Archive for November 15th, 2011|Daily archive page

Laporan Wacana Siyasah Syar’iyyah Dalam Akhbar Utusan

sumber: Utusan Malaysia

Kukuhkan kuasa umat Islam

Sebahagian peserta seminar Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah 3 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

KEKELIRUAN masyarakat terhadap sistem dan tafsiran politik negara mengakibatkan berlakunya perselisihan pendapat. Jika tidak bijak ditangani, ia boleh membawa kepada kepincangan yang kritikal.

Dalam konteks politik menurut syariah Islam (siasah syariah), politik tidak hanya melibatkan aktiviti atau usaha mendapatkan kuasa, tetapi lebih penting ia untuk menguruskan kuasa tersebut dalam menegakkan suruhan berdakwah dengan menghayati ajaran Islam.

Siasah syariah merupakan istilah yang berkaitan ilmu mengenai urusan kenegaraan. Sahibul al-Bahr al-Ra’iq menterjemahkan siasah syariah sebagai sebarang langkah oleh pemerintah untuk kepentingan rakyat yang dirasakan baik walaupun tidak berdasarkan nas atau dalil khusus tertentu.

Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik kepada umat manusia untuk menyampaikan risalah-Nya melalui al-Quran. Ia bagi mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam segala aspek termasuk hal kemasyarakatan dan kenegaraan mengikut syariat Allah.

Siasah syariah adalah paksi kepada kejayaan pemerintahan Rasulullah SAW. Baginda pernah mengadakan rundingan bersama pelbagai puak yang berpengaruh daripada kaum Quraisy serta mengikat perjanjian dengan kabilah Arab untuk menyebarkan agama Islam di kelompok atau negara masing-masing.

Bagaimanapun, tidak semua usaha Nabi berjaya kerana baginda tidak bersetuju dengan perundingan yang dimeterai, seperti rundingan baginda bersama Bani Syaiban. Ini kerana mereka memberi syarat untuk mengambil pemerintahan Rasulullah jika dakwah Islam berkesan.

Ini menunjukkan dasar keterbukaan Rasulullah SAW yang melaksanakan kaedah siasah syariah untuk mempertahankan negara walaupun tidak berjaya menyebarkan ajaran Islam.

Oleh itu, Malaysia sebagai negara yang memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan perlu mencontohi dan mengutamakan kaedah siasah syariah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Inilah yang ditekankan oleh Dipertua Yayasan Sofa, Dr. Yusri Mohamad dalam kertas kerjanyaSiasah Syariah Sebagai Instrumen Memelihara Keutuhan dan Kestabilan Negara pada seminar Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah 3 di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor baru-baru ini.

Seminar bertemakan Siasah Syariah Dalam Konteks Religio Politik Semasa Malaysia’ itu dihadiri kira-kira 100 peserta terdiri daripada pelajar UIAM, orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Antara pembentang kertas kerja ialah Presiden Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad; Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama UIAM, Prof. Madya Datuk Dr. Yusoff Mohammad; Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman dan Felo Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin; Exco agama kerajaan Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Razali Shahabudin dan Presiden Wacana, Ismail Mina Ahmad.

Yusri berkata, siasah syariah sangat penting diamalkan kerana ia mampu menawarkan fahaman politik Islam yang dapat mengurangkan pertentangan dan kebencian antara parti politik Islam dan ahlinya.

Jelasnya, siasah syariah boleh menjadi asas tambahan kepada polisi dan dasar mempertahankan aliran Ahli Sunnah wal-Jamaah (ASWJ) sebagai satu-satunya aliran yang didokong oleh umat Islam di Malaysia.

Malah, ia juga mendokong undang-undang dan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba membawa aliran selain ASWJ.

“Siasah syariah juga sangat penting dalam mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana perbezaan politik bukan sehingga perselisihan akidah. Oleh itu, politik merupakan medan perpaduan umat bukan perpecahan,” katanya.

Menurut Yusri, cabaran untuk merealisasikan siasah syariah adalah menangani usaha sesetengah pihak yang sering mengelirukan kaedah sebenar siasah syariah kerana sentimen yang terlalu kuat dalam menyokong atau menentang seseorang tokoh.

Sementara itu, Ismail Mina berkata, seminar itu bertujuan membincang dan mencari penyelesaian berhubung isu politik di negara ini.

Katanya, kecenderungan membahaskan isu tersebut didorong oleh dua faktor utama iaitu kerana terdesak dan faktor fundamental.

“Faktor yang pertama adalah terdesak kerana fenomena politik yang dicetuskan oleh kumpulan yang ingin mendominasi kuasa politik semata-mata, manakala faktor fundamental kerana kita mahu memelihara keutuhan agama Islam serta maruah umat Islam melalui instrumen kuasa politik umat,” katanya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Nakhaie berkata, jika siasah syariah dapat difahami dan diamalkan dengan betul maka ia sangat berpotensi menjadi landasan mengukuhkan keutuhan dan kestabilan negara.

Bagaimanapun, jika ia tidak diamalkan ia akan mengakibatkan kepincangan politik yang akan memberi kesan mendalam kepada kehidupan dalam pelbagai bidang.

“Contohnya, akan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam dan pergaduhan sering terjadi di antara sesama parti politik. Pelbagai pertubuhan diinstitusikan sebagai gerakan yang mewujudkan golongan pemerintah dan pembangkang bahkan pemberontak.

“Kesannya, nyawa rakyat menjadi taruhan dan kezaliman semakin berleluasa seperti yang berlaku di negara timur tengah yang mengakibatkan ribuan manusia terkorban kerana pergolakan dalaman yang berlaku,” katanya.

Justeru, pemimpin perlu mengamalkan kaedah siasah syariah sebagaimana yang dilaksanakan para khalifah suatu masa dahulu sehingga berjaya menggerakkan kepimpinan bersama dakwah Islamiah dengan kekuatan tentera dengan lebih meluas ke seluruh dunia.

Nakhaie membentangkan kertas kerja bertajuk Siasah Syariah dan Kepentingannya Dalam Menguruskan Kepentingan Muslimin‘.

Bagi merealisasikan agenda tersebut, Dr. Yusoff pula berkata, orang Melayu perlu bersatu walaupun terpaksa mengorbankan parti bagi memperjuangkan martabat Islam dan Melayu.

“Pemimpin perlu bersedia bersama rakyat, tidak menunjuk-nunjuk kemewahan, mentadbir negara dengan berpaksikan agama Islam dan sifat mahmudah serta mengurangkan perebutan kuasa tetapi bersama-sama mengukuhkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk Siasah Syariah Sebagai Mekanisme Pengukuhan Kuasa Politik Ummah Islam Malaysia.

*************

Lain-lain laporan:

Kukuhkan Kuasa Umat Islam

sumber: Utusan Malaysia

SEBAHAGIAN peserta Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah III yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Sabtu lalu.

 

APA akan terjadi kepada kuasa politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Apakah orang Islam akan terus menjadi tunjang utama kepimpinan negara atau kita hanya sekadar menjadi pak turut kepada pihak lain?

Persoalan itu wujud kerana kekuatan politik yang ada di dalam genggaman orang Melayu kini semakin longgar, perpecahan dan perbezaan ideologi politik serta ditambah pula dengan keghairahan untuk merebut kuasa telah menyebabkan orang Melayu berpecah belah.

Kita tidak boleh duduk semeja hatta untuk membincangkan kepentingan umat Islam itu sendiri.

Justeru penganjuran Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah III yang bertemakan Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia pada Sabtu lalu di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tepat pada masanya.

Wacana anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihadiri oleh ramai pemimpin yang mewakili beberapa organisasi Islam.

Walaupun mungkin akan ada pihak yang memandang serong wacana berkenaan seperti mana mereka melihat Perhimpun Sejuta Umat (Himpun) namun Pengarah Wacana, Ismail Mina Ahmad mempunyai alasan tersendiri.

Menurut beliau, kecenderungan mewacanakan Siyasah Syar’iyyah secara aktif diadakan atas dua faktor: Pertama, faktor terdesak yang tercetus oleh sekumpulan orang yang mahu menguasai kekuasaan politik semata-mata kerana politik kekuasaan.

Sementara kumpulan kedua pula, berteraskan faktor fundamental yang mahu memelihara maruah umat Islam melalui instrumen kekuatan dan kuasa politik umat. Kedua-dua kelompok melihat betapa pentingnya kuasa politik umat.

Berdasarkan kepada hujah berkenaan jelaslah dalam pilihan raya umum akan datang, umat Islam akan berhadapan dengan dua kelompok yang mahu merebut kekuasaan politik.

Satu kelompok dilihat bersedia mempertaruhkan segala-galanya demi mendapat kuasa manakala satu lagi kelompok harus bertarung mempertahankan kuasa yang dimiliki bagi memastikan umat Islam dan orang Melayu tidak mudah diperkotak-katikkan atau menjadi pak turut kepada mana-mana pihak.

Kita boleh saksikan dari semasa ke semasa, kesabaran umat Islam sentiasa sahaja diduga dan dicabar malah lebih malang sudah ada keberanian luar biasa di kalangan sesetengah pemimpin Islam sendiri menyokong apa yang diperjuangkan oleh bukan Islam.

Sebab itulah Ismail Mina secara tegas menyebut soal memelihara agama, termasuklah mengurus dan menjaga segala kepentingan dan kebaikan syariah dengan optimum yang menyangkut kedudukan ajaran dan umat Islam.

Justeru Ismail Mina merumuskan bahawa memperkukuhkan kuasa politik umat Islam merupakan salah satu instrumen terpenting pada masa ini.

Namun begitu usaha untuk memperkukuhkan kuasa politik tersebut tidak akan mendatangkan apa-apa hasil jika kita sebagai umat Islam terus berpecah-belah dan lebih mementingkan usaha untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

Kesudahannya umat Islam akan menjadi lemah dan ini akan memberikan kesempatan kepada golongan tertentu untuk menunjukkan taring yang selama ini mereka simpan sekian lama.

Sebab itulah dalam kertas kerja bertajuk ‘Siyasah Syar’iyyah dan kepentingannya dalam mengurus kepentingan Muslimin di Malaysia, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad mengulas kepentingan umat Islam memperkukuhkan perpaduan sesama mereka.

Menurut beliau, perpaduan di kalangan umat Islam dan persaudaraan di kalangan mereka merupakan halangan terbesar kepada kemusnahan dan kehancuran mereka.

‘‘Ia menjadi benteng kepada kekalahan mereka, oleh itu jika mereka ingin mengelak bencana besar dan azab pedih menimpa mereka, maka kekalkan persaudaraan dan perpaduan di kalangan mereka. Politik perpecahan adalah politik yang membawa kehancuran dan kekalahan umat Islam,’’ kata beliau.

Tetapi persoalannya sejauh manakah umat Islam yang terlibat dalam politik memahami bahaya yang sedang menanti mereka? Seruan untuk mereka bersatu padu dan tidak berpecah belah serta bahaya yang menanti sudah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Namun malangnya majoriti antara kita masih lagi mengamalkan pekakkan telinga, butakan mata dan menutup hati untuk menerima kebenaran berkenaan.

Ada antara kita masih berhujah dengan hujah politik masing-masing, apabila ada usaha hendak dilakukan bagi menyatukan umat Islam tanpa mengira fahaman politik ia seolah-olah ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan.

Malahan ada pula yang berfikiran dangkal apabila menyatakan bahawa seruan perpaduan Islam itu dilontarkan kerana kononnya satu lagi puak Islam itu sudah lemah pengaruh politiknya.

Malang sekali apabila percaturan dan perhitungan politik mengatasi segala-galanya, biar pun umat Islam secara keseluruhan amat memahami bahaya yang menanti mereka.

Dalam soal ini Mohd. Nakhaie berhujah, tindakan politik yang membelakangkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah atau yang memanipulasikan ajaran al-Quran dan al-sunnah untuk kepentingan politik diri, puak atau kaum, menjadi punca utama berlaku krisis di kalangan umat Islam .

‘‘Naluri ingin berkuasa yang tidak diurus secara bijaksana menjadi pendorong ke arah tindakan politik yang membelakang petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang menghasilkan krisis politik berpanjangan di kalangan umat Islam sehingga melemahkannya dan berakhir dengan kekalahan di tangan musuh-musuh Islam,’’ tegas Mohd. Nakhaie.

Soalnya, apakah mereka yang terlibat memahami situasi ini? Apakah kerana keghairahan untuk menawan Putrajaya telah memungkinkan segala-galanya mahu dipertaruhkan? Apakah kerana mahu meraih undi pihak lain, maka perpaduan dan kerjasama antara Islam mahu diketepikan begitu sahaja?

Oleh itu mahu tidak mahu kepentingan siyasah syar’iyyah perlu difahami oleh semua parti politik yang dianggotai dan kuasai oleh orang Islam.

Ini kerana seperti mana kata, Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr.Yusri Mohamad, siyasah syar’iyyah menawarkan fahaman politik Islam yang sepatutnya mengurangkan pertentangan dan kebencian antara parti-parti politik beragama Islam dan ahli-ahlinya.

‘‘Ia juga sepatutnya mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana perbezaan secara asasnya bukanlah berada di tahap perselisihan akidah.

‘‘Maka fahamam siyasah syar’iyyah akan membolehkan parti-parti yang berbeza tetap bekerjasama di atas isu-isu yang disepakati bersama demi maslahah Islam, kalaupun tidak sampai ke tahap bergabung,’’ katanya.

Kini terserahkan kepada kepimpinan parti-parti Islam untuk menilai dan menentukan apa yang diusahakan melalui wacana siyasah syar’iyyah tersebut.

Apa yang pasti, penganjur dan mereka yang menyertai wacana berkenaan berniat suci dan ikhlas demi masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.