Archive for the ‘Timbalan Ketua Pengarah’ Tag

Fahaman Pluralisme Agama Perosak Aqidah

dipetik dari Harian Metro 15 Disember 2010:

Perosak akidah

KUALA LUMPUR: Fahaman liberalisme yang memberi kebebasan kepada individu tanpa sekatan dan fahaman pluralisme agama yang menekankan semua agama adalah sama perlu ditangani segera sebelum ia merosakkan akidah masyarakat Islam di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Halid Sintol (gambar) berkata, fahaman yang menekankan kebebasan dan kesamaan dalam kepelbagaian agama mampu merosakkan sistem sosial dan pentadbiran negara sekiranya tidak dibendung.

Menurutnya, kebimbangan mengenai fahaman itu tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia boleh menghakis pegangan akidah dan syariat di kalangan umat Islam.

Menyedari betapa seriusnya ancaman fahaman itu, beliau berkata penganjuran wacana dilihat tepat pada masanya bagi memberi penjelasan mengenai ancaman pluralisme dan liberalisme terhadap akidah umat Islam.

“Ia bertujuan memberi input penting kepada masyarakat tentang bahaya pemikiran yang dikatakan sebagai pemikiran Islam, tetapi sebenarnya jauh menyimpang daripada landasan Islam sebenar.

“Apa yang diharapkan, wacana ini mampu membuka minda dan memperbetulkan salah faham masyarakat mengenai isu pluralisme dan liberalisme agama seterusnya membantu membanteras gerakan ini dalam usaha merealisasikan pembentukan ummah yang gemilang berteraskan ajaran Islam sebenar,” katanya ketika merasmikan Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 2 Peringkat Kebangsaan di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Dianggarkan hampir 500 orang hadir terdiri agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik dari seluruh Malaysia anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) bersama Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).