Archive for April 22nd, 2012|Daily archive page
Semua pihak perlu berganding bahu tangani isu LGBT
Sumber: Bernama
KUALA LUMPUR – Demi masa depan dan akidah generasi muda, isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak boleh dipolitikkan sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu untuk menanganinya, kata Pengerusi Pusat Kajian Fiqh Kontemporari Nasharudin Mat Isa.
“Ini bukan sesuatu yang boleh dipolitikkan kerana ia melangkaui politik dan kita jangan hanya kejar pembangunan sehingga kita terikut dengan budaya negatif Barat,” kata Nasharudin, yang juga bekas Timbalan Presiden PAS, kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada “Wacana Kemungkaran LGBT: LGBT Mengundang Bala Allah SWT” di sini hari ini.
Beliau berkata golongan itu bagaikan satu wabak yang akan menjadi kanser dan menjadi satu penyakit parah di dalam masyarakat dengan ancaman dahsyat yang membawa kesan negatif serta boleh merosakkan fabrik sosial.
Katanya semua pihak perlu berganding bahu memastikan generasi muda bebas daripada gejala LGBT kerana mereka merupakan bakal pemimpin serta pewaris untuk mengemudi negara ini dengan akhlak yang baik serta terpuji.
Nasharudin berkata wacana seumpama itu merupakan satu gerakan bagi menyedarkan rakyat serta memastikan mereka tidak terjebak serta menyokong golongan ini.
Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Mahamad Naser Disa turut berkongsi pendapat sama dengan Nasharudin agar isu LGBT, yang jelas melanggar prinsis asas agama, tidak dipolitikkan kerana ia boleh menyekat usaha untuk membela agama Islam.
“Islam adalah agama rasmi negara, saya tidak kisah sebarang kecenderungan politik, jika ada parti yang menyokong Alhamdulillah tetapi saya tidak mengaitkan diri saya dengan politik,” katanya.
Mahamad Naser turut menyelar pihak yang cuba mempertahankan golongan LGBT serta memberi sokongan kepada golongan itu memperjuangkan hak bagi mendapatkan tuntutan yang mereka inginkan.

Para peserta yang hadir melebihi 450 orang berdasarkan senarai pendaftaran - ianya bertepatan dengan semua kerusi yang disediakan dipenuhi
Ia seolah-olah mempopularkan golongan ini bila ada pihak yang mempertahankan mereka sedangkan golongan ini ternyata sekali pelaku orientasi seks yang dilarang di dalam undang-undang dan mencabar ketentuan Tuhan, katanya.
Wacana sehari ini dihadiri kira-kira 100 peserta daripada segenap lapisan masyarakat anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia bertujuan menyedarkan peserta tentang perlunya menolak golongan ini yang bagaikan virus berbahaya di dalam masyarakat.- Bernama
Nota:
Anggaran bilangan peserta yang dilapor oleh Bernama kurang tepat memandangkan bilangan kerusi banquet yang disediakan asalnya 300 buah terpaksa ditambah dengan 200 buah lagi kerusi plastik. Ini adalah bertepatan dengan bilangan pendaftaran yang diisi oleh para peserta melebihi 450 orang.
Tuntutan LGBT Dimanakah Percanggahannya Di Bawah Perlembagaan Persekutuan?
Bahan pembentangan oleh Sdr. Haji Abdul Rahim Sinwan (klik di bawah):
TUNTUTAN LGBT DIMANAKAH PERCANGGAHANNYA DI BAWAH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Hubungan Gender Dalam Islam
بسم الله الرحمن الرحيم
نحمده ونصلى على رسوله الكريم
HUBUNGAN GENDER DALAM ISLAM
Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady
ISTAC IIUM, IIM,Yayasan Karyawan
1. Tujuan nota ringkas ini ialah untuk membentangkan dasar bagaimana hubungan gender yang diajarkan dalam Islam sebagaimana yang ada beberapa kenyataan tentangnya dalam Quran dan Sunnah; dari situ sedikit sebanyak pengamatan akan dibuat, secara ringkas, bagaimana ajaran ini berlainan daripada apa yang diperjuangkan oleh setengah pihak dalam negara yang terpengaruh dengan liberalisme dan pluralisme dari budaya luar.
2. Mungkin perlu disebut awal-awal lagi bahawa Tuhan menjadikan agama dan manusia dalam fitrah kejadian yang asal suci murni. Ini jelas ajarannya dalam kenyataan berkenaan dengan fitrah itu dalam ayat yang bermaksud:
(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya (fitrah ciptaan Allah); tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Ar-Ruum 30:30).
