Usrah Bulanan MUAFAKAT – November 2009
Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: 3 November 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama
Tempat: Kediaman Sdr. Dato’ Haji Rameli Musa
Alamat kediaman: No. 20 Jalan Kenyalang 11/15H, d’Villa Equestrian Kota Damansara. Depan masjid baru Kota Damansara, sebelah Royal Selangor Polo Club. Masuk melalui pondok pengawal.
Seminar: Zakat in Malaysia – Status, Issues and Challenges
ZAKAT IN MALAYSIA: STATUS, ISSUES AND CHALLENGES
Speaker:
Dato’ Dr. Hj. Sohaimi Hj. Mohd. Salleh,
Director General, JAWHAR
Prime Minister’s Department, Putrajaya
Discussant:
Associate Prof. Syed Ghazali Wafa Syed Adham Wafa
University Kebangsaan Malaysia, Bangi
Time/Day/Date:
2.15 pm- 4.45 pm
Tuesday, 13th October 2009
Venue: KENMS Conference Room (Level 3)
Organised by Islamic Economics Unit, KENMS
in collaboration with
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
Free. Refreshments will be served. Those interested to attend please register with Norlin/Asma at ext.4778/ 4649
Diabolisme Pemikiran Dan Dakwah Islamiyyah: Satu Muhasabah.
Untuk Versi Cetak - Klik di sini – Diabolisme Pemikiran – Usrah Muafakat Oct09
******************************************************
Diabolisme Pemikiran dan Dakwah Islamiyyah: Satu Muhasabah
Muqaddimah
Kertas ini akan cuba membincangkan Dakwah Islamiyyah yang kita ceburi sejak lama dulu dan peranan Iblis dan diabolisme pemikiran dalam usaha yang mulia ini, dan juga apa yang perlu diberi muhasabah khusus demi meneruskan usaha dakwah ini.
Diabolisme
Diabolos bererti Iblis dalam bahasa Yunani. Perkataan ini juga terdapat dalam al-Qur`an – Al-Kahfi: 50. Iblis dan Syaitan mempunyai pengertian dan peranan yang sama. Maka diabolisme ialah pemikiran, perangai, tindakan dan perilaku yang bersifat dan berfaham Iblis ataupun pengabdian kepadanya. Dakwah Islamiyyah pula ialah usaha mengajak manusia kepada Islam yang sempurna dan benar. Maka diabolisme pemikiran dalam konteks dakwah ialah pemikiran atau perangai atau tindakan atau perilaku keiblisan ataupun tunduk-patuh kepada ajakan Iblis yang merosakkan usaha-usaha dakwah tersebut.
Diabolisme dan Dakwah Islamiyyah
Kerja mulia ini adalah tidak mudah kerana senantiasa diganggu Iblis. Seperti janjinya kepada Allah, Iblis bertekad: “… saya benar-benar akan (menghalangi) mereka (anak Adam) dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka (anak Adam) dari depan dan dari belakang mereka, dan dari kanan mereka dan dari kiri mereka – al-A’raf:16-17. Kerja-kerja dakwah menjadi terbantut dan menyimpang malah kadangkala terkeluar dari landasan dakwah Islamiyyah yang haqiqi semata-mata kerana diabolisme mendominasi organisasi dakwah.
Iblis amat kenal Allah dan telah lama ta‘at kepada-Nya, namun kenapa dia di halau dari kedudukan paling sempurna dan dihina sedemikian rupa? Di sini wajar kita bermuhasabah. Aktivis dakwah bukan orang yang tidak beriman dan bukan juga orang yang tidak solat, namun kenapa ada yang terkena penyakit diabolisme yang menyebabkan kerja-kerja organisasi dakwah tergendala, tergelincir, malah terkeluar dari landasan dakwah sebenar? Dakwah kita semata-mata li wajhi ’llah’il-karim. Hayya bina nufakkir saa`ah.
Diabolisme dan ‘Ilmu
Ipsa scientia potestas est – ‘Ilmu adalah kekuatan. Dan ‘ilmu adalah permulaan ‘amal. Seperti ‘ibadah yang lain, maka dakwah yang juga sebagai ‘ibadah, memerlukan ‘ilmu. Dari pengalaman dakwah kita, terasa satu kekurangan besar iaitu yang berkaitan dengan ‘ilmu. Sudah sewajarnya sekarang, secara sungguh-sungguh kita beri perhatian lebih kepada ‘ilmu dan berusaha mengujudkan golongan ahli ‘ilmu yang disebut dalam al-Qur`an yang mulia sebagai ar-rasikhuna fi’l ‘ilmi – Ali ‘Imran: 7; Al-Nisa’:161.
Sepanjang sejarah dan tamaddun Islam, golongan inilah yang menjadi tonggak Ummah, tempat rujukan dan guru. Mereka adalah golongan yang paling dalam dan luas ‘ilmu pengetahuan mengenai bab-bab ‘Aqidah-Tauhid, Kenabiyan, al-Qur`an dan al-Sunnah, Gyaibiyat, hukum-hukum mengenai al-wa‘du wa’l-wa ‘iid, ganjaran dan balasan, pahala dan siksa, syarat-syarat ijtihad, mengenai Imamah dan al-zu ‘amah dan dakwah. Mereka ini mengikuti jalan-jalan al-Sifatiyah dari kalangan Mutakallimin yang mana bersih daripada faham tasybih dan ta’til dan bersih dari bid‘ah al-Rafidah-Syi ‘ah, al-Khawarij, al-Jahmiyah dan semua ahlu ‘l ahwa’ ad dollah. Mereka mendalami aliran Ra’yi dan al-Hadith dan berpegang kepada wajib istinbat hukum Syari ‘at daripada al- Qur`an, al-Sunnah dan juga Ijma’ Sohabah. Mereka juga mempunyai ‘ilmu yang mendalam mengenai Khabar-Khabar, al-Sunan al-ma’thurah dan al-Maghazi dan mereka mampu membezakan di antara Khabar yang Sohih dari yang dho‘if serta memiliki ‘ilmu jarh wa’t-ta’dil. Mereka juga mahir dalam ‘ilmu sastera ‘Arab, Nahu dan Sarof dan yang berkaitan dengannya menurut doktrin ASWJ. Juga mereka amat mahir dalam ‘ilmu qiraat, tafsir dan ta’wil, selari dengan ASWJ dan bukan takwilan ahli hawa nafsu yang sesat. Mereka juga mahir dalam bab al-‘ibaarah wa’l-isyaarah yang sejalan dengan ASWJ dan bukan jalan ahli hawa nafsu yang sesat.
Mereka juga memiliki ‘ilmu-‘ilmu yang berkaitan dengan perjalanan hidup manusia, psikologi, falsafah dsb. Mereka yang dalam dan luas ‘ilmu ini, mampu memberi dan mengajar ‘ilmu yang benar, yang dapat membina dan mengukuhkan ‘aqidah yang salimah; menyemarakkan ‘ibadah yang sah; ‘ilmu yang dapat membersihkan hati dari keledak hawa nafsu keiblisan dan dapat menyuburkan akhlaq yang mulia sehingga dapat memandang Akhirat sebagai tujuan tertinggi dan paling utama. Mereka dapat membina qaedah yang benar sehingga memudahkan Ummat melaksanakan kehidupan menurut hukum-hakam Islam dengan sempurna. Mereka jugalah yang dapat menghuraikan ‘ilmu yang dapat memahami tipu daya Iblis dan saranan untuk selamat daripadanya dalam semua lapangan hidup.
Untuk mengembalikan kegemilangan Ummah melalui usaha dakwah dan islah ini, maka wajib diujudkan semula golongan ini. Dalam konteks dakwah dan islah, golongan ini menjadi guru, tempat rujukan dan pemandu dalam perjalanan organisasi dakwah. Ketiadaan golongan ini amat ketara dalam organisasi dakwah di Malaysia. Tanpa golongan ini, adalah ditakuti aktivis dakwah akan salah dalam memahami epistemologi Islam dan sesat dalam perjalanan dakwah. Jika ini berlaku, maka tujuan organisasi dakwah untuk mendaulatkan Islam tidak akan tercapai. Mereka akan larut dalam diabolisme intelektual. Tanpa golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi dalam dakwah dan islah, maka tiada apa-apa yang berfaedah yang dapat diberi dalam usaha membina sakhsiyah dan mengislahkan masyarakat. Hasilnya, organisasi ini menjadi mangsa tipuan Iblis.
Perjalanan, cara dan pengurusan dakwah dan islah, tidak boleh lari dari landasan yang seperti kata Imam Malik rh: tidak akan berjaya mengislahkan masyarakat sehingga yang kemudian mengikuti cara orang yang awal; iaitu diantaranya melalui ‘Ilmu yang dalam dan luas. Ia wajib dijayakan secara menyeluruh untuk semua aktivis dakwah.
Adalah di sarankan demi mencapai tujuan ini perlu ditubuhkan program tafaqquh fi’d-din.
Diabolisme dan Tauhid
Tauhid – al-Anbiya’:25; al-Nakhli:2; merupakan misi utama para Rasul ‘ass, dalam dakwah dan islah. Justeru, organisasi dakwah wajib mengikuti perjalanan mereka dengan menjadikan ‘Aqidah-Tauhid sebagai dasar dan agenda paling utama dalam dakwah, dari mula hingga akhir. Seperti yang kita maklum, Iblis yang merupakan musuh utama Ummat Tauhid tidak suka program seperti ini. Dia akan menghalangi organisasi dakwah dari melaksanakannya- al-A’raf:16. Iblis tidak suka Ummah mengenali Allah dan menjadi hamba kepada-Nya. Ia suka manusia menjadi hamba kepadanya. Jadi, aktivis dakwah dan Ummah seluruhnya wajar sedar perkara ini dan menghalangnya dengan memiliki Tauhid yang mantap. Tauhid yang mantap, bukan setakat pada paras ‘ilmu sahaja tetapi Tauhid yang berada pada taraf haqqu ’l- yaqin dengan zauq dan syahadah. Ia perlu diusahakan seperti kata al-Sarraj w:378H: seorang hamba dengan rahasia hati penghayatan, seakan-akan berada di hadapan Allah. Demikian juga hukum-hukum kekuasaan-Nya, berlaku padanya dalam samudera Tauhid-Nya, yang mana dirinya fana’ (dalam sifat Allah–P) dan perasaannya hilang, kerana al-Haq melakukan segala-galanya sesuai dengan kehendak-Nya. Wujudnya adalah berada dalam lingkungan ketentuan hukum-hukum Allah dan dia melaksanakan apa yang dikehendaki-Nya. Katanya lagi, bahawa Tauhid itu ialah ia tidak menisbahkan sesuatu pun pada diri dan kemampuannya. Kata Ruwaym rh ketika ditanya mengenai Tauhid, katanya: Menghilangkan bekas-bekas basyariyyah dan memurnikannya dengan sifat Uluhiyyah. Yang dimaksudkan dengan menghilangkan bekas-bekas basyariyyah ialah menggantikan tabiat nafsu, sebab nafsu sering mengaku memiliki sifat Rububiyyah. Kualiti manusia seperti inilah yang tidak disukai Iblis. Ia tidak akan dapat memperdaya, apalagi menjadikan mereka yang mukhlasin ini sebagai hambanya. Ini diakui Iblis sendiri sepertimana dinyatakan al-Qur`an Yang Mulia: …illa ‘ibadaka minhumu ’l-mukhlashin: melainkan hamba-hamba-Mu yang mukhlash – al-Hijr:40; Kata al-Khazin rh mukhlashin ialah Tauhid. Dengan sifat ini, mukhlashin mendapat dua kemenangan iaitu terlepas dari menjadi hamba Iblis dan keduanya, menjadi hamba kepada Yang Maha Mulia Lagi Tinggi. Semuga kita termasuk dalam golongan ini. Amin!
Untuk mengujudkan golongan mukhlasin, organisasi dakwah wajar mengadakan program pengajian dan pembelajaran berbentuk pembacaan teks-teks ‘Aqidah-Tauhid ASWJ yang muktabar bersama-sama dengan program tarbiyah. Dengan program seperti ini, insya Allah, para aktivis dakwah akan dapat menikmati kelazatan Tauhid. Adalah ditakuti, andainya tiada program seperti ini, para aktivis dakwah akan terdedah kepada dan menjadi mangsa Iblis. Mereka akan ditawan dan akan dilatih menjadi agen Iblis dalam menyebarkan faham-faham dan ajaran-ajaran Iblis dan keiblisan, iaitu ajaran yang bertentangan dengan ‘Aqidah-Syari’at Islam yang benar. Depan mata, dapati ramai aktivis Islam terjerumus ke dalam perangkap dan fitnah Iblis seperti mendewakan ‘aqal tanpa nass, mengaku benarnya ‘aqidah Syi ‘ah kerana terpesona dengan kemenagan Khumayni pada satu ketika. Dan lebih Iblis lagi ialah apabila ada di antara aktivis dakwah itu, sanggup mencerca serta menyerang Ahli as-Sunnah wa al- Jama ‘ah, walhal, ASWJ inilah yang disebut Nabiyy s`aw sebagai firqah yang berjaya masuk Syurga – ma ana `alayhi wa ashabi – riwayat Tirmizi, Abuw Dawud dan Ibn Majah. Inilah akibat meremehkan pengajian, pemahaman serta pemantapan mengenai ‘Aqidah-Tauhid!
Oleh kerana tasawwur dan doktrin Tauhid terlalu kabur dan kefahamannya tidak menepati ajaran sebenar ASWJ, maka Tauhid tersebut tidak memberi apa-apa faedah kepadanya. Imam Syahrastani rh w:548H., dalam al-Milalnya berkata, Iblislah yang merosakkan ‘aqidah sebahagian Ummat Islam dan ujudnya berbagai firqah yang kontra-Tauhid seperti Khawarij, Qadariyyah-Mu`tazilah, Murji`ah, Syi‘ah dsb; dan di zaman sekarang pula muncul ajaran sekular-liberal yang antaranya Islam Liberal, Islam Inklusif, Islam Menghalalkan Cara dsb. Adalah amat malang apabila ada aktivis dakwah terkena virus diabolisme ini.
Para aktivis dakwah wajar mengambil pengajaran dari huraian Imam Syahrastani rh ini. Mereka wajib sedar serangan dan pemesongan terhadap ‘Aqidah-Tauhid Ummat bukan sangat datang dari luar, tetapi dari kalangan organisasi Islam sendiri. Mereka menjadi agen Iblis dalam mempromosi dan memperjuangkan ajaran sesat tersebut. Mereka yang terkena rasukan Iblis ini akan bekerja menimbulkan keraguan ‘Aqidah-Tauhid ASWJ dikalangan Ummat Islam dengan menyuruh Ummat menggunakan ‘aqal dalam memahami Islam hatta kepada perkara min’ad-din al-dharurah; menyelitkan ajaran Murji`ah, iaitu meremeh- remeh dan menangguh-nangguhkan ‘ibadat dan memaksa ke atas Allah!; juga menyulam ajaran Khawarij, yang suka mengkafirkan kumpulan yang berseberangan dengan mereka, walaupun kumpulan itu Ahli Al-Qiblah!; dan memperakui benarnya ajaran Syi ‘ah. Bagi aktivis diabolik itu, semua yang disebut ini, menjadi perkara yang benar dan tidak bercanggah dengan ‘Aqidah.
Kita perpanjang sedikit mengenai Islam Liberal. Islam Liberal yang menjadi tajuk baru dalam perbincangan dikalangan ummat Islam dewasa ini, juga mulai meresap ke dalam organisasi dakwah Islam. Walaupun di Malaysia tidak sebegitu teruk seperti pegangan JIL di Indonesia, namun sudah kedapatan usaha ke arah itu oleh organisasi yang diterajui orang Islam. Kumpulan ini mengadakan program bersama dengan Kuffar luar Negara atas nama kebebasan berfikir, yang pada hakikatnya mereka menjadi alat Iblis untuk merosakkan Ummah. Mereka menjual agama mereka dengan harga yang amat murah untuk mendapat keredhoan Kuffar. Namun, usaha ini, dengan rahmat Allah, al-hamdulillah, tiada sambutan. Dari sisi lain, Islam Liberal di Malaysia yang lebih bercorak tidak begitu mengambil berat mengenai hukum fiqh yang lima, hukum-hukum ‘Aqidah dan hukum-hukum akhlaq dan ruhaniyy, sudah lama mendominasi organisasi Islam di sini. Demikian juga jenis Islam yang Tujuan Menghalal Cara, yang dianuti oleh sesetengah orang Islam, sudah mulai terasa bahangnya.
Satu aspek lain dari Tauhid, yang kurang diberi perhatian oleh organisasi dakwah Islam ialah sifat-sifat yang mencacatkan ‘Aqidah-Tauhid. Oleh kerana Tauhid tidak mantap dan tidak melekat pada diri, maka Iblis dengan mudah dapat merasuk dan membungkus aktivis Islam dengan sifat-sifat kontra-Tauhid seperti kibr dan ingkar kepada suruhan Allah. Dua sifat inilah yang menjadikan Iblis disingkir dari kedudukannya yang tinggi dan mulia. Dalam pekerjaan dakwah dan islah, para aktivis dakwah wajar sedar bahawa diantara syarat kepada kejayaan dakwah ialah Tauhid yang khalis yang tiada bercampur dengan sifat kibr. Kibr dan sekutunya riya’ serta syirk dengan segala sifat kontra ikhlas, menjadi alat Iblis yang berkesan untuk merosakkan aktivis dakwah dan dengan itu usaha dakwah dan islah mereka tidak akan mendapat nusrah Allah. Iblis menggunakan tentera-tenteranya dari kalangan manusia seperti Yahudi – wa lan tardo ‘ankalyahud wa lan nasora hatta tattabi ‘a millatahum – al-Baqorah:120. Semasa di halau dari Syurga, Iblis laknatullah, memohon kepada Allah SwT untuk menggoda dan menyesatkan manusia dari kebenaran dan Allah memperkenankan permohonan Iblis itu: la aq‘udannalahum shirathakal mustaqim…saya ( iblis ) benar-benar akan ( menghalangi ) mereka dari jalan Engkau yang lurus.( al A’raf: 16) yakni, menurut Ibnu Kathir rh, Ibnu `Abbas r`a dalam memahami ayat ini, menyatakan bahawa, Iblis bertekat menyesatkan manusia dengan menyebarkan keraguan, benci kebaikan dan kebenaran, suka berbuat dosa dan ragu kepada Agama. Allah memperkenan permohonan Iblis itu untuk menguji hambanya: liyabluwakum ayyukum ahsanu ‘amala – al-Mulk:2.
Selain dari apa yang telah di sebut terdahulu, maka hasil dan ni’mat Tauhid ialah ikhlas, benar, zuhud (dalam pengertian: Supaya kamu tidak berdukacita terhadap apa yang terlepas dari tangan kamu dan tidak pula menjadi gembira terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu semua – al-Hadid:23), tawakkul, mencintai Allah, khauf dan raja’, taqwa dan wara‘, syukur, sabar dan redha, muraqobah dan musyahadah, dan taubat yang berterusan. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, anugerahkan kepada kami sifat-sifat ini!
Islam Kaffah
Islam syumul atau Islam kaffah ialah Islam yang bertunjangkan Iman, Islam dan Ihsan dengan segala cabangnya. Para aktivis Islam sering menekankan mengenai Islam syumul. Namun, ketika bercakap mengenai Islam syumul atau kaffah itu, sesetengah mereka telah terkena sampok Iblis yang paling dahsyat, yang mana mereka pada hakikatnya, tidak bercakap langsung mengenai Islam syumul itu, tetapi bercakap mengenai Islam ‘hawanafsu’ mereka. Kalau mereka berminat dengan politik, maka politiklah yang menjadi syumul bagi mereka dan tidak peduli mengenai segala hukum akhlaq dan kehidupan Ihsan; atau bagi yang giat dalam aktiviti kemasyrakatan pula, mereka tidak begitu peduli mengenai hal hati, tetapi lebih mementingkan liputan media semata-mata. Dan yang paling ironiknya lagi ialah semasa bercakap memperjuangkan Islam syumul itu, dalam masa yang sama, mereka hidup dalam syari ‘at Jahiliyyah, mementingkan hawa-nafsu, berakhlaq dengan akhlaq diabolik, terlalu longgar dalam Syari ‘at; ertinya, Islam yang diperjuangkannya ialah Islam yang sudah disuntik dengan racun diabolisme-liberalisme oleh agen-agen Iblis melalui Yahudi dan Kuffar.
Rengkasnya, Islam kaffah ialah Islam yang di dalamnya tiada sifat-sifat muhlikat dan yang ada hanya sifat-sifat munjiyat; hidup senantiasa dalam muhasabah dan mujahadah untuk sampai ke paras muraqabah dan kalau boleh hingga ke paras musyahadah. Pendeknya hidup dalam budaya makruf semata-mata.
Satu hal yang kurang diberi perhatian apabila bercakap mengenai Islam kaffah ialah mengenai sikap kapada kehidupan lagha. Kehidupan aktivis dakwah perlu bebas dari kehidupan lagha, hidup dalam was-was dan dalam ma‘isyatan donka serta dipenjara oleh diabolosme dan terhijab dari kehidupan muraqabah- musyahadah. Adalah wajib menghindarkan diri dari program lagha yang akan mematikan hati dan ‘aqal seperti program kebudayaan yang mengandungi maksiat, wanita, pendedahan `aurat dan seumpamanya. Mereka boleh mengatur program ‘kebudayaan quddus’ yang dapat menghidupkan hati dan ‘aqal seperti program bacaan qasidah Busoyriy, bacaan Solawat, Maulid dan seumpamanya yang mana pasti akan dilimpahi rahmat dan keberkatan yang tiada terhingga. Tetapi Iblis tidak mengizinkannya! Perhatikanlah wahai aktivis Islam!
Dakwah dan Siyasah
‘Ulama Islam menyatakan bahawa saluran politik-siyasah merupakan antara tonggak utama dalam menegakkan al-Din, jika kena gayanya. Untuk tujuan tersebut organisasi politik wajar diterajui oleh orang yang mempunyai iltizam yang kuat dan peribadi yang soleh. Organisasi dakwah kena menyediakan peribadi seperti itu untuk dibekalkan kepada organisasi politik. Sekiranya organisasi dakwah tidak dapat menyediakan peribadi seperti itu adalah ditakuti orang yang menerajui organisasi politik ialah individu yang menganut faham diabolisme.
Aktivis politik diabolik tidak akan memperjuangkan Islam yang sebenar tetapi Islam yang sudah dicairkan sesuai dengan kehendak diabolismenya. Ia akan menggunakan kaedah diabolik, untuk mencapai cita-cita peribadinya yang rendah lagi hina, yang mana ia tidak peduli dengan cita-cita untuk mendaulatkan Islam dan nasib Ummah. Siyasah yang mulia dan qudus serta bersifat Nabawiy ini, diturunkannya menjadi rendah.
Dalam konteks Malaysia, organisasi politik berebut-rebut untuk menawan hati Kuffar. Mereka mengharapkan keredhaan dan syafa‘at Kuffar. Barang diingat, bukankah Allah memberi amaran kepada Ummah bahawa permusuhan yang keluar dari mulut-mulut mereka itu amat ringan berbanding permusuhan yang lebih besar dan keras, yang ada dalam hati dan dada mereka… wama tukhfii suduuruhum akbar – Ali `Imran:118; dan Nabiy s`aw bersabda: ana la antasiru bi Musyrikin – saya tidak memerlukan kemenangan dengan bantuan orang Musyrik. Allah juga mengingatkan kita supaya jangan takut kepada mereka dan jangan jadikan Syaitan sebagai qarin kerana ia adalah seburuk-buruk teman –al-Nasa’:38. Bukankah Kuffar itu najis, al-Taubah:28 dan Syaitan?
Dinamika politik Malaysia sekarang amat baik. Sewajarnya aktivis Islam, baik dalam organisasi dakwah maupun dalam organisasi politik, dapat berperanan lebih baik untuk faedah Ummat. Namun mereka juga sudah terkena wabak diabolisme dengan melihat segala-galanya dengan mata dan ‘aqal diabolik dan terperangkap dalamnya. Keadaan ini berlaku, pertama, kerana organisasi dakwah tidak menyediakan individu yang kompeten untuk memikul dan melaksanakan tanggung jawab sebagai aktivis yang mempunyai tasawwur Islam yang jelas, kuat dan sempurna dan kedua, ialah kerana faktor diabolik yang melekat dan menguasai aktivis tersebut yang mana mereka hanya mementingkan diri dan kelompok dan politik diaboliknya sahaja, tanpa memikirkan kepentingan Ummah, malah sanggup berkompromi mengenai nilai fundamental dan menjualkannya dengan harga murah, demi kepentingan politik diabolik jangka pendek. Seorang pemimpin bukan hanya pandai berwacana dan bercakap tetapi dapat bertindak untuk kepentingan Ummah. Pemimpin diabolik terperangkap dengan definisi Kuffar mengenai makna HAM, Kesederhanaan Islam, Hak Bukan Islam, Masyarakat Majmuk dsb. Mereka berandaian, bahawa mereka akan mendapat sokongan dan sanjungan dengan memperjuangkan hal seperti itu, pada hal mereka lupa bahawa Nabiy s`aw menyatakan Baginda s`aw tidak memerlukan sokongan Musyrikun.
Kita faham mengenai geopolitik Malaysia tetapi kita kena lebih faham mengenai ajaran Islam: al-Islam ya‘lu wa la yu ‘la ‘alayh dan aktivis politik yang berugama Islam tidak boleh lebur dalam kesesatan dan kefasiqan politik diabolik semata-mata mengejar cita-cita politiknya. Tidak susah untuk mengenali aktivis politik diabolik iaitu apabila mereka berada dalam kekuasaan mereka tidak berbuat untuk menyelamatkan `aqidah, syari`ah, akhlaq serta kesejahteraan Ummat, tetapi bekerja keras untuk menyelamat dan meneruskan agenda peribadi diaboliknya, malah mereka menjadi korban Iblis dengan melakukan munkaraat dan dosa yang berbagai-bagai!. Selain dari itu, mereka amat suka orang ramai mendewakan mereka, tidak menjaga kehormatan dan maruah diri.
Sementara aktivis politik yang solih dan tidak terkena wabak diabolisme ialah mereka yang dapat menggunakan kekuatan intelek, emosi dan ruhaniynya untuk membina Ummah dan bertindak dengan penuh hikmah dan berjiwa besar seperti diajar al-Qur`an dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan Ummah, bukannya menangguk di air keroh untuk mencapai cicta-cita politik diabolik mereka. Mereka juga dapat menyemarakkan Islam dalam semua aspek Islam dalam arena politik yang diceburinya dengan Islam yang sempurna dan bukan jahanam dengan akhlaqnya rosak, `aqidahnya musnah dan syari‘atnya runtuh dalam kegairahan kuasa diaboliknya untuk mencapai cita-cita politik diaboliknya yang hina.
Benar kata Sayyiduna ‘Umar al-Khattab r ‘a: Belajarlah Islam sebelum menjadi pemimpin!
Satu perkara yang amat penting dan perlu perhatian serious terutamanya aktivis politik ialah doktrin Islam mengenai kewajipan menjaga maruah dan tanah air Muslim. Kewajipan menjaga maruah dan tanah air, ada kaitan dengan ‘Aqidah. Dalam membincangkan mengenai ‘Aqidah Islam dalam al-Farqu bayna ’l-Firaq, Imam ‘Abdu’l Qahir al- Baghdadiy rh w:429H., berkata: mereka bersatu dan mempunyai tali ikatan yang kukuh di kalangam mereka di dalam barisan orang-orang Islam menghadapi orang-orang Kafir, berjihad menjaga dan mengawal kehormatan dan maruah orang –orang Islam, mempertahankan keluarga dan kampung halaman dan tanah air mereka.
Dakwah dan Ummah
Ummati, ummati, ummati. Demikian prihatinnya Junjungan yang mulia s‘aw kepada kita, menjelang wafatnya. ‘Alaykum bi’l mukminina raufu’r-rahim. Demikian kasihnya Baginda s‘aw kepada orang Mukminin. Kedua-dua nass yang mulia ini wajib mendapat prihatian serius organisasi Islam. Ia perlu difahami dan dihadamkan. Organisasi Islam wajib menjaga Ummah dan mengasihi mereka seperti Nabiyy yang mulia s‘aw mengasihi mereka. Organisasi Islam perlu menghindari diabolisme dalam hal ini. Iblis amat suka Ummah terbiar dan tiada kasih sayang sesama mereka. Ia tidak suka kepada kesejahteraan Ummah, bahkan mahu memusnahkan Ummat dengan menganjurkan kebencian, permusuhan, kesengsaraan dan perpecahan. Allah menjelaskan melalui al-Qur`an, bahawa angkara Iblislah, Qabil membunuh saudara kandungnya Habil; anak-anak Nabiyy Ya‘kub ‘as membuat konspirasi hingga hampir terbunuhnya Nabi Yusuf ‘as; memecahbelah institusi keluarga melalui Harut dan Marut. Dan kita jangan lupa, bahawa atas pandangan Iblis jugalah, mesyuarat di Dar an-Nadwah, mengambil keputusan membunuh Junjungan kita yang mulia Nabiyy s‘aw. Ringkasnya, Iblis tidak suka kepada keharmonian dan perpaduan baik pada peringkat keluarga, organisasi, masyarakat maupun peringkat Ummat.
Iblis laknatullah yang benci kepada kesejahteraan dan keharmonian serta kesatuan Ummah, bekerja keras untuk memecahbelahkan Ummat. Allah SwT menempelak: …fama lakum fi’l munafiqina fiatayn – mengapa kamu berpecah menjadi dua golongan dalam (menghadapi) orang-orang Munafiq – al-Nisa’:88. Dan ayat ini, wajar di baca bersama dengan sepotong ayat lagi iaitu ayat yang melarang Ummat berpecah – wa la tafarraqu - ketika kamu sedang berada di tebing kebinaasaan – wa kuntum ‘ala syafa khufrati ’m-mina’n-nar .Iblislah yang menyebarkan perselisihan – inna’s-syaitona yanzaghu baynahum-al-Isra’:53. Sesungguhnya syaitan menyebarkan perselisihan dikalangan mereka. Bukankah Ummat Islam di Malaysia sedang berada pada tebing kebinasaan angkara pemimpin diabolik? Masyarakat Islam wajib mengambil i’tibar dari apa yang berlaku di Madinah di zaman Rasululllah s‘aw iaitu pertelingkahan di antara dua kumpulan Sahabat yang mulia r‘aa, ‘Auz dan Khazraj, yang hampir-hampir menumpahkan darah, adalah kerana gara-gara Iblis menjadikan orang-orang Yahudi yang terkenal amat benci dan hasad kepada perpaduan dan keharmonian Ummat Islam sebagai agen melaga-lagakan mereka. Ingat, di zaman sekarang, Yahudi melalui agen-agennya, menggunakan taktik yang sama!
Dalam keadaan Ummat Islam lemah sekarang, golongan Kuffar tidak henti-henti menggertak Ummat. Sejarah berulang. Di zaman Rasul s‘aw, musuh Islam, menggertak orang-orang Islam seperti dinyatakan Allah: ..sesungguhnya manusia (yakni Musyrikik) telah mengumpul pasukan untuk menyerang kamu (orang Mukmin), kerana itu takutlah kepada mereka ( Musyrikin )…Ali `Imran:173. Latarbelakang ayat ini ialah golongan Kuffar kira, mereka beroleh kemenangan dalam Perang Uhud dan menganggap Ummat Islam kalah dan lemah. Terpancullah kata-kata bongkak yang sekali gus berupa ugutan dari dada diabolik mereka. Ugutan Kuffar itu, tidak sedikit pun melemahkan orang-orang Mukmin dari kalangan Sohabah itu- radiyallahu ‘anhum, bahkan iman mereka melonjak naik. Bandingkan dewasa ini, seperti yang di sebut terdahulu, bahawa pemimpin Ummat Islam berlumba-lumba untuk menjadikan Kuffar sebagai qarin dan bithonah dan memusuhi orang Islam sendiri. Di mana-mana pun di Negara ummat Islam, pemimpin mereka berlumba-lumba untuk menjadi agen Yahudi dan Kuffar dan mengharapkan syafa ‘at serta keampunan dan keredaan mereka! Pemimpin orang-orang Islam yang menjadi alat Kuffar bekerja untuk memenangkan Kuffar dalam kehendak dan tuntutan mereka. Muafakat, sebagai pertubuhan untuk mensejahterakan masyarakat melalui Islam sebenar, perlu sedar dalam perkara ini dan berusaha untuk mengislahkannya.
Keadaan menjadi lebih parah apabila para pengikut yang bodoh dan lemah ‘aqal menjadi terlalu taksub kepada pemimpin mereka sehingga seperti Bani Israil yang membenarkan semua tindakan salah dan jahat pemimpin-‘ulama mereka yang melanggar Syari‘at. Pemimpin diabolik amat suka pengikut jenis ini kerana mudah untuk mencapai cita-citanya. Di sinilah peranan Iblis.
Menghidupkan Hati
Akibat menelan pil rangsangan Iblis, kedapatan aktivis Islam yang diabolik tidak menjadikan Islam sebagai matlamat yang sebenar dalam kerjayanya baik dibidang politik maupun dakwah itu sendiri. Kegiatan mereka sekadar memenuhi profil peribadi untuk ditatap orang kemudian. Terdapat juga orang yang menggunakan platform dakwah untuk menjana hawa nafsu, demi mencapai tujuan peribadi mereka yang rendah dan hina. Pengikut yang jahil menjadi tentera-tenteranya. Ini adalah akibat dari penyakit hati yang kemudiannya membawa kepada matinya hati itu.
Untuk menghidupkan hati yang mati ini ialah dengan ma’ al-hayah iaitu dengan menghapuskan segala sifat muhlikat dalam diri dan menggantikannya dengan sifat munjiyat. Aktiviti untuk menghidupkan hati yang mati ialah seperti kata al-Ghazzaliy rh ialah melalui pintu ‘ilmu, zikir, muhasabah, mujahadah dsb. Organisasi dakwah wajar memberi perhatian khusus kepada aktiviti ini, kerana ia adalah tuntutan Syara‘ dan berstatus fardu ‘ayn. Kata Syaikh Sa‘id Hawwa rh, aktiviti seperti ini sudah ditinggalkan! Sesetengah aktivis Islam lebih menekankan aktiviti untuk mendapat kemasyhuran, tetapi dalam hal membersihkan diri dari sifat-sifat muhlikat dan menghiasinya dengan sifat munjiyat, tiada usaha sungguh-sungguh dibuat, malah ada yang mencemohkannya. Tanpa hati yang hidup, maka kebenaran yang haqiqi tidak akan masuk dan yang masuk ialah Iblis yang akan bertakhta di lubuk hati. Sebab itu kata Syaikh Sa ‘id Hawwa rh, bahawa kerosakan hati akan menimbulkan sifat berdusta, munafiq, berbuat fasiq, maksiyat, takabbur, ‘ujub, enggan menerima yang benar, melawan hukum agama, melampaui batas Syari ‘at, menganggap orang lain hina dan merasa dia lebih tinggi dan hebat dan mulia daripada orang lain, dan sifat-sifat jahat yang lain seperti dengki, suka fitnah, khianat, tipu, manipulasi, tidak amanah dalam menjalankan organisasi, tidak menguruskan harta organisasi secara jujur, memperlekeh kehidupan berdasarkan al-Sunnah malah anti-Sunnah, memelihara dan membesarkan hawa nafsu dsb.
Kadangkala organisasi menjadi milik peribadi dan mereka adalah taukenya. Bagi mereka yang diabolik ini, institusi tidak penting, yang penting adalah diri peribadi mereka. Ini adalah kerana yang menguasai diri mereka bukannya Syari‘at dan akhlaq ruhaniyyah yang mulia, tetapi hawa nafsu yang ditunjangi Iblis. Mereka menjadikan hawa nafsu sebagai panduan dan Tuhan!
Kepada aktivis dakwah: hidupkanlah hati. Jadikanlah organisasi Islam sebagai organisasi ruhaniyy. Jangan ikut pandangan diabolik dari sesetengah pemimpin organisasi Islam yang melarang organisasi dakwah menjadi organisasi ruhaniyy dengan berkata bahawa hal ruhaniyy adalah urusan peribadi yang tidak kaitan dengan organisasi. Pandangan diabolisme yang sesat ini amat bercanggah dengan ajaran Islam kerana dalam al- Qur’an terdapat istilah hizbu’llah – al-Mujaadilah:22, dan al-Maaidah:56; bunyaanu ’m- marsus- al-Saff:4 dan dalam al-Hadith perkataan al-Jama ‘ah, yang semuanya itu merujuk kepada makna kumpulan atau persatuan orang ramai. Istilah itu merujuk kepada kumpulan yang benar dan kumpulan yang benar antara cirinya ialah kebersihan ruhaniyy – al- Syams:9, hadith al-Ihsan dll. Organisasi Islam ialah organisasi yang menjadikan rukun-rukun agama – arkanu ’d-din- sebagai dasar perjuangan. Bukankah al-Ihsan iaitu suatu kedudukan dan suasana ruhaniyy yang merupakan salah satu ruknu’d-din? Jadi, apakah organisasi yang menolak ruhaniyy itu masih boleh dinamakan organisasi Islam?
Nabiyy s‘aw, melalui apa yang biasa disebut sebagai Madrasah al-Rasul, telah memproses bukan satu-dua qabilah tetapi seluruh Negara bahkan seluruh Ummah menjadi ruhaniyy, yang memandang ma‘ad sebagai tujuan tertinggi. Baginda s‘aw tidak menyerahkan dan membiarkan kepada individu untuk mencari kehidupan ruhaniyy masing-masing tetapi Baginda s ‘aw dan organisasinya yang mendidik ahli-ahli. Dari sini dapat diqiyaskan bahawa organisasi dakwah perlu diruhaniyykan dan bertanggung jawab mendidik ahlinya dalam ahwal ruhaniyy, kalau tidak, ahli-ahli akan mendapatkan ajaran ruhaniyy dari luar yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Demikian juga Muhammad bin ‘Aliyy al-Sanusi rh, menjadikan jama‘ah/organisasinya sebagai organisasi ruhaniyy, yang sekali gus organisasi mujahidin, ditransformasikan kepada siyasah hingga dapat menegakkan daulah. Inilah yang amat ditekankan oleh ‘alim besar dan ‘alim haraki dewasa ini iaitu Syaikh Sa ‘id Hawwa rh. Beliau mewajibkan orang ramai menyertai organisasi jenis ini dan menjauhi organisasi yang tidak mementingkan ruhaniyy. Kekuatan dan keberkatan organisasi berada bersama dengan hati yang hidup dan ruhaniyy yang mantap.
Ingatlah! Iblis dan aktivis dakwah diabolik tidak menginginkan perkara ini berlaku.
Kenal Kebenaran dan Kebatilan
Seperti disebut terdahulu, ‘ilmu amat penting dalam diri pendakwah. Dalam usaha dakwah dan islah, ajaran dan cara berdakwah mestilah benar-benar mengikut kaedah Islam. Aktivis dakwah mestilah memiliki kualiti ‘ilmu yang membolehnya membezakan antara ajaran dan jalan yang haq dan yang batil; ‘aqidah yang sohih dan salimah dengan ‘aqidah yang sesat dan batil; ‘ibadah yang benar dengan yang palsu, akhlaq yang mulia dengan yang jahat dsb, menurut ukuran Syari‘at bukan menurut ukuran diabolisme. Dalam konteks dakwah, ‘ilmu mengenai kebenaran dan kebatilan amat sangat di perlukan kerana ia dapat mengenali cara dan jalan dakwah dan islah yang sebenar dan dapat menilai usaha-usaha dakwah dari masa ke masa, mana yang sudah tersasar dan mana yang masih lurus dan benar.
Dalam perjalanan dakwah dan islah yang bercampur aduk dengan berbagai faham dan ideologi, maka keperluan kepada ‘ilmu yang dapat mengenali haq dan batil, amat terasa terlalu penting. Percampuran antara yang benar dan batil seperti sabda Nabiyy yang mulia s‘aw sebagai asap, kita kini memang benar-benar berada dalam asap tersebut. Percampuran antara ajaran dan cara Islam yang benar dan palsu sukar di kenali dan dipisahkan, melainkan oleh ahli ‘ilmu yang di beri petunjuk dan faham oleh Allah. Adalah amat malang apabila aktivis Islam tiada memiliki piawai dan ‘ilmu untuk mengenali yang benar dan yang batil, tetapi masih berani bercakap mengenai yang benar dan yang batil menurut Islam! Lebih banyak khutoba’ dari ahli ‘ilmu!.
Demi kejayaan dakwah dan islah, maka aktivis Dakwah wajib berwaspada dengan diabolisme kerana ditakuti terjebak ke dalam maksiyat paling besar iaitu melihat yang munkar sebagai ma’ruf – kata Iblis: pasti aku (Iblis) akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) - al-Hijr:39; juga: la tufsidu fi’l ardh qaaluu innama nahnu mushlihun – al-Baqarah:11; dan yang baik sebagai kurang baik atau langsung tidak baik atau munkar. Pun begitu, satu berita baik dan penawar bagi orang yang diserang Iblis. Allah menyatakan: sesungguhnya tipu daya Iblis-Syaitan itu amat lemah – al-Nisa’:76, jadi untuk mengalahkan Iblis yang lemah itu ialah dengan banyak mengingati Allah dan berdamping dengan ‘Ulama ‘amilin lagi muhaqqiqin. Sekiranya golongan ini sudah tiada, maka wajar mendampingi, mempelajari dan meneliti tulisan mereka dengan tekun dan mengambil manfa‘at darinya.
Mengembalikan Kegemilangan Dakwah
Kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kegemilangan dakwah dalam ertinya yang sebenar – sudah tentu dengan rahmat dan nusrah Allah. Untuk tujuan tersebut, organisasi dakwah wajib melahirkan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi, pemikir dan perancang yang iltizamnya amat tinggi.
Selain golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi seperti yang telah di sebut di atas, kekurangan besar yang amat ketara dalam organisasi dakwah ialah ketiadaan golongan pemikir. Organisasi dakwah wajib mengujudkan golongan pemikir yang serius yang berfikir secara Syara‘ dengan ‘aqal ‘ubudiyyah, berlandaskan al-Qur`an dan al-Sunnah, bukan pemikir diabolik. Golongan pemikir serius yang dimaksudkan ialah orang-orang yang menggunakan semua kekuatan intelek, emosi dan ruhaniyy secara serious dengan menumpukan kepada berfikir, kemudian merumuskannya dan meletakkan hasil rumusan itu ke dalam organisasi dakwah sebagai suatu doktrin, falsafah dan dasar yang menjadi panduan dan landasan kepada organisasi dalam melaksanakan cita-cita organisasi tersebut. Mereka juga dapat menjadi penghurai kepada doktrin dan falsafah modern dan pasca-modernisme yang bercanggah dengan Islam dan bersedia untuk berdepan dengan siapa sahaja. Adalah amat malang apabila organisasi dakwah menjadi tunggangan kepada golongan pemikir diabolik di luar lingkungan mereka dan menjadi lebih malang lagi apabila di kalangan organisasi dakwah dan islah itu sendiri terdapat orang yang berfikir secara rasa hina diri dan hanya mahu bergantung kepada golongan diabolik berfikir untuk mereka. Keadaan ini akan menjadikan organisasi dakwah senantiasa berada dalam kehinaan padahal ia adalah tinggi – antumu ’la’launa inkuntum mukminin.
Golongan pemikir ini akan meletak dan membina cara berfikir Islamiyy pada setiap aktivis dan mengukuhkannya. Mereka juga akan memberi input, pandangan, saranan dsb kepada organisasi demi kebaikan, kemajuan, dan kejayaan organisasi dakwah hingga ke paras yang paling tinggi. Mereka ini bukan sahaja menjadi pemikir dilingkungan organisasinya tetapi juga pemikir untuk memajukan Ummah dan Negara dalam usaha membina sebuah tamaddun yang benar-benar di redhai Allah, sesuai dengan motto dakwah: Untuk Ummah dan Negara – ukhrijat li ’n-nas dan baldah toyyibah. Pengalaman gerakan al-Sanusi di Afrika Utara wajar menjadi panduan organisasi dakwah yang mana mereka memiliki pemikir organisasi-persaudaraan yang kemudian menjadi pemikir politik hingga dapat mendirikan Negara.
Satu lagi golongan pemikir yang penting ialah mereka yang bukan dari golongan yang pertama tadi, tetapi mereka ini memiliki ‘ilmu, yang mampu berfikir dan pandai menilai perjalanan dakwah. Golongan ini berupaya menegur dan membetulkan keadaan, jika didapati ada kepincangan dalam pengurusan dan perjalanan dakwah. Mereka merupakan pembantu, rakan dan penguat organisasi.
Di samping pemikir, organisasi dakwah memerlukan golongan perancang yang solih. Mereka bersama dengan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi dan pemikir, akan merancang perjalanan organisasi selari dengan kehendak Syara‘. Mereka akan merancang untuk kejayaan organisasi demi mendaulatkan dakwah dan Islam, bukan merancang dengan segala manipulasi diabolik untuk menguasai organisasi demi kepentingan diri dan nafsu keiblisannya yang hina yang akhirnya organisasi dakwah itu kucar-kacir, lemah dan tidak kemana. Mereka juga merancang dan menyusun strategi untuk menghindar dan menolak serangan Iblis dan tenteranya dari kalangan manusia. Kesungguhan berserta dengan sifat ikhlas dan ketepatan merancang dan strategi, amat diperlukan lebih-lebih lagi dewasa ini, yang mana berbagai rancangan dan strategi musuh Islam, merancang untuk melemah dan memesongkan matlamat murni organisasi Islam itu, bahkan untuk menggagalkan sama sekali cita-cita untuk mendaulatkan Islam.
Dengan adanya paduan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi, pemikir dan perancang yang baik, insya Allah, organisasi dakwah akan dapat merancang dan menyusun kerja-kerja dakwah dan islah dengan lebih baik dan berkesan, melalui organisasi yang diurus secara benar, ikhlas, amanah, hikmah, ta‘aawun dan tawakkul dan bukan melalui tukang syarah yang imannya seperti sabda Nabiyy yang mulia s‘aw: tidak lepas dari kerongkong!
Kebenaran tidak akan tertegak melainkan dengan perancangan yang rapi!
Dakwah kita ialah dakwah yang membawa ke Jannah bukan ke abwabi jahannam!
Penutup
Muafakat sebagai organisasi dakwah Islam, wajar mengambil langkah yang konkrit untuk mensejahterakan Ummah. Ia perlu memiliki falsafah yang jernih dengan matlamat yang jelas iaitu Islam syumul dan melalui jalan yang benar iaitu Syari‘at. Organisasi Muafakat perlu membina kekuatan ‘ilmu, Tauhid dan ruhaniyy. Ia patut menjadi organisasi ruhaniyy yang sempurna!
Wa ma taufiqi illa billah.
Usrah Bulanan MUAFAKAT – Oktober 2009
Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: 6 Oktober 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama
Tajuk: Diabolisme Pemikiran dan Dakwah Islamiyyah: Satu Muhasabah
Pembentang: Sdr. Haji Ismail Mina Ahmad
Bahan usrah boleh dibaca dari sini (klik) dan dicetak dari versi cetak ini.
Sila bawa naskah Al-Quran & terjemahan masing-masing.
Tempat: Kediaman Sdr. Dato’ Haji Zakaria Hashim
Alamat kediaman: No. 4, Lorong Basong, off Jalan Bruas, Damansara Heights, Kuala Lumpur (
Peta)
****
Peringatan: Sila bawa Terjemahan/Tafsir Al Quran – untuk sambungan perbincangan ayat 10-20 Surah Al-Mukminun
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat (JPP) Sesi 2009-2012
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Haji Mohd Mukhtar b. Shafie yang telah melepaskan jawatan beliau sebagai ahli JPP dalam perlantikan baru Jawatankuasa Pimpinan Pusat (JPP) MUAFAKAT.
Kami juga ingin mengalu-alukan Dr. Zaid Ahmad (UPM) dan Dr. Amran Muhammad (UM) sebagai ahli baru dalam JPP.
Berikut adalah senarai penuh JPP bagi sesi 2009-2012
***************************
Presiden:
Prof Emeritus Dato’ Dr Osman Bakar
Timbalan Presiden:
Dato’ Haji Ahmad b. Haji Ismail
Naib Presiden:
Dr Mohd Nor Nawawi
Setiausaha Agung:
Sdr. A Karim Omar
Penolong Setiausaha Agung:
Sdr. Wan Burhan Bin Wan Ismail
Bendahari:
Tuan Haji Mohd Amin Hashim
Ahli-ahli Jawatankuasa:
Datuk Haji Rameli Musa
Tuan Haji Ismail Mina Ahmad
Tuan Haji Mohd Yunus Aminuddin
Prof Dr. Mohd Aslam Haneef
Dr. Fisol Maidin
Dr. Fauzan Nordin
Dr. Zaid Ahmad
Dr. Amran Muhammad
Kenyataan Akhbar: Tindakan tegas jika mempersoalkan isu-isu sensitif
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
25, Jalan Bandar 3, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur Tel: 03-4106-0175 Fax: 03-4147-4635
muafakatmalaysia.wordpress.com
________________________________________________________________________
Kenyataan Akhbar:
TINDAKAN TEGAS PERLU DIAMBIL TERHADAP MEREKA YANG MEMPERSOALKAN ISU-ISU SENSITIF DI NEGARA INI
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat (MUAFAKAT) merasa terpanggil untuk menyatakan pendiriannya berhubung dengan kegiatan golongan tertentu yang secara terus menerus menjalankan kempen mencabar, menghina dan memomokkan isu-isu sensitif seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, hak istimewa orang-orang Melayu dan bumiputera lain, hak biasiswa untuk orang-orang Melayu dan bumiputera lain dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan IPT.
Perlu ditegaskan bahawa isu-isu ini adalah isu-isu yang menjadi asas kepada pembentukan Negara ini, yang telah disepakati oleh semua kaum di Negara ini dan telah diterima oleh semua kaum, melalui wakil-wakil mereka, apabila mereka merundingkan kemerdekaan bagi Negara ini dahulu. Wakil-wakil kaum Cina dan India telah menerima asas-asas tersebut sebagai balasan kepada persetujuan orang-orang Melayu untuk memberi kerakyatan kepada mereka yang lahir di Malaysia pada hari Kemerdekaan. Adalah memerajatkan dan amat mengecewakan bahawa golongan tertentu telah secara tidak berhenti-henti membangkitkan semula isu-isu tersebut, manakala kaum yang majoriti tidak pernah membangkitkan apa yang telah diberikan kepada mereka. Malah lebih jauh dari itu, penguasaan ekonomi di Negara ini telah dibolot oleh mereka, secara terus menerus dari zaman kemerdekaan, sehinggalah ke hari ini.
Sekiranya pihak-pihak ekstremis ini terus menerus membangkitkan isu-isu yang sensitif ini dalam setiap forum yang ada, baik ceramah, media serta blog dan internet, dan sekiranya trend ini tidak dihentikan dengan serta merta, adalah dibimbangkan ianya akan membuahkan ketegangan kaum di Negara tercinta ini.
Satu perkara yang sukar diterima oleh majoriti rakyat di Negara ini ialah apabila Raja-Raja Melayu menegur supaya dihentikan polemik berhubung perkara-perkara sensitif ini, maka Raja-Raja Melayu pula menjadi sasaran kritikan mereka. Maka semakin galaklah mereka mengkritik, menghentam dan menghina Raja-Raja Melayu, dengan pelbagai kata-kata yang kesat, yang tidak boleh diterima oleh setiap mereka yang bertamaddun.
Oleh itu, MUAFAKAT menyokong amaran yang dikeluarkan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak YBhg Tan Sri Harussani Zakaria yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 13 Ogos 2009 yang memberi amaran kepada kumpulan eksterimis dan pelampau itu supaya sedar bahawa tanpa institusi Raja-Raja Melayu yang menjaga kepentingan majoriti penduduk Malaysia, Negara ini tidak mungkin menjadi aman.
Sehubungan dengan ini, MUAFAKAT juga menyokong seruan YBhg Tan Sri Harussani Zakaria supaya Kerajaan hendaklah bertindak tegas terhadap kumpulan ekstremis ini, yang cuba menggugat keamanan dan ketenteraman di Negara dengan menimbulkan isu-isu yang sensitif seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan hak istimewa orang-orang Melayu dan kaum-kaum lain, hak biasiswa kepada orang-orang Melayu dan bumiputera lain, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan IPT serta kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
Terima kasih.
(Dato Haji Ahmad bin Haji Ismail)
Timbalan Presiden, MUAFAKAT
14 Ogos 2009
Usrah Bulanan MUAFAKAT – Ogos 2009
Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: 4 Ogos 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama
Tajuk: Perlaksanaan Undang-undang Islam di negara Islam: Pelajaran Untuk Kita
Pembentang: Sdr. Dr. Mohd Nor Nawawi
Bahan usrah akan diedarkan semasa usrah – insha Allah.
Sila bawa naskah Al-Quran & terjemahan masing-masing.
Tempat: Ustaz Razali Nawawi
Alamat kediaman: No. 7, Jalan 2/1D, Bandar Baru Bangi
Manhaj Malazie – Suatu Pendekatan Dakwah
Kertas kerja yang dibentangkan semasa Konvensyen Pendakwah Negara 2009M/1430H- 10–11 Jun 2009M /16-17 Jamadilakhir 1430H bertempat di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
**************************************************************************
“ MANHAJ MALAZIE” SUATU PENDEKATAN DAKWAH
Prof.Dr. Sidek Baba
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
MUKADDIMAH
Masakini berbagai orientasi dakwah terdapat dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengahayatan Islami. Ada yang memilih orientasi haraki (gerakan), terdapat juga yang memilih orientasi siasi (politik), berkembang juga orientasi “tablighi” dan tidak kurang juga cenderung ke arah orientasi sufi bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman dan amal Islami.
Sesetengah orientasi ini menyandarkan kepada jamaah atau gerakan yang terdapat di luar negara yang mempunyai orientasi, maslahah dan cabaran yang tidak sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Manhaj atau kaedah Mesir umpamanya kalau ditinjau dari segi sejarah, budaya, situasi sosio-ekonomi ianya tidak sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Manhaj atau kaedah Indo-Pakistan juga tidak serupa dengan situasi sosio-politik-budaya di Malaysia. Malaysia adalah sebuah negara yang agak unik dan memerlukan suatu kaedah yang sesuai dengan latarbelakang sejarah, sosio-ekonomi dan pentadbirannya.
“MANHAJ MALIZIE”
Ini tidak bermakna tidak ada latar kesamaan antara Mesir dan Indo-Pakistan dengan apa yang terdapat di Malaysia. Dakwah Rasulullah SAW adalah sumber terbaik samada dari segi manhaj mahupun kekesanan dakwahnya. “Manhaj Malizie” atau dakwah mengambil pendekatan keMalaysiaan amat perlu kerana orientasi masyarakat berbilang, kebebasan yang ada, pengaruh Islam dalam sistem, terdapat banyaknya lembaga dan institusi Islam di seluruh negara memungkinkan “Manhaj Malizie” mampu berperanan. Pendekatan ke Malaysiaan ini mengambil kira peruntukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia khususnya yang terdapat dalam bidang kuasa negeri. Sejarah perkembangan dakwah Islam sejak zaman Melaka sehingga kini dan pendekatan dinamik yang perlu ada bagi badan-badan dakwah melihat potensi yang terdapat samada di kalangan umat Melayu mahupun di kalangan yang Bukan Melayu atau Bukan Islam.
DUSTUR DAKWAH
Rasulullah SAW menganjurkan suatu dustur dakwah yang terbaik seperti yang terungkap dalam Hadithnya “ Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dengan pekerti teladan yang baik dan hujah-hujah yang terbaik dan meyakinkan”. Dustur atau kaedah dakwah ini amat releven dalam realiti Malaysia. Sebagai dai’ dan murabbi, dihadapannya terdapat potensi mad’u atau orang yang hendak di dakwah dalam segala peringkat dan latarbelakang.
Pertama, kena ada sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang yang hendak di dakwah. Berdakwah dengan memberikan label dan sindiran boleh menyebabkan yang didakwah akan lari dan tidak tertarik dengan cara yang diambil. Kita harus menginsafi bahawa tidak semua orang yang didakwah memiliki latar pendidikan dan binaan keluarga yang baik. Sesetengah yang ingin kita dakwah adalah orang-orang yang cicir dalam keluarga, mengalami kelompangan hati dan kekeliruan minda. Orang-orang seperti ini mudah terdedah kepada kefasadan dan kemungkaran kerana tidak memiliki kesedaran rohaniah.
Kedua, apabila kita melihat kemungkaran atau ketidakbaikan yang dilakukan oleh seseorang, perbuatan itu tidak kita sertai. Tetapi jauh dalam lubuk hati kita terpancar rasa belas kasihan terhadap apa yang berlaku. Lalu datang gerak dalam hati untuk mendekatinya sebijaksana mungkin. Sekiranya pendekatan ini dilakukan bagi mengajaknya kembali ke jalan yang benar ada kemungkinan ia akan kembali kepada fitrah hidup semula. Sekiranya kejayaan ini ada ,bermakna ia tidak lagi terus menerus melakukan kemungkaran, sebaliknya sudah bersama dengan kita hidup dalam kemakrufan. Berdakwah tidak saja dengan silat lidah tetapi yang amat berkesan ialah silat hati. Hubungan hati dengan hati atas asas dakwah kerana Allah sering mengembalikan insan ke jalan yang benar. Mengambil pendekatan kasar, suka melabel dan gopoh selalu menyebabkan orang yang didakwah lari malah amalannya akan menjadi lebuh teruk lagi.
Ketiga, melakukan dakwah perlu ada persiapan. Faham akan sasaran, tingkat pemikiran, rasa kesabaran dan kebijaksanaan, contoh teladan diri yang baik dan tidak mudah berputus asa. Harus ada sikap bahawa setiap yang ingin di dakwah ada potensi untuk berubah. Hal ini penting kerana cabaran dakwah tidaklah mudah tetapi harus diingat melakukan dakwah adalah tugas dai’ sebijaksana mungkin tetapi yang memberikan hidayah adalah Allah.
Keempat, kuasai ilmu pengetahuan dalam berbagai bidang khususnya ilmu-ilmu yang Islami, kerana jenis cabaran yang menghadapi masyarakat kini tidak saja rohaniah sifatnya tetapi perkembangan ilmu yang menjangkau ke daerah sains dan teknologi. Ilmu ini harus diolah dengan bijaksana bermula dengan mengukuhkan aqidah dan iman, ibadah dan syariah supaya terhasil akhlak yang baik.
MEMAHAMI KEUNIKAN MALAYSIA
”Manhaj Malizie” mengajak para dai’ dan murabbi, pendakwah-pendidik memahami tentang keunikan Malaysia supaya para pendakwah faham akan suasana yang membolehkan dakwah berkembang, kaedah yang tidak saja memantapkan aqidah dan iman tetapi mampu akhirnya menyuburkan ilmu yang dapat menjadi benteng mendepani cabaran perubahan dan kemajuan yang memerlukan acuan yang betul dan Islami. ”Manhaj Malaysia” bukan sekadar menimbulkan keinsafan tentang pentingnya akhlak karimah disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan, ia memungkinkan saluran alternatif diberi tidak saja dalam pembangunan ilmu tetapi juga dalam memberikan arah yang betul pemahaman tentang seni dan budaya supaya kemajuan yang berlaku sentiasa dalam acuan yang makruf. ”Manhaj Malizie” mengambil pendekatan wasatiah atau sederhana sesuai dengan risalah Islam itu iaitu sejahtera.
Pendakwah dan pendidik harus sentiasa memiliki sikap berlapang dada untuk menerima kritik dan teguran dan jangan mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi dengan resam budaya masyarakat dan boleh menyebabkan gerakkerja dakwah menjadi fitnah. Gerakerja dakwah harus sentiasa dimurnikan dengan usaha-usaha dai’ dan murabbi yang istiqamah terhadap perjuangan, yakin akan keberkesanan dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon kekuatan.
DAKWAH RASULULLAH BERASASKAN FATANAH.
Salah satu sifat Rasulullah SAW ialah fatanah atau bijaksana. Dalam dakwah pendekatan bijaksana amatlah dituntut. Bijaksana mempunyai makna yang amat luas. Ia menghubungkan antara maksud idealisme dengan realiti (waqie). Ia mengaitkan faktor realiti dengan isu strategi. Bijaksana juga mengaitkan tahap kefahaman dan pemikiran orang yang di dakwah dengan pemikiran dan tahap pengetahuan para pendakwah.
Dakwah Rasulullah tidak sekadar kata-kata yang bersifat ajakan, nasihat, seruan dan peringatan terhadap sesuatu tetapi terlihat kepada kesabaran, kelembutan kata-kata, kesesuaian mad’u atau orang yang di dakwah, ketegasan menyatakan prinsip dan pedoman, kejelasan menyatakan yang maaruf dan mungkar.
Berdepan dengan Abu Jahal dan Abu Lahab, Rasulullah adalah amat tegas dengan persoalan aqidah. Bertemu dengan bapa saudaranya Abu Talib, Rasulullah amat lembut menyatakan kebenaran dan hak. Menghadapi karenah seorang perempuan Yahudi yang membencinya, Rasulullah amat sabar dan bijaksana sehingga perempuan itu kembali kepada fitrah.
SEJARAH DAKWAH DI DUNIA MELAYU
Tetapi sifat zaman berubah dan faktor ruang sifatnya dinamik. Dakwah di dunia Melayu adalah amat unik. Keupayaan pendakwah mendekati Raja dan Penguasa berupaya mengembalikan mereka kepada fitrah. Perubahan yang berlaku kepada Raja dan Penguasa diikuti oleh rakyat jelata. Ianya adalah suatu kebijaksanaan. Pendakwah zaman silam amat memahami realiti kepercayaan masyarakat pada zaman itu. Fahaman Hindu dan Buddha, keyakinan rakyat jelata kepada faham sharman atau kuasa-kuasa ghaib terlihat dalam adat dan budaya, gaya hidup dan juga pemikiran.
Kehebatan pendakwah pada masa itu mampu mendekati ahli ilmu dengan makna iman dan takwa, mendekati karyawan tentang makna seni dan sastera, mendekati ahli bahasa mengenai bahasa al Quran, menerima aspek-aspek budaya setempat yang tidak bercanggah dan menghasilkan kitab-kitab yang senafas dengan citarasa setempat.
Darinya lahir majlis-majlis ilmu mengenai aqidah dan ibadah, jenis puisi seperti pantun yang aslinya dari budaya Melayu, syair, gurindam, seloka, nazam, qitah dan prosa yang bersifat hikayat sebagai khazanah seni dan ilmu yang memperkaya pemikiran umat Melayu suatu ketika dulu.
Kebijaksanaan inilah juga menjadikan Islam semakin berkembang di dunia Melayu menghasilkan karyawan terbilang seperti penghasilan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, tokoh-tokoh tasawwuf seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al Nariri, Shamsuddin al Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel dengan kitab-kitab besar masing-masing serta menghasilkan Sheikh Daud al Fatani dengan kitab-kitab feqahnya yang amat terkenal dan menjadi rujukan ulama’-ulama’ terkemudian.
Tradisi ini akhirnya telah mampu menyerapkan ribuan istilah al Quran ke dalam bahasa Melayu sehingga sesetengah ilmuan mengatakan proses dakwah dan Islamisasi telah berjalan dengan baik di Alam Melayu sehingga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam.
Kekentalan tradisi dakwah dan Islam ini jugalah yang terbukti menjadi benteng yang amat ampuh menghadapi proses Salibiyyah penjajah yang silih berganti berada di Alam Melayu untuk lebih empat ratus tahun. Makna Melayu amat sinonim atau disamakan dengan Islam dan orang-orang Islam di Alam Melayu adalah dari rumpun Melayu. Islam dan Melayu adalah sesuatu yang sebati dalam konteks agama, sejarah dan kebudayaan.
MENGISI MAKNA KEMERDEKAAN
Selepas kita mencapai kemerdekaan, keperluan untuk mengisi makna kemerdekaan menjadi suatu cabaran. Malang sekali anakanak bangsa yang terpilih menjadikan Barat sumber membangunkan kekuatan baru ke arah kemajuan dan perubahan. Proses pembaratan dalam bentuknya yang berbeza menjadi subur dan akhirnya menimbulkan konflik antara tradisi Islam yang sedia ada dengan pengaruh Barat yang semakin mengakar.
Ianya memberikan tindakbalas di kalangan yang sedar tentang pentingnya dakwah diperkasakan dan Islam dijadikan asas dan landasan hidup dan bernegara. Di waktu itu faham nasionlisme Melayu amat kuat tetapi elemen Islam tetap dianggap penting. Ahli-ahli politik, bahasa, kebudayaan dan ilmuan masih dalam kesedaran dan keinsafan bahawa faktor Islam adalah penting bagi survival Melayu. Berlakulah penyegaran Islam hingga menyebabkan dakwah berkembang dan minat generasi muda terhadap Islam di tahun-tahun 70an, 80an dan 90an berlaku dengan hebat sekali.
Tetapi suasana masyarakat di awal abad 21 sedang mengalami perubahan yang amat pesat dalam semua lapangan. Proses pembaratan yang berlaku diperkukuhkan lagi dengan strategi Globalisasi yang menyebabkan corak komunikasi dan telekomunikasi berubah, sistem maklumat dan keilmuan menjadi sejagat dan rangkaian internet, website dan weblog telah menjadi semakin dekat dengan masyarakat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda.
Keadaan sebegini menyebabkan lahirnya kecenderungan baru dikalangan warga Malaysia untuk maju dan membangun. Di kalangan pendakwah berdepan dengan cabaran baru yang lebih sengit. Sesetengah orang Melayu tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti yang berlaku pada tahun-tahun 70an, 80an dan 90an. Setengahnya mula terpaut dengan faham liberal akibat pengaruh Barat, materialisme dan konsumerisme yang semakin kuat khususnya di kalangan kelompok menengah Melayu. Di kalangan generasi mudanya sebahagian besarnya sudah mula terpikat dengan pengaruh budaya dan gaya hidup Barat menerusi pengaruh media letronik dan cetak yang memancarkan gaya hidup Barat yang lepas bebas.
Suatu aspek lain yang muncul ialah di sebalik usaha pengukuhan Islam dalam konteks pentadbiran Islam di Malaysia, mula muncul suara-suara di kalangan yang Bukan Islam tentang makna pluralisme yang baru dan pengungkitan kembali aspek-aspek teras dalam Perlembagaan negara dan ianya boleh menjejas hubungan antara kaum.
Oleh itu amat penting para pendakwah di abad ini mencari kebijaksanaan dalam mengambil pendekatan memilih kaedah yang terbaik dalam realiti yang pantas berubah. Pendekatan ”bottom-up” harus diperkasa dengan memberikan strategi alternatif terhadap isu Islam. Ilmuan Islam samada yang lahir dalam orientasi Al Azhar, Jordan , Madinah, UIAM atau yang pernah belajar di Barat dan di Timur dan pernah terimbau dengan gerakan dakwah dan jamaah seharusnya mencari jalan terbaik bagaimana cabaran keilmuan menjadi faktor utama yang bakal menentukan arah aliran perubahan dan pembangunan masa depan.
Jenis modal insan yang perlu dibangunkan harus memiliki upaya dan keseimbangan dalam memahami ilmu Islam, Barat dan Timur kemudian mengambil faedah berbanding dari Barat dan Timur untuk diperkasakan dalam Acuan Kita Sendiri. Inilah cabaran dakwah bijaksana di abad ini.
MENCARI KEBIJAKSANAAN
”Manhaj Malizie” memberi fokus tentang memperkasakan Umat Melayu sebagai umat teras atau contoh. Dalam konteks Malaysia orang-orang Melayu dilihat sebagai mewakili umat Islam dan juga Islam itu sendiri. Al Quran dalam Surah
memberikan kita pedoman tentang maksud umat terbaik.
Konsep Melayu seiring dengan maksud Surah al Hujurat ayat 13 yang memberikan asas diciptakan bangsa-bangsa atas maksud litaarrafu sifat kekenalan yang mencetuskan perubahan, kesalingan dan tamadun. Pada hari ini para pendakwah tidak saja berdepan dengan masalah mengekalkan umat Melayu terus berada dalam fitrah tetapi pengaruh globalisasi yang berkembang di pelbagai dimensi menyebabkan proses liberalisasi dan sekularisasi berkembang dengan cepat. Tanpa suatu pendekatan dakwah yang dinamik kekuatan Umat Melayu sebagai umat teras akan beransur-ansur hilang.
Dakwah secara lisan dan dakwah bil hal perlu disuburkan dalam keluarga, di lembaga pendidikan dan juga di Pusat Pengajian Tinggi supaya generasi penerus merasakan bahawa mewujudkan iklim dakwah yang subur di Malaysia adalah suatu tuntutan. Tanpa strategi ini kegiatan dakwah akan menjadi kegiatan terpencil dan cabaran merosakkan generasi muda akan terus berkembang.
Kerajaan Islam Sepanyol – serupakah nasib kita?
Ulasan penulis (Ustaz Rosli Mokhtar)
Harga: RM 23.00
Tebal: 224 mukasurat
Penerbit: Casa Publication
MUQADDIMAH
Sejarah adalah satu subjek yang amat perlu dipelajari oleh semua orang, tidak kira apa bidang pengkhususan mereka. Ini kerana pengetahuan sejarah banyak memberi panduan dan pengajaran kepada seseorang individu.
Sedar dengan kepentingan ini, saya cuba menyajikan salah satu sejarah peradaban unggul iaitu tamaddun Islam di Spanyol. Tamadun Islam di benua Eropah itu adalah penghubung antara kemajuan umat Islam dan kemajuan Eropah moden.
Sebenarnya keinginan untuk melahirkan buku ini tersemai semenjak saya menuntut di bumi Morocco lagi. Keinginan itu makin memuncak bila saya sempat menghabiskan cuti musim panas di negara Spanyol dan negara-negara Eopah lain. Melihat masjid Cordoba yang sudah di tukar kepada gereja membuatkan saya terpanggil untuk meriwayatkan pengalaman satu bangsa yang pernah menerajui dunia tetapi akhirnya tersungkur rebah. Mula timbul persoalan mengapa terjadinya peristiwa ngeri kejatuhan itu? Apakah ini satu hukum alam yang telah tertulis buat setiap bangsa? Apakah bangsa kita juga akan melalui liku-liku yang sama?
Buku ini diharap dapat menjawab beberapa persoalan yang diajukan walaupun bukan secara langsung. Mudah-mudahan sorotan ringkas tamaddun selama 800 tahun ini bukan sekadar sebuah cerita yang dikenang tetapi satu pengajaran yang berguna buat kita.
Saya mengambil peluang disini untuk menyapaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Akh Kamal dan beberapa individu yang tidak saya kenali kerana menyumbang bagi menerbitkan buku ini.
Saya berdoa semoga buku susulan yang memperincikan peristiwa-peristiwa penting yang tidak sempat di paparkan disini akan menyusul dengan segera.
Akhir sekali saya panjatkan kepada Allah Rabbul Jalil agar usaha yang sedikit ini diterima sebagai amal soleh yang menjadi dahan tempat berpaut pada hari dimana harta dan kuasa sudah tidak berguna.
Amin ya Rabbal alamin.
*****************************
SENARAI KANDUNGAN:
Pendahuluan
Bab 1: Sejarah Spanyol
- Sejarah Semenanjung Spanyol
- Keistimewaan Sejarah Spanyol
- Keadaan Spanyol sebelum kedatangan Islam
- Tujuan orang Islam ke Spanyol
Bab 2: Islam di Spanyol
- Penyebaran Islam
- Mengkaji Keadaan sasaran
- Perbukaan Bermula
- Menyeberangi Selat
- Kedatangan Musa bin Nusair ke Spanyol.
- Musa dan tariq dipanggil oleh khalifah
- Polemik 1 : Meminjam kapal dari Julian
- Polemik 2 : Tariq membakar kapal perang
- Polemik 3 : Islam tersebar dengan mata pedang
Bab 3: Zaman Pemerintahan Gabenor
- Fasa-fasa pemerintahan
- Fasa pertama pemerintahan gabenor
- Gabenor semasa fasa pertamaa
- Peristiwa penting fasa pertama : Peperangan b. Balat Syuhada’
- Fasa kedua pemerintahan gabenor
- Gabenor semasa fasa pertama
- Peristiwa penting fasa kedua
- Kelemahan Pemerintahan Gabenor
Bab 4: Zaman pemerintahan Khalifah
- Fasa pertama pemerintahan Khalifah
- Abdul Rahman al-Dakhil
- Hisyam bin Abdul Rahman
- Al Hakam
- Abdul Rahman II
- Tanda-tanda kejatuhan
- Abdul Rahman III
- Fasa kedua pemerintahan Khalifah
- AL-Hakam bin Abdul Rahman
- Hisyam bin Al Hakam
- Keluarga Amiriah
- Kejatuhan pemerintahan Khalifah dan Amiriah
Bab 5: Zaman Kerajaan Wilayah
- Keadaan Umat Islam
- Kejatuhan Zaragosa
- Kejatuhan Toledo
- Kepungan di Sevillia
- Sepanyol dan Kerajaan Murabitun
- Peperangan Zallaqah
- Sepanyol dan Kerajaan Muwahiddun
- Peperangan Alarcos
- Bermulanya Kejatuhan
- Peperangan Iqab
- Kejatuhan Cordoba
- Kejatuhan Sevillia
Bab 6: Kerajaan Granada
- Muhammad I
- Abu Abdillah Muhammad II
- Spanyol dan Kerajaan Murinuyyun
- Abu Abdillah Muhammad III
- Raja-raja Granada silih berganti
- Faktor Kekuatan Negara Islam Granada
- Kelemahan Kerajaan Kristian
- Bantuan dari Negara-negara Islam
- Pemimpin Islam berwibawa
- Semangat jihad
- Detik Kehancuran Granada
- Fasa Pertama kehancuran
- Perang saudara
- Malaga ditawan musuhi
- Menuju kehancuran
- Fasa Kedua kehancuran
- Usaha Terakhir
- Perjanjian Penyerahan
- Rakyat Granada menerima padah
- Rahsia Kejayaan Islam
Bab 7: Penutup
Usrah Bulanan MUAFAKAT – Julai 2009
Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: 7 Julai 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama
Tajuk: Pengalaman Kerajaan Islam Sepanyol – serupakah nasib kita?
Bahan untuk dicetak dan dibawa semasa usrah – insha Allah akan dimuatkan.
[Terkini: pembentang akan mengguna 'powerpoint' berserta projector untuk pembentangan dengan merujuk kepada buku tulisan beliau Kerajaan Islam Sepanyol - serupakah nasib kita? (Buku tersebut akan dijual semasa usrah)]
Pembentang: Ustaz Rosli Mokhtar (KUIS)
Tempat: Kediaman Sdr. Mohd Kamal Omar
Alamat kediaman: No. 2623, Jalan Permata 15, Taman Permata, Ulu Klang [bersebelahan Giant - dekat Taman Melawati dan Zoo Negara]
Leave a Comment
Leave a Comment
Comments (2)


