Agenda tersirat pihak liberal agama

Dipetik dari Mingguan Malaysia:

Mukaddimah

KEBELAKANGAN ini suara mereka yang mahukan pemahaman mengenai Islam diubah semula semakin lantang kedengaran.

Gerakan ini yang dilihat sebagai usaha golongan Islam liberal yang mahukan lebih banyak kebebasan dalam bersuara dan berfikir selain mentafsir sendiri al-Quran mengikut kehendak sendiri.

Lebih menakutkan, mereka juga membenarkan pluralisme agama atas alasan bahawa semua agama adalah sama.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), ISMAIL MINA AHMAD begitu tegas dalam hal ini yang mana, ujarnya jika tidak dikawal ia akhirnya mampu merosakkan ummah keseluruhannya.

Beliau yang juga bekas sahabat karib Anwar semasa menuntut di Universiti Malaya, ABIM dan kemudian di Yayasan Anda berkata, golongan ini bercakap ikut suka dalam memberi interpretasi tentang Islam

“Mereka bukan sahaja mahu menyebar fahaman Islam liberal tetapi mempunyai agenda politik. Ini adalah sesuatu yang bahaya dan ini jugalah prinsip berfikir Anwar bersama orang-orangnya,” kata Ismail ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid baru-baru ini.

MINGGUAN: Bagaimana Ustaz melihat ancaman liberalisme dan pluralisme agama pada masa sekarang?

ISMAIL: Makna liberalisme itu sendiri kita boleh faham yang mana ia bererti bebas berfikir dan berbuat apa sahaja asal tidak mengganggu kebebasan orang lain. Oleh itu ada seseorang yang berpegang kepada ini akan bebas bercakap mengenai apa sahaja mengenai agama mengikut cita rasa mereka. Namun apakah benar ia tidak mengganggu orang lain kerana hakikatnya ia mengganggu orang Islam yang masih berpegang teguh kepada ajaran sebenar. Prinsip bagi mereka yang berpegang kepada pluralisme agama ada dua iaitu pertama berpegang kepada sapere aude. Ia bermaksud berani menggunakan akal dan kefahaman sendiri dalam hal ehwal agama tanpa bantuan orang lain. Ini yang dikatakan oleh seorang ahli falsafah Jerman, Emmanuel Kant dan ia diikuti oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau pernah mengatakan bahawa, “lebih dua dekad lalu saya cuba hayati semangat sapere aude“. Berdasarkan prinsip sapere aude inilah beliau bercakap ikut suka dalam memberi interpretasi tentang Islam.

Dalam sebuah buku, Apa itu Pencerahan yang ditulis oleh Kant dan diterjemah serta diterbit Institut Kajian Dasar (IKD), yang mana Khalid Jaafar yang juga arkitek liberalisme dan pluralisme agama negara ini, dalam kata pengantarnya pernah menyatakan, “ia membebaskan tenaga fikiran manusia melalui penggunaan akal sebagai alat menyoal siasat sistem politik dan amalan beragama. Ini adalah sesuatu yang bahaya dan ini jugalah prinsip berfikir Anwar bersama orang-orangnya.

Prinsip kedua seperti yang dinyatakan oleh Nurcholish Madjid, yang juga bapa liberal dan pluralisme di Indonesia bahkan Nusantara, mereka berpegang bahawa al-Quran itu sendiri adalah liberal. Nurcholish inilah yang dijadikan mentor oleh IKD kerana mereka ini tidak mempunyai idea dan kekuatan intelek. Mereka bebas memberi interpretasi mengenai kandungan al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim bersama Profesor Osman Bakar. Padahal bukan semua boleh memberi interpretasi dan mentafsirkan tentang kandungan al-Quran.

Apa sebenarnya agenda Islam liberal di negara ini?

ISMAIL: Jika mengikut ideologi Islam liberal Indonesia, Lutfi Shaukani antaranya yang berkata agenda liberal Islam adalah agenda politik. Mereka bukan sahaja setakat mahu menyebar fahaman Islam liberal tetapi mempunyai agenda politik. Menurut fahaman mereka untuk membentuk sistem pemerintahan ia adalah fahaman dan bikinan manusia. Apa yang dilakukan itu adalah pilihan manusia dan bukan telah ditetapkan oleh Tuhan dan syariat. Padahal dalam Islam sudah lengkap segalanya termasuk sistem politik. Namun bagi mereka sistem politik mereka adalah mengikut akal dan hawa nafsu semata-mata selain perlu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana autoriti. Agenda kedua mereka adalah untuk mewujudkan teologi pluralisme.

Seterusnya mereka ini konon-kononnya mahu membebaskan wanita dengan memberi hak sepenuhnya sehingga boleh menceraikan suami dan sebagainya. Semua sistem ini mahu dirombak mereka. Seterusnya adalah untuk memberi promosi dan memperjuangkan supaya wujudnya kebebasan berpendapat sepenuhnya atau sebebas-bebasnya. Inilah antara agenda utama mereka yang ternyata sudah jauh terpesong. Mereka kalau boleh mengatakan al-Quran itu adalah ciptaan manusia seperti yang dipegang oleh penulis seperti Salman Rushdie. Orang seperti dia ini telah ditetapkan dalam Islam supaya dihukum bunuh. Tapi ada pula seorang tokoh politik di negara ini yang begitu menyanjung penulis ini bahawa bahasa dan penulisannya begitu hebat sekali dan saya mendengar kata-katanya ini di YouTube. Orang seperti ini bukan sahaja kita tidak boleh berkawan malah nak tengok pun tak boleh.

Ada berapa kelompok Islam liberal ini kalau ustaz boleh dedahkan?

ISMAIL: Terdapat tiga jenis liberal kalau saya boleh huraikan walaupun mungkin terdapat lebih daripada itu. Pertamanya liberal akidah dan golongan ini adalah paling parah. Mereka ini sudah terpesong dan akhirnya akan memegang kepada pluralisme agama. Maknanya agama apa pun boleh duduk dalam satu entiti. Padahal Islam hanya satu dan tidak ada yang lain. Oleh itu bagi mereka yang memegang kepada pluralisme agama, mereka percaya bahawa semua agama adalah sama. Ini adalah sesuatu yang bahaya kerana mereka tidak berpegang kepada tauhid. Padahal konsepsi tauhid Islam adalah terlalu jauh berbeza dengan erti tauhid bukan Islam. Sebab itu Anwar dan orang-orangnya di IKD menyatakan bahawa nama Allah itu boleh dikongsi bersama dengan bukan Islam sedang nama Allah itu adalah sesuatu yang sangat eksklusif. Ini jelas bahawa Allah adalah tidak beranak dan diperanakkan yang berbeza dengan fahaman agama Kristian dan Yahudi. Satu fahaman liberal akidah ini adalah salvation atau keselamatan.

Dalam ucapan Anwar di London School of Economics (LSE) beliau mengatakan ada keselamatan di luar Islam dan ini bermakna semua penganut agama boleh masuk Islam. Malah seorang pensyarah Seyyed Hossein Nasr yang turut dijadikan idola oleh seorang pensyarah di negara ini pernah menyatakan bahawa adalah tidak adil Tuhan jika orang bukan Islam juga turut masuk neraka. Pernah dalam satu persidangan di Phuket beberapa tahun lepas, salah seorang anak murid Seyyed Hossein Nasr berkata orang Hindu yang rajin pergi ke kuilnya akan masuk ke Syurga seperti orang Islam. Golongan ini berpegang bahawa semua orang tidak mengira agama akan masuk syurga dan ini adalah sangat bercanggah dengan Islam seperti dalam Hadis Nabi SAW: “Hanya satu kumpulan yang berjaya masuk syurga iaitu kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah”. Kalau tidak apa guna Nabi SAW mengajak orang Yahudi dan Nasrani masuk Islam dan menjalankan dakwah sehingga ada sahabat Nabi SAW terbunuh oleh orang Musyrik.

Bagaimana dengan kelompok kedua dan seterusnya?

ISMAIL: Kelompok seterusnya adalah liberal syariat seperti membenarkan kahwin campur. Ini yang cuba diketengahkan oleh puak-puak ini padahal ia adalah jelas dilarang oleh Islam dan ini akhirnya merosakkan pendirian umat Islam itu sendiri. Malah buku-buku seperti ini diterbitkan oleh IKD yang jelas mempunyai kaitan dengan Anwar. Menariknya buku-buku mengenai fahaman ini turut diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Kemudian bagi yang percaya kepada fahaman liberal syariat ini mereka boleh dan dibenarkan membuat maksiat sewenang-wenangnya. Sebab itu terdapat pihak yang begitu beria-ia mempertahankan golongan LGBT dan tidak membenarkan sesiapa menahan kehendak mereka. Padahal perkara ini sangat jelas dalam Islam dan pihak pemerintah perlu tegas dalam perkara ini. Sebab itu mereka berpegang kepada liberal syariat dan mereka menentang sebarang penahanan polisi sosial.

Seterusnya adalah liberal dari segi akhlak. Mereka ini melihat soal akhlak adalah soal individu. Kerajaan tidak boleh campur tangan dalam soal akhlak individu dan oleh kerana itu seorang ahli politik negara ini mengatakan jika seseorang mahu melakukan maksiat di rumah mereka itu adalah terpulang kepada individu. Jika kita tidak menghalang perlakuan ini berlaku maka masyarakat kita adalah terdiri daripada masyarakat binatanglah. Padahal binatang pun telah ditetapkan peraturan oleh tuannya. Sebab itu kita lihat golongan ini tidak ada segan silu membuat maksiat terang-terangan. Sebab itu jika kita membiarkan golongan Islam liberal ini berleluasa struktur Islam itu runtuh sama ada dari segi akidah, syariat dan akhlak.

Mungkin ada hujah atau pandangan kukuh bagaimana untuk menolak sama sekali fahaman sebegini?

ISMAIL: Bagi golongan ini mereka berpandangan bahawa Islam itu adalah inklusif dan memasukkan semua agama. Kita perlu tolak fahaman bahawa Islam itu inklusif walaupun Anwar kata wujud pluralisme agama. Pihak ini sering menggunakan hujah tasauf untuk membenarkan liberalisme dan pluralisme agama maka saya mahu mengemukakan hujah mengenai kedangkalan mereka melalui pemahaman tasauf. Dalam perbincangan usuluddin dan akidah, para ahli usuluddin berpandangan bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar. Dalam kitab Usuluddinyang dikarang oleh Ibnu Khohir al Baghdadi, mengatakan terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: Jika sekiranya Nabi Musa AS itu hidup, tidak beliau akan meneruskan syariatnya melainkan beliau mengikut syariat saya (Nabi Muhammad SAW). Ini jelas menunjukkan bagaimana eksklusifnya Islam.

Hujah kedua, bagi mereka yang berpegang kepada Islam liberal ini, mereka selalu mengeluarkan hujah tasauf tinggi. Ibnu Arabi yang juga seorang guru besar dalam bidang tasauf ada menyatakan bahawa, sekiranya rasul-rasul hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW, pastinya mereka akan mengikut baginda. Hujah ketiga adalah seperti yang dinyatakan dalam kitab Dur Al Nafis yang dikarang oleh Muhammad Nafis Al Banjari, pertama; Dan berpeganglah engkau kepada syariat Muhammadiah, kedua; Jangan melampaui syariat Muhammadiah. Jadi adalah wajib untuk melaksanakan syariat Nabi Muhammad jika tidak maka kita akan jadi kafir. Hujah keempat seperti yang dinyatakan oleh Abdul Karim Al Gili dalam bukunya Al Insannul Kamil, beliau menyatakan bahawa agama baginda Rasulullah SAW adalah sebaik-baik agama daripada semua agama. Sesiapa yang menganut agama agama selain agama yang dibawa baginda SAW adalah sesat dan akan diazab dengan dahsyat di neraka. Ini jelas menunjukkan tidak ada pluralisme agama. Yang ada hanyalah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Hujah terakhir dalam kitab Mausuah al Ijma karangan Saadie Abu Jayb jilid pertama muka surat 96, beliau ada menjelaskan tidak ada agama melainkan Islam. Telah diijmakkan bahawa sesungguhnya Islam adalah Ad-Din yang mana difardukan oleh Allah ke atas manusia dan jin.

Maka adalah jelas bahawa pluralisme agama adalah fahaman yang sama sekali perlu ditolak?

ISMAIL: Islam menolak pluralisme agama, akan tetapi Islam tidak menolak pluraliti agama dan menerima hakikat kewujudan berbagai agama, bangsa, puak, budaya, bahasa dan sebagainya di bumi Allah ini. Islam mengiktiraf hak-hak mereka, yakni hak orang bukan Islam untuk hidup dan beramal dengan ajaran dan kepercayaan keagamaan mereka. Hal ini jelas dalam sejarah negara Islam Madinah al-Munawwarah dengan Sahifah Madinah yang terkenal itu, yang mana orang yang berlainan agama dari agama Islam, diberi perlindungan dan kebebasan yang optimum dalam kegiatan keagamaan mereka. Pengusung pluralisme agama menuduh penentang tidak memahami secara benar gagasan atau konsep pluralisme agama mereka. Pada hakikatnya, merekalah yang naif, tidak memahami dan tidak dapat membezakan antara pluraliti dengan pluralisme dan salah dalam memahami kewujudan pelbagai agama dan bangsa di Madinah al-Munawwarah itu.

Penentang pluralisme agama dari awal-awal, sudah menerima hakikat kewujudan pelbagai agama di dunia ini, hatta sejak zaman Nabi SAW lagi. Golongan Pluralis ini telah jatuh ke dalam gaung kesesatan yang dalam apabila mendakwa dan berpendirian bahawa pelbagai agama yang wujud di zaman Nabi SAW itulah pluralisme agama. Kalau semua agama itu sama, tidak perlu lagi Nabi SAW dan sahabat-sahabat berdakwah dan berjihad, mengajak orang bukan Islam menganut Islam bahkan memerangi orang murtad. Demikian juga dalam masyarakat yang berbagai bangsa, agama dan budaya yang bersifat kosmopolitan di zaman Damsyik dan Baghdad, tidak terdapat catatan yang ulama menyamakan agama Islam dengan agama lain. Kosmopolitan bukan baru bagi masyarakat Islam. Maka diversiti dan pluraliti agama serta kosmopolitan bangsa dan budaya dalam negara Islam itu tidak menukar akidah dan syariat mereka.

Advertisements

1 comment so far

  1. AjShaari on

    Salam. Satu penjelasan yg baik. Mungkin semua yg telah dikenalpasti bercanggah dengan Islam wajar di beri peringatan dan jka perlu ditahan untuk pemulihan. Jika mereka tak nak . Minta mereka tinggalkan negara ini.
    Aj. Shaari


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: