Archive for July 16th, 2014|Daily archive page
Penubuhan Negara-Ku Dikecam
KUALA LUMPUR 13 Julai – Penubuhan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Negara-Ku oleh aktivis pembangkang, Datuk S. Ambiga dikecam kerana seolah-olah mempunyai matlamat yang sama seperti Suruhanjaya Antara Agama (IFC) iaitu memperjuangkan kesamarataan setiap agama di Malaysia.
Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, ini kerana Negara-Ku turut dianggotai tiga NGO yang selama ini memperjuangkan pluralisme iaitu Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam), Majlis Perundingan Agama Bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taiosme Malaysia (MCCBHST).
Menurut beliau, penubuhan Negara-Ku juga seakan-akan menyamai amalan agenda Gene Sharp iaitu satu aliran pemikiran barat yang menggunakan peranan pertubuhan semata-mata mahu meruntuhkan mana-mana kerajaan sedia ada terutama kerajaan Islam melalui 197 cara.
“Mereka juga menyebarkan fahaman anarkisme iaitu semua perkara yang dilakukan kerajaan adalah jahat dan menggunakan NGO sebagai taktik halus untuk menentang sehingga menjatuhkan pemerintah.
“Apakah yang mereka mahukan lagi kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang paling mengamalkan toleransi agama, malah pihak berkuasa sentiasa mengawasi jika ada cubaan mengancam mana-mana rumah ibadat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas artikel Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini bertajuk ‘Agenda Ambiga?’ yang mendedahkan mengenai penubuhan Negara-Ku oleh aktivis pembangkang tersebut yang jelas bermotifkan politik.
Menurut Awang Selamat, Negara-Ku akan dijadikan platform terbaharu kepada pembangkang untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi memulihkan imej yang sudah tercalar terutama dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Mengulas lanjut, Ismail Mina yang menyifatkan Negara-Ku sebagai ‘kerja gila’ percaya rakyat akan bangun menentang penubuhan NGO baharu itu kerana bukan sahaja tidak bertepatan dengan prinsip dalam Rukun Negara, malah turut berhasrat menghapuskannya.
Tegasnya, Negara-Ku bukan sahaja provokasi terhadap agama Islam tetapi agama lain sepatutnya turut terkesan kerana selama ini rakyat Malaysia sudah menerima kewujudan masing-masing meskipun hidup dalam pelbagai agama, kaum dan budaya.
“Kita sudah ada Rukun Negara yang tidak boleh dipertikai meskipun diwujudkan pada zaman darurat tetapi perkara ini sangat baik jadi kenapa mahu dicampak batu ke permukaan air yang tenang?
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140714/dn_11/Penubuhan-Negara-Ku-dikecam#ixzz37augGpWe
© Utusan Melayu (M) Bhd