Beri Definisi Perayaan Kaum
dipetik dari Utusan Malaysia 15 Disember 2010:
Beri definisi perayaan kaum
KUALA LUMPUR 14 Dis. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran memberi definisi secara jelas mengenai perayaan pelbagai kaum di negara ini supaya umat Islam tidak terjebak dengan penularan fahaman pluralisme.
Langkah ini penting supaya umat Islam lebih jelas sebelum menyertai mana-mana perayaan kaum lain kerana dibimbangi akan melanggar batasan agama disebabkan untuk mengamalkan kehidupan bertoleransi.
”Misalnya Jakim perlu jelaskan tentang meraikan Pesta Ponggal dengan Deepavali dan antara Pesta Tanglung dengan Pesta Kuih Bulan dari sudut agama dan juga budaya,” kata Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Farhana Abd. Rahman (gambar).
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ”Pluralisme Agama: Fahaman Pluralisme Agama dan Percanggahannya Dengan Akidah dan Syariah Islamiah’ pada Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah Kedua Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah’ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Nur Farhana berkata, penjelasan Jakim ini penting kerana penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum telah dijadikan sebagai merit yang perlu dipenuhi oleh mahasiswa universiti.
”Kita tidak mahu fahaman pluralisme ini mula menular menerusi bidang pendidikan seperti apa yang telah berlaku terhadap negara jiran kita, Indonesia,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihak berkenaan diminta berhati-hati dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerana pengaruh seperti fahaman ini begitu mudah untuk berkembang di kalangan pelajar.
Nur Farhana berkata, pluralisme memang mempunyai banyak percanggahan dengan agama Islam terutamanya dari sudut akidah, syariah dan akhlak.
”Malah pendukung pluralisme juga menegaskan semua agama bermatlamat tujuan yang satu iaitu Allah walaupun berbeza dari segi pendekatan dan ibadat mengikut agama masing-masing,” katanya.
Katanya, pluralisme juga membenarkan penganutnya berkahwin lintas agama di mana orang Islam bebas berkahwin dengan agama lain.
[…] Beri Definisi Perayaan Kaum […]