Latar Belakang

PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA (MUAFAKAT)

PENGENALAN

Peranan yang telah dimainkan oleh para pencinta Islam di negara ini sejak penghujung tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan adalah satu perkembangan yang amat instrumental sekali. Hasil kerja dakwah dan tarbiyah yang telah mereka lakukan secara istiqamah dan bijaksana telah mengubah iklim dan suasana persekitaran sosio-ekonomi-politik negara – yang bukan sedikit impaknya. Kesungguhan mereka melakukan pelbagai program strategik di kampung, desa, bandar dan kota, serta di-kampus-kampus, di agensi-agensi Kerajaan dan swasta, serta di organisasi-organisasi sivil dan politik telah berjaya mewujudkan kesedaran dan perubahan pemikiran umat.

  • Menyedari bahawa kematangan, pengalaman, kemahiran dan ke’ilmuan yang dimiliki oleh kelompok-kelompok pencinta Islam ini adalah amat berharga sekali; dan;
  • Menginsafi bahawa sumber daya manusia yang ada pada mereka wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesinambungan generasi mendatang dan;
  • Mensyukuri nikmat Allah s.w.t yang menanugerahkan suasana yang masih bebas dan terbuka di sini berbanding di rantau-rantau lain yang sedang bergolak dengan pelbagai krisis dan kemelut,

Maka sesungguhnya penubuhan sebuah organisasi yang bernama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia atau ringkasnya ‘MUAFAKAT’ yang menghimpun dan menggembeling seluruh tenaga berwibawa bagi melengkapi keberadaan berbagai-bagai organisasi dan institusi lain yang sedang memperjuangkan kesejahteraan umat di hari ini adalah suatu usaha yang menepati masa dan ketikanya.

Orang-orang Melayu semenjak zaman berzaman sangat mementingkan kerjasama dan muafakat dalam kehidupan mereka, sehingga diabadikan dalam pepatah Melayu, yang berbunyi, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Di atas semangat untuk bekerjasama dan bermuafakat itulah maka ‘MUAFAKAT’ telah ditubuhkan.

PENDAFTARAN

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) adalah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (PBK atau NGO) yang ditubuhkan oleh sekumpulan warga Malaysia yang prihatin terhadap nasib bangsa dan agamanya, dan berhasrat untuk berbakti kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara melalui pergerakan PBK ini.

MUAFAKAT telah ditubuhkan pada 20 Julai 2004 dan diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 9 November 2005. Nombor pendaftarannya ialah 1955-05-7.

OBJEKTIF

Sesuai dengan namanya “Muafakat”, MUAFAKAT bertujuan untuk menggembeling tenaga umat Islam di Malaysia serta menyatupadukan mereka, secara bermuafakat supaya mereka dapat memperjuangkan hak dan kebajikan mereka serta bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka di dalam semua lapangan termasuk sosial, ekonomi, pelajaran, kebudayaan, falsafah dan teknologi.

Sesuai dengan kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi negara ini, MUAFAKAT juga bertujuan memperjuangkan dan mempertahankan status agama Islam di negara ini seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Kerajaan-kerajaan Negeri di Malaysia, serta selaras dengan hasrat majoriti penduduk Islam di Negara ini.

Bagaimanapun menyedari bahawa penduduk negara ini terdiri dari pelbagai kaum, ras dan agama, MUAFAKAT mengiktiraf hak tiap-tiap kaum dan ras untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka masing-masing seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

MUAFAKAT percaya semua rakyat perlu diberi kebebabasan untuk melaksanakan hak mereka untuk hidup, bekerja, bersuara, berucap, berpersatuan, dan melaksanakan hak-hak asasi mereka, tanpa rasa takut, diancam, atau diintip dan supaya mereka merasa selesa dengan kehidupan di sekelilingnya.

MUAFAKAT percaya pertubuhan bukan kerajaan mempunyai potensi untuk berperanan dengan lebih berkesan di negara ini, untuk menggerakkan masyarakat bagi mencapai satu suasana kehidupan masyarakat yang lebih bebas, adil, demokratik, berkebajikan dan toleran, dan di mana organ-organ pemerintah dikurangkan campurtangan mereka dalam mengatur kehidupan rakyat, Dengan itu MUAFAKAT bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dan jalinan rangkaiannya dengan semua PBK yang mempunyai cita-cita, objektif dan kepercayaan yang serupa.

ALAMAT BERDAFTAR:

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
Lot 410-1, Jalan Cangkat Mulia,
Taman Berjaya
68100 Gombak, Selangor

7 comments so far

  1. roslan on

    mabruk

  2. […] Latar Belakang […]

  3. 2010 in review « MUAFAKAT on

    […] Latar Belakang […]

  4. Husna on

    teruskan usaha murni kalian. moga islam kembali dijulang.. 🙂

  5. Abdul Hamid on

    Melayu sepakat Islam berdaulat

  6. Fadil Osman on

    As Salam saudara2 Muafakat,
    Ya Allah, bantulah kami hambaMU yang sememangnya lemah dan hina,
    Moga Allah pelihara muafakat kita
    Moga Allah sudi membantunya
    krna muafakat sedia mengkota kata
    moga tidak mengundang murkaNYA
    atas sebab mungkir janji apa yg dikata
    Moga minimal hisabnya kita atas segala kotakan kata

  7. siti norhayati on

    Alhamdulillah…dihrp perjuangan akan diteruskan Dan lebih ramai umat Islam Malaysia yang sedar akan tanggungjawab ini.


Leave a comment