3. Maka agama adalah dari fitrah kejadian murni asal dari Tuhan, dan manusia juga adalah dari fitrah asal yang dijadikan Tuhan; dengan itu dalam Islam fitrah pada manusia bertemu dengan fitrah yang ada dalam agama -fitrah yang asal itu; pertemuan keduanya menyempurnakan hidup umat manusia bani Adam yang mendatangkan rahmat kepada semua aspek alam ini kerana manusia adalah khalifah yang diutuskan ke alam ini. Ke dalam rangkaian susunan fitrah ini terdapat pula ajaran tentang alam ini dijadikan dengan berpasangan. Kenyataan tentang hakikat ini ada dalam yang ayat yang bermaksud:
Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).(Dhariyat 51: 49).
Dengan adanya hakikat berpasangan inilah munculnya hakikat gender itu, hasil dari fitrah yang Tuhan jadikan.Dan lelaki itu lelaki dan perempuan itu perempuan, berlainan jenisnya. Ini jelas dari kenyataan Quran sewaktu memaparkan kisah berkenaan Siti Maryam; ayatnya bertmaksud:
Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki) dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Mariam dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan). (Ali ’Imran 3:36).
Dalam Quran gender adalah tentu bukan tidak menentu, ia ‘determinate’ bukan ‘indeterminate’. Dengan itu perkahwinan berlaku hanya antara lelaki dan wanita yang lelakinya itu tentunya lelaki dan wanita yang tentu wanita. Jenis perkahwinan yang lain tidak boleh berlaku.
4. Dalam Quran al-Karim, yang kita imani sebagai kalam Ilahi, terdapat ajaran-ajaran tentang gender dan hubungannya sebagaimana yang terdapat pada ayat-ayat yang maksudnya, antaranya ialah seperti berikut:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat 49: 13).
Ayat ini jelas menyatakan lelaki dan wanita dijadikan Allah dengan mereka kemudiannya berkembang biak menjadi suku-suku dan bangsa demi untuk kenal mengenali antara satu sama lain.
5. Dalam ayat lain terdapat ajaran yang bermaksud:
Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (al-Nisa’ ayat 1)
6. Selepas menyebut manusia berkembang biak daripada pasangan lelaki dan perempuan, dinyatakan ajaran tentang kewajipan manusia menjalankan hidup berdasarkan kepada ketakwaan kepada Allah. Dan taqwa itu disebutkan sekaligus taqwa dalam hubungan dengan Allah dan taqwa dalam hubungan dengan menjaga hubungan rahim; al-Baidhawi rd dalam hubungan dengan ayat ini sampai menyebut dengan ringkas ( اتقوا الله …اتقوا الرحم ) bertaqwalah menjaga kewajipan dengan Allah dan bertaqwalah menjaga kewajipan menjaga hubungan rahim. Kita fahami dari sini dua aspek taqwa itu tidak boleh dipisahkan; dengan menjaga hubungan rahim itulah terjadinya pengembangan hidup berdasarkan kepada taqwa kepada Allah; dengan itu agama yang hak berkembang di muka bumi ini. Inilah matlamat tujuan penciptaan alam yang disebut dalam surah al-Dhariyat bahawa jin dan manusia dijadikan untuk menjayakan idabat di alam ini.
7. Terdapat pula ajaran tentang gender dalam ayat itu bermaksud : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Rum: 21).
8. Dari ayat ini kita memahami hubungan gender itu adalah berupa bahagian daripada ‘tanda-tanda’ dari Tuhan, bukan hanya ‘profane accident’ perkara berkebetulan hidup duniawi manusia, ia hubungan yang harmonis sebagaimana yang terdapat pada maksud ayat itu, yakni dengan ciri-cirinya sakinah (السكينة المودة و الرحمة), tenang, rasa puas, senang hati, mahabbah, kasih sayang, dan rahmat yakni kasihan belas. Katakanlah bila pasangan meningkat umurnya bukan lagi muda seperti awalnya, maka hubungan sayang itu berlaku dalam warna kasihan belas yang mendalam; dan ini adalah pecahan daripada rahmat Ilahi atas makhlukNya yang wujud dalam keluarga umat manusia yang beriman. Ini suasana hidup keluarga yang diajarkan dalam Quran yang menunjukkan hubungan gender yang dikehendaki itu. Masha’ Allah.
9. Hubungan gender ini jelas dalam Quran dalam hubungan dengan perintah melaksanakan tanggungjawab yang paling asasi dalam hidup rohaniah dalam Islam. Ayat itu bermaksud :
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Taha 20: 132).
Ayat ini adalah pecahan daripada maksud menyuruh hidup bertaqwa dalam keluarga sebagaimana yang diajarkan dalam ayat yangh bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Tahrim 66: 6).
Maka ketaqwaan itu dilaksanakan dengan terutamanya menjaga perintah menunaikan sembahyang. Dan diperintah supaya terus menerus bersabar melakukannya hingga amalan itu menjadi malakah kerohanian dalam keluarga orang yang beriman. Amalan inilah yang mempengaruhi hubungan dalam keluarga itu baik dari segi gendernya dan lainnya.
10. Kekuatan peribadi dan keluarga dengan sembahyang dan sabar itu diajarkan oleh Allah dalam ayat yang bermaksud:
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya. (Al-Baqarah 2: 45-46)
11. Dan penjagaan atas hubungan gender itu sedemikian halusnya hingga ia menjadi sebutan penting dalam Quran. Ajaran tentang perkara itu terkandung dalam ayat yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (al-Nur: 58).
Adab hubungan antara mereka yang belum cukup umur dan mereka yang dewasa ditentukan untuk menjaga hubungan gender yang menyelamatkan dalam keluarga supaya dengan itu kerukunan dalam hidup keluarga berterusan menjadi baik.
12. Dalam rangka kehidupan yang diajarkan oleh agama, mengikut fitrah, maka lelaki dengan kelakiannya, dan wanita dengan kewanitaannya berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalani kehidupan yang baik dan peluangnya diberikan kepada mereka. Ajaran ini jelas dalam ayatnya yang bermaksud:
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. (16:97).
13. Dalam Tafsir al-Qurtubi dinyatakan, maksudnya: Tentang hidup yang baik untuk lelaki dan wanita itu dinyatakan dalam tafsir itu: rezeki yang halal, itu pendapat Ibn ‘Abbas, Sai’id bin Jubair dan ‘Ata serta Dhahhak; kedua sifat qanaah, pendapat Hasan Basri, Zaid bin Wahb, dan Wahb bin Munabbih; …ketiga taufik Tuhan kepada ketaatan kepadaNya ia membawa kepada keredhaan Allah; itu pendapat Dhahhak; ia menyatakan juga: sesiapa yang melakukan amalan soleh, ia orang beriman, dalam hidup susahnya dan hidup senangnya, ia memiliki hidup yang baik; sesiapa yang berpaling daripada mengingati Tuhan dan tidak beriman denganNya, dan tidak melakukan amalan soleh, maka hidupnya adalah hidup yang sempit, tidak ada kebaikan padanya. Kata Mujahid, Qatadah, dan ibn Zaid, ia syurga. Itu pendapat al-Hasan. Dikatakan itu kebahagiaan diriwayat daripada ibn Abbas. (al-Qurtubi tentang ayat ini).
14. Nampaknya terbukanya ahayat yang baik itu adalah bagi lelaki dan perempuan; kedua-duanya boleh mencapai darjat yang sebaik-baiknya; hanya yang tidak disebut bagi wanita ialah pangkat menjadi nabi dan rasul; dan dalam sejarah pula tidak ada yang menjadi khalifah; kepimpinan bagi wanita pada bidang-bidang yang tertentu diakui, apa lagi dalam ilmu; ini disebut antaranya dalam bidang hadith ada ulama yang riwayat hidupnya dikumpulkan dalam banyak jilid buku biografi ulama hadith terdiri dari para wanita, oleh Prof. Dr Mohammed Akram Nadwi dari Cambridge, yang pernah memberi ceramah di ISTAC IIUM, yang penulis ini menjadi pengerusi majlisnya, bi hamdi’Llah. Para wanita unggul disebut dalam Quran ialah Siti Maryam, dan wanita dalam zaman Firaun. Dalam hadith nabi salla’Llahu alaihi wa sallam disebut beberapa wanita unggul seperti Khadijah, ‘Aisyah, Zainab, Hafsah, dan lainnya, yang kisah-kisah mereka boleh dilihat dalam karangan Syeikh Yusuf al-Kandihlawi, Hayah al-Sahabah, dalam tiga jilid.
15. Bahagian-bahagian lain tentang wanita dalam keluarga, sebagai anak, isteri, dan seterusnya tidak hendak diterangkan di sini. Nota ini hanya ingin memberi penekanan kepada beberapa prinsip dalam persoalan ini, iaitu: hidup ini berdasarkan Islam, agama fitrah, wanita dan lelaki yang gender tentu ialah dari fitrah; ia bukan tidak menentu; ia ditentukan oleh fitrah dari Tuhan. Erti tentang lelaki dan wanita juga tentu bukan tidak menentu; maka hukum-hukum timbul dari keadaan demikian. Ia bukan seperti yang ada dalam pemikiran pascamodernisme yang menyebut gender tidak tentu, indeterminate, terserah kepada konvensi masyarakat. Kedudukan hubungan antara gender ialah keharmonian, kerjasama, lengkap melengkapi, bukan berlumba-lumba satu mengatasi yang lainnya. Ini jelas dari ajaran Quran dan Sunnah nabi salla’Llahu alaihi wa sallam yang boleh diperincikan keadaan dan halnya. Dalam rangka ajaran sedemikian tidak timbul keperluan mengadakan keputusan baru misalnya untuk mengesahkan “Seksualiti Merdeka.”
16. Apa itu seksualiti merdeka? Mengikut laman webnya ia: “Seksualiti Merdeka adalah suatu acara tahunan mengenai hak seksualiti yang diadakan di Kuala Lumpur, dengan kerjasama segabungan NGO Malaysia (di antaranya Malaysian Bar Council, SUARAM, Empower, PT Foundation, United Nations, Amnesty International) dan individu-individu. Kami mengadakan bengkel-bengkel, perbincangan, tayangan filem, penulisan surat dan hal-hal yang lain berkaitan seksualiti. Kami menggunakan istilah ‘Seksualiti Merdeka’ untuk mengingatkan bahawa walaupun kita telah berpuluh tahun Merdeka, namun tidak semua rakyat Malaysia yang dapat melahirkan diri mereka yang sebenar”. (http://www.seksualitimerdeka.org/)
17. Katanya lagi: “Kami percaya bahawa setiap orang di Malaysia berhak untuk bebas dari diskriminasi, keganasan ataupun gangguan hanya kerana orientasi seksual dan identiti jantina mereka. Kami percaya bahawa kita semua berhak untuk bertanggungjawab terhadap tubuh kita sendiri. Kami percaya setiap orang berhak untuk menyayangi dan disayangi, sama ada dia gay, lesbian, biseksual, transgender, heteroseksual, aseksual, pansexual dan sebagainya”.
18. Nilai-nilai dan prinsip hidup kita di Malaysia adalah mengikut ajaran agama dan budaya kita, bukan berdasarkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai budaya dari luar yang sedang cuba diketengahkan sebagai cara arusperdana tamadun untuk kita. Pihak ‘lain’ perlu menghormati prinsip tamadun dan budaya kita, ‘In Rome do as the Romans do’ ‘lain padang lain belalang’. Kalau pihak lain mahukan hidup cara ‘gay’, ‘lesbian’ dan yang sepertinya mereka boleh memilih cara itu di mana cara itu dijadikan mainstream untuk mereka. Kita tidak boleh mengizinkan cara itu merosakkan generasi dan agama kita.
19. Seterusnya kita hendak mengingati prinsip syariat kita bahawa tujuan agama datang ke dunia, apa lagi Islam, yang dibawa oleh para anbia yang akhirnya membawa kepada rasul kita Muhammad salla’Llahu alaihi wa sallam ialah untuk menjaga agama dan menjayakannya, menjaga akal manusia dan menjayakannya dan fungsinya, menjaga nyawa manusia dan meneruskannya, menjaga baka dan keturunan manusia dan meneruskannya, menjadikannya sehat, menjaga harta dan membaikkan halnya, menjaga maruah umat manusia. Pihak yang mahu menggangu prinsip-prinsip ini tidak dibenarkan menggangu ajaran dan prinsip-prinsip ini atas nama ‘hak-hak’ siapapun. Kita tidak memilih untuk menerima pascamodernisme, liberalisme dan pluralisme yang dilahirkan olehnya; kehidupan kita dipandu oleh agama dan ulama muktabar anbia bukan oleh para pemikir pascamodernis atau mereka yang mengizinkan diri menjadi khadam bagi pemikiran jenis itu dari tamadun luar. La haula wa la quwwata illa billahil-‘azim.
Wallahu a’lam.
Kertas kerja ini dibentang di Wacana Kemungkaran LGBT yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 22hb April 2012.