Siyasah Syariyyah Panduan Umat – Yusri

dipetik dari Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 12 Nov. – Prinsip Siyasah Syariyyah (politik syariah) dapat memainkan peranan penting dalam memandu umat Islam menyatakan pendirian terhadap kes-kes besar yang melibatkan tokoh-tokoh pemimpin Melayu.

Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa), Dr. Yusri Mohamad berkata, ia penting apabila kes itu mencetuskan krisis kepimpinan dan seterusnya menyebabkan perpecahan serius di kalangan umat Islam.

Prinsip itu lebih merupakan hukum berasaskan maslahah dan istihsan dalam konteks pemerintahan bagi memudahkan pemerintah sesebuah negara Islam mengemukakan dasar dan langkah-langkah yang perlu untuk kepentingan umum dalam perkara-perkara yang tidak jelas hukumnya.

“Sebahagian kes yang timbul ini melibatkan kesalahan-kesalahan moral atau jenayah yang sudah ada formula untuk menanganinya mengikut syariat Islam.

“Bagaimanapun, kadang-kadang formula ini mungkin telah dikelirukan akibat sentimen yang terlalu kuat dalam menyokong atau membenci tokoh yang terlibat,” kata Yusri.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Siyasah Syariyyah Sebagai Instrumen Memelihara Keutuhan dan Kestabilan Negara dalam Wacana Siyasah Syariyyah Dalam Konteks Religio Politik Semasa Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Wacana itu dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Turut membentangkan kertas kerja ialah Presiden Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad dan pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama UIAM, Prof. Madya Datuk Yusoff Mohamad.

Yusri seterusnya mengajak umat Islam di negara ini supaya mengkaji semula dengan lebih teliti dan objektif hukum-hakam yang ditentukan dalam Islam.

“Kes-kes yang timbul seperti qazaf, penggunaan bahan-bahan bukti tertentu seperti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan video serta isu-isu sepertinya yang sedia dihuraikan syariat dan dibantu siasah ini.

“Masalah yang berlaku sekarang ialah kerana terlalu taksub dengan seorang pemimpin, syariat ini telah ditolak ke tepi,” katanya.

Katanya, dalam hal politik, Siyasah Syariyyah boleh mengurangkan kebencian sesama parti politik Islam dan ahli-ahlinya.

“Ia juga sepatutnya mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana perbezaan politik bukan berada pada tahap perselisihan akidah.

“Kefahaman terhadap perkara ini akan membolehkan parti-parti politik yang berbeza menjalinkan kerjasama dalam isu tertentu demi keutuhan Islam walaupun tidak mahu bergabung,” katanya.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: