Archive for the ‘Shahidan Kassim’ Tag

Lokasi Wacana Pemikiran

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Lokasi Wacana Pemikiran yang sepatutnya berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini hari ini terpaksa diubah ke Masjid Wilayah Persekutuan pada saat-saat akhir ekoran satu laporan polis terhadap penganjurannya.

Timbalan Pengerusi Muafakat, Datuk Ahmad Ismail berkata, pada awalnya mereka menyangka laporan polis itu dibuat ekoran isu berkaitan umat Islam ketika ini iaitu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan cubaan membakar rumah ibadat.

“Rupa-rupanya ia (laporan polis) berkaitan penganjuran wacana ini yang sepatutnya tidak dibantah kerana ia majlis ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 1 bertemakan ‘Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyyun‘ di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah, Jalan Duta di sini hari ini.

Pada 16 Januari lalu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat laporan polis di Kangar kerana tidak berpuas hati dengan penganjuran wacana tersebut oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).

Shahidan dilaporkan membuat aduan sebagai usaha menghalang penganjuran wacana itu yang mengupas mengenai fahaman Wahabi dan disifatkannya boleh menimbulkan polemik serta memecahbelahkan umat Islam di Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, penganjuran wacana tersebut melibatkan pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Sehubungan itu, tegasnya, tidak sepatutnya mana-mana pihak melibatkan polis lebih-lebih lagi ia dianjur secara tertutup dan tidak mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

“Muafakat telah lama merancang wacana ini. Majlis ilmu ini bertujuan memberi kefahaman kepada umat Islam di Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Ahmad berkata, wacana itu juga mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara penceramahnya ialah Felo Amat Utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Syaikh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

Syaikh Dr. Muhammad Uthman membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Menilai Secara Ilmiah Mengenai Peranan Abdul Wahab Sebagai Mujaddid-Muslih‘ dan ‘Pemikiran Aliran Najdiyyun Dalam Menghadapi Pemikiran Pasca-Modernisme: Satu Pengamatan‘.

Seorang lagi pembentang ialah Prof. Madya Dr. Asmadi Muhammad Naim daripada Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dengan kertas kerja ‘Wacana Relegio-Intelektual Najdiyyun: Pro dan Kontra Terhadap Peranannya Pada Tamaddun Ummah‘.

Ahmad berkata, wacana itu dianjurkan ekoran kebelakangan ini timbul semula kegiatan berbentuk agresif yang menyerang doktrin Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada segi akidah, fikah, akhlak, epistimologi serta pemikiran dan peradaban.

“Sedangkan doktrin Ahli Sunnah Wal Jamaah telah lama bertapak di Malaysia dan termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau berharap wacana itu dapat membuka minda masyarakat Islam mengenai pokok masalah dan perkara sebenar yang menjadi perbezaan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan aliran lain.

http://utusan.com.my/