Archive for the ‘resolusi’ Tag

Resolusi Seminar Dakwah Nasional 2012

  1. Menyedari kemasukan ajaran yang bercanggah dengan ‘Aqidah Islam terutamanya ajaran Syi’ah dan fahaman liberalisme dan pluralisme agama telah menular ke dalam Umat Islam Malaysia maka:
    1. Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pergerakan kumpulan ini di bawah seliaan JAKIM.
    2. Mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa Agama di semua peringkat agar mengambil tindakan tegas menyekat ajaran dan fahaman tersebut.
    3. Pengamal Syi’ah, liberalisme dan pluralisme dan pembawa ajaran dan fahaman ini perlu dipanggil untuk diberi kaunseling dan nasihat supaya mereka menghormati kedaulatan Islam serta patuh kepada undang-undang dan enakmen agama sedia ada.
  2. Menjunjung  Islam sebagai Agama Persekutuan maka:
    1. Seminar Dakwah Nasional 2012 hari ini meminta semua warganegara Malaysia menghormatinya dan tidak memberi komen-komen dan saranan-saranan yang boleh mencetuskan kekeliruan, kegelisahan dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat yang boleh membawa kepada ketidakstabilan negara.
    2. Seminar Dakwah Nasional 2012 ini juga meminta pihak berkuasa Negara dalam semua sektor benar-benar memperkasakan Islam sebagai Agama Persekutuan dengan memperkemas dan melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan prinsip Islam.
    3. Untuk tujuan di atas, kerajaan wajar mewujudkan suatu Suruhanjaya Khas untuk memperkasa dan memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan dan memberi syor-syor dan nasihat ke arah hasrat tersebut.
  3. Menyedari dakwah Islamiah adalah sebagai tonggak kekuatan ummah maka seminar:
    1. Menyeru pihak berkuasa bersama dengan NGO-NGO dakwah mewujudkan dakwah bersepadu kepada segenap rakyat Malaysia.
    2. Untuk tujuan itu, perlu diwujudkan satu sekretariat dakwah di bawah seliaan JAKIM membuat kurikulum sepadu supaya kecelaruan masyarakat terhindar:
      • Diseragamkan semua pengajaran di masjid-masjid berdasarkan teks-teks yang telah dipersetujui mengikut faham epistemologi Ahli Sunnah wal Jama’ah.
      • Diadakan pemantauan terhadap pengajian-pengajian yang diadakan di masjid-masjid dan lain-lain pusat pengajian.
      • Dikaji dan dipinda semula bersesuaian dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jama’ah
    3. Mewujudkan Majlis Ulamak Kebangsaan bagi mengumpul semua ulamak yang dihormati dan amanah untuk menyatukan ummah.
  4. Bagi mengerakkan Dakwah Islamiyyah dengan tersusun dan berencana, hendaklah;
    • Diwujudkan segera satu pusat kajian strategik Islam untuk melakukan segala kajian dan perancangan untuk melaksanakan pengarahan kerja yang strategik dengan perancangan jangka panjang.
    • Memperkasakan agensi-agensi Dakwah dengan keprofessionalan dan pengurusan yang efektif dan efisien beserta koordinasi yang mantap di antara NGO-NGO Islam dan agensi-agensi ini.
    • Diberi peruntukan yang sewajarkannya oleh kerajaan sesuai dengan Islam sebagai Agama Negara.

*************

Untuk Maklumat Seminar Dakwah Nasional – klik

Untuk Senarai Pembentangan Kertas Kerja – klik

Resolusi Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah

Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah yang berlangsung pada hari Selasa 14hb Disember 2010M, bersamaan dengan 8hb Muharram 1432H, bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, anjuran bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan (di bawah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA);

Menyedari, bahawa Gerakan Pluralisme Agama yang berteraskan kepada faham semua agama adalah sama dan boleh membawa kepada keselamatan di Akhirat; adalah bertentangan dengan ajaran dan ‘Aqidah Islamiyyah yang sebenar dan boleh menjerumuskan kepada pemurtadan dan ketidakstabilan masyarakat; maka sidang hari ini memutuskan supaya:

1.      Pihak berkuasa Agama di semua peringkat di Malaysia, wajar memantau Gerakan Pluralisme Agama ini dan mengambil langkah mencegah dengan apa cara sekali pun.

2.     Pihak berkuasa Agama wajar memanggil individu atau Jawatankuasa Organisasi yang menganut faham Pluralisme Agama ini, untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai ‘Aqidah Islam yang sebenar.

3.     Pihak berkuasa Agama yang boleh memboleh memberi fatwa, iaitu majlis fatwa (peringkat Kebangsaan dan negeri-negeri) supaya segera memberi fatwa yang lebih jelas mengenai faham atau ideologi pluralisme agama.

14hb Disember 2010