Fuad Yeoh: Dakwah Islamiyyah Sebagai Medium Integrasi Nasional

Klik untuk maklumat seminar

Kertas kerja Ir Dr Muhamad Fuad Yeoh Abdullah yang dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

untuk versi cetak dalam format pdf: Klik di sini

************

Dakwah Islamiyyah Sebagai Medium Integrasi Nasional[1]

SINOPSIS

Mesej Islam adalah risalah sejagat yang ditujukan kepada seluruh alam dan bukan terhad kepada lokasi atau kaum tertentu.Dakwah oleh yang demikian merupakan tugasan setiap Muslim dan harus terlaksana dalam semua keadaan.Pelaksanaan dakwah dengan semua penghasilan dan pencapaian yang mungkin diperolehi daripadanya dapat memberi manfaat kepada usaha intergrasi nasional yang diidamkan di Malaysia.Hujjah bagaimana ini kemungkinan yang ‘compelling’ diutarakan dalam kertaskerja ini sebagai tesis dalam rancangan dan pelaksanaan usaha mewujudkan negara yang harmonis, aman dan damai.

1.0 Pengenalan

Dakwah Islamiyyah iaitu seruan kepada Islam merupakan kegiatan yang intrinsik dan mutalȃzim dengan risalah Islam itu sendiri. Ianya tidak syak lagi adalah kerja yang mulia seperti dinyatakan oleh Allah Taala dalam Surah Fussilat ayat 33:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ”

(Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya dari orang yang berdakwah kepada Allah dan beramal soleh serta berkata, ‘Sesungguhnya aku adalah dari kalangan muslimin.)

Dengan turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad (saw) sekaligus tugasan dakwah ini menjadi juzuk yang tidak terpisah dari wahyu itu. Begitu ciri Islam sebagai cara hidup yang dianugerahkan oleh Tuhan Semesta Alam kepada sekalian manusia maka sasaran dakwah itu juga adalah seluruh alam tanpa batasan seperti kata Dr Yusuf al-Qardhawi (2012):

فالإسلام منذ فجر دعوته كان رسالة عالمية، ودعوة للناس كافة، ورحمة لكل عباد الله، عربا كانوا أو عجما، ولكل بلاد الله، شرقا كانت أم غربا، وإلى جميع الألوان بيضا كانوا أم سودا.

(Adapun Islam itu semenjak fajar dakwahnya lagi adalah merupakan risalah sejagat, dakwah dan seruan kepada manusia keseluruhannya, rahmat bagi setiap hamba Allah, baik Arab mahupun ajam, dan bagi setiap negeri Allah, baik timur mahupun barat, juga kepada semua warna kulit baik putih mahupun hitam.)

Begitulah adanya dakwah islamiyyah itu.Begitulah tabiat dakwah islamiyyah.Ia tidak terhad dari segi jangka waktunya, tidak pula terbatas dari segi sempadan fizikalnya dan tidak juga terkongkong dari segi sasaran mad’unya. Negara Malaysia tidak terkecuali dari tuntutan pelaksanaan dakwah ini.Setiap Muslim yang mampu menyampaikan ‘satu ayat’ adalah terpanggil untuk menjalankan usaha dakwah; satu tugasan yang dapat meletakkan umat di tempat terbaik sebagai ‘khaira ummah’ yang dilahirkan untuk manusia.

Dalam membincang ayat كنتم خير امة اخرجت للناس”  Dr Muhammad Uthman El-Muhammady(2007) telah menyatakan ‘dalam al-Bukhari ada riwayat dari Abu Hurairah (rd) “umat yang paling baik untuk umat manusia” iaitu kerana kamu menyeret umat manusia sehingga mereka masuk ke dalam Islam.’ Ini menunjukkan bahawa melaksanakan dakwah itu adalah syarat bagi menyandang gelaran ‘khaira ummah’ yang dinyatakan dalam ayat 110 Surah Ali Imran itu.

2.0 Pengertian Luas Dakwah

Dakwah adalah seruan ataupun ajakan.Dakwah islamiyyah khususnya adalah seruan kepada ajaran Islam.Seruan kepada penghayatan ajaran Islam. Dalam kitabnya, “Usus al-Dakwah wa Adab al-Du’ah”, Dr As-Sayyid Muhammad al-Wakil telah mentakrifkan dakwah sebagai:

الدعوة إلى الله هي جمع الناس إلى الخير،ودلالتهم على الرشد، بأمرهم بالمعروف ونهيهم عن المنكر”

(Dakwah kepada Allah ialah mengumpulkan manusia ke arah kebaikan dan memimpin mereka kepada kematangan, dengan menyuruh mereka kepada makruf dan mencegah mereka dari munkar.)

Syeikh al-Sawwaf pula dalam kitabnya, “Al-Dakwah wa Al-Du’aa” telah mentakrifkan dakwah sebagai:

“الدعوة هي رسالة السماء إلى الأرض، وهي هدية الخالق إلى المخلوق، وهي دين الله القويم، وطريقه المستقيم، وقد اختارها الله وجعلها الطريق الموصل إليه سبحانه”

(Dakwah ialah risalah langit kepada bumi, dan ia adalah pemberian Pencipta kepada makhluk, serta agama Allah yang benar, dan jalan-Nya yang lurus, dan sesungguhnya Allah telah memilihnya {dakwah} sebagai jalan untuk sampai kepada-Nya Yang Maha Suci).

Manakala Syeikh Ibn Taimiyah pula mentakrifkan dakwah dalam karangannya, “Majmuk Al-Fatawa”, sebagai:

الدعوة إلى الله، هي الدعوة إلى الإيمان به، وبما جاءت به رسله، بتصديقهم فيما أخبروا به وطاعتهم فيما أمروا..”

(Dakwah kepada Allah ialah menyeru kepada iman dengan-Nya, dan dengan apa yang didatangi oleh para rasul-Nya, dengan membenarkan apa yang mereka khabarkan dan mentaati apa yang mereka suruh).

Seorang ulama kontemporari Syeikh Al-Bayanuni pula dalam kitabnya, ‘Al-Madkhal Ila Ilmi Al-Dakwah’, mentakrifkan dakwah sebagai:

” تبليغ الإسلام للناس، وتعليمه إياهم، وتطبيقه في واقع الحياة”

(Penyampaian Islam kepada manusia, dan mengajarnya kepada mereka, dan pelaksanaannya dalam kehidupan seharian).

Penyelidik Ali bin Nayef (2009:6) pula telah mentakrifkan pendakwah islamiyyah sebagai:

هوالذي يُحاوِلُ دعوةَ الناسِ بالقولِ والعملِ إلى الإسلامِ وإلى تَطْبيقِ مَنْهَجِهِ وَاعْتِنَاقِ عقيدَتِهِ بالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الحسَنَة.”

(Orang yang berusaha menyeru manusia kepada Islam dengan lisan dan tindakan bagi pelaksanaan methologinya dengan penerimaan aqidahnya secara hikmah dan nasihat yang baik).

Dr Taufiq Al-Da’i dalam kitabnya الدعوة إلى الله (الرسالة الوسيلة الهدف)telah mentakrifkan dakwah sebagai:

“هي الدعوة إلى توحيد الله والإقرار بالشهادتين وتنفيذ منهج الله في الأرض قولا و عملا كما جاء في القرءان الكريم و السنة المطهرة”

(Menyeru kepada tauhid Allah dan pengakuan dua kalimah syahadah serta pelaksanaan methologi Allah atas bumi secara lisan dan tindakan seperti dalam Quran Karim dan Sunnah Muthahharah).

Malah takrif dakwah telah diungkap oleh seorang penulis islamweb.net pada 19-3-2002 melalui kata-kata sahabat bernama Rub’i ibn ‘Ȃmir seperti berikut:

وقد يمكن اعتبار كلام الصحابي العظيم ربعي ابن عامر رضي الله عنه لرستم قائد الفرس في معركة القادسية خلاصة لمعنى الدعوة حين قال له جوابا على سؤال رستم ما الذي جاء بكم؟ قال ربعي: جئنا لنخرج العباد من عبادة العباد إلى عبادة رب العباد، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة، ومن جـور الأديان إلى عدل الإسلام.”

(Dan mungkin boleh menjadi iktibar pada kata-kata sabahat agong Rib’i ibn Ȃmir radhiallahu anhu kepada Rustum, Panglima Parsi dalam peperangan Qadisiyah, bagi intipati makna dakwah apabila menjawab soalan, ‘Apa yang membawa kamu semua ke mari?’ Rib’i  telah berkata: ‘Kami datang untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan manusia kepada penyembahan Tuhan manusia, dan dari kesempitan dunia kepada kelapangan dunia dan akhirat, dan dari penindasan beragama kepada keadilan Islam).

Dr Yusuf Al-Qardhawi (2012) juga telah memetik pidato Rib’i ibn ‘Ȃmir ini sebagai petunjuk kepada kejelasan misi para sahabah dalam menyampaikan dakwah dengan katanya:

فلخص هذا الصحابي الذي لم يتخرج في جامعة، ولم ينقب في الكتب، ولم يختلف إلى المعلمين، الأهداف الكلية الكبرى للإسلام في هذه الكلمات الموجزة، وإنما تعلمها في المدرسة المحمدية، التي خرجت هذه الصفوة من البشر، وهذه النماذج الربانية التي لم تر عين الدنيا مثلها.”.

(Maka sahabat ini yang bukan graduan mana-mana universiti, tidak pula mentelaah mana-mana kitab, dan tidak juga menuntut dengan mana-mana guru, tetapi berjaya merumuskan tujuan asasi dan utama Islam melalui kata-katanya yang ringkas,tidaklah melainkan menerimanya dari Madrasah Muhammadiah yang mampu mengeluarkan manusia terpilih sedemikian, dan inilah contoh rabbani yang dunia tidak kelihatan lagi sepertinya).

Dari pelbagai takrifan ini bolehlah difahami bahawa dakwah adalah usaha menyeru manusia terutamanya yang masih belum Muslim kepada ajaran Islam yang berpaksikan aqidah secara berhikmah dan dengan nasihat yang baik. Kaedah dakwah ini dinyatakan juga oleh Penulis (2012:2):

Perintah untuk melaksanakan dakwah serta caranya yang rabbani telah dinyatakan di antara lain oleh Allah Azza wa Jalla dalam ayat 125 Surah An-Nahl:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Kaedah dakwah ke jalan Allah dengan berlandaskan hikmah dan nasihat yang baik serta jika perlu perbahasan secara yang terbaik telah dinyatakan dengan jelas dalam ayat ini. Dalam mentafsirkan ayat ini Ibn Kathir telah bermula dengan ungkapan:

يقول تعالى آمراٍ رسوله محمدا صلى الله عليه وسلم أن يدعو الخلق إلى الله..

sekaligus memberikan isyarat bahawa dakwah hendaklah disampaikan kepada semua makhluk tanpa kecuali. Lebih tepat lagi semua manusia di atas muka bumi ini tanpa kira bangsa dan warna kulit adalah mad’u dan sasaran dakwah.”

Seterusnya dari seruan aqidah kepada penghayatan semua aspek Islam berteraskan dasar ‘amar makruf nahi munkar’ terutamanya bagi masyarakat yang telah Muslim dan menerima Islam sebagai cara hidup.

3.0 Fiqh Al-Dakwah dan Integrasi Nasional

Pelaksanaan dakwah secara yang dituntut oleh Islam iaitu menepati fiqh al-dakwah atau fekah berdakwah adalah perlu bagi memastikan peranan yang berkesan oleh dakwah islamiyyah dalam integrasi nasional. Di sana ada panduan rabbani yang harus diikuti secara sedar agar dakwah memberi natijah yang dikehendaki seterusnya menyumbang kepada usaha integrasi nasional. Kaedah dakwah yang disebut di atas merupakan asas penting yang merangkumi uslub atau cara dan gaya berdakwah. 

3.1 Beberapa Asas Fiqh Al-Dakwah

Setelah melihat takrifan dakwah maka dapatlah dirumuskan bahawa tujuan dakwah adalah menyeru manusia kepada Islam dari segi aqidahnya, syariatnya serta akhlaknya disertai penghayatannya secara individu dan di dalam masyarakat. Ini selaras dengan dakwah baginda Rasulullah (saw) dari permulaan di Makkah sehingga penghayatan Islam dalam bentuk sebuah masyarakat di Madinah. Dakwah terus berlansung dalam masyarakat Islam dengan tujuan islah iaitu pembaikan perkara-perkara tertentu yang mungkin terpesong. Seterusnya dakwah berlansung demi untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dari penyelewengan dan pengkhianatan anasir perosak. Penekanan atau emphasis dakwah mungkin berubah mengikut keadaan dan perkembangan masyarakat. Di Malaysia dakwah bagi penghayatan Islam secara menyeluruh ada peranannya, begitu juga dakwah dengan tujuan islah dan pembentengan umat Islam.

3.1.1 Dakwah islamiyyah adalah tuntutan syarak bagi Muslim seperti dalil yang dinyatakan di bawah:

  • Ayat 125 Surah An-Nahl:

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

(Berdakwahlah ke jalan Tuhanmu dengtan hikmah dan nasihat yang baik, dan perbahasan secara terbaik).

  • Ayat 104 Surah Ali Imran:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

(Dan hendaklah dari kalangan kamu umat yang berdakwah kepada kebaikan Islam serayakamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; dan merekalah orang yang berjaya).

Adapun huruf ’Lam’ pada kalimat “ولتكن“adalah untuk perintah dan menunjukkan kewajipan berdakwah.

  • Ayat 159 Surah Al-Baqarah:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِن بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلعَنُهُمُ اللّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ

(Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan apa yang Kami telah turunkan daripada keterangan-keterangan dan hidayah, setelah Kami menjelaskannya kepada manusia dalam Kitab; mereka itu Allah laknati dan semua makhluk melaknati).

  • Kaedah feqah: ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فهوواجبٌ

Sesuatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia adalah wajib juga. Penegakan Islam dengan penghayatannya oleh masyarakat manusia adalah tuntutan syarak, maka kerja dakwah untuk mencapainya juga adalah tuntutan syarak.

3.1.2 Dakwah adalah keperluan asas masyarakat kerana melaluinya manusia mendapat penjelasan mengenai perintah dan larangan Allah agar jalan yang benar menjadi pilihan mereka. Dakwah perlu kerana dalam masyarakat ada golongan yang mengajak kepada kerosakan baik dari segi pemikiran dan pegangan yang sesat mahupun dari segi kerosakan sosial seperti zina, dadah dan rasuah. Tanpa usaha dakwah ke arah islah dan ’amar makruf nahi munkar’ akan mengakibatkan kerosakan dan kebinasaan masyarakat sendiri. Keadaan sebegini telah diberi contoh dalam hadith riwayat Al-Bukhari mengenai bahtera yang bertingkat di mana penumpang yang di bawah sekali andainya dibiarkan menebuk lubang untuk mengambil air dan tidak dilarangi oleh penumpang lain, nescaya semua penumpang akan binasa apabila bahtera itu karam.

Kerja dakwah adalah mulia di sisi Allah Taala seperti yang dinyatakan dalam ayat 33 Surah Fussilat: وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا

3.1.3 Dakwah merupakan jalan Nabi junjungan Muhammad (saw) seperti juga ianya adalah jalan para anbia sebelum baginda. Hadith Rasulullah (saw) riwayat Al-Bukhari:

بلغوا عني ولو آية، وحدثوا عن بني إسرائيل ولا حرج، ومن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

(Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat, ceritalah dari Bani Israil jika mahu dan sesiapa yang mendustaiku dengan sengaja maka tempahlah tempatnya di neraka)

seolah-olah tidak memberikan ruang dalam mengecualikan seseorang Muslim dari melaksanakan dakwah. Setiap Muslim apapun kedudukannya dan di manapun ia berada harus mempunyai misi untuk berdakwah secara yang terbaik mengikut methodologi dan uslub Nabi Muhammad (saw) serta dengan yang termampu olehnya. Dia memahami juga hidayah adalah di tangan Allah dan yang diperlukan darinya seperti juga dari para anbia adalah tabligh iaitu menyampaikan seadanya.

3.1.4 Dakwah kepada Islam bererti menunjukkan jalan kepada kebaikan dan kesejahteraan. Ganjaran membawa kepada kebaikan mendapat galakan dari Nabi Muhammad (saw) seperti dalam hadith riwayat Muslim:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ أَوْ عَامِلِهِ

Malah ada hadith lain yang memberikan galakan besar bagi pendakwah yang menunjukkan hidayah kepada seseorang bahawa ganjarannya adalah seperti langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya. Oleh itu dakwah kepada non-Muslim adalah amal yang terpuji dalam Islam. Ciri penting methodologi dan uslub dakwah Nabi (saw) ialah ikhlas dan akhlaq mulia selari dengan tujuan asasi pengutusan Baginda (saw) sebagai ‘rahmatan lil alamin’dengan risalah Islam al-khalidah itu sendiri:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (Al-Anbia:107)

3.2 Beberapa Asas Dakwah kepada Non-Muslim

Dakwah dalam konteks integrasi nasional di samping ada hubungan dengan orang Islam dalam peranan sebagai pendakwah, mempunyai kaitan yang lebih kritikal dengan non-Muslim sebagai sasaran dakwah. Di samping fiqh al-dakwah yang ternyata di atas, di sana ada beberapa perkara tambahan. Dr Nizar Mahmud (2010:9-20) dalam kitabnya ”Impak Perancangan Masa Depan Dakwah Non-Muslim kepada Islam Mengikut Kitab dan Sunnah” telah menyatakan asas-asas berikut dalam dakwah kepada non-Muslim:

  • Niat ikhlas yang memulai semua amal perbuatan
  • Keyakinan akan berkembangnya Islam ke merata dunia seperti keyakinan Baginda (saw) akan kemenangan Islam di atas muka bumi ini
  • Mendoakan hidayah Allah kepada mereka dan bukan kebinasaan atau kecelakaan seperti yang dilakukan oleh Nabi (saw). Walaupun disakiti oleh kaum yang didakwah, Baginda (saw) tetap berdoa bagi mereka yang di antaranya ialah penduduk Makkah, Taif dan qabilah Daus. Peristiwa tawaran oleh malaikat gunung-ganang yang dirakamkan oleh Al-Bukhari dan Muslim adalah seperti berikut:

يا محمد! إن الله قد سمع قول قومك لك، وأنا ملك الجبال، وقد بعثني ربك إليك لتأمرني بأمرك فما شئت، إن شئت أن أطبق عليهم الأخشبين   

(Wahai Muhammad! Sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata kaummu dan aku adalah malaikat gunung-ganang yang telah diutuskan kepadamu untuk diperintah apapun engkau mahu, jika mahu aku hempabkan ke atas mereka dua gunung ini).

Akan tetapi jawab Baginda (saw) ialah:

بل أرجو أن يخرج الله من أصلابهم من يعبد الله وحده، لا يشرك به شيئا

(Tidak sekali-kali malah aku mengharapkan agar Allah keluarkan dari keturunan mereka orang yang menyembah Allah semata-mata, dan tidak menyekutui-Nya dengan sesuatupun).

Doa Baginda (saw) untuk penerimaan hidayah salah seorang dari dua Omar juga menunjukkan akhlaq rabbaninya (saw) dalam melaksanakan dakwah.

  • Akhlaq rabbani pendakwah yang merupakan unsur yang paling utama dan berkesan dalam dakwah kepada non-Muslim seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad (saw) sendiri sebagai ‘uswatun hasanah’. Dalam pertemuan Abu Suffian dengan Raja Rom, apabila ditanya mengenai akhlaq Muhammad (saw), Abu Suffian tidak dapat menginkari kemuliaan akhlaqnya (saw).
  • Pemilihan pendekatan berdakwah yang sesuai dan effektif mengikut marhalah atau peringkat dakwah dan tempat berdakwah seperti yang ditunjukkan oleh Baginda (saw). Ada peringkat bersembunyi dan ada secara terangan semasa di Makkah, begitu juga di Madinah dengan dakwah mencapai tahap kepada pemuka-pemuka kaum dan negara.
  • Mempelajari dan memahami budaya dan adat resam non-Muslim yang ingin didakwah termasuk bahasa mereka. Pengetahuan mengenai perbandingan agama juga penting dalam berinteraksi dan berdakwah dengan mereka.
  • Pendekatan الترغيب و الترهيب yang khusus kepada non-Muslim seperti menyatakan kelebihan dan keuntungan menerima Islam iaitu selamat dunia dan akhirat seperti perutusan Nabi (saw) kepada Raja Rom yang diriwayat oleh Al-Bukhari dan Muslim:

بسم الله الرحمن الرحيم من محمد عبد الله ورسوله إلى هرقل عظيم الروم، سلام على من اتبع الهدى، أما بعد: فإني أدعوك بدعاية الإسلام، أسلم تسلم، وأسلم يؤتك الله أجرك مرتين، فإن توليت فعليك إثم الأريسيين.

(Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang, dari Muhammad hamba Allah dan Rasul-Nya kepada Heracle Raja Rom, salam ke atas sesiapa yang mengikut hidayah, amma ba’d: Adapun aku menyeru engkau dengan seruan Islam, Islamlah nescaya engkau selamat, Islamlah nescaya Allah memberi engkau pahala dua kali ganda, andainya engkau berpaling maka ke atas engkaulah dosa pengikut engkau).

  • Pendekatan tadarruj atau bertahap-tahap dalam berdakwah iaitu bermula dengan persoalan aqidah dan kepercayaan kemudian baru tentang halal haram seperti kata Ummul Mukminin Aisyah (ra) dari riwayat Al-Bukhari:

إنما نزل أول ما نزل منه سورة من المفصل، فيها ذكر الجنة والنار، حتى إذا ثاب الناس إلى الإسلام نزل الحلال والحرام، ولو نزل أول شيء لا تشربوا الخمر، لقالوا لا ندع الخمر أبدا، ولو نزل لا تزنوا لقالوا لا ندع الزنا أبدا.   

(Sesungguhnya wahyu yang awal diturunkan ialah surah-surah terperinci yang menyebut syurga dan neraka, sehingga manusia menerima Islam maka turun mengenai halal dan haram; sekiranya yang pertama sekali turun ialah jangan minum arak, nescaya mereka akan katakan, kami tidak akan tinggalkan arak selamanya; dan sekiranya turun jangan berzina dahulu, nescaya mereka akan katakana kami tidak akan tinggalkan zina selamanya).

  • Pendekatan perdamaian atau صلح bagi memaksimumkan peluang berdakwah seperti berlakunya Sulh al-Hudaibiyah. Tujuan asasi pengutusan Nabi (saw) ialah dakwah dan peluang berdakwah harus dicari melalui perjanjian perdamaian.
  • Penggunaan media massa dalam dakwah dengan cara dan sophistication yang tidak kurang dari yang terkini dan terbaik.

3.3 Ciri-ciri Kebenaran Islam

Dalam berdakwah kepada non-Muslim adalah penting disedari beberapa ciri khusus kebenaran Islam yang membezakannya dari agama dan ideologi lain. Di antara ciri yang terserlah ialah:

  • Rabbaniahربانية iaitu datangnya dari Pencipta semesta alam sendiri, yang sempurna sifat dan zat-Nya, mengetahui yang lampau dan yang akan datang. Rabbaniah Islam menuntut keunggulan aqidah, syariat dan akhlak Islam. Aqidah, syariat dan akhlaq Islam pasti sesuai untuk semua manusia dan tidak syak adalah yang paling baik dan sesuai untuk semua masa dan tempat termasuk di Malaysia. Rabbaniah menuntut keadilan عدالةdan kesaksamaanمساواة  di kalangan semua insan yang dijadikan oleh Allah Taala. Di zaman ini di mana hak asasi kemanusiaan dan kebebasan telah menjadi tuntutan legitimate, ciri keadilan dam kesaksamaan Islam amat relevan diketengahkan dan diwarwarkan.
  • Wasatiyahوسطية  iaitu pertengahan di antara dua ekstrim dan kesederhanaan dari segi tiada melampau dalam ajaran dan pegangan Islam. Islam mengambilkira aspek ruhani, jasmani, aqli dan emosi dalam ajarannya.
  • Ijabiyahإيجابِيَّةٌ iaitu sentiasa positif dalam menangani persoalan kehidupan manusia dan masyarakat. Hikmah di sebalik sesuatu musibah pasti ada dan Muslim tidak berputus asa dari menaruh harapan terhadap Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Adil.

Ciri-ciri istimewa Islam yang tersebut di atas merupakan kelebihan yang pendakwah harus ketengahkan dalam dakwahnya khususnya kepada non-Muslim termasuk yang berada di Malaysia.

4.0Quo Vadis Integrasi Nasional

Malaysia kini mempunyai 28.3juta penduduk mengikut Banci 2010. Dari perspektif sejarah Malaysia sebagai sebuah negara memang mewarisi sebuah masyarakat yang plural hasil polisi ‘pecah’ dan ‘perintah’.Integrasi nasional dan perpaduan negara telah secara konsisten menjadi objektif pelbagai dasar kerajaan sejak kemerdekaan lagi. Jabatan bertanggungjawab iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah menjadikan misinya sebagai:

”Mempertingkatkan dan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Gagasan 1Malaysia.”

Cita-cita negara untuk mencapai perpaduan ternyata sebagai perkara pertama dalam Rukun Negara dengan ungkapan:

”Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak –

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan semua masyarakatnya;

Memelihara cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negaraakan dinikmati bersama secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.”

Jika dilihat cita-cita Rukun Negara di atas didapati elemen-elemen yang cukup bersesuaian dengan matlamat hidup dalam Islam yang boleh disebarkan melalui dakwah islamiyyah.

Malah Gagasan 1Malaysia yang terkini diperkenalkan kepada masyarakat apabila diteliti lebih terperinci dan jelas bagaimana perpaduan negara dan integrasi nasional yang dikehendaki:

“1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.”

Konsep penerimaan juga diketengahkan menggantikan ’toleransi’ yang sekian lama diperkatakan:

KONSEP 1MALAYSIA

”Pengertian ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.”

Seterusnya prinsip keadilan sosial yang menjadi unsur penting Gagasan ini amatlah bersesuaian dengan maqasid perutusan risalah Islam sebagai ’rahmatan lil alamin’.

”Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara.Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh.Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.”

Usaha berterusan pihak kerajaan dalam memupuk perpaduan dan integrasi nasional tidak boleh dinafikan. Pencapaiannya masih boleh belum ketara walaupun dari segi dasar dan polisi kerajaan amat nyata dan jelas. Malah Malaysia mendapat pengiktirafan di atas usahanya di mana dalam Jun 2012, The Institute for Economics and Peace telah meletakkan negara pada tempat ke-20 dari 158 negara dalam senarai 2012 Global Peace Index (GPI). Hanya Qatar yang berada di tempat ke-12 merupakan negara Islam yang lebih baik dari Malaysia. Perdana Menteri Malaysia telah dilaporkan seperti berikut:

“He has publicly stated: “In managing our plurality, we have decided on integration as opposed to assimilation. Malaysians accept their diversity. We do not merely tolerate each other but we also embrace and celebrate.” In addition, Najib has been consistent in trying to engage with the various communities throughout Malaysia, from funding both Chinese and Tamil schools to being the first federal leader to visit the Batu Caves Temple during the Hindu festival of Thaipusam.”

Usaha negara mendapat perhatian dan pengiktirafan sementara menanti hasil pencapaian perpaduan dan integrasi nasional yang diidamkan.

Jika dilihat kembali sedikit sejarah negara, nyata walaupun kemerdekaan diperolehi hasil kerjasama pelbagai kaum seperti yang dicatat oleh Tunku (1981:14):

“Our original intention was to get independence within four years but because of our unity and show of purpose, the British Government had agreed to bring forward the date of independence. Our duty now was to look ahead and to make independence for this country meaningful.”

dan juga diperhatikan oleh Dr Mohd Ridhuan Tee (2010:64), Dengan kebijaksanaan penjajah dan imigran ini juga, negara ini diberikan kemerdekaan dengan bersyarat iaitu mereka mesti sanggup berkongsi kuasa dan ekonomi,’namun perpaduan dan integrasi nasional yang diingini masih menjadi idaman selepas 55 tahun merdeka seperti perhatian Dr Ridhuan Tee (2010:64) lagi:

Selain daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh British, sikap lunak orang Melayu terhadap orang lain dan kepandaian orang lain mengekspoitasikan orang Melayu turut menyumbang kepada masalah kaum sehingga ke hari ini.’

Perpaduan pasti menjadi isu penting ketika negara mencapai kemerdekaan seperti yang diabadikan dalam logo Malaysia ’Bersekutu Bertambah Mutu’ ataupun lebih explisit dalam bahasa inggeris ’Unity is Strength’.

Idamannya untuk membina sebuah negara yang bersatu dengan unsurnya yang telah sediada dari detik kemerdekaan, namun perselisihan faham yang menyebabkan ketegangan kaum dan persengketaan berlaku dalam usia negara mencecah 55 tahun ini. Yang ketara ialah peristiwa Mei 13 dalam tahun 1969 yang sedia dimaklumi. Ia adalah detik hitam dalam usaha mencapai integrasi nasional. Namum ia juga adalah suatu peluang untuk meneruskan perjalanan jauh yang berliku untuk lansung menuju integrasi nasional; iaitu peluang membuat pembetulan dan pembaikan. Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) terhasil akibat peristiwa pahit itu. Perpaduan negara menjadi objektif DEB adalah:

”Menyedari kedudukan ketidakseimbangan sosial ekonomi itu, kerajaan telah mengusahakan supaya satu pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang melibatkan program 20 tahun yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru. Matlamat utama dasar ini diperkenalkan ialah bagi mewujudkanperpaduan negara dengan mengurangkan perbezaan ekonomi, sosial, kebudayaan, penempatan dansebagainya.”

Lebihkurang sepuluh tahun kemudian dalam 1979 pula isu Universiti Merdeka menjadi hangat walaupun tidak seburuk Mei 13. Ia menguji kejituan perpaduan rakyat.

Bapa Merdeka Tunku Abdul Rahman cukup faham akan cabaran negara ini apabila beliau menulis (Tunku, 1981:77):

“Can a country with a divided society such as ours survive the impact of differences, prejudices and other failings we have? A divided society such as ours, divided by race, religion and custom has no leg to stand on. We are sitting on a keg of gunpowder. We have survived under our own steam for so long, twenty-one years, and we can thank God for it, for our survival goes to prove that sanity prevails in this country. We have had little trouble because conditions are good and the people are happy.”

Dalam pada itu pemimpin parti MCA Datuk Lee San Choon ketika berucap kepada perhimpunan tahunan MCA pada 4 Disember 1978 telah menyatakan, seperti yang dirakamkan oleh Tunku (1981:77):

‘He called on the Chinese community “to examine its values and to be prepared to change them if necessary in order to progress and help create an integrated and united multiracial society”.’

Ini bermakna kontraversi Universiti Merdeka itu tidak menghapuskan semangat perpaduan di pihak pemimpin MCA itu walaupun dilihat sebagai ’pengacau’ dan kurang disenangi oleh pemimpin dan masyarakat Melayu. Dalam era Malaysia yang merangkumi Sabah dan Sarawak, percaturan integrasi nasional lebih mencabar lagi. Kini ada etnik Bumiputra Sabah dan Sarawak di samping Melayu, Cina dan India yang telah sekian lama berinteraksi sejak beberapa tahun sebelum Merdeka lagi. Pun begitu kajian dan modelling yang dibuat oleh Prof Madya Yap Yin (2005?) yang mengambilkira beberapa faktor penyumbang yang terdiri dari gandingan ’human and physical capital’ dan ’social capital’ kepada perpaduan dan integrasi nasional, telah mendapati dalam unjurannya kebimbangan yang ketara.

Realiti di medan dalam persoalan integrasi nasional ini juga dibawa oleh Dr Mohd Ridhuan Tee (2010:79) apabila beliau mencatat:

“Seorang pelajar Cina, Kathleen Chong yang ditemubual, berusia 24 tahun, menceritakan pengalamannya belajar di Universiti Putra Malaysia. Malaysia sering mendabik dada sebagai negara contoh, negara berbilang bangsa yang aman, tetapi setelah hampir separuh abad usia negara ini, kaum-kaum yang menjadi rakyatnya hidup terasing antara satu sama lain. Sekolah berasingan, kawan berasingan dan kehidupan sosial berasingan.Katanya lagi, ramai yang kesal dengan jurang yang timbul antara kaum majoriti Melayu dengan bangsa Cina serta India yang hidup bersama mereka di bumi Malaysia.Beliau sedih melihat sikap berpuak-puak mengikut kaum di dalam kampus.Mereka hanya bercampur dengan bangsa masing-masing sahaja.Komunikasi antara kaum adalah sangat terhad.”

Dalam senario negara mengejar idaman mencapai integrasi nasional seperti yang digambarkan di atas, peranan dakwah islamiyyah mungkin dapat menyerlah.

5.0 Kemungkinan Sumbangan Dakwah kepada Integrasi Nasional

Dakwah islamiyyah yang membawa dengannya risalah Islam al-khalidah serta berteraskan ciri rabbaniah boleh menjadi medium integrasi nasional yang effektif.Setiap negara dalam dunia hari ini meletakkan perpaduan negara sebagai agenda penting bagi kejayaan pembangunan dan kemajuan. Di antara sumbangan yang boleh dimainkan oleh dakwah islamiyyah kepada integrasi national adalah seperti berikut:

  • Orang Islam sebagai pendakwah perlulah memahami Islam sebagai subjek dakwah terutama yang berkaitan dengan ciri-ciri khusus keistimewaan Islam. Islam adalah cara hidup yang terbaik aqidah, syariat dan akhlaqnya bagi manusia sejagat tidak kira bila dan di mana mereka berada. Dengan kefahaman yang baik dan jelas, dakwah boleh dilaksanakan dengan sebaiknya secara berhikmah dan dengan nasihat yang baik. Jika sampai ke tahap perbahasan, maka berbahaslah dengan yang ahsan iaitu terbaik. Berasaskan keikhlasan dan akhlaq mulia, dakwah yang dijalankan dapat diterima dengan baik oleh non-Muslim dari kalangan Cina, India dan Bumiputra Sabah dan Sarawak.
  • Pendakwah perlu mempunyai kemahiran yang berkaitan dengan fiqh al-dakwah dan dakwah kepada non-Muslim seperti yang dijelaskan dalam bahagian 3.1 dan 3.2 di atas.
  • Di samping bersedia dengan ilmu Islam dan fiqh al-dakwah, pendakwah harus meningkatkan pengetahuan mengenai isu-isu perpaduan rakyat dan integrasi nasional dalam pembangunan dan kemajuan negara. Pendakwah harus ada jawapan Islam disampingnya apabila berhadapan dengan isu-isu berkenaan. Oleh kerana penyelesaian Islam adalah penyelesaian yang rabbani dan yang terbaik dari segi keserasian dengan jiwa manusia, pendakwah hendaklah yakin ianya terbaik untuk non-Muslim juga. Perbezaan di antara perkara yang qat’i dan ijtihadi perlu dibuat supaya tiada perselisihan faham di kalangan pendakwah.
  • Keadilan sosial dan kesaksamaan adalah asas pembinaan masyarakat yang bersatu dan syariat Islam yang datangnya dari Allah Taala adalah semata-mata untuk maslahah atau kepentingan manusia. Tindakan pemerintah juga adalah berasaskan maslahah rakyatnya seperti kaedah

” تصرف الإمام منوط بالمصلحة”

  • Isu-isu popular yang mengelirukan non-Muslim harus ditangani dengan baik melalui dakwah dan akhlaq mulia. Di antara isu yang sering dibangkitkan ialah isu hudud, hak wanita , poligami, hak kemanusiaan, persoalan LBGT, perancangan keluarga, negara Islam, ekonomi dan kewangan Islam dan lain-lain lagi.
  • Isu-isu yang merupakan nilai mulia yang sejagat boleh disokong oleh pendakwah seperti memerangi rasuah, dadah, penyelewengan harta, salahguna kuasa, kemiskinan, kejahilan, pengangguran, penyakit, khurafat, kesesatan, komplot sorok makanan asasi dan lain-lain.

Apabila dakwah islamiyyiah dapat terlaksana dengan baik mengikut kaedah dan pendekatannya yang effektif, non-Muslim dapat lebih memahami ajaran Islam yang adil dan saksama dalam memelihara hak mereka. Apabila mereka memahami prejudis akan hilang walaupun mereka tidak menjadi Muslim kerana hidayah adalah tentuan Ilahi. Sejarah sepatutnya berulang balik apabila non-Muslim hidup aman damai dalam negara atau empayar Islam, baik di Baghdad mahupun di Andalus ataupun al-Quds sendiri. Di waktu Eropah menindas orang Yahudi dan memburu mereka, negara Islam Turki dan di Afrika utara memberi mereka perlindungan. Di waktu al-Quds di bawah pemerintahan Islam, semua penganut Kristian dan Yahudi bebas beribadat di sana. Semasa Yahudi berkuasa kebebasan itu sudah tiada. Begitulah Islam satu cara hidup yang datangnya dari Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Termasuk Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana di Malaysia ini.

6.0 Kesimpulan

Dakwah islamiyyah boleh berperanan secara effektif sebagai medium dan pemangkin integrasi nasional. Walaupun semua Muslim harus mengambil peranan dakwah itu, darjat keberkesanan mungkin sangat berbeza jika dibanding di antara Perdana Menteri sebagai pendakwah dengan penulis sebagai pendakwah. Oleh itu setiap menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, ketua setiausaha negara, ketua setiausaha kementerian dan seterusnya sehingga pegawai di kaunter dan pembantu am pejabat yang Muslim harus memainkan peranan mengikut kemampuan sebagai pendakwah. Di sektor swasta pula setiap ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, ketua pegawai kewangan dan seterusnya kepada pegawai di kaunter dan despatch yang Muslim harus menjadi pendakwah. Setiap pendakwah sentiasa berakhlaq mulia, tersenyum dalam memberi jawapan, tersenyum dalam memberi maklumat, senang didampingi, customer friendly, sentiasa bersabar, tidak cepat marah, senang memaafkan, tidak sesuka menyalahkan orang, tidak mencari kesalahan orang, tidak mengintip keaiban orang, amanah dalam kerja, berlaku benar, memohon maaf jika melakukan kesalahan, suka menolong, cemerlang dalam kerja dan seterusnya. Apabila Muslim yang menjadi pendakwah itu sendiri melaksanakan dan menghayati Islam dengan segala kecantikan dan keindahannya, dakwah menjadi berkesan dan effektif. Non-Muslim ketika itu mempunyai keyakinan terhadap mesej Islam dan nilai intrinsiknya yang rabbani yang  bukan sahaja membawa kepada integrasi nasional malah lebih baik lagi iaitu  بلدة طيبة و رب غفورbaldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

Nota:

Ir Dr Muhamad Fuad Yeoh BSc (Hons), BA Syariah, MPhil, PhD seorang jurutera profesional dan peguam syar’ie, adalah seorang Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).dan Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

 

 

Rujukan

Ali bin Nayef Al-Shuhud. 2009. الخلاصة في فقه الدعوة. Pahang Darul Makmur: Naskhah softcopy.

Mohd Redhuan Tee Abdullah. 2010. Cabaran Integrasi antara Kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga dan Pendidikan.Jurnal Hadhari Bil 3, 2010. Institut Islam Hadhari, UKM. Bandar Baru Bangi.

Muhamad Fuad Yeoh Abdullah. 2012. Pengalaman Dakwah Saudara Baru.Kertas dibentangkan di Konvensyen Dakwah Nasional anjuran JAKIM pada 6 Sep 2012, Hotel Bluewave, Shah Alam.

Muhammad Al-’Arifi. n.d. كيف ندعو إلى الله. Kaherah: Maktabah Salsabil.

Muhammad Uthman El-Muhammady. 2007. http://uthman-elmuhammady.blogspot.com (24 ogos 2007).

Nizar Mahmud Qasim Al-Sheikh. 2010. أثر التخطيط المستقبلي في دعوة غير مسلمين للإسلام في ضوء السنة النبوية. Ra’s Al-Khaimah: The Institute of Applied Technology. Naskhah softcopy.

Saad bin Abdullah bin Saad Al-Quud. 1432H.  فقه مقاصد الدعوة إلى الله تعالى وأثره في حياة الداعية  (Feqah Maqasid Dakwah kepada Allah Taala dan Kesannya dalam Hidup Seorang Pendakwah). Tesis Masters of Arts Universiti Ummul Qura, Makkah.

Tunku Abdul Rahman. 1981. As A Matter of Interest. Kuala Lumpur: Heinemann Asia.

Yap Yin. 2005(?).Assessing the Level of Unity and Integration in Malaysia using the System Dynamics Simulation Model..

Yusuf al-Qardhawi. 2012. الدعوة إلى خير الإنسانية (Dakwah kepada Sebaik Kemanusiaan). Website Qardawi (8 Sept 2012): qardawi.net.

Web reference: http://www.islamweb.net/media19-3-2002


[1]       Kertas ini untuk dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

1 comment so far

  1. […] 5. Dakwah Islamiyyah Sebagai Medium Integrasi Nasional  (KLIK DI SINI untuk baca) […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: