Ke Arah Menghayati Kehidupan Keruhanian Yang Diredhai Allah

Bahan usrah yang dibentangkan oleh Presiden MUAFAKAT, Profesor Emeritus Datuk Osman Bakar, PhD, pada 12 Disember 2006


********************************************************

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang

Keluasan kehidupan keruhanian

Tajuk “kehidupan keruhanian” (al-hayat al-ruhaniyyah; spiritual life) mencakupi bidang yang amat luas. Ini kerana alam dan ilmu keruhanian mendasari dan juga mencakupi alam zahir dan kehidupan duniawi. Oleh itu adalah mustahil bagi kita untuk menghuraikan mauduk kehidupan keruhanian dari segala segi dalam waktu satu perbincangan sahaja, meskipun kita menumpukan perhatian kepada aspek-aspek atau prinsip-prnsip yang terpenting sahaja. Apa yang boleh saya huraikan di sini hanyalah suatu aspek tertentu daripada sekian banyak aspek kehidupan keruhanian yang dimaksudkan dan diajarkan oleh agama Islam. Insya Allah, pada kesempatan lain, kita boleh membicarakan aspek-aspek yang lain pula.

Ada banyak pendekatan yang boleh diambil untuk menerangkan konsep dan falsafah kehidupan keruhanian. Oleh kerana kita membincangkan sesuatu yang bersifat ruhani (“spiritual”), kita boleh menjelaskan misalnya makna dan konsep “ruh” seperti yang terdapat di dalam al-Quran, hadith-hadith, dan tradisi ilmu keruhanian Islam sejak zaman Baginda Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Dari segi pandangan beberapa cabang utama ilmu – khususnya, ilmu jiwa atau psikologi ruhaniah (‘ilm al-nafs), ilmu dasar keagamaan (‘ilm usul al-din) dan ilmu ketuhanan atau metafizik (al-‘ilm al-ilahi) – patut ada penjelasan tentang makna “ruh” dan “keruhanian.” Sebenarnya, tidaklah lengkap, malahan tidak kukuh persembahan kita tentang kehidupan keruhanian sekiranya kita tidak menjelaskan makna ruh dan mentakrifkan istilah “keruhanian.”

Kita juga boleh membincangkan kehidupan keruhanian dengan menumpukan perhatian kepada konsep akhlak kerana akhlak merupakan salah satu aspek terpenting kehidupan keruhanian. Akhlak merujuk kepada “rupa paras ruhani” manusia. Hakikat ini dapat kita fahami daripada maksud doa Nabi s.a.w. dalam sebuah hadith: “Ya Allah! Engkau telah memperindahkan rupa paras jasmaniku (khalqi); maka perindahkanlah pula rupa paras ruhaniku (khuluqi). Maka akhlaq, yang merupakan jamak kepada khuluq, merujuk kepada wajah diri ruhani kita masing-masing. Dengan kata lain, akhlak atau budipekerti adalah pakaian bagi diri ruhani seseorang. Akhlak yang baik bermakna rupa paras diri ruhani yang cantik atau tampan dan pakaian diri ruhani yang elok, bersih, lagi cantik. Para ulama yang arif dalam ilmu keruhanian menegaskan bahawa sebaik-baik pakaian diri ialah taqwa. Akhlak buruk pula bermakna rupa paras diri ruhani yang hodoh.dan pakaian diri ruhani yang tak elok dan kotor.

Tentang rupa diri jasmani kita masing-masing, tak perlu lagi kita sibuk-sibuk hendak mengubahnya seperti melalui pembedahan plastik (“plastic surgery”) atau teknik-teknik percantikan terkini supaya menjadi lebih cantik atau tampan. Kita terima sahaja khalq kita masing-masing yang Allah s.w.t. telah takdirkan bagi kita dengan semangat ridha yang sejati. Yang perlu kita lakukan ialah memelihara kesihatannya. Juga, yang wajib kita ubah supaya ia menjadi semakin elok dan cantik ialah “wajah” diri ruhani kita, bukannya diri jasmani. Bagi kebanyakan manusia, yang mereka perlukan ialah “spiritual surgery” terhadap diri ruhani masing-masing! Kalaulah pembedahan plastik membelakangkan syari’ah, kita dapati pembedahan ruhaniyah sebaliknya memerlukan syari’ah!

Kita juga boleh mendekati hakikat kehidupan keruhanian menerusi konsep ihsan. Ini adalah kerana, antara lainnya, ihsan mentakrifkan kualiti kehidupan keruhanian. Dalam hadith masyhur yang memaklumkan kepada kita tentang sesi soal jawab agama antara Nabi Muhammad s.a.w. dan Jibra’il a.s., yang turut dihadiri oleh sebilangan para sahabat, Nabi s.a.w. mentakrifkan ihsan seperti berikut: ihsan ialah “bahawasanya kamu menyembah (berkhidmat kepada) Allah seolah-olah kamu melihatNya; sekiranya kamu tidak melihatNya, maka (sekurang-kurangnya) kamu insaf sedar bahawa Dia melihat kamu.” Definisi ihsan nabawi ini jelas menunjukkan bahawa ihsan merujuk kepada tahap atau kualiti penghayatan agama. Dalam konteks hadith tersebut, ia merujuk kepada penghayatan iman dan penghayatan islam. Yang dimaksudkan dengan al-din bukan sahaja terbentuk daripada unsur ‘iman’ dan unsur ‘islam’ tetapi juga meliputi unsur ketiga, iaitu ‘ihsan’ yang merupakan kualiti iman dan kualiti islam. Dengan kata lain, ihsan ialah “ruh agama” (“spirit of religion”). Sebaik-baik kualiti kehidupan keruhanian ialah penghayatan agama “seolah-olah kamu melihat Allah.” Tahap kualiti keruhanian yang lebih rendah tetapi yang masih lagi dikira “cemerlang” – yakni masih lagi pada peringkat ihsan – ialah menghayati agama dengan menginsafi dan menyedari “bahawa Allah melihat kamu.”

Kita boleh memahami asas kehidupan keruhanian dengan bertitik-tolak dari hati-kalbu yang merupakan pusat kewujudan kita dan pusat kehidupan keruhanian. Kita perlu memelihara hati-kalbu kita supaya ia sentiasa sihat sejahtera. Mengenali penyakit-penyakit hati dan mengetahui bagaimana kita dapat merawatinya merupakan sebahagian penting daripada ilmu keruhanian. Kebaikan manusia terletak pada kebaikan hati-kalbunya. Takut sebenar kepada Allah (makhafah), cinta sebenar kepada Allah (mahabbah) dan mengenali Allah dengan sebenarnya (ma’rifah) mustahil dicapai dan dihayati tanpa hati-kalbu yang sihat dan sepadu (salim) dan ikhlas.

Demikianlah seterusnya. Kita boleh mendekati alam kehidupan keruhanian dari berbagai-bagai sudut. Bagaimana pun, tanpa mengira dari sudut mana kita memilih untuk mendekatinya, kita tetap bersua dengan beberapa kebenaran keruhanian yang sama. Di antara hakikat keruhanian terpenting ialah bahawasanya diri ruhani kita wujud dan hubungan diri ruhani kita dengan Allah s.w.t. mengatasi segala hubungan yang lain. Malahan hubungan kita dengan Allah s..w.t. (hablun min Allah) mencorakkan hubungan kita sesama manusia (hablun min al-nas) dan selanjutnya hubungan kita dengan makhluk-makhluk lain. Bolehlah dikatakan bahawa intisari kehidupan keruhanian dalam Islam ialah jihad dan istiqamah memelihara hubungan diri ruhani kita dengan Allah dengan jalinan hubungan sesempurna yang mungkin.

Ihsan: Kualiti kehidupan keruhanian

Dalam perbincangan di sini saya ingin menumpukan perhatian kepada pendekatan dari sudut ihsan. Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini pendekatan ini mendapat penekanan khusus daripada Nabi Muhammad s.a.w. Matlamat kehidupan keruhanian ialah supaya kita berjaya mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. pada peringkat ihsan. Dengan kata lain, dalam menjalani kehidupan keruhanian, biarlah kita muncul sebagai muhsin (jamak: muhsinun). Ada beberapa kali al-Quir’an merujuk kepada golongan muhsinun ini. Contohnya dalam Surah al-Mai’idah, ayat 93: “Tiada dosa bagi orang yang beriman dan beramal salih pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal yang salih, kemudian mereka bertakwa dan beriman, kemudian mereka bertakwa dan berbuat kebaikan (ahsanu). Allah mengasihi al-muhsinin.”

Di kalangan ulama keruhanian, khususnya ulama tasawuf, kehidupan keruhanian yang dikejar ialah menikmati keimanan pada peringkat ihsan dan mengerjakan amal ibadat juga pada peringkat ihsan. Ihsan menurut definisi Nabi s.a.w. bermakna banyak mengingati Allah. Kualiti iman kita bergantung pada setakat mana kita mengenali Allah manakala kualiti islam (amal ibadat) kita bergantung pada setakat mana kita mengingati Allah dalam ibadat kita atau setakat mana dhikr Allah dihayati dalam ibadat kita.

Bagaimanakah kita dapat beriman pada peringkat ihsan? Kita memerlukan ilmu tertentu dan amal ibadat tertentu yang kedua-duanya sekali akan membolehkan kita mengenali Allah. Ilmu tertentu yang dimaksudkan merujuk kepada ilmu tentang keenam-enam rukun iman. Ilmu ini merupakan asas segala ilmu dan juga intisari segala ilmu. Tetapi intisari segala ilmu ini juga mempunyai intisari, iaitu ilmu tentang Allah, tentang rukun iman yang pertama. Pada suatu tahap lain, ilmu tentang rukun iman kedua hingga ke rukun iman keenam adalah sebenarnya huraian dan tafsiran tentang ilmu tentang Allah. Oleh sebab itulah, bagi ulama keruhanian, ilmu mengenal Allah merupakan kunci bagi menikmati keimanan pada peringkat ihsan.

Amal ibadat tertentu yang dimaksudkan merujuk kepada kelima-kelima rukun Islam. Lima rukun ini – syahadah, solat, puasa, zakat, hajj – merupakan asas segala ibadat dan juga intisari seluruh amal ibadat. Bagaimanakah kita dapat mengamalkan kelima-lima rukun Islam ini pada peringkat ihsan? Kita memerlukan keimanan yang tinggi yang telah dijelaskan sebelum ini; kita memerlukan ilmu tentang kelima-lima rukun Islam, khususnya hikmah dan rahsia di sebalik pensyariatannya oleh Allah s.w.t. dan kita memerlukan keikhlasan, ketekunan dan istiqamah dalam mengerjakannya.

Bagaimanakah kita mengamalkan atau menghayati rukun Islam pertama – syahadah – pada peringkat ihsan? Ini suatu tuntutan yang sangat berat untuk ditunaikan. Ia menuntut kita menjadi saksi keEsaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., bukan sekadar dengan kita melafazkan kedua-dua syahadah pada masa-masa tertentu sahaja seperti semasa bersembahyang tetapi sebaliknya “menghayatinya” pada setiap masa sepanjang hidup kita. Rasulullah s.a.w. menghayatinya pada tahap yang paling sempurna. Seluruh hidupnya, setiap detik hidupnya, menjadi saksi kepada kebenaran keesaan Allah dan kebenaran kerasulannya sendiri. Sebenarnya, kalau kita betul-betul memahami maksud rukun Islam yang pertama, tuntutannya adalah lebih berat daripada tuntuan rukun-rukun Islam yang lain termasuk solat. Boleh dikatakan bahawa intisari kehidupan keruhanian ialah menghayati tuntutan dua kalimah syahadah. Ada benarnya kenyataan bahawa segala-galanya sudah terkandung di dalam dua kalimah syahadah. Kalau kita sudah memahami kedua-duanya secara komprehensif dan inklusif maka tidak ada lagi perkara lain yang perlu diketahui!

Wallahu a’lam, wa bihi nasta’in.

Advertisements

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: