Amran Muhammad: Dakwah Islamiyyah dalam membendung seranganPasca-Modenisme

Klik untuk maklumat seminar

Kertas kerja Dr Amran Muhammad yang dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

untuk versi cetak dalam format pdf: Klik di sini

************

Dakwah Islamiyyah dalam membendung seranganPasca-Modenisme[1]

Dr Amran Muhammad[2]

ISSI MALAYSIA[3]

1.       Senario serangan Pasca-Modenisme terhadap Ahlusunnah wal Jama’ah

Serangan pemikiran Pasca-Modenisme terhadap kefahaman dan penghayatan Islam yang dianuti oleh hampir 90% umat Islam diseluruh dunia yang lebih dikenali sebagai Ahlusunnah wal Jama’ah pada hari ini datangnya dari tiga penjuru. Pertama, serangan yang datang dari musuh-musuh Islam itu sendiri terutamanya di kalangan Kristian dan Yahudi melalui pemikiran dan peradaban Barat yang sentiasa mencari peluang merosak dan memusnahkan kefahaman dan penghayatan Islam Ahlusunnah wal Jama’ah sejak dari dahulu kala lagi. Kedua, serangan yang datang melalui golongan sedia ada sekular-liberal di kalangan umat Islam yang telah menukar corak serangan mereka dari pemikiran Modenisme dahulunya kepada pemikiran Pasca-Modenisme hari ini yang mereka anggap lebih sesuai dan berkesan untuk menukar pegangan umat Islam ketika ini. Dan ketiga, yang agak malang, serangan yang datang melalui batang-tubuh umat Islam yang terdiri dari kelompok-kelompok aktivis dan gerakan (harakah) dakwah Islamiyyah yang telah terpesona dan terpedaya dengan hujah-hujah Pasca-Modenisme secara sedar mahu pun tidak sedar akibat dari kecetekan dan kekeliruan kefahaman mereka terhadap Islam itu sendiri ataupun disebabkan kepentingan-kepentingan politik semasa dalam kemelut mencari pengaruh dan kuasa demi survival politik mereka.

Serangan tiga penjuru pemikiran Pasca-Modenisme terhadap kefahaman dan penghayatan Islam dihadapi pula oleh golongan Ahlusunnah wal Jama’ah dalam dua bentuk. Bentuk pertama, serangan pemikiran Pasca-Modenisme dari dimensi intelektual-epistemologikal menggunakan senjata relativisme/kenisbian ilmu dan kebenaran, meliputi usaha-usaha menghilangkan keyakinan umat Islam terhadap sifat thubut/tetap/berkekalan ajaran-ajaran Islam. Malah mereka mempertikaikan keupayaan ajaran-ajaran aqidah, shari’ah dan akhlak Islam untuk terus benar melangkaui zaman dan lingkungan. Bentuk kedua, serangan Pasca-Modenisme dari dimensi praktikal-sosiologikal menggunakan senjata pluralisme/kesamarataan cara-hidup dan amalan-budaya, meliputi pelbagai gerakan sosial yang mengangkat tinggi fenomena-fenomena trans/lintas-aktiviti seperti faham agama transcendental, aktiviti transgender dan transexual dan seumpamanya. Mereka seolah-olah mengalami pencerahan baru dalam pelbagai aktiviti kehidupan dari pegangan akidah sehinggalah ke amalan seksual. Ketika serangan intelektual-epistemologikal ditujukan lebih kepada golongan bijak-pandai di kalangan ahli akademik dan inteligensia umat Islam khususnya yang berada di institusi-institusi pembelajaran, serangan praktikal-sosiologikal dihalakan kepada golongan masyarakat awam di kalangan remaja-belia yang mudah terpengaruh dan para aktivis, profesional dan artisan yang mudah terpesona dengan kehidupan permisif lagi liberal diakibatkan juga dari kejahilan mereka terhadap Islam.

Serangan intelektual-epistemologikal dan praktikal-sosiologikal Pasca-Modenisme ini menjadi lebih intensif sifatnya dan dahsyat kesannya bila ia dilatari oleh gelombang globalisasi dan liberalisasi sejagat yang  sedang pula dipacu hebat oleh teknologi komunikasi maklumat dan media sosial mutakahir. Melalui kemudahan teknologi dan media terkini, atas nama demokrasi, kebebasan dan hak-hak asasi manusia yang tidak dipertikaikan langsung falsafah yang mendasarinya, yang dibawa oleh arus-deras globalisasi dan liberalisasi tajaan Barat, sebahagian dari umat Islam begitu tersirna termasuklah para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah dengan fahaman dan amalan yang baru diperkenalkan kepada mereka yang mereka anggap sebagai ’reformation’ – penstrukturan semula atau ’enlightenment’ pencerahan baru kehidupan beragama mereka. Maka akhirnya lama-kelamaan berlakulah proses ”desensitisasi”, ”normalisasi” dan akhirnya ”habituasi” umat Islam terhadap perkara-perkara yang pada asalnya suatu yang begitu bertentangan dalam fahaman dan amalan keislaman mereka. Lihat sahajalah mutakhir ini bagaimana sebahagian dari kelompok-kelompok aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang begitu mesra bersahabat dan saling lengkap-melengkapi dengan kelompok-kelompok aktivis dan gerakan sekular-liberal malah juga dengan golongan yang sedia dikenali anti-Islam bukan sahaja dari sudut pemikiran malah juga tindak-tanduk yang tidak mungkin dibayangkan 30 tahun yang lalu ketika gerakan dakwah Islamiyyah berada dikemuncak keyakinan dan ketegasan mereka di Tanahair. Serangan pemikiran Pasca-Modenisme jelas sekali telah berjaya merungkaikan pegangan epistemologi wujudnya ilmu yang kekal benar dan juga kebenaran yang hakiki bagi kelompok-kelompok aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah ini kepada kebenaran ilmu berubah-ubah itu bergantung kepada keadaan dan konteks semasa. Disamping itu serangan pemikiran Pasca-Modenisme juga berhasil menggalakkan sikap ”merestui” atau ”meredhai” amalan-amalan baru yang melampaui dari amalan-amalan tradisi kehidupan manusia beragama di kalangan para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah itu sendiri.

Melihat kepada cara-berfikir “baru” dan tindak-tanduk “aneh” aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang telah sekian lama berkecimpung dalam harakah dan jamaah Islam di Tanahair,  mungkin tidak keterlaluan untuk disebut bahawa aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang suatu ketika dahulu pernah diangkat sebagai jurubicara umat atau elemen sedar dalam batang tubuh umat, tegas dan tuntas mempertahankan akidah Islam, tidak sekali-kali berkompromi dalam hal-hal pokok agama Islam, sangat peka dan sensitif terhadap sebarang perkara-perkara yang menganggu-gugat martabat dan maruah Islam, kini menjadi begitu apologetik, pembekal justifikasi malah menjadi “pak turut,” bahkan mempertahankan secara terbuka idea-idea songsang mengenai Islam yang digembar-gemburkan oleh pelopor-pelopor Pasca-Modenisme beragama di Malaysia. Akibatnya aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah menjadi merudum integriti dan kredibilitinya dikalangan umat Islam di Tanahair. Malah menjadi lebih parah bila aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah menjadi agen dan katalis mengelirukan kefahaman dan pegangan umat Islam terhadap sifat asasiah dari ajaran-ajaran agama Islam. Ternyata serangan pemikiran Pasca-Modenisme dari dimensi intelektual-epistemologikal telah membankrupkan daya-fikir kritis dan kritikal sebahagian dari para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah manakala serangan pemikiran Pasca-Modenisme dari dimensi praktikal-sosiologikal telah memusnahkan tata-cara kehidupan mulia yang berasaskan tradisi beragama sejak turun-temurun.

2.      Memposisikan semula Ahlusunnah wal Jama’ah menghadapi Pasca-Modenisme

Berdepan dengan fenomena yang menyedihkan yang menimpa sebahagian besar dari kelompok aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah semasa sewajarnya satu kesedaran baru dibentuk di kalangan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang masih memiliki mata hati yang dapat membezakan antara kebenaran yang hakiki dan kebatilan yang diselaputi dengan kebenaran yang palsu khususnya yang muncul, berkembang dan disebarluaskan melalui agenda dan propaganda Pasca-Modenisme. Sekiranya tragedi ini tidak diberi perhatian, maka amat dibimbangi para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah akan terus hanyut dek ketaksuban kepada individu tertentu atau dek kepentingan politik sempit ke lembah kehinaan menggadaikan prinsip-prinsip dan tuntutan-tuntutan Islam semata-mata untuk memperolehi kuasa dan harta duniawi yang sementara ini.

Justeru, pembinaan gagasan dakwah Ahlusunnah wal Jama’ah bagi menghadapi serangan Pasca-Modenisme dalam kedua-dua dimensinya iaitu intelektual-epistemologikal dan praktikal-sosiologikal memerlukan satu proses pembelajaran dan penegasan semula definisi dan aplikasi kefahaman dan penghayatan Ahlusunnah wal Jama’ah seperti yang termaktub dalam kitab-kitab muktabar dan dihayati oleh golongan Ahlusunnah wal Jama’ah dalam tradisinya yang panjang sejak zaman-berzaman sehinggalah zaman kemerosotannya terutamanya semenjak tahun 1970an dalam konteks kebanyakkan masyarakat dunia umat Islam semasa. Secara ironisnya kebangkitan fenomena al-wa’yu al-Islamiy melalui kemunculan para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah disekitar tahun 1970an tersebut juga menandakan bermulanya kemerosotan dinamika tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah dalam konteks kehidupan sosio-politik beragama umat Islam diseluruh dunia.

Meskipun umat Islam semasa sedang mendepani serangan Pasca-Modenisme dan gagasan dakwah khusus bagi menghadapi serangan Pasca-Modenisme mestilah dirumuskan, persoalan lebih mendalam yang melatari begitu mudahnya Pasca-Modenisme menghinggapi batang-tubuh aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah semasa perlulah diberi perhatian. Malah tidaklah keterlaluan untuk dinyatakan bahawa akar dan punca yang menyebabkan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah terpedaya dengan tipu-daya Pasca-Modenisme boleh ditelusuri seawal bermulanya kebangkitan wa’yu Islam itu sendiri. Sebenarnya serangan Modenisme yang melatari kebangkitan wa’yu Islam telah menghinggapi batang-tubuh aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah lebih dahulu lebih 30 tahun sebelum kemunculan serangan baru Pasca-Modenisme kira-kira sedekad yang lepas sehingga ke hari ini.

Kira-kira 40 tahun dahulu, semangat zaman atau ‘zeitgeist’ generasi muda Islam di pusat-pusat pengajian tinggi yang memberi peluang bagi mereka memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi umat ialah terbitnya fenomena wa’yu Islam dengan slogan Islam sebagai Ad-Din. Dalam konteks generasi muda Islam Melayu terpelajar di Malaysia, 1960’an dan 1970’an merupakan era kesedaran dan kebangkitan dakwah Islamiyyah bercorak harakah yang diinspirasikan dari pengalaman Ikhwan al-Muslimun di Mesir dan Jama’at Islami di Pakistan. Disaat inilah bermula apa yang disebut sebagai zaman kebangkitan dakwah dan harakah Islamiyyah di Tanahair yang mencapai kemuncaknya dalam tahun 1980’an menarik minat generasi terpelajar Melayu Islam untuk kembali mendekati, memahami, menghayati dan memperjuangkan Islam dalam pelbagai dimensi kehidupan. Memasuki era 1990’an, gerakan kebangkitan Islam ini telah menghasilkan pelbagai bentuk pencapaian termasuklah pembentukan pelbagai institusi Islam selain dari penyebaran amalan kehidupan Islam yang mempengaruhi kehidupan umat.

Disebalik pelbagai pencapaian yang boleh dibanggakan dalam menimbulkan kesedaran dan penghayatan Islam di kalangan masyarakat dalam tempoh 40 tahun yang lalu, fenomena wa’yu Islam berorientasikan harakah Islamiyyah yang digerakkan oleh aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah ini terdapat beberapa perkara yang jika dinilai secara lebih terperinci dan mendalam akan menampakkan kelompongan yang sangat menyerlah terhadap kefahaman dan penerimaan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah terhadap tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah. Mengimbas kembali korpus dan literatur rujukan dan pengisian aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah sepanjang 40 tahun yang lalu menunjukkan sikap sambil lewa terhadap keperluan untuk menggali kekayaan khazanah keilmuan Ahlusunnah wal Jama’ah sepanjang 1400 tahun yang lalu. Buktinya sehingga ke hari ini, umat Islam di Malaysia masih belum ditemukan kepada ahli yang pakar di kalangan ulama dan intelektual hasil didikan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang menguasai tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah sekaligus memandu umat mengikuti tradisi ini. Kegagalan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah melahirkan sekumpulan aktivis dan da’i yang juga sarjana dalam tradisi Ahlusunnah wal Jam’ah menyebabkan kekuatan intelektual-epistemologikal mereka lemah bila berhadapan dengan cabaran dan kemelut serangan pemikiran Modenisme dahulu dan kini Pasca-Modenisme.

Secara mudahnya semangat zaman bagi aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah untuk 40 tahun yang lalu ialah bahawa Islam itu mudah dan perlu dipermudahkan. Kembali kepada Islam ialah kembali terus dan langsung kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah. Apa yang disebut sebagai Islam tradisional dengan segala keperluan untuk merujuk kepada ulama silam, berpegang kepada mazhab dan ijmak, kesemuanya ini bukanlah Islam yang murni malah membebankan dan menjadi punca kemunduran umat Islam beberapa abad yang lalu. Tanpa disedari, kefahaman dan penghayatan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah telah diresapi dengan pemikiran Modenisme dalam ertikata menolak peranan otoriti dan tradisi dalam tafsiran dan kehidupan beragama.  Ini tidak termasuk penolakkan-penolakkan yang ma’aruf lagi maklum di kalangan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah terhadap faham-faham akidah Ash’airah, fiqh mazhab yang empat dan tasawuf yang muktabar dalam tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah. Sekiranya disimpulkan secara teliti, jelas sekali sikap-sikap penolakkan dan paling tidak, perasaan tidak begitu selesa terhadap perkara-perkara di atas menjadi pegangan dan pandangan dominan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah secara kolektif meskipun tidak semestinya bagi individu di kalangan mereka. Akibat paling besar dari sikap, pegangan dan kecenderungan sebegini terhadap tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah telah mengakibatkan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah hilang peluang untuk menikmati kekayaan dan kekuatan intelektual-epistemologikal Ahlusunnah wal Jama’ah yang telah terbukti berupaya menangkis pelbagai serangan pemikiran terhadap umat Islam yang terdahulu. Inilah kerugian paling besar bagi aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah sepanjang 40 tahun yang lalu disebalik pencapaian-pencapaian sosial-politik dan institusi yang mereka kecapi yang sebenarnya tidak juga begitu kukuh asas intelektual- epistemologikal mereka.

Oleh kerana asas-asas serangan Modenisme telah menyerap masuk ke dalam pemikiran aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah, maka kedatangan serangan Pasca-Modenisme dengan mudah akan menghinggapi para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah kerana Pasca-Modenisme dalam beberapa keadaan memiliki ciri-ciri yang serupa dengan Modenisme iaitu penolakkan terhadap otoriti dan tradisi dalam beragama. Yang membezakan antara Modenisme dan Pasca-Modenisme ialah Modenisme hanya beranggapan pemikiran rasional Barat sebagai yang benar lagi mutlak sedangkan bagi Pasca-Modenisme tiada satupun kebenaran yang benar dan mutlak kerana mereka berpegang kepada pluralisme / kesamarataan iaitu semuanya boleh menjadi benar. Sekali lagi atas ternafinya peluang bagi mereka untuk berdampingan dengan khazanah tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah, aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah gagal untuk menghadapi cabaran dan serangan kenisbian/relativisme serta kesamarataan/pluralisme tajaan Pasca-Modenisme seperti yang sedang dihadapi oleh umat ketika ini.

Dalam memposisikan semula peranan Ahlusunnah wal Jama’ah dalam mendepani serangan Modenisme dan Pasca-Modenisme, sikap dan apresiasi yang betul mestilah dimulakan di kalangan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah. Keinginan untuk menggali khazanah dan kekayaan tradisi intelektual-epistemologikal Ahlusunnah wal Jama’ah akan memberi nilai tambah dan kekuatan baru umat dalam berhadapan dengan cabaran serangan Modenisme dan Pasca-Modenisme.

3.      Beberapa Strategi aktivis dan gerakan dakwah Ahlusunnah wal Jama’ah

    1. Kesungguhan dan iltizam untuk kembali mempelajari, memahami, menghayati dan mengembangkan khazanah dan tradisi keilmuan Ahlusunnah wal Jama’ah mestilah menjadi titik-tolak dalam mengatur strategi mendepani serangan kedua-dua pemikiran Pasca-Modenisme dan Modenisme. Serangan Pasca-Modenisme seperti juga serangan Modenisme sebelum ini adalah serangan bersifat pemikiran, keilmuan atau intelektual-epistemologikal. Pasca-Modenisme dan Modenisme merosakkan akal-budi umat terlebih dahulu sebelum terjemahannya diperlihatkan dalam dimensi praktikal-sosiologikal umat. Menghadapi serangan intelektual-epistemologikal memerlukan juga jawapan kekuatan pertahanan intelektual-epistemologikal. Adalah suatu yang merugikan umat Islam sekiranya aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah enggan untuk merujuk semula kepada sumber kekuatan pertahanan intelektual-epistemologikal yang telah terbina sejak 14 abad yang lalu yang sebenarnya masih hidup subur dikalangan masyarakat Islam yang masih berpegang teguh kepada tradisi dan khazanah ini meskipun sedikit bilangannya. Keyakinan yang tidak berbelah-bahagi terhadap keupayaan sumber-sumber intelektual-epistemologikal Ahlusunnah wal Jama’ah untuk merungkaikan kekeliruan dan kekalutan yang dikemukakan oleh pemikiran Pasca-Modenism/Modenisme merupakan pra-syarat awal yang perlu ditanam dalam jiwa setiap di aktivis dan harakah dakwah Islamiyyah sebelum langkah seterusnya dilakukan. Perasaan kesangsian, memperlekehkan, rendah diri, berjiwa kecil terhadap kemampuan sumber-sumber intelektual-epistemologikal Ahlusunnah wal Jama’ah untuk menyerang-balas sekaligus menumpaskan pemikiran Pasca-Modenisme/Modenisme sekiranya ada tidak akan membantu umat menghadapi penjajahan pemikiran – ghazwatul fikriy yang sedang memusnahkan kehidupan beragama umat Islam di seluruh dunia.
    2. Sikap berjiwa besar dan berbangga terhadap kekayaan khazanah dan tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah mestilah pula disusuli dengan penyelidikan dan pengkajian yang serius, berterusan dan berimpak tinggi bagi melahirkan kesarjanaan Ahlusunnah wal Jama’ah di kalangan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang kemudiannya memandu perjalanan para aktivis dan harakah tersebut ke arah pemikiran dan tindakan yang selari dengan kehendak-kehendak Ahlusunnah wal Jama’ah. Perlu difahami, kekuatan pertahanan intelektual-epistemologikal memerlu komitmen masa, tenaga dan harta aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah. Justeru inisiatif-inisiatif seperti penterjemahan kitab-kitab muktabar Ahlusunnah wal Jama’ah, program-program penghuraian dan pentafsirannya untuk pelbagai lapisan umat, penerbitan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dan seumpamanya berkehendakkan para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang mengerahkan bahagian tertentu dalam sistem dan organisasi mereka untuk menumpukan sepenuh masa ke arah perlaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut. Hanya dengan cara begini dari segi jangkapanjangnya nanti terbinalah kekuatan pertahanan intelektual-epistemologikal umat berasaskan kepada khazanah dan tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah yang berkeupayaan menghadapi apa bentuk pun serangan pemikiran-pemikiran baru yang bakal muncul selepas Pasca-Modenisme/Modenisme ini.
    3. Kekuatan pertahanan intelektual-epistemologikal Ahlusunnah wal Jama’ah yang akan diusahakan tersebut mestilah pula diwaktu yang sama diperlengkapkan dengan pengukuhan dan pembentukan institusi, organisasi dan sistem yang akan menangani serangan semasa praktikal-sosiologikal Pasca-Modenisme. Penginstitusian dan sistemisasi Ahlusunnah wal Jama’ah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan kepentingan umat dalam institusi-institusi yang sedia ada akan menjadi benteng pertahanan yang sangat penting melindungi umat Islam dari serangan praktikal-sosiologikal Pasca-Modenisme. Institusi-institusi yang berlandaskan pemahaman dan perlaksanaan tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah perlulah diperkasakan dan diperkembangkan kegiatan-kegiatan mereka sehingga ternampak jelas impak praktikal-sosiologikal mereka dalam masyarakat Islam.
    4. Aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah mestilah sentiasa berwaspada terhadap serangan musuh-musuh Islam terutamanya dari golongan Kristian and Yahudi yang semakin berani menyerap masuk ke dalam sistem politik dan sosial masyarakat Islam melalui pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil dan bukan kerajaan atas pelbagai bentuk dan nama. Aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah mestilah menjadi mata dan telinga memberitahu umat sekiranya terdapat anasir-anasir musuh-musuh Islam dari golongan Kristian dan Yahudi ini sedang menyelinap masuk mencucuk jarum ataupun membuat provokasi yang boleh melemahkan kekuatan umat.
    5. Semenjak dari dahulu lagi para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah dakwah berhadapan dengan kelompok-kelompok umat Islam sekular dan liberal yang enggan menerima hakikat bahawa faham Pasca-Modenisme sepertimana dahulunya Modenisme tidak pernah mendapat tempat dihati umat Islam. Justeru golongan ini memperdayakan umat dengan cara halus dan mereka sentiasanya bimbang akan penolakkan umat terhadap faham-faham asing ini lalu mereka menuduh umat sebagai jumud, ketinggalan dan seumpamanya. Umat Islam sekular dan liberal ini tidak akan mampu menyebarkan kekeliruan dan penyelewengan mereka sekirannya para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah bekerja-keras menerangkan kepada umat bahaya dan bencana yang bakal menimpa akibat dari menerima faham Pasca-Modenisme dan Modenisme.
    6. Para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang telah termakan racun berperisa madu Pasca-Modenisme mestilah disedarkan semula kekeliruan dan kesesatan pemikiran mereka. Mereka mestilah dibawa berhujah dari perspektif intelektual-epistemologikal yang pada hakikatnya dimensi yang mereka sangat lemah bagi menjelaskan kepalsuan Pasca-Modenisme dalam menjawab kemelut kehidupan manusia.
    7. Setelah umat menyaksikan pelbagai bentuk ketaksuban (fanatisme) dan pelampauan (ekstremisme) atas nama Islam, maka sudah sampai masanya bagi pihak berkuasa pendidikan negara melatih guru-guru subjek agama Islam dan menyemak kembali kurikulum pendidikan Islam supaya ianya selari dengan sikap dan pendirian muktabar dalam tradisi Ahlusunah wal Jama’ah dalam menangani perkara-perkara yang mendasar mengenai ajaran Islam tentang persoalan aqidah khususnya. Selain dari itu sejarah perkembangan (historiografi) tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah sewajarnya diperkenalkan dalam kurikulum pendidikan Islam kerana perkembangan tradisis Ahlusunnah wal Jama’ah itu sendiri mempunyai sejarah yang panjang dan pengajaran yang berguna sehingga ke hari ini. Pengajaran dan pembelajaran mengenai tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah tidak sewajarnya dilaksanakan dengan pendekatan kronologikal dan diskriptif semata-mata kerana kaedah ini menyebabkan tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah akan dianggap sebagai bahan sejarah semata-mata. Penekanan khusus kepada dimensi analisis dan tematik terhadap perkembangan tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah akan lebih menimbulkan ciri-ciri kerelevanan dan strategik tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah untuk umat Islam hari ini. Persoalan falsafah, metodologi dan motivasi para ulama’ muktabar Ahlusunnah wal Jama’ah mestilah digarap dan ditonjolkan dalam pengajian tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah supaya ia boleh dimanfaatkan kepada umat ketika ini.
    8. Teknologi komunikasi dan maklumat termasuklah media massa dan sosial merupakan pemacu dan pemangkin paling berkesan menyebarluaskan faham Pasca-Modenisme terutamanya kepada generasi muda umat Islam. Justeru usaha-usaha menyediakan infrastruktur dan infostruktur alternatif dengan melatih kelompok-kelompok aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah supaya berkemahiran bukan sahaja dari sudut teknikal tetapi juga dari sudut kreativiti dan imaginasi pengisian Ahlusunnah wal Jama’ah mestilah dimulakan dari sekarang supaya dalam beberapa tahun akan datang umat mempunyai pelbagai sumber rujukan Ahlusunnah wal Jama’ah yang dinamik dan kompetitif di ruang siber menggunakan teknologi komunikasi terkini.
    9. Serangan faham Pasca-Modenisme terhadap dunia umat Islam adalah serangan global yang ditaja oleh pelbagai kuasa dan pengaruh musuh-musuh Islam sama ada yang bersifat politik, sosial, ekonomi dan akademik menggunakan pelbagai cara untuk menyerap masuk dalam masyarakat Islam dari luar dan dalam menggunakan slogan-slogan demokrasi, kebebasan dan hak-hak asasi manusia. Justeru sangat perlu digerakkan juga satu gerakan global dakwah Ahlusunnah wal Jama’ah yang menggabungkan pendokong-pendokong Ahlusunnah wal Jama’ah bagi mewujudkan persefahaman pemikiran dan tindakan, peluang-peluang kerjasama, kemudahan komunikasi dan pertukaran maklumat ke arah menyebarluaskan kebenaran, kesesuaian dan kerelevanan faham Ahlusunnah wal Jama’ah dalam menghadapi pelbagai bentuk kepalsuan, ketaksuban (fanatisme) dan pelampauan (ekstremisme) agama dan bukan agama mutakhir ini yang membawa manusia ke lembah kehancuran kemuliaan dan matlamat kehidupan insan sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Maha Pencipta.
    10. Akhir sekali, peranan kerajaan bagi sebuah negara yang termaktub dalam perlembagaannya bahawa Islam adalah Agama Negara perlulah dipertegaskan kembali. Kedudukan Islam sebagai Agama Negara yang sah dengan segala peruntukan dan keistimewaan yang disepakati bersama sewaktu pembentukan sebuah negara di zaman moden seperti Malaysia ini merupakan anugerah dan nikmat Allah kepada masyarakat Islam seluruh dunia. Kedudukan ini mestilah dipertahankan dan tidak boleh sama sekali diganggu-gugat sekiranya kita ingin menyaksikan keamanan dan kemakmuran negara Malaysia yang kita kecapi selama ini kekal dan berterusan. Rahsia keamanan, kemakmuran, keharmonian dan kestabilan yang wujud lebih 55 tahun ini didasari dengan pegangan dan pendirian Ahlusunnah wal Jama’ah yang menjadi darah-daging bagi umat Islam di Tanahair dan rantau Asia Tenggara sejak turun-temurun. Hakikat sejarah bertapaknya tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah secara kukuh untuk sekian lama mencorak dan mewarnakan kehidupan umat Islam Nusantara dengan rujukan utama mereka kepada aqidah Asha’irah, fekah mazhab Shafi’e dan tasawuf al-Ghazali merupa suatu yang unik tetapi terbukti berkesan dalam jiwa dan sanubari umat sehingga ke hari ini. Kerajaan yang bijaksana akan sentiasa mengukuhkan dan mempertahan unsur-unsur yang terbukti mengekalkan keamanan, kemakmuran, keharmonian dan kestabilan rakyat. Dan Negara Malaysia adalah bukti nyata bahawa pegangan dan fahaman Ahlusunnah wal Jama’ah mampu menjadikan negara ini berjaya di zaman moden ini dan mampu bersaing dipersada antarabangsa serta dihormati oleh kawan dan lawan.

wallahu a’lam bissawab


[1]Dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012M sempena Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke-4 bertemakan Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah pada 8 dan 9 Oktober 2012 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

[2]Pembentang bertugas sebagai Ketua Eksekutif ISSI Malaysia dan juga ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat (JPP) MUAFAKAT. Beliau  boleh dihubungi melalui amran1551@gmail.com

[3]Islamic and Strategic Studies Institute Berhad atau ISSI Malaysia beralamat di No.10-1, Wisma Menjalara, Jalan 7A/62A, Bandar Menjalara, 52200 Kuala Lumpur, sebuah badan penyelidikan mengenai Islam dan isu-isu strategik berorientasikan tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah  boleh dilawati pada http://www.issimalaysia.org.my

Advertisements

2 comments so far

  1. […] berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Dakwah Islamiah Dalam Membendung Serangan Pasca-Modernisme‘ [klik untuk baca kertas-ker… di Seminar Dakwah Nasional di PWTC [klik untuk baca mengenai SDN2012] di sini hari […]

  2. […] 3. Dakwah Islamiyyah Dalam Membendung Serangan Pasca-Modenisme (KLIK DI SINI untuk baca) […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: