Archive for January 7th, 2010|Daily archive page
Kenyataan Media Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Berhubung Keputusan Penghakiman Dalam Kes Kalimah Allah
Kenyataan Media Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Berhubung Keputusan Penghakiman Dalam Kes Kalimah Allah
Tarikh: 7hb Januari 2010
Tempat: Sekretariat ACCIN, Taman Melawati, Kuala Lumpur
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
- Kami, gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, mengambil pendirian yang sepadu dan bersama bagi menzahirkan rasa kegelisahan yang amat mendalam terhadap perkembangan yang berlaku susulan terhadap keputusan isu kes kalimah Allah.
- Isu ini jika tidak ditangani dengan hikmah dan bijaksana, bersandarkan perlembagaan, sejarah dan budaya negara, akan terus menambah suasana sedia tegang dalam hubungan antara agama di negara ini.
- Keputusan dan tuntutan oleh pihak Kristian adalah suatu yang amat ofensif dan secara langsung mengguris perasaan kami serta mencabar kesucian agama Islam dan sebagai agama Persekutuan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.
- Kami menyeru pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak Kristian yang menimbulkan isu ini sehingga mengakibatkan keresahan dan ketegangan di kalangan masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.
- Kami menyeru kerajaan untuk menyegerakan inisiatif bagi mengadakan pertemuan pemimpin-pemimpin utama agama Islam dan Kristian bagi berdialog dan mencari formula penyelesaian kemelut ini. Kami berpandangan bahawa masih tidak terlewat untuk isu ini diselesaikan di luar mahkamah.
- Kami menyatakan sokongan terhadap perhimpunan kesatuan ummah di masjid-masjid seluruh negara pada hari Jumaat ini 8hb Januari 2010 dalam menyatakan bantahan mereka terhadap keputusan kes kalimah Allah ini.