ASWJ selari jiwa Melayu – Utusan Melayu

ba_02.1

 

MENYEBUT Ahli Sunnah wal-Jamaah (ASWJ) sememangnya sudah tidak asing lagi bagi masyarakat Islam di negara ini. Malah rata-rata mengakui berpegang dengan fahaman yang disahkan menjadi pegangan rasmi bagi umat Islam itu.

Namun malangnya, apabila membicarakan mengenai perkara itu, masih ramai yang tidak mengetahui apakah definisi sebenar kalimah yang selama ini dijadikan panduan tersebut.

Hakikatnya, menurut Pensyarah Jabatan Siyasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Zaidi Abdul Rahman, fahaman ASWJ adalah sangat hampir dengan identiti umat Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu pada wacana Pencerahan Tasawwur Ahli Sunah wal-Jamaah anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, ini dibuktikan dengan sikap masyarakat Melayu yang lemah lembut, bertoleransi dan sukakan keamanan bertepatan dengan ajaran yang dibawa oleh agama Islam fahaman ASWJ.

“Jika penyebaran Islam di Tanah Arab dan beberapa negara dunia lain pada lebih 1,500 tahun dahulu sering diiringi dengan peperangan, namun berbeza dengan apa yang berlaku di Nusantara terutamanya di Tanah Melayu ketika awal kemasukannya.

“Dikatakan, mimpi bertemu Rasulullah SAW yang dialami oleh Raja Kecil Besar merupakan antara isyarat kemasukan Islam sebelum disusuli dengan kedatangan ulama bernama Syed Abdul Aziz dari Jeddah ke Melaka untuk menyebarkan agama Islam,” katanya.

Malah, Zaidi berkata, sejarah turut membuktikan, proses pengislaman Raja-Raja Melayu sebelum diikuti dengan masyarakat Melayu pada ketika itu, sekali gus membuktikan bahawa kedudukan dan kuasa tidak membuatkan mereka angkuh untuk menerima ajaran Islam.

Perkara itu ujarnya, membuktikan bahawa ajaran Islam melalui fahaman ASWJ yang disebarkan adalah bersesuaian dengan jiwa masyarakat Melayu.

“Catatan sejarah menunjukkan penerimaan awal raja-raja telah membuka ruang yang meluas terhadap perkembangan Islam kepada masyarakat di Nusantara. Ini selaras dengan masyarakat yang berteraskan patriarki dan feudal pada masa itu memudahkan lagi tersebarnya Islam secara terbuka tanpa sebarang unsur kekerasan.

“Sehinggakan berlaku transformasi dalam kalangan masyarakat Melayu pada masa itu yang mengamalkan kepercayaan banyak tuhan kepada prinsip tauhid iaitu beriman kepada Allah SWT. Perubahan ini dicorakkan melalui fahaman ASWJ yang menjadi dominan utama yang menggerakkan fahaman ajaran Islam pada awal kedatangannya di rantau ini.

“Malah, pengaruh agama Islam berjaya mencorakkan identiti Melayu, sehingga pelbagai aspek termasuk kepercayaan dan perundangan diterapkan dengan elemen-elemen Islam, manakala pengaruh agama kuno pula mula mengecil,” katanya.

Keselarian itu tambah Zaidi, menjadikan Nusantara terutamanya di Malaysia menjadi sebagai tunggak utama benteng ASWJ pada masa ini untuk terus diperluas dan diamalkan bebas berbanding negara Islam lain.

“Dianggarkan hampir 90 peratus umat Islam di negara ini adalah mengamalkan fahaman ASWJ. Sejak abad ke-15 lagi telah menyaksikan Islam mempunyai benteng yang kuat melalui keutuhan kerajaan Melaka di Nusantara.

“Pengukuhan ini hasil daripada hubungan baik yang dijalin antara ulama dan yang mencorakkan dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam berteraskan fahaman ASWJ di kawasan sekitar.

“Sokongan turut diberikan oleh pihak istana dengan menyediakan kemudahan dan prasarana untuk kegiatan pengajaran, kepustakaan dan penyebaran agama Islam seperti era pemerintahan Bani Umayyah dan Bani Abassiyyah pada zaman kegemilangannya,” katanya.

Wacana selama dua hari itu membentangkan sebanyak sembilan kertas kerja daripada pakar pelbagai bidang seperti Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Profesor Datuk Paduka Zakaria Stapa yang membentangkan kertas kerja bertajuk, ASWJ, Satu Kerangka Umum; Pensyarah Sekolah Perniagaan Islam, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim dan banyak lagi.

Program dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Yang turut hadir, Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad.

Memperkasa ASJW di Malaysia

Justeru, Zaidi berkata, umat Islam perlu bersama-sama memelihara serta memperkasa fahaman berlandaskan al-Quran dan sunah itu daripada tercemar dan pupus daripada menjadi amalan generasi pada masa akan datang.

Ia katanya, penting bagi mengekang fahaman-fahaman asing seperti Syiah, Liberalisme, Wahabi-Salafi dan ajaran-ajaran sesat daripada tersebar meluas dan pada masa sama mengelirukan umat Islam terhadap ajaran ASWJ.

“Kerjasama semua pihak perlu dalam memelihara fahaman ASWJ di negara ini. Menggabungkan kepakaran ulama dengan kecanggihan teknologi membolehkan strategi memperkasakan fahaman ASWJ lebih berkesan.

“Golongan agama perlu bersatu padu dalam memberi penerangan kepada orang ramai dan jangan menangguk di air yang keruh kerana sebab-sebab peribadi atau kelompok. Sasaran strategik paling utama pastinya dipikul oleh guru-guru agama yang mempunyai ribuan murid.

“Begitu juga para penulis dan penyelidik juga harus memberikan sokongan dengan memerhati dan meneliti isu-isu semasa yang berlaku sebelum didedahkan kepada khalayak dengan penerangan yang mudah difahami,” jelasnya.

Kaedah menerbitkan bahan-bahan yang sealiran dengan ASWJ juga tambahnya, perlu sebarkan meluas dengan memfokuskan mengikut kefahaman golongan sasar.

“Pada asasnya, untuk menyediakan benteng yang kukuh memerlukan kerjasama terancang melalui gembelengan ilmu, ekonomi kuasa dan media bagi memastikan fahaman ASWJ yang diyakini itu agar benar-benar murni,” ujarnya.

PENGESAHAN fahaman ASWJ untuk diamalkan di Malaysia telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ daripada segi akidah, syariat dan akhlak.

Perkara itu disokong oleh panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara rasmi memperakukan bahawa ASWJ adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW menerusi para sahabat, Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in yang setia bersama mereka dalam prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Manakala pakar tasawuf, Allahyarham Uthman el-Muhammady mengatakan, umat Islam yang berpegang dengan fahaman ASWJ adalah mengamalkan akidah mengikut mazhab Imam Asy’ari, dalam fiqh ia mengikut mazhab Syafie, manakala kerohanian mengikut Imam al-Ghazali.

Bagaimanapun Zaidi berkata, walaupun fahaman ASWJ telah dilabelkan sebagai fahaman rasmi di negara ini, namun apa yang lebih membimbangkan terdapat pergolakan dalaman yang wujud dalam fahaman tersebut.

“Jika fahaman asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana ia jelas bertentangan dengan fahaman ASWJ. Tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah polemik antara fahaman ‘Salafi’ dengan ‘Asyairah dan Maturidiyyah’.

“Ini agak konflik kerana sistem rujukan sumber hukum mereka yang sama. Malah kedua-dua fahaman ini juga tegas mendakwa mereka adalah daripada kelompok ASWJ yang sebenar.

“Cabaran dalaman ini jika tidak diuruskan dengan berhemah bakal melemahkan benteng yang ingin dibina dan akan menyebabkan perpecahan walaupun kepada perkara yang bersifat sampingan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34PXb4apl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: