan membolehkan parti-parti politik yang berbeza menjalinkan kerjasama dalam isu tertentu demi keutuhan Islam walaupun tidak mahu bergabung,” katanya.

Wacana Siyasah Syar’iyyah dalam Utusan Malaysia 11 Nov 2011

Seperti yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, 11 Nov 2011:

Siyasah Syar‘iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia

Insya Allah, pada Sabtu, 12 November 2011 mendatang, bertempat di Moot Court, Kulliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), sebuah NGO dakwah Islam, akan mengadakan satu program dalam siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah yang bertema: ‘Siyasah Syar‘iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia’.

Akhir-akhir ini, banyak wacana berkaitan dengan Siyasah Syar‘iyyah dibuat oleh NGO dan juga parti politik. Ini adalah perkembangan keilmuan yang baik. MUAFAKAT juga ingin memberi sumbangan ke arah memahamkan masyarakat mengenai Siyasah Syar‘iyyah dari perspektif ajaran Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah dengan merujuk kepada realiti Malaysia dewasa ini, yang mana kedudukan Agama Islam dicabar serta kuasa politik Ummah berpecah dan terhakis.

Kecenderungan mewacanakan Siyasah Syar‘iyyah ini secara aktif sekarang ini dapat dilihat dari dua faktor. Pertama, faktor terdesak, yang dicetuskan oleh sekumpulan orang yang mahu menguasai kekuasaan politik semata-mata kerana politik kekuasaan; sementara kumpulan kedua pula, berteraskan faktor fundamental, yang mahu memelihara keutuhan dan penerusan ajaran Agama Islam yang murni dan mahu memelihara maruah Ummat Islam melalui instrumen kekuatan dan kuasa politik Ummat. Kedua-dua kelompok melihat betapa pentingnya kuasa politik.

Wacana mengenai Siyasah Syar‘iyyah, tidak dapat dipisah dari memahami Maqosid Syari‘ah. Maqosid Syari‘ah mempunyai enam dasar atau Usul yang dinamakan Usul al-Sittah iaitu memelihara Agama, memelihara nyawa, memelihara ‘aqal, memelihara harta, memelihara keturunan dan memelihara maruah. (Sesetengah ‘Ulama’ membahagikan kepada lima sahaja)

Kepentingan dan hubungkait Siyasah Syar‘iyyah dan Maqosid Syari‘iyah dalam konteks memelihara Ummat Islam yang menyangkut kehidupan sosio-budaya-politik yang dirangkum ke dalam Agama, tidak dapat dipisahkan. Ini adalah kerana untuk merealisasikan Maqosid Syari‘ah ia memerlukan suatu mekanisme yang pastinya bersifat siyasah-pentadbiran yakni suatu sikap siyasah dan polisi atau manifesto, yang didominasi oleh keyakinan bahawa Siyasah Syar‘iyyah bertujuan untuk meletakkan dinu’l-Islam di tempat paling tinggi dan bukan untuk menyamakan Islam dengan agama lain atau menyudutkan Islam.

Program yang telah banyak dibuat oleh NGO dan parti politik itu, mempunyai latarbelakang dan tujuan yang berbeza-beza, bahkan parti politik yang terang-terang menolak Syari‘ah pun ghairah membuat program Siyasah Syar‘iyyah ini. Kelompok ini, menghuraikan Siyasah Syar‘iyyah dan Maqosid Syari‘ah dalam bingkai pemikiran dan fahaman liberalsime-pluralisme, justeru menggunakan rasionalisme diabolik, humanisme tanpa Allah dan Syari‘at serta fahaman dan tafsiran agama serba akomodatif dan inklusif bahkan lebur dalam fahaman sesat tersebut, yang meminggir bahkan menolak sifat kekal dalam ajaran Islam dan menafikan hairaki autoriti yang diiktiraf Ummah. Ironisnya, mereka menerima ‘autoriti baru’ dengan memetik sana sini dari buku-buku kontemporari,persis seekor tupai, yang melompat dari satu ranting ke satu ranting yang lain, jika di situ terdapat kepentingan.

Kebetulan pula, dalam Syari‘at Islam, ada konsep Siyasah Syar‘iyyah yang luas,maka Golongan Salibiyyah dari kalangan musuh Islam terutamnya Yahudi dan Kristian menjumpai medan baru untuk melanyak Ummat Islam atas nama perbincangan ‘ilmiyyah pada hal berniat untuk permurtadan. Maka wacana Siyasah Syar‘iyyah ini melalui pasangannya Maqosid Syari‘ah digunakan semahu-mahunya oleh mereka dengan menjadikan orang atau pemimpin beragama Islam yang ghairah untuk kekuasaan, sebagai alat. Maka kelompok ini dengan fahaman sapere aude, menghuraikan Siyasah Syar‘iyyah dan Maqosid Syari‘ah dalam rangka pemikiran tersebut untuk tujuan mencelaru dan memesongkan pemikiran Ummat Islam dengan slogan-slogan dan rhetoric diabolik. Melalui huraian diabolik ini, yang lari dari prinsip atau qawa‘id Fiqah dan sistem pemahamannya, mereka sebenarnya merosakkan epistemologi Islam. Inilah tujuan dan kehendak golongan Salibiyyah kerana akan memudahkan kerja memesongkan halatuju Ummat Islam dan Syari‘ah dari ajaran dan kehendak Islam sebenar. Mereka bukan bertujuan untuk memelihara Agama Islam, tetapi mempunyai niat, agenda dan tujuan peribadi dan kelompok, yang amat diabolik.

Seperti termaklum, salah satu dari Usul atau Dasar Maqosid Syari‘ah ialah memelihara Agama. Dalam konteks memelihara Agama ini ialah memelihara Agama Islam, agar tidak diseleweng, dihakis dan dimasuki anasir perosak. Bagi kelompok Liberalis-Pluralis, mereka lebih menekankan betapa penting memelihara agama bukan Islam, yang sesetengah dari kelompok ini, mengujudkan biro khas untuk memelihara agama bukan Islam. Memelihara Agama dalam Usul atau dasar Maqosid Syari‘ah bermakna memelihara agama Islam, bukan menjaga agama bukan Islam kerana komuniti bukan Islam mempunyai mekanisme tersendiri untuk menjaga agama mereka. Kelompok Liberalis-Pluralis ini amat prihatin dan sibuk menjadi penjaga agama bukan Islam dan membiarkan ‘aqidah Ummat Islam tercemar dan terhakis seperti ternyata dalam sikap mereka kepada ‘Perhimpunan Sejuta Ummat’ baru-baru ini. Sebab itu kita dapati, keluar dari mulut dan tulisan mereka dengan nada sinikal kepada program tersebut yang antaranya mereka berkata gejala pemurtadan ini tidak serius. Ini bermakna mereka rela permurtadan tetapi jangan ramai sangat! Na‘uzubillah.

Seperti semua Ummat Islam yang beriman ketahui, motif perhimpunan tersebut bertujuan untuk mengingatkan Ummat Islam betapa gerakan Salibiyyah ini beroperasi secara agresif menyerang Ummat Islam. Keberanian mereka itu adalah kerana semacam mendapat endosmen dari orang yang mengaku membela Islam, yang mengaku membangun bersama Islam, yang mengaku sebagai jurubicara Ummat Islam, tokoh pencerahan Islam dan macam-macam dakwa diabolik lagi. Mereka inilah yang berpusu-pusu menjunjung perhimpunan BERSIH yang tiada justifikasi ‘Aqidah dan Siyasah serta Maqosid Syari‘ah dan mereka berbangga pula berada di bawah naungan orang bukan Islam seperti Ambiga yang amat jelas menentang Islam dan dengan tegas membela orang Islam yang murtad dan mempertahankan aktiviti seksualiti gila.

Tingkah laku dan sikap seperti ini, yakni menggunakan Siyasah Syar‘iyyah dan Maqosid Syari‘ah dalam bakul diabolisme pemikiran dan penyelewengan huraian, seperti yang disebut oleh Dr. Sa‘id Ramadhan al-Buthi, dalam kitabnya berjudul al-Dowabit, sebagai usaha untuk meruntuhkan Islam melalui agenda besar golongan bukan Islam terutama Yahudi dan Kristian, dalam meneruskan siri Salibiyyah mereka untuk memurtadkan Ummat Islam.

Demikian juga dalam memelihara muruah atau maruah. Siyasah Syar‘iyyah wajar menjadi mekanisme terbaik untuk menjamin maruah Ummat Islam terpelihara dan tidak tercemar. Ada pempimpin orang Islam, menjadi pengikut agenda orang bukan Islam seperti Ambiga, Lim Kit Siang dan golongan Liberalis-Pluralis yang anti Islam. Ini menunjukkan mereka tidak memelihara maruah diri sebagai seorang yang disebut sebagai tokoh pembela atau pemelihara Agama Islam itu. Mereka juga tidak memiliki maruah kerana menyekat dan membuat fitnah kepada ‘Perhimpunan Sejuta Ummat’ yang membela ‘Aqidah Ummat baru-baru ini.

Dalam lingkungan memelihara Agama, termasuklah mengurus dan menjaga segala kepentingan dan kebaikan Syari‘ah dengan optimum yang menyangkut kedudukan ajaran dan Ummat Islam. Kedudukan Agama Islam di Malaysia, sudah ada orang dan kumpulan yang berani mencabarnya. Ia bukan sahaja datang dari orang bukan Islam tetapi juga dari orang yang mengaku sebagai Islam,walaupun jelas kedudukannya dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Agama bagi Persekutuan Malaysia. Maka untuk menyekat badai ini, maka mekanismenya ialah memperkukuhkan kuasa politik Ummat Islam kerana ia merupakan salah satu instrument terpenting dewasa ini di Malaysia. Untuk tujuan tersebut, yakni untuk mengekal kekuasaan politik Ummat Islam, tidak lain, melainkan menurut perintah al-Qur’an seperti yang disebut terdahulu ialah Perpaduan Ummat dan hindari perpecahan.

Adalah sesuatu yang amat tragik dalam konteks politik semasa Malaysia, terdapat parti-parti politik berlumba-lumba memberi tawaran-jualan murah kepada pengundi, sehingga terhakis maruah politik dan menjadi ejekan bukan Islam. Bahkan ada sesetengah pemimpin politik yang beragama Islam menjual Agama kepada bukan Islam dengan menyamakan Allah, setaraf dengan tuhan sembahan orang bukan Islam. Perkara ini tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia selama ini. Mereka ini semua menggunakan Siyasah Syar‘iyyah untuk mewajarkan tawaran murah tersebut kerana perpecahan Ummah yang dalam dan lebar. Barang diingat, mempertahankan ‘izzah dan kemuliaan institusi politik Ummah dan menguasainya secara utuh, merupakan salah satu saluran rahmat Allah SwT .

Mengenai perpecahan Ummat Islam, Al-Qur’an menceritakan kepada kita paras-paras perpecahan. Pada paras keluarga, yang mempunyai ikatan darah, angkara syaitanlah, yang memecah-belahkan keluarga Nabi Ya‘kub ‘a.s yang mana anak-anak Baginda ‘a.s, membuat konspirasi terhadap saudara seibu sebapa mereka. Di zaman Nabi Muhammad sollallahu ‘alayhi wa sallam , Allah menegur sikap sesetengah warga Muslim Madinah yang bertelagah sesama sendiri, yang boleh membawa mereka berada dalam jurang kehancuran. Demikian juga Allah dengan kasih sayang-Nya, menyoal-memperingatkan Ummat Islam dewasa itu, kenapa berpecah dua dalam menghadapi Munafiqin. Kita di Malaysia, perlu sedar dan wajib mengambil iktibar dari situasi yang berlaku dalam masyarakat terdahulu sehingga Allah ‘menegur’ dan ‘campur tangan’ mengenai hal ini. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan perpaduan dalam menjaga dan memelihara kekuatan serta maruah Ummat Islam.

Maka mekanisme Siyasah Syar‘iyyah dalam skema ajaran Islam Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang sebenar sahaja yang dapat menyelesaikan kemelut dan dilema religio-politik Malaysia dewasa ini. Ia dapat menjadi sarana penting, kerana ia merupakan suatu konsep dengan segala instrument paling berwibawa, untuk memperbaiki segala kualiti yang enam itu, seperti yang telah disebut di awal. Penyelesaian secara tuntas, sebelum parah, adalah bergantung kepada cara pemahaman dan pengendalian Siyasah Syari‘ah itu. Pengendalian dengan cara yang bijak dan penuh dengan hikmah Syari‘ah sahaja yang dapat menepati kehendak Maqosid Syari‘ah. Hubaya! Jangan mengulangi seperti yang telah berlaku di depan mata kita.

Oleh: Ismail Mina Ahmad, Pengarah Wacana

 

*******************

[*]   Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah: Siyasah Syar ‘iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) ini adalah terbuka kepada semua. Pengesahan kehadiran hendaklah dibuat pada atau sebelum 10hb November 2011 melalui kiriman SMS dengan menaip [Nama] [No. KP] [No. Telefon] dan hantar ke 012-650-6404 atau emel maklumat tersebut ke muafakat_malaysia@yahoo.com atau hubungi terus Sdr. A. Karim Omar di talian 019-3199-788. Maklumat lanjut boleh diperolehi dihttps://muafakatmalaysia.wordpress.com

Wacana Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia 12 Nov (Sabtu)

Maklmat lanjut:

a. Senarai tajuk dan para pembentang: Tajuk-tajuk Pembentangan Wacana Siyasah Syar’iyyah (klik)

b. Cara mudah untuk daftar: Cara Mudah Mendaftar Wacana Siyasah Syar’iyyah (12 Nov 2011)

Muafakat Buat Laporan Polis Terhadap Penganjuran Festival Seksualiti Merdeka

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) telah membuat laporan polis membantah penganjuran Festival Seksualiti Merdeka oleh beberapa buah NGO, artis dan aktivis songsang fitrah pada jam 11:35 pagi tadi (3 November 2011).

Dalam laporan tersebut MUAFAKAT menggesa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang semua pihak yang terlibat sebagai penganjur atau peserta.

Laporan dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Sdr. A. Karim Omar dan diiringi oleh Penolong Setiausaha Agungnya, Sdr. Wan Burhan Wan Ismail.

MUAFAKAT Bantah Festival Seksualiti Merdeka dan Segala Bentuk Aktiviti Yang Mempromosi dan Cuba Mengiktiraf LBGT

Kenyataan Media

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) membantah dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya festival Seksualiti Merdeka dan siri program berkaitan LGBT yang telah dan akan dianjurkan oleh beberapa NGO, artis dan aktivis atas nama hak asasi manusia.

MUAFAKAT menolak percubaan kelompok Liberal, Plural dan Sekular yang ghairah menjadi hamba kepada agenda globalisasi dan ingin mengheret masyarakat negara Malaysia meniru gaya budaya hidup songsang lagi menjijikkan.

Festival dan agenda-agenda sedemikian mempunyai niat tersirat untuk menggerakkan kempen dan advokasi yang berterusan untuk merubah nilai dan landasan akhlaq masyarakat Malaysia yang berteraskan ajaran Islam sebagai agama negara.

Kempen ini ternyata bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, Kanun Kesiksaan dan Jenayah Syariah (bagi muslim) kerana ia  menyeru orang ramai untuk menjalani kehidupan seks luar tabi’i yang merupakan suatu jenayah.

MUAFAKAT menggesa pihak Polis mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang semua pihak yang terlibat sebagai penganjur atau peserta.

MUAFAKAT juga menuntut semua kepimpinan Majlis Peguam dan SUHAKAM untuk meletakkan jawatan kerana gagal mendaulatkan undang-undang  dan sebaliknya mempromosi gaya hidup tidak bermoral dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Pendekatan apologetik terhadap perlakuan sumbang dan tidak bermoral golongan LGBT ini harus dihentikan serta-merta kerana ternyata ia telah meruntuhkan institusi kekeluargaan dan memporak-perandakan norma-norma  masyarakat bertamadun.

Kami mengambil prihatian serius terhadap usaha kelompok ini yang mahu mengetengahkan hak LGBT sebagai hak asasi manusia di negara ini. Ini akan pasti mewujudkan kontroversi yang sepatutnya tidak timbul atau digalakkan timbul di negara ini kerana budaya dan gaya hidup Barat dalam isu hak LGBT ditolak di negara ini.

Aliran pemikiran Sekular, Plural dan Liberal yang menjadi kerangka pemikiran mereka akan membentuk masyarakat yang merungkai hukum agama dan menjadikan agama hanya sebagai budaya ritual di peringkat peribadi semata-mata.

Justeru, perbincangan yang mengarahkan kepada menjadikan amalan hidup LGBT sebagai gaya hidup di Malaysia tidak harus diketengahkan di negara ini.

A. Karim Omar

Setiausaha Agung

3 November 2011