Archive for December 15th, 2010|Daily archive page

Kertas-kertas pembentangan Wacana Membanteras Pluralisme Agama

Kesemua kertas-kerja yang dibentangkan pada  Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama & Pemurtadan Ummah yang telah diadakan pada 14hb Disember 2010 di Masjid Wilayah Persekutuan boleh dibaca di bawah ini. Kehariaran seramai lebih 500 peserta mendapat liputan baik keesokkannya di beberapa akhbar dan media baru.

Wassalam

Mencermati Doktrin dan Ciri-ciri Fahaman Pluralisme Agama

– Oleh Dr. Anis Malik Thoha

Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama – Satu Pengamatan Ringkas

– Oleh Ustaz Muhammad Uthman l-Muhammady

Pluralisme di Indonesia: Faham dan Amalan

Oleh Dr. Syamsuddin Arif

Faham Pluralisme Agama dan Percanggahannya Dengan Akidah dan Syari ‘ah Islamiyah

Oleh Nur Farhana Abdul Rahman/Prof Idris Zakaria

Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal

Oleh Dr. Yusri Mohamad

Anwar Sering Membawa Mesej Fahaman Pluralisme Agama

dipetik dari Utusan Malaysia 15 Disember 2010:

Anwar sering bawa mesej fahaman pluralisme agama

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah seorang ahli politik beragama Islam di negara ini yang didapati sering membawa mesej fahaman pluralisme agama sama ada dalam bentuk tindakan mahu pun dalam bentuk ucapan.

Pengasas Muafakat, Ismail Mina Ahmad (tengah) mempengerusikan perbincangan bertajuk 'Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah' bersama pembentang kertas kerja, Dr. Syamsuddin Arif (kiri) dan Dr. Muhammad 'Uthman El-Muhammady pada Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah Kedua Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yusri Mohamad (gambar) berkata, ia berdasarkan kepada satu siri ucapannya di London pada 18 Mac 2010 yang bertajuk Religion and Pluralisme in a Divided World apabila Anwar dengan jelas menyokong fahaman tersebut.

Beliau berkata, seperkara lagi ialah kecenderungan Institut Kajian Dasar (IKD) terhadap perjuangan Jaringan Islam Liberal yang diterajui oleh Ulil Absar Abdullah iaitu seorang pejuang fahaman pluralisme di Indonesia.

”IKD amat sinonim dengan Anwar dan institut ini amat rapat dengan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Hasil hubungan mereka juga tertubuhnya Pusat Graduan Timur (Eastern Graduate Centre) di bawah IKD.

”Pusat ini diterajui oleh seorang graduan lulusan Timur Tengah dan untuk pengetahuan semua melalui pusat tersebut telah diterbitkan beberapa buku yang didapati menyokong fahaman pluralisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal’ dalam wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Permurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yusri yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata antara judul buku yang dikaitkan dengan fahaman itu dan dihasilkan oleh pusat berkenaan ialah Islam dan Pluralisme, Agama dan Kebebasan Berfikir, Hukum Barat Pun Islam dan Kahwin Campur Antara Islam dan Bukan Islam.

”Inilah yang berlaku hasil daripada hubungan antara IKD dan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Mereka juga dilihat begitu menyanjung Ulil Absar Abdullah.

”Bagi saya penerbitan buku-buku ini amat berbahaya kepada umat Islam di negara ini kerana isu berkaitan dengan fahaman pluralisme agama amat berkaitan dengan soal akidah,”katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya oleh seorang peserta mengenai seriusnya penglibatan Anwar di dalam fahaman itu beliau berkata, berdasarkan fakta-fakta tersebut kecenderungan Anwar terhadap fahaman berkenaan nampak jelas.

”Anwar juga jika kita lihat ketika memberi komen dalam isu-isu tertentu seperti penggunaan nama Allah di kalangan orang bukan Islam begitu konsisten membenarkan mereka berbuat demikian,” katanya.

Dalam isu yang sama beliau turut meminta barisan kepimpinan negara termasuk Perdana Menteri supaya mengelakkan diri daripada meraikan perayaan agama lain seperti Thaipusam.

”Dalam perkara ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tidak terkecuali menerima kritikan apabila menyertai satu majlis rasmi kuil Buddha di Kelantan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengharamkan fahaman pluralisme agama serta amalan yang berkaitan dengannya.

”Saya juga ingin mengesyorkan individu dan kumpulan yang menyebarkan fahaman ini diberi nasihat serta teguran dan jika mereka ingkar tindakan undang-undang perlu dikenakan,” tambahnya.

Beri Definisi Perayaan Kaum

dipetik dari Utusan Malaysia 15 Disember 2010:

Beri definisi perayaan kaum

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran memberi definisi secara jelas mengenai perayaan pelbagai kaum di negara ini supaya umat Islam tidak terjebak dengan penularan fahaman pluralisme.

Langkah ini penting supaya umat Islam lebih jelas sebelum menyertai mana-mana perayaan kaum lain kerana dibimbangi akan melanggar batasan agama disebabkan untuk mengamalkan kehidupan bertoleransi.

”Misalnya Jakim perlu jelaskan tentang meraikan Pesta Ponggal dengan Deepavali dan antara Pesta Tanglung dengan Pesta Kuih Bulan dari sudut agama dan juga budaya,” kata Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Farhana Abd. Rahman (gambar).

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ”Pluralisme Agama: Fahaman Pluralisme Agama dan Percanggahannya Dengan Akidah dan Syariah Islamiah’ pada Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah Kedua Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah’ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Nur Farhana berkata, penjelasan Jakim ini penting kerana penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum telah dijadikan sebagai merit yang perlu dipenuhi oleh mahasiswa universiti.

”Kita tidak mahu fahaman pluralisme ini mula menular menerusi bidang pendidikan seperti apa yang telah berlaku terhadap negara jiran kita, Indonesia,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkenaan diminta berhati-hati dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerana pengaruh seperti fahaman ini begitu mudah untuk berkembang di kalangan pelajar.

Nur Farhana berkata, pluralisme memang mempunyai banyak percanggahan dengan agama Islam terutamanya dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

”Malah pendukung pluralisme juga menegaskan semua agama bermatlamat tujuan yang satu iaitu Allah walaupun berbeza dari segi pendekatan dan ibadat mengikut agama masing-masing,” katanya.

Katanya, pluralisme juga membenarkan penganutnya berkahwin lintas agama di mana orang Islam bebas berkahwin dengan agama lain.

Konsep Toleransi: Umat Islam Perlu Waspada

dipetik dari Utusan Malaysia 15hb Disember 2010:

Konsep toleransi: Umat Islam perlu waspada

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Umat Islam di negara ini dinasihat berhati-hati dengan penularan fahaman Pluralisme yang semakin berkembang di rantau ini dengan membawa konsep bertolenrasi dalam semua agama.

Ini kerana fahaman itu menetapkan semua agama sama ada Islam, Kristian, Hindu adalah sama tarafnya serta tidak ada yang paling baik atau yang paling buruk.

”Malah dalam fahaman Pluralisme mengajar kebebasan agama di mana seseorang itu boleh keluar masuk mana-mana agama pada bila-bila masa,” kata Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Anis Malik Thoha (gambar) ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ”Mencermati Doktrin dan Ciri-Ciri Fahaman Pluralisme Agama.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 2 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dr. Anis Malik berkata, yang jelas fahaman Pluralisme tidak membenarkan mana-mana penganutnya membuat tuntutan bahawa agama sendiri sebagai satu yang mutlak.

”Sebab pada prinsipnya masing-masing akan berkongsi sebahagian kebenaran sahaja dan bukannya kebenaran yang utuh dan sempurna,” katanya.

Malah katanya, dalam doktrin Pluralisme juga memperlihatkan ia sebagai fahaman yang cantik pada luarannya di mana menjanjikan kedamaian berbanding dengan penganut agama disifatkan sebagai membawa kepada kejahatan.

”Malah umat Islam juga telah digolongkan sebagai ekstrim, tidak tolenrasi malah meletakkan sebagai terrorist atau pengganas,” katanya.

Malah katanya, konsep kesamarataan yang diamalkan dalam fahaman Pluralisme ini juga membawa kepada menidakkan konsep iman-kufur dan tauhid-syirik yang menjadi tunjang dalam ajaran agama Islam.

Jelasnya, sekalipun setiap penganut agama ingin mencapai perdamaian dan tolenrasi antara agama dalam masyarakat majmuk tetapi itu bukannya dengan cara berkompromi dengan anutan masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam perlu berwaspada dengan fahaman asing ini kerana jika tidak ia akan boleh merosakkan imam.

Tambahnya, Islam sendiri sejak kelahirannya sudah memiliki konsep yang jelas bagaimana memandang agama lain dan cara untuk berhubungan dengan agama lain.

Fahaman Pluralisme Agama Wajar Ditentang

dipetik dari Utusan Malaysia 15 Disember 2010:

Fahaman pluralisme wajar ditentang

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick.

Justeru, tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady mahu golongan tersebut ditentang kerana fahaman yang mereka anuti itu jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Malah, beliau berkata, mereka yang memperjuangkan fahaman itu tidak ubah seperti membawa satu agama baru yang akhirnya boleh menyebabkan seseorang Islam itu menjadi murtad.

“Oleh itu fahaman pluralisme atau kesamarataan di dalam agama perlu ditolak dan ditentang kerana ia hanya akan membawa kehancuran serta kecelakaan kepada kehidupan manusia.

“Fahaman ini amat berbahaya dan merupakan ancaman yang perlu ditangani segera. Hakikatnya, Islam tidak boleh disamakan dengan apa jua kepercayaan dan agama kerana martabatnya terlalu tinggi. Islam agama yang terpelihara sehingga Hari Kiamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab satu soalan peserta selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama – Satu Pengamatan Ringkas’ pada wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad ‘Uthman berkata, fahaman pluralisme tidak akan membawa kebahagiaan walau apa hujah sekali pun sebaliknya hanya akan membuatkan manusia menuju ke neraka.

Dalam pada itu beliau berkata kewujudan teori fahaman yang boleh merosakkan umat Islam itu berlaku pada era pascamodenisme.

“Teori ini amat berbahaya terutama kesannya terhadap akidah umat Islam. Ia perlu ditangani dan ditentang oleh semua pihak,” katanya lagi.

Sementara itu beliau berkata, pemikiran pelopor fahaman pluralisme iaitu John Hick hendaklah ditolak kerana jelas kenyataan-kenyataannya bersifat mengelirukan manusia.

Di dalam kertas kerjanya Muhammad ‘Uthman turut menjelaskan jenis atau kategori golongan yang terpengaruh dengan fahaman tersebut.

“Mereka yang terpengaruh dengan pluralisme agama menyatakan baik agama Islam, Kristian, Yahudi, Sikh dan Hindu mempercayai adanya `kebenaran yang lebih tinggi’ serta mengatasi amalan lahiriah dan ibadat.

“Kalaulah pendirian yang demikian dianggap jalan kebenaran di sisi Tuhan, maka perjuangan Rasulullah SAW mendepani agama penyembah berhala, agama Yahudi dan Kristian pada zaman Baginda adalah tidak bererti,” katanya.

Jelas beliau berkata, pernyataan sedemikian tidak benar dan tidak berasas serta tidak pernah wujud di dalam ajaran Islam.

“Seperti mana saya tekankan sebentar tadi fahaman pluralisme akan membawa kerosakan, kecelakaan dan kecelaruan kepada kehidupan manusia. Fahaman ini akhirnya akan membawa manusia ke neraka ,” ujarnya.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SHOLINA OSMAN – pengarang@utusan.com.my

Fahaman Pluralisme Agama Perosak Aqidah

dipetik dari Harian Metro 15 Disember 2010:

Perosak akidah

KUALA LUMPUR: Fahaman liberalisme yang memberi kebebasan kepada individu tanpa sekatan dan fahaman pluralisme agama yang menekankan semua agama adalah sama perlu ditangani segera sebelum ia merosakkan akidah masyarakat Islam di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Halid Sintol (gambar) berkata, fahaman yang menekankan kebebasan dan kesamaan dalam kepelbagaian agama mampu merosakkan sistem sosial dan pentadbiran negara sekiranya tidak dibendung.

Menurutnya, kebimbangan mengenai fahaman itu tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia boleh menghakis pegangan akidah dan syariat di kalangan umat Islam.

Menyedari betapa seriusnya ancaman fahaman itu, beliau berkata penganjuran wacana dilihat tepat pada masanya bagi memberi penjelasan mengenai ancaman pluralisme dan liberalisme terhadap akidah umat Islam.

“Ia bertujuan memberi input penting kepada masyarakat tentang bahaya pemikiran yang dikatakan sebagai pemikiran Islam, tetapi sebenarnya jauh menyimpang daripada landasan Islam sebenar.

“Apa yang diharapkan, wacana ini mampu membuka minda dan memperbetulkan salah faham masyarakat mengenai isu pluralisme dan liberalisme agama seterusnya membantu membanteras gerakan ini dalam usaha merealisasikan pembentukan ummah yang gemilang berteraskan ajaran Islam sebenar,” katanya ketika merasmikan Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 2 Peringkat Kebangsaan di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Dianggarkan hampir 500 orang hadir terdiri agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik dari seluruh Malaysia anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) bersama Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).