Tren Keruhaniyan Di Malaysia: Kebenaran, Khurafat Dan Penyelewengan ‘Aqidah

[Untuk kemudahan cetakan klik versi pdf ini: Tren Keruhaniyan Di Malaysia-pdf]

Tren Keruhaniyan Di Malaysia: Kebenaran, Khurafat Dan Penyelewengan ‘Aqidah

Dan katakanlah: Ya Tuhanku, masukkanlah saya ( dengan ) masuk yang benar dan keluarkanlah  ( pula ) saya ( dengan ) cara keluar yang benar dan berikanlah kepada saya dari sisi Tuanhamba kekuasaan yang menolong. Al-Isra’:80.

Sesungguhnya iman di dalam  hatimu akan usang sebagimana pakaian, maka mintalah kepada Allah agar ( Dia ) memperbaharui iman di dalam hatimu. HR al-Hakim; al-Thabaraniy.

Muqaddimah

Al-Qur`an amat menekankan peri pentingnya kebersihan ruhaniyy. ( al-Baqarah:129; al-Baqarah:151; an-Nazi‘at:18; asy-Syams:9-10 ). Ia merupakan salah satu pilar utama dalam Islam dan neraca kehidupan dalam menentukan untung nasib seseorang disisi Allah SwT. Namun, dalam melayari kehidupan ruhaniyyah kadang-kadang terdapat beberapa penyelewengan yang boleh membawa kepada kesalahan ruhaniyy dan kerusakan ‘Aqidah.

Dasar Ruhaniyy Islam

Madrasah ruhaniyyah dalam Islam ialah institusi ta’lim, tarbiyyah dan yang berkaitan dengannya. Ia  berpaksikan dan  berpegang teguh pada al-Qur`an dan al-Sunnah dan menjadikan Nabiyy s‘aw sebagai uswah dan qudwah dalam setiap sa‘at kehidupannya. Rindu dan cinta kepada Allah SwT  dijadikan wasilah untuk ma‘rifah dan wusul kepada-Nya. Dasar ini akan menzahirkan mujahadah yang  sungguh-sungguh. Untuk tujuan tersebut, para pencinta Allah itu, akan menjadikan setiap ruang dan kesempatan sebagai mihrab untuk bermunajat kepada-Nya, tidak pernah berhenti menyebut-Nya, tidak pernah penat menyembah-Nya demi untuk bertaqarrub kepada-Nya kerana cinta dan untuk mendapat ridha-Nya. Mereka bekerja keras membebaskan ruh mereka dari penjara ghaflah dan waham dan merdeka yang sebenar-benarnya. Justeru, mereka  amat tekun mencari ‘ilmu yang benar lagi haqiqi, mengamalkannya dengan tekun, kemudian merealisasikannya dalam setiap rongga kehidupan sehingga terjadilah paduan antara ‘ilmu, ‘amal dan haqiqat. Mereka adalah individu-individu yang paling aktif dan dinamis dan merupakan pemikir besar Ummat.

Antara dasar utama madrasah ruhaniyyah  ini ialah ‘ilmu. ‘Ilmu yang dipelajari dan dipegang ialah dari al-Qur`an dan al-Sunnah. Para pembina dan pembimbing kumpulan ini pada peringkat awal,  adalah murid-murid kepada Sahabat-Sahabat Nabiy s‘aw. Mereka benar-benar menekuni al-Qur`an bukan sahaja dalam bidang ‘ilmu qira`ah dan hukum-hakam, tetapi amat mahir dan piawai dalam memahami makna zahir dan batin al-Qur`an dan segala ‘ilmu yang berkaitan dengannya. Demikian juga mereka amat menguasai  ‘ilmu yang berkaitan dengan al-Sunnah, yang bukan sahaja dapat membuat istinbat hukum daripadanya tetapi juga dapat memahami isyarat-isyarat yang terdapat di dalamnya. Kefahaman ‘ilmu yang mereka dapati itu adalah dari susur galur yang sah dari Nabiy s‘aw yang kemudiannya  dihurai dan diajar oleh ‘Ulama Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. Jadi, wajah keruhaniyan mereka ialah wajah keruhaniyan yang ada dalam al-Qur`an dan sebagaimana yang ajar, dihurai dan diteladani oleh Rasululllah s‘aw dalam hidupnya.

Tokoh-tokoh selepas Sahabah r ‘aa yang menjadi rujukan sepanjang zaman antaranya ialah Hasan al-Basri, Muhasibi, Tustariy, Junayd, Sarraj, Qusyairiy dll dan tokoh-tokoh terkemudian seperti Abu Tolib al-Makki, al-Ghazzaliy dll, dan kemudiannya lagi seperti al- Mursi, al-Sakandariy dan kemudiannya lagi seperti Dawud al-Fatoniy, ‘Abdul Somad al-Falimbaniy dll. Mereka ini, dengan  ‘ilmu yang dalam dan padu, berjaya menggempur kesesatan-kesesatan falsafah dan ajaran sesat yang lain, yang menyusup masuk ke dalam ajaran keruhaniyan Islam. Kata al-Sarraj rh ( w 378 H ): tidak ada ‘ilmu dan kefahaman melainkan semuanya tecatat dalam Kitab Allah ‘Azza wa Jalla atau bersumberkan Hadith-Hadith RasululLah s‘aw.

Kesimpulannya, dari aspek ‘ilmu, mereka memiliki berpuluh-puluh jenis ‘ilmu dan menguasainya dengan mendalam lagi benar,  baik ‘ilmu yang bersifat zahir mahupun ‘ilmu yang bersifat ruhaniyy-batin.

Selain dari  ‘ilmu, dasar  mereka yang lain adalah ber‘amal. Mereka amat mementingkan ‘amal zahir dan batin dan tidak menangguh-nangguhkannya kerana mereka sedar bahawa ‘amalan itu merupakan salah satu ajaran asasi ruhaniyyah  Islam. Mereka ber‘amal secara intensif dan mendalam dengan memelihara segala adab-adabnya dan segala keutamaan-keutamaannya. Hidup mereka adalah di dalam lingkungan hukum yang lima dan juga hukum keutamaan seperti yang diajar oleh Fuqaha’ ASWJ. Mereka tidak membezakan satu keutamaan di atas keutamaan yang lain. Aktiviti ‘amalan dan keruhaniyan,  semuanya   berdasarkan qaedah yang Syar‘i  seperti yang dihurai oleh ‘Ulama ASWJ. ‘Amalan mereka adalah berdasarkan ‘ilmu, tidak seperti sesetengah golongan,  ber‘amal tanpa ‘ilmu!. Mereka  mementingkan Syari‘at dan haqiqat, ‘amal zahir dan ‘amal batin, dakwah dan jihad dan sebagainya. Dalamnya tidak ada khurafat, bid‘ah dan percanggahan dengan perjalanan Sunnah dan Salaf al-Solih.

Perhatian dizaman kita sekarang kebanyakan pendukung keruhaniyan tidak mementingkan ‘ilmu dan ‘amal. Mereka tersilap dalam memahami ajaran para  Syaikh-Syaikh muhaqqiqin mengenai ‘ilmu.

Tren Keruhaniyyan

Terdapat berbagai-bagai tren keruhaniyan sepanjang sejarah Islam – dari yang paling simpel kepada yang paling kompleks, dari yang penuh dengan khurafat hingga kepada tergelincir ‘Aqidah. Tren-tren itu  antaranya ialah keruhaniyan jenis Jabariyyah, keruhaniyan yang menolak Syari‘at, keruhaniyan bersifat Murji`ah, keruhaniyan yang mementingkan falsafah semata-mata, keruhaniyan transendental, keruhaniyan Hikmah Abadi, keruhaniyan ASWJ dsb. Ada  juga beberapa tren zaman sekarang yang tidak terdapat dizaman klasik. Di Malaysia antara yang biasa terdengar ialah Ajaran Hasan Anak Rimau, Ahmad Laksamana, Ayah Pin, Aurat Muhammadiyah dan yang baru mula nak berkembang ialah Aurat Isma‘iliyyah, Pluralisme mazhab religious equality dll, yang semuanya di hukum sesat. Namun terdapat beberapa ajaran yang benar yang terdiri dari tariqah-tariqah yang mempunyai susur-galur yang muktabar.

Penyelewengan ‘Aqidah

Para peminat keruhaniyan perlu sedar bahawa kedudukan keruhaniyan amat berkait rapat dengan ‘Aqidah. ( al-Muddaththit:3-4 ).  ‘Aqidah  merupakan tunggak terpenting dalam proses membentuk kejernihan ruhaniyy.  Dalam sejarah Islam, terdapat berbagai-bagai huraian mengenai ‘Aqidah-Tawhid dari berbagai-bagai aliran. Dari semua aliran ini,  hanyasanya huraian dari aliran Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah ( ASWJ ) sahaja yang diterima ( lihat kertas Usrah MUAFAKAT yang terdahulu ). Antara beberapa penyelewengan ‘Aqidah dikalangan peminat-pengamal keruhaniyan ialah:

  1. Orang yang asalnya bukan Islam, kemudian masuk Islam dan ibu-bapa mereka masih kekal dalam ugama asal mereka, dan mereka ini mati dalam keadaan bukan Islam, maka Allah akan ampunkan dosa mereka. Keyakinan ini bercanggah dengan ayat al-Qur’an yang Allah tidak ampun dosa syirik ( al-Nisa’: 48 ). Kumpulan ini tidak diperkenal ‘Aqidah-Tawhid yang sohih kerana syaikh mereka tidak memiliki ‘ilmu tersebut. Syaikh kumpulan ini hanya bercerita kepada ahlinya  mengenai kehidupan Syaikh-syaikh mereka yang terdahulu.
  2. Mereka diajar mempercayai sepenuhnya syaikh mereka dan tidak perlu bersusah payah beramal, kerana syaikh akan menyelamatkan mereka, baik di dalam  ‘alam qubur atau di Mahsyar nanti. Allah perintah beramal – aamanuu wa ‘amilu ’s-soolihaat; i‘maluw dsb.
  3. Sesiapa yang mengasingkan diri selama 40 hari di Adam’s Peak, Sri Lanka, dengan bacaan tertentu akan diampunkan dosanya.  Tiada nass menyokong hal itu. Berdasarkan nass, tempat paling mulia ialah Haramayn.
  4. Syaikh mereka akan hidup kembali untuk menjadi imam solat janazah Imam al-Mahdi di al-Quds. Ini bertentangan ijma‘. Tidak sesiapa akan hidup melainkan di Mahsyar.
  5. Syaikh mereka mendapat wahyu dari Allah. Ini bercanggah dengan ajaran Islam kerana tiada sesiapa yang boleh mendapat wahyu melainkan para Rasul ‘ass.
  6. Syaikh mereka boleh menentukan masuk syurga-neraka.
  7. Meyakini bahawa semua agama adalah sama dan diterima amalan masing-masing agama itu oleh Allah.Ini bercanggah dengan nass: Allah tidak terima agama selain Islam. Ali ‘Imran:85. Ajaran sesat yang bercanggah dengan ‘aqidah ini, mula menampakkan diri di Malaysia.
  8. Tidak boleh mengatakan ‘aqidah agama selain Islam salah. Pemikiran yang berasal dari Barat ini, sudah mula berkembang di Alam Melayu termasu Malaysia. Fahaman ini  bercanggah dengan nass. ( al-Kaafiruun:6. Surah al-Kaafiruun yang mulia ini, elok difahami dan ditadabbur seluruhnya untuk memahami kedudukan golongan Pluralis mazhab religious equality dan menolak mereka! ).

Khurafat

Selain dari kesalahan ‘Aqidah, terdapat juga beberapa khurafat dari kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai kumpulan keruhaniyan. Antara khurafat itu ialah:

  1. Syeikh kumpulan ini mendapat ‘ilmu terus dari Sidi ‘ Abdul Qadir al-Jailani rh.
  2. Dia boleh menentukan pemimpin tertinggi sesebuah negara.
  3. Dia akan menjadi pemimpin sebuah negara atas nama kepimpinan keruhaniyyan.
  4. Syaikh kumpulan ini mendakwa ia adalah wakil Imam Mahdi dan akan memerintah Malaysia tidak lama lagi.
  5. Syaikhnya memiliki tongkat Nabiyy Musa ‘as.

Untuk mengelakkan dari terjerumus kegaung khurafat dan bid‘ah dalam bidang keruhaniyan juga ‘Aqidah,  ‘Ulama kita telah menyenarai panjang nama-nama tokoh-tokoh dan sifat-sifat mereka dan nama-nama kitab yang wajar menjadi rujukan dan pegangan agar kita tidak sesat. Maka tugas kita hanyalah mendampingi kitab-kitab tersebut dengan penuh kesungguhan!.  Pada masa kita ini, munkin sukar untuk mencari tokoh ruhaniy yang benar dan thiqah, maka kita dianjurkan supaya memegang kukuh kepada al-Qur’an, al-Sunnah yang jelas dan membanyakkan bersolawat kepada kekasih yang mulia, Rasul s‘aw,  disamping berdu‘a ke Hadrat Allah Yang Maha Memberi Petunjuk dan Maha Kasih agar kita dituntun-Nya ke jalan yang di redhoi-Nya demi untuk mendapat keselamatan ruhaniyy yang berkekalan. Jangan terpedaya kepada syaikh-syaikh buatan atau yang di syaikhkan. Jangan bergantung kepada ular untuk mengelak buaya!

Keruhaniyan Islam Sebenar

Dalam sejarah Islam  terdapat beberapa golongan yang amat kuat amalan keruhaniyan. Selain ASWJ,   mereka ialah penganut Syi‘ah dan Mu‘tazilah. Secara rengkas, golongan Syi‘ah ialah golongan yang beriman kepada Imam Ghaiyb iaitu Hasan ‘Askari yang  telah ghayb dan  berada di Samarra dan akan keluar nanti pada akhir zaman. Ia disebut juga sebagai Imam Mahdi. Mereka mempunyai kitab hadith tersendiri dan tidak menerima hadith riwayat Sahabat r‘aa  kerana mereka menganggap semua Sahabat kafir,  kecuali beberapa orang sahaja. Mereka menafsirkan jib wa ’t-taghut ( al-Nisa’:51) sebagai Abu Bakar r‘a dan  ‘Umar r‘a. Mereka berburuk sangka terhadap  Ummahatul Mu’minin r‘ah yang bersih itu dan yaqin kepada doktrin  al-raj‘ah iaitu ‘Aisyah r‘ah akan dihidupkan semula oleh Allah sebelum Qiyamat untuk menerima hukuman. Semua ‘aqidah ini adalah tertolak kerana ia bertentangan dengan ‘Aqidah yang sohih. Sebab itulah al-Ghazzaliy rh mengatakan amalan mereka – golongan Syi‘ah – tertolak, walaupun dahi mereka hitam kerana kuat sujud!. Betapa ‘aqidah mereka diterima, padahal mereka mengkafirkan sebahagian besar Sahabah!. Demikian juga dikalangan Mu‘tazilah seperti ‘Amru bin ‘Ubayd yang disebut seperti malaikat kerana semalaman dirikan solat dan siang hari berpuasa, pada hal dalam i‘tiqad, beliau menolak doktrin Sifatiyah.

Atas dasar inilah, maka  ‘Ulama keruhaniyan Islam sepanjang masa, sangat-sangat mengingatkan dan menekan berulang kali supaya berpegang semata-mata kepada ajaran keruhaniyan seperti yang diajar oleh ASWJ. Ajaran keruhaniyan Islam sebenar ialah ajaran yang menekankan supaya beri‘tiqad dengan i‘tiqad ASWJ dan perjalanan keruhaniyan ASWJ. Adalah amat rapat kaitan dan tidak boleh terpisah antara ‘Aqidah yang benar dengan kejayaan ruhaniyyah.   Oleh yang demikian para  Salaf al-Solih telah mengarang beratus-ratus kitab-kitab dalam subjek keruhaniyan untuk memandu Ummah dalam kehidupan keruhaniyan dan membezakannya dari keruhaniyan yang salah dan tertolak. Mereka  adalah paling berotoriti kerana merekalah yang  merupakan penafsir sebenar kepada perjalanan hidup keruhaniyan Sayyiduna Rasul s ‘aw dan para Sahabat r ‘aa. Mereka yang terkemudian pula menekuni karya-karya keruhaniyan  Salaf itu  melalui jalan-jalan yang masyhur dan sah.  ‘Aqidah mereka ialah samaada tafwidh atau takwil, beraliran Sifatiyah. Mereka menolak keruhaniyan ala Jabariyah atau mana-mana aliran zindiq. Golongan keruhaniyyan ASWJ  tidak melihat karya-karya dari ajaran keruhaniyan Islam itu sebagai  buku falsafah semata-mata tanpa melihatnya sebagai ajaran puncak dari  keruhaniyan; sementara golongan yang terkeluar dari lingkungan keruhaniyan ASWJ, mereka ini tidak begitu gemar berusaha untuk mencari jalan bagaimana untuk mencapai puncak  itu – sudah tentu melalui jalan ‘Aqidah yang benar. Mereka hanya asyik  berfalasafah dan menceritakan peri hal puncak tersebut – mengenai hal dan maqam! . Golongan ini tidak memperdulikan persoalan ‘Aqidah dan peri hal hati. Pendeknya, kata Qusyairiy rh dalam Risalahnya: ….para Syaikh golongan ini membina qaedah-qaedah mereka di atas dasar-dasar Tawhid yang benar. Dengan itu mereka menjaga  ‘aqidah mereka dari segala bid‘ah, sesuai dengan tawhid Salaf dan ASWJ.

Sekiranya diamati kitab-kitab keruhaniyan Islam, para syaikh keruhaniyan ini, amat sangat menekankan betapa penting orang yang ingin memasuki  ‘alam keruhaniyan ini, mempelajari ‘ilmu ‘Aqidah ASWJ dengan mantap kerana ditakuti mereka menjadi zindiq seperti golongan hulul zaman klasik dan kaum Pluralis mazhab religious equality zaman ini. Adalah terlalu jelas, bahawa kegiatan keruhaniyan dalam erti membersihkan hati dari sifat-sifat muhlikat dan menghiaskannya dengan sifat-sifat munjiyat adalah wajib fardu ‘ayn atas setiap individu. Akan tetapi, apa yang ditekankan disini ialah bagi orang yang ingin mendalami dan berenang dalam kehidupan keruhaniyan yang melepasi fardu ‘ayn, maka mereka wajib mendalami dan menguatkan ‘Aqidah mereka. Untuk mengelakkan kecelakaan ruhaniyyah dan ‘aqidah menimpa orang yang tidak ada persediaan yang cukup itu, maka  para syaikh keruhaniyan yang tulin,  mengharamkan diajar ‘ilmu keruhaniyan peringkat tinggi kepada orang-orang yang tidak ada persediaan ‘Aqidah. Dewasa ini, ajaran keruhaniyan peringkat tinggi telah menjadi barang dagangan terlalu murah dan sesiapa sahaja boleh membelinya!

Pluralisme Agama dan Keruhaniyan Sesat

Satu tren baru di ‘Alam Melayu ialah kombinasi antara kesetaraan semua ugama dan kecenderungan keruhaniyan. Dulu, tren ini tidak ada, yang ada hanya kesesatan dalam faham dan amalan keruhaniyan. Mereka tidak menyamakan agama anutan mereka dengan agama lain. Sekarang ini terdapat tren menyatukan Pluralisme mazhab religious equality/semua agama sama dengan kegiatan  keruhaniyan sesat. Sesat di atas sesat!. Golongan Pluralis mazhab ini, salah dalam menafsir ungkapan-ungkapan mutasyabihat dari syaikh-syaikh keruhaniyan seperti Muhyiddin Ibn ‘Arabi rh, Mawlana Jalaluddin al-Rumi rh dll. Golongan ini tidak mantap dalam fiqh – pun keruhaniyan – padahal sepakat para syaikh keruhaniyan muhaqqiqin menyatakan, sesiapa yang bertasawwuf tanpa Fiqh apa lagi ‘Aqidah, adalah zindiq – na‘uzubillah!. Tren ini semakin berkembang di ‘Alam Melayu dengan tersebar karya-karya pelopornya dari Barat melalui agen-agennya dari kalangan orang Islam. Para agen-agen ini  baik yang berupa individu, institusi pendidikan mau pun NGO, akan membuat promosi melalui tulisan dan wacana-wacana dsb. Akibat tertipu dari ajaran Pluralisme mazhab religious equality ini, di Malaysia, sudah terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa du‘a orang bukan Islam pun di makbulkan Allah, penganut agama lain yang ‘ baik ’ akan masuk syurga dsb. Ajaran Pluralisme Agama mazhab religious equality seperti ini boleh dikesan dalam bentuknya yang simpel seperti ajaran Ayah Pin hinggalah kepada ajaran yang lebih kompleks seperti ajaran falsafah Hikmah Abadi – Sophia Perennis.  Bagi penganut Pluralisme mazhab religious equality yang asal beragama Islam, mereka tidak akan membantah jika mayit mereka dibakar seperti amalan penganut Hindu atau ditanam di jirat China bersama dengan wang kertas palsu, kerana  mereka yakin kepada  ‘ salvation ’ adalah milik semua agama.

Kesimpulan

Seperti yang disebut diawal, kehidupan keruhaniyan amatlah dituntut dalam Islam. Namun, amalan-amalan keruhaniyan tersebut tidak mempunyai apa-apa erti disisi Allah SwT, sekiranya ‘Aqidah bertentangan dengan apa yang diajar oleh para syaikh muhaqqiqin dari kalangan ASWJ. Para pengamal keruhaniyan wajib senantiasa meneliti setiap sa‘at perihal ‘Aqidahnya: apakah percakapan, ucapan, tulisan, perbuatan zahir, i‘tiqad-kepercayaan-kefahaman bertentangan dengan ajaran dan tasawwur ASWJ yang Nabiy s ‘aw dan para Sahabatnya beri‘tiqad. Jangan terlalu berani atas nama kebebasan berfikir dan mahu membebaskan diri dari taqlid kepada doktrin ‘Aqidah ASWJ, pada hal, ia terjerumus kegaung taqlid kepada hawanafsu syaitoniyyah yang mencelakakan sepanjang hayat. Ya Allah selamatkanlah kami dan qawm Muslimin!. Kecenderungan tidak memperdulikan serta sikap memperlekeh ‘Aqidah ASWJ timbul semula dikalangan orang Islam dewasa ini. Antara sebabnya adalah akibat kemenangan revolusi Khumayni al-Syi‘i ke atas Redha Pahlavi dan kecenderungan politik partisan, padahal mereka klaim, mereka mencintai doktrin keruhaniyan al-Ghazzaliy rh atau ‘Abdul Qadir al-Jilaniy rh dsb yang amat kuat membela ‘Aqidah dan ajaran ASWJ itu. Sebahagian yang lain pula, lebih mengutamakan haqiqat – itu pun haqiqat dalam pengertian dan huraian mereka – dari Syari‘at, sehingga terkeluar dari ajaran ‘Aqidah ASWJ dan terjerumus ke lubang buaya  Jabariyah.

Kita lanjutkan sedikit perbincangan mengenai al-Ghazzaliy rh yang mana MUAFAKAT telah membuat seminar mengenainya. Perlukah kita bertanya diri masing-masing: sejauh mana diri ini memahami ajaran al-Ghazzaliy rh itu dalam  ‘Aqidah dan Syari‘ah dan menghayatinya dalam kehidupan harian, dalam  mu‘amalah, dalam berwirid-ber‘amal, dalam berjihad membersihkan hati dari hawa nafsu jahat, dalam beramar-makruf nahi-munkar; dan sekuat mana berjihad untuk keluar  dari kejahilan yang panjang yang menunjang dalam diri dan bangun menuntut ‘ilmu yang bermanfa‘at secara serious, dan sejauh mana  pula berusaha untuk membebaskan diri dari belenggu menjadi khadam dan hamba ‘abdi  manusia  kepada menjadi khadam dan hamba Allah yang sebenar; atau pun program seumpama itu, sekadar memenuhi kalendar dan dairi harian ataupun sekadar mental excercise! ataupun sekadar apa?. Setelah sekitar 40 tahun lebih terlibat dalam dakwah, maka pada penghujung hayat ini, amat wajar kita bermuhasabah mengenai kehidupan keugamaan kita dari aspek ‘aqidah, akhlaq, mu‘amalah, ‘ibadah, dakwah kita dsb.

Ummat Islam wajib berpegang kepada  ‘Aqidah yang sohih. Untuk tujuan itu, mereka perlu  menela‘ah kitab-kitab ASWJ berulang kali – berpuluh kali atau ratusan kali, menghadhamkannya dan ber‘amal dengannya. Justeru, atas dasar belas kasihan kepada orang ‘awam, ‘Ulama Islam  telah menyenaraikan kitab-kitab yang benar dan sohih untuk kita pelajari. Ini adalah kerana ‘ilmu ASWJ sahaja  yang  memberi manfa‘at dan menyelamatkan dari ‘azab dan neraka. Nabiyy s ‘aw melarang ummatnya menyerahkan ‘ilmu kepada yang bukan ahlinya kerana mereka akan menjadi bodoh!  ( saringan dari Hadith riwayat al-Daraamiy ) dan Baginda s ‘aw juga melarang Ummat mengangkat dan mengikut pemimpin bodoh ugama dan meminta fatwa daripada mereka – mereka sesat dan  pengikutnya pun sesat ( mafhum dari Hadith al- Bukhariy, Muslim dan al-Tirmizi ). Atas dasar inilah, Ummat dianjurkan supaya mendampingi ahli ‘ilmu yang benar lagi amanah dan senantiasa berdu‘a, barang dijauhkan Allah dari ‘ilmu yang tidak memberi manfa‘at.

Awasilah ‘Aqidah dan ruhaniyy setiap sa‘at supaya tidak tergelincir diakhir hidup. Pohonlah supaya mati dalam iman dan husnu’l-khaatimah!. Aamiin Ya Rabb.

wa maa tawfiiqi illa billah.

[Untuk kemudahan cetakan klik versi pdf ini: Tren Keruhaniyan Di Malaysia-pdf]

Advertisements

2 comments so far

  1. […] Tren Keruhaniyan di Malaysia:Kebenaran, Khurafat dan Penyelewengan Aqidah – dibentang oleh Saudara Haji Mohd Amin […]

  2. prihatin on

    salam
    memang banyak trend kerohanian di Malaysia terutamanya bila kita terpengaroh atau dipengarohi oleh trend yg berlaku di negara lain, khususnya dari Indonesia.
    Ada trend yg positif dan negetif
    umpamanya kecenderungan anak atau generasi muda barat yg merasa kekosongan, telah tertarik dengan kerohanian Islam lalu menganut Islam bermula dari unsur kerohanian atau pengajaran yg meresap dalam hati untuk mencari ketenangan hati.
    Namun tidak kurag juga ajaran sesat yg berlegar dari ajaran kerohanian yg menyebabkan penyelewengan akidah tauhid, ini banyak di Malaysia yg dilaporkan telah difatwakan sesat oleh JAKIM lebih dari 90 dan pej agama Islam negeri2.
    Yang penting bukan saja kita nak tahu siapa atau kumpulan mana yg sesat itu tetapi adalah bentuk atau unsur kesesatan yang dialami dan sebab nya supaya mereka yg tersesat boleh bertaubat dan yg lain tak ikut lagi.
    Kita tidak boleh cara umum selar gulungan tertentu seperti tasauf, tarikat dll sebagai sesat tanpa meneliti kesesatan mereka dan membuat usaha tasfiah atau pembersihan.
    Yang lebih utama apakah langkah arus perdana untuk mengemukakan solusi atau alternatif terbaik bagi memantapkan pengajaran Islam yang syumul dan kamil, termasuk ajaran kerohaniannya.
    Apakah manhajnya, supaya kita tidak tertumpu pada soal kerohanian saja walaupun tajuknya soal kerohanian.
    solusinya mesti menyeluruh dan seimbang antara garapan ilmu, amal dan meningkatkan keikhlasan dan muraqabah pada Allah.
    Mesti dengan ilmu, ilmu yg muktabar dari ulamak yg siqah, dari buku karangan ulamak mukhlis, muktabar, yg diterima secara ijma’ ummah.Tentunya yg paling genuin, yg paling absah dari rasulullah , sahabat dan tabiin yg diberi petunjuk.
    nanti sambung,, wassalam


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